Wan Mokhtar tidak mahu dicalon ke MT Umno

"Bagaimanapun, saya akan terus bekerja untuk parti selagi khidmat saya diperlukan... Kedudukan dalam parti tidak penting. Apa yang penting ialah kejujuran dan komitmen kita berjuang untuk bangsa, agama dan negara." - Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

KUALA TERENGGANU -- Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, berkata bahawa beliau tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti Mei ini.

Beliau berkata keputusan itu diambil bagi memberi laluan kepada orang lain, terutama para pemimpin muda dalam Umno Terengganu, untuk mencari sokongan daripada anggota parti supaya dapat dicalonkan sebagai anggota MT.

Tan Sri Wan Mokhtar berkata sudah tiba masanya beliau memberi laluan kepada generasi baru untuk mengambil alih tempat yang dikosongkannya itu.

"Bagaimanapun, saya akan terus bekerja untuk parti selagi khidmat saya diperlukan... Kedudukan dalam parti tidak penting. Apa yang penting ialah kejujuran dan komitmen kita berjuang untuk bangsa, agama dan negara," katanya ketika ditemui di rumahnya dalam majlis rumah terbuka sempena Hari Raya semalam.

Terengganu kini mempunyai dua wakil dalam MT yang mempunyai 25 kerusi, iaitu Wan Mokhtar dan Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor.

Beliau berharap agar mereka yang dipilih sebagai anggota MT kelak akan dapat menunjukkan komitmen mereka di samping dapat memberi sumbangan yang akan menguatkan parti serta mengukuhkan perpaduan anggotanya.

Ketika ditanya peluang Barisan Nasional (BN) merampas semula Terengganu daripada PAS, Tan Sri Wan Mokhtar berkata bahawa ia boleh dicapai jika semua pemimpin dan anggota parti mengetepikan perbezaan pendapat dan kembali bersama untuk satu tujuan. -- Bernama.

Kirim email ke