TINDAKAN AKAN DIAMBIL TERHADAP POLIS YANG MELAKUKAN JENAYAH, KATA TPM

 

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Tindakan akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dengan jenayah tanpa mengira sama ada mereka orang awam atau anggota keselamatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berkata tidak perlu satu dasar khas bagi menangani kes-kes jenayah yang melibatkan anggota polis kerana sesiapa sahaja akan dihukum sejajar dengan kesalahan mereka.

"Ia tidak memerlukan satu keputusan dasar tentang orang yang buat salah kerana orang yang buat salah mesti dihukum dan tidak boleh dimaafkan hanya kerana dia polis atau askar," kata beliau kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Hari Raya beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Abdullah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas beberapa kes jenayah kebelakangan ini yang melibatkan anggota-anggota polis.

Kes terbaru melibatkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang disyaki membunuh penyanyi kumpulan Spoon, Sabi'ul Malik Shafiee atau lebih dikenali sebagai Along.

Sebelum ini, terdapat laporan kes penculikan seorang pengurup wang di Pulau Pinang dan rompakan ke atas pusat-pusat perjudian haram yang melibatkan anggota-anggota polis.

Mengenai kejadian banjir kilat yang berlaku di Lembah Kelang tiga hari lepas, Abdullah berkata ia mungkin tidak berlaku sekiranya pemaju perumahan dan mereka yang terlibat dalam pembinaan infrastruktur lebih berhati-hati dalam menjalankan kerja.

Abdullah berkata beliau akan membawa perkara ini kepada pengetahuan pihak berkuasa supaya pemaju-pemaju akan lebih berhati-hati.

Katanya, tindakan tegas perlu kerana jika kerja tidak dibuat dengan betul, ia akan membawa kepada masalah untuk rakyat.

Katanya, kerugian bukan sahaja kepada pihak yang menjadi mangsa tetapi kerajaan juga terpaksa mengeluarkan belanja.

"Biasa juga berlaku parit-parit dan longkang tertimbus. Jadi bila ada longkang atau parit tertimbus air akan melimpah dan ini membawa banjir," kata Abdullah lagi.

Namun begitu, kata beliau, rakyat juga mesti memahami bahawa longkang dan parit tidak boleh digunakan sebagai tempat membuang sampah.

Lebih 15,000 mengunjungi rumah terbuka beliau yang turut dihadiri menteri-menteri kabinet, para diplomat, pelancong asing dan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Ini bermakna rakyat Malaysia memang menganggap Hari Raya Aidilfitri ini macam hari perayaan untuk semua. Walaupun ianya adalah hari kebesaran untuk umat Islam tapi yang bukan beragama Islam ingin turut serta meraikannya," kata beliau.

-- BERNAMA

Kirim email ke