Assalamualaikum warahmatullah, Di sini saya fwdkan tulisan seorang sahabat yg kini menyambung pelajaran peringkat sarjana (master). Semoga bermanfaat. Wslm.
Subject: Buku Sejarah Islam Date: Wed, 19 Jan 2000 00:33:24 +0800 From: "Dr. Tanpa Nama 98" <[EMAIL PROTECTED]> To: [EMAIL PROTECTED] file:///A|/SEJARA~1.HTM --------------------------------------------------------------------- KERTAS KERJA TEKNIK PENGENALAN BUKU (SEJARAH ISLAM) oleh : Hamidi Fatihi ------------------------------------------------------------------------ PENDAHULUAN Kursus Teknik Pengenalan Buku ini dianjurkan oleh Biro Akademik dan Penerangan Ikatan Mahasiswa Perak Jordan (IMPJ). Ia diadakan khusus untuk mendedahkan kepada siswazah tentang peri pentingnya maklumat yang berkaitan dengan manhaj atau kaedah berinteraksi dengan buku-buku dan bahan rujukan. KEPENTINGAN ILMU AT-TARIKH AL-ISLAMI (SEJARAH ISLAM) KEPADA SISWAZAH Perbincangan tentang kepentingan ilmu sejarah Islam bukanlah suatu tajuk yang baru. Ibnu Khaldun di dalam Muqaddimahnya yang masyhur telah menyebut, "Sesungguhnya ilmu sejarah adalah cabang ilmu yang mengajar pelbagai aliran, faedah yang banyak, dan matlamat yang mulia. Justeru ilmu ini mengajar kita tentang hal ehwal generasi terdahulu dari sekalian umat mengenai akhlaknya, para Anbiya' dengan sirahnya, dan para pemerintah di dalam negara bersama dengan siasahnya sehinggalah membawa kepada kesempurnan iktibar bagi mereka yang mahukannya dalam urusan dunia mahu pun akhirat." Bahkan Al-Quran sendiri telah memberikan takrif dan kefahaman baru terhadap Al-Madhi (masa lalu). Ini dapat dilihat daripada manhaj yang diutarakan oleh Al-Quran apabila membentangkan Al-Qasas. Firman Allah SWT: " Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir..." [Al-A'raf (7) : 176] FirmanNya lagi: "Sesungguhnya di dalam kisah-kisah mereka itu ada pengajaran bagi orang-orang yang berakal" [Yusuf (12) : 111] Walau bagaimana pun, di dalam konteks siswazah, ilmu Sejarah Islam adalah salah satu daripada cabang ilmu yang berhajatkan kepada penerangan yang khusus. Ini memandangkan kepada realiti interaksi pelajar terhadap ilmu Sejarah Islam masih belum mencapai ke tahap yang sepatutnya. Lebih daripada itu, siswazah Syariah di universiti-universiti Jordan tidak disyaratkan mengambil subjek yang berkaitan bahkan Al-Tarikh Al-Islami tidak disertakan di dalam silibus. Secara ringkas, sejarah Islam mempunyai kepentingan yang tersendiri di dalam konteks alam siswazah kerana: 1. Ia membantu siswazah memahami perkembangan yang berlaku terhadap ilmu-ilmu syariah seperti fiqh, tafsir, hadith dsb. Inilah yang menjadi asas mengapa pembelajaran di dalam bidang berkenaan akan didahului dengan perkembangan sejarah (At-Tathawwur At-Tarikhi) bagi ilmu tersebut. 2. Ia membantu siswazah yang infromatif memahami asal usul permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam hari ini seperti krisis Kurdi, Balkan, Palestin dll. Pengajian serantau juga sangat terlibat dengan perkara ini. 3. Membolehkan para siswazah memahami peraturan zaman dan insan (Sunnatullah fi Al-Kaun wa Al-Hayah) sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Khaldun. Di dalam konteks semasa, kefahaman ini membolehkan siswazah membuat kesimpulan kajian dan analisa politik (political reading) yang matang. PEMBAHAGIAN ILMU SEJARAH ISLAM At-Tarikh Al-Islami sebagai satu ilmu yang khusus boleh dibahagikan kepada beberapa pembahagian. Walau bagaimana pun, di dalam konteks perbincangan ini, kita akan membahagikannya kepada: 1. AR-RIW�Y�T : Bahagian ini bermaksud mengetahui apa yang berlaku di satu-satu tempat pada satu-satu masa. Secara langsung, pengkajian ilmu riwayat sejarah Islam akan berinteraksi dengan nas (teks) riwayat yang terdapat di dalam buku-buku rujukan awalan (Al-Masdar). Manakala bagi pengkajian yang melibatkan manuskrip atau dokumen, ia bermaksud mengkaji isi kandungan bahan-bahan berkenaan tanpa melibatkan analisa peristiwa (tahlil al-hawadith). Inilah bentuk pengkajian Sejarah Islam yang popular di dalam kefahaman kebanyakan kita. Sedangkan di sana ada satu lagi sektor pengkajian yang dinamakan sebagai Ad-Dir�y�t. 2. AD-DIR�Y�T : Ia bermaksud mengetahui asas-asas yang membentuk ilmu Sejarah Islam, manhaj ulamak Sejarah Islam (muarrikh) di dalam pengumpulan riwayat, analisa riwayat dan penulisan, serta membuat kajian terhadap sumber rujukan awalan (Al-Masdar) dan sumber rujukan sekunder (Al-marja') serta perbezaan antara keduanya. Selain daripada itu, pengkajian ini juga melibatkan sejarah bagi ilmu Sejarah Islam itu sendiri. Jika dibuat perbandingan, ilmu dirayat At-Tarikh Al-Islami ini menyerupai kajian Mustalahul Hadith dan Usul Al-Fiqh. Oleh yang demikian, sebahagian ulamak menamakannya sebagai Fiqh At-Tarikh. APA YANG DIPELAJARI? Tempoh pengajian selama � 4 tahun di Jordan adalah jangka waktu yang sangat singkat untuk para siswazah peringkat ijazah pertama melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan. Ini adalah kerana watak seorang ulamak dan dalam masa yang sama sebagai seorang da'ie, memerlukan seorang siswazah itu menjadi graduan yang hadam ilmu dan informatif pada kadar yang sewajarnya. Oleh yang demikian, bagi pengkajian At-Tarikh Al-Islami adalah mustahil bagi seseorang itu membuat bacaan secara terpeinci kepada ilmu ini kerana At-Tarikh Al-Islami adalah satu medan yang sangat luas dan komplikasinya tidak boleh dinafikan. Justeru itu, apa yang perlu dipertekankan oleh para siswazah selama mereka berada di dalam jangka waktu pengajian ini ialah, mendapatkan seasas-asas ilmu Dirayat At-Tarikh Al-Islami dan membuat bacaan umum terhadap riwayatnya. Ini akan membolehkan para siswazah berinteraksi dengan betul apabila berhadapan dengan satu-satu permasalahan yang melibatkan At-Tarikh Al-Islami. Sebagai contoh, apabila dihadapkan dengan permasalahan pertembungan Saidina Ali RA dan Muawiyah RA atau tuduhan orientalis yang mengatakan bahawa adat para khilafah Daulah Othmaniyyah membunuh adik-beradiknya bagi mengekalkan kuasa, maka para siswazah yang faham tentang ilmu dirayat At-Tarikh Al-Islami akan tahu mencari penyelesaiannya. Inilah yang kita harapkan daripada penyertaan peserta di dalam kursus ini. ULASAN AM KEPADA TAHAP PENULISAN SEJARAH ISLAM SEMASA Semenjak di ambang kejatuhan Daulah Othmaniyyah dan munculnya gerakan pemisahan wilayah-wilayahnya, pengkajian Sejarah Islam mengalami perubahan yang sangat drastik. Penulisan yang adil sangat sukar untuk diperolehi. Ini berpunca daripada tersebarnya fahaman nasionalisma yang kemudiannya menggantikan dominasi Islam sebagai tunggak syakhsiah umat. Bermulalah gerakan menulis sejarah mengikut sempadan geografi dan usaha menghidupkan tamadun-tamadun jahiliah dibangunkan. Mesir cuba menghidupkan kembali keagungan tamadun Firaun sebagai warisan kebanggaan bangsanya. Turki pula mengembangkan kajian sejarah Turan klasiknya. Melayu kembali menghidupkan tamadun Sriwajaya dan Gangga Negara untuk dibanggakan... dan sebagainya. Secara ringkas, kita bahagikan permasalahan penulisan Sejarah Islam kepada dua: Masalah Dalaman i. Tabiat sumber rujukan itu sendiri. Sebagai contoh, sektor pengkajian sejarah Arab jahiliah, berhadapan dengan riwayat-riwayat yang lebih bersifat mitos mengikut pendapat sesetengah ahli sejarah seperti yang disebut oleh Dr. Muhammad Fathi Othman di dalam kitabnya (Al-Madkhal ila At-Tarikh Al-Islami) ii. Sumber-sumber awalan seperti kitab Tarikh At-Thabari lebih banyak menekankan aspek siasah dan peperangan daripada membicarakan tentang soal sudut sosial dan pembinaan tamadun sebagaimana yang diterangkan oleh Muhammad Mahir Hamadah di dalam kitabnya (Dirasah Watsiqiah Lit-Tarikh Al-Islami). Oleh yang demikian, beberapa bentuk kajian menghadapi masalah di mana manuskrip yang wujud bagi kerajaan Bani Umaiyah tidak begitu membantu kajian ketamadunan Daulah Umawiyah. iii. Sejumlah besar maklumat masih terkambus di dalam timbunan manuskrip yang belum dikaji. Atau dalam erti kata yang lain, manuskrip yang menyimpan jutaan maklumat masih kekal sebagai bahan mentah yang belum diproses. Contohnya Sejarah Mesir dan khususnya Daulah Othmaniyyah, masih mempunyai lebih 100 juta manuskrip yang belum ditelaah oleh pengkaji sejarah! Masalah Luaran i. Terdapat beberapa bentuk sekatan yang dihadapi di dalam usaha pengkajian At-Tarikh Al-Islami. Sama ada buku yang dihasilkan itu bertentangan dengan polisi atau kepentingan politik sesebuah negara, masalah juga boleh wujud apabila pengkaji berhajat untuk mendapatkan manuskrip-manuskrip asli khususnya di beberapa negara Arab seperti Syria, Mesir dan Iraq. Manakala di Turki, proses mendapatkan manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Topkap� memerlukan kepada proses yang rumit dan panjang. Ini berbeza dengan manuskrip di Perpustakaan Suleymaniye. ii. Kelemahan yang melibatkan pengkaji itu sendiri. Antaranya ialah: * Membuat analisa terhadap maklumat yang diperolehi daripada sumber-sumber sejarah tanpa mempedulikan disiplin ilmu sejarah yang terdapat di dalam ilmu dirayat At-Tarikh Al-Islami. * Kelemahan di dalam penguasaan bahasa sumber rujukan. Misalnya, pengkajian terhadap sejarah pemerintahan Seljuk menuntut pengkaji supaya menguasai bahasa Arab dan Parsi. Manakala pengkajian sejarah Daulah Othmaniyyah pula mewajibkan seseorang pengkaji itu menguasai Bahasa Turki Moden dan sekali gus Bahasa Turki Klasik (Osmanl�ca). Untuk tujuan ini, Universiti Ankara telah membuka sebuah fakulti yang diberi nama Fakulti Bahasa Sejarah Dan Geografi. * Sebagaimana yang telah diterangkan di awal tadi, kebanyakan penulis tidak dapat membebaskan dirinya daripada belenggu semangat perkauman dan taasub keagamaan. Dendam barat akibat Perang Salib dan prejudis mereka kepada tamadun Islam dan timur amnya, sering menatijahkan kajian yang berat sebelah. Revolusi Arab 1916 pula menjadi titik tolak yang nyata ke arah menafsirkan sejarah dengan tafsiran perkauman lantas banyak tulisan pengkaji Arab tentang Daulah Othmaniyyah lebih bersifat mencemuh dan begitu jugalah sebaliknya. Nasionalis Arab memandang Turki sebagai penjajah yang zalim dan pendukung nasionalis Turanisma (perkauman Turki) pula memandang Arab sebagai pengkhianat!. * Terdapat juga buku-buku 'murahan' yang ditulis dengan tujuan hiburan menjadi punca kepada tercemarnya tasawur Islam terhadap sejarahnya. Sebagai contoh, buku 1001 Senyum - Himpunan Kisah-kisah Lucu oleh A.K. Alang Jaafar terbitan Dar An-Nu'man banyak membawa kisah yang menggambarkan betapa lekehnya para khalifah Islam bahkan sahabat Rasulullah SAW seperti Muawiyah RA digambarkan dengan kelucuan-kelucuan melampau yang tidak berasas. ULASAN AM TERHADAP BUKU-BUKU SEJARAH DAULAH OTHMANIYYAH Secara ringkasnya, penulisan tentang sejarah Daulah Othmaniyyah adalah di antara sektor pengkajian At-Tarikh Al-Islami yang paling banyak menghadapi masalah. Ia berpunca daripada beberapa sebab yang utama seperti: i. Sumber rujukan sektor ini adalah secara keseluruhannya di dalam Bahasa Turki Klasik sedangkan kebanyakan mereka yang mengkajinya tidak memulakan kajian dengan mendalami bahasa tersebut. Akibatnya kebanyakan buku yang ditulis adalah ulasan kepada buku lain yang juga tidak ditulis berdasarkan sumber rujukan awalan (Al-Masdar) berkenaan. ii. Ramai pengkaji bergantung kepada hasil kajian yang dibuat oleh para orientalis. Ini menyebabkan banyak kesilapan dan penyelewengan fakta berlaku. Bahkan buku Sejarah Umat Islam yang ditulis oleh Profesor Dr. Hamka juga menghadapi beberapa masalah dari sudut ini. Buku History of The Ottoman Empire & Modern Turkey oleh Stanford Shaw dan The Cambridge History of Islam oleh Holt P.M., Lambton A.K.S. dan Bernard Lewis sebagai penyunting juga haruslah dibaca dengan teliti dan sedar akan method penulisnya (orientalis). Sedangkan dalam masa yang sama ia digunakan secara meluas sebagai bahan rujukan. Misalnya ia tercatat sebagai rujukan bagi kajian di Fakulti Pengajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Sebagai cadangan, kita mengesyorkan kepada para siswazah agar memulakan bacaan terhadap sejarah Daulah Othmaniyyah dengan membaca buku Ottoman Empire : The Classical Age 1300-1600 oleh Prof. Halil Inalc�k ataupun Al-Othmaniyyun fi At-Tarikh wa Al-Hadharah oleh Dr. Muhammad Abdul Hamid Harb. Bibliografi penulisan tentang sejarah Daulah Othmaniyyah boleh diperolehi daripada majalah �faq Ats-Tsaqafah wa At-Turats bil. 13, Mac 1996. PENUTUP Kertas kerja ini disediakan dalam keadaan agak tergesa-gesa. Sebarang teguran dan nasihat amatlah diharapkan untuk kebaikan kita bersama. Semoga para siswazah dapat mengambil manfaat daripadanya. segala yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan setiap kelemahan yang ada pastinya berpunca daripada kelemahan penulis sendiri. Sekian, Wassalamualaikum wbt. Firman Allah SWT: "... Dan tetap jadilah kamu rabbaniyyin (ulamak yang beramal) kerana kamu mengajari Al-Kitab dan kamu mempelajarinya" ------------------------------------------------------------------ disediakan oleh: Hamidi Fatihi Mu'tah University of Jordan 5 November 1997. *Kertas kerja versi internet ini tidak saya sertakan bersamanya senarai buku-buku contoh bagi setiap bidang kajian, sebagaimana yang terdapat di dalam kertas kerja asal. Jika pembaca berminat untuk memperolehinya, email saya di alamat [EMAIL PROTECTED]
