MARINA DIDAKWA DI MAHKAMAH SESYEN BUTTERWORTH

 
Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Marina Yusoff, yang diiringi penyokong-penyokongnya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menghasut pada tahun lalu. Ia mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraannya selama lima hari mulai 17 April ini.


BUTTERWORTH, 14 Jan (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Marina Yusoff hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menghasut pada tahun lalu.

Marina, 58, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan dibacakan dan Hakim Zanol Rashid Hussain menetapkan perbicaraan selama lima hari mulai 17 April ini.

Hakim Mahkamah Sesyen 1, Siti Maria Ahmad yang akan memulakan tugas di mahkamah itu minggu depan akan mendengar kes terbabit.

Zanol membenarkan Marina diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan.

Marina dituduh menyebut kata-kata menghasut iaitu: "Saya nak ingatkan orang Melayu, orang Cina, orang India, punca 13 Mei. Puncanya ialah Umno, Umno yang mula membunuh orang Cina kerana Umno di Selangor sudah kalah.

Pembunuhan orang Cina dimulakan oleh Umno, masa itu dirancang pemimpin-pemimpin Umno dan Selangor diketuai oleh Datuk Harun."

Marina dituduh menyebut kata-kata menghasut itu di Moral Uplifting Society Hall di Jalan Tanah Liat antara pukul 9.41 malam dan 10.08 malam pada 29 Sept, 1999.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Peguam Marina, Mohideen Abdul Kader juga memohon kepada mahkamah untuk membenarkan Marina, seorang peguam, mewakili dirinya pada perbicaraan kelak tetapi Timbalan Pendakwa Raya, K.Muniandy berhujah supaya permohonan itu dikemukakan kepada hakim yang akan mendengar perbicaraan itu kelak.

Selain Muniandy, pendakwaan turut diwakili Noorbahri Baharuddin. Marina yang berbaju kurung putih dan hitam serta berkot hitam dan bertudung putih, tiba di perkarangan bangunan Mahkamah Sesyen pada kira-kira pukul 9.05 pagi.

Laporan akhbar sebelum ini menyebut bahawa beliau akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam tetapi katanya beliau dimaklumkan oleh pihak polis bahawa prosiding itu akan dijalankan di Mahkamah Sesyen di sini.

Lebih 50 penyokong dan pemimpin parti pembangkang termasuk Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Law Heng Kiang (DAP) dan ADUN Penanti, Abdul Rahman Kadir (Keadilan) serta beberapa penyokong turut berada di perkarangan mahkamah menunggu ketibaan Marina.

Sebaik sahaja urusan ikat jamin oleh rakan beliau, Mustapha Kamal Yusof selesai pada kira-kira pukul 10.50 pagi, beberapa penyokongnya melaungkan reformasi dan bertakbir sebaik Marina turun dari mahkamah yang terletak di tingkat tiga.

Beliau kemudiannya menjadikan perkarangan mahkamah sebagai pentas untuk berucap kepada penyokong-penyokongnya.

Antara lain Marina menyebut bahawa perjuangannya adalah untuk rakyat dan tidak berasa gentar dengan tindakan undang-undang itu kerana yakin beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

-- BERNAMA

blue.gif

be1401_9.jpg

Kirim email ke