*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Gambar yang terpampang di muka depan Harakah (Jumaat 7/1/2000) dengan
sepasang lelaki - perempuan memegang tin minuman keras sambil bercumbuan di
khalayak ramai amat menjolok mata. Apa yang lebih menyakitkan mata dan hati
saya ialah gambar-gambar yang dirakamkan oleh Nasir Sudin dan 'Special
Report' yang dilaporkan oleh Abdar-Rahman Koya.
Perasaan saya terusik apabila mendapat tahu bahawa hampir 95% daripada
muda-mudi yang berpesta di sekitar Lembah Klang itu berketurunan Cina. Saya
terpegun dan air mata saya berlinang. Fikiran saya melayang jauh kerana
merenungkan nasib masyarakat Cina kita.
Kelemahan institusi-institusi agama Budha dan Kristian tempatan dalam
membentuk ketahanan akhlak dan kekuatan jiwa anak-anak muda Cina amat
mengecewakan saya. Ajaran-ajaran murni Tipitaka (Kitab agama Budha) dan
kitab Injil (Bible) hanya terhad untuk bacaan dan pengajian dalam kuil dan
gereja sahaja.
Agama Tao pula hanya meninggalkan adat istiadat untuk menguruskan orang mati
sahaja. Tidak ramai yang mengetahui tentang ilmu kerohanian yang terpahat
dalam Daode Jingnya. Manakala ajaran Konfucius yang termaktub dalam Lunyu
hanya setakat diterokai oleh beberapa orang ahli akademik dan intelektual
sahaja. Jadi apa lagi yang tinggal dalam masyarakat Cina? Saya terpaksa akur
kepada hujah orang Islam bahawa masyarakat Cina sekarang seumpama masyarakat
Arab zaman jahiliah di Mekah lebih seribu empat ratus yang lalu.
Inilah sebabnya selama ini saya mengambil sikap mengalu-alukan kedatangan
para pendakwah Islam bagai petani menanti hujan rahmat yang dapat mengairi
padang tandus yang kehausan. Setidak-tidaknya kemunculan Islam akan dapat
menghidupkan semangat keagamaan yang selama ini diabaikan oleh masyarakat
Cina.
Malangnya, gerakan dakwah Islamiah dalam masyarakat Cina amat lesu sekali.
Ia bukan sahaja gagal menyuntikkan roh kesedaran Islam, malah sebaliknya
dakwah Islamiah itu sendiri dicengkam oleh rasa takut dan kesangsian
masyarakat Cina terhadap agama berkenaan.
Masalah-masalah tersebut telah saya kesani ketika saya bekerja sebagai
seorang sukarelawan dalam sebuah persatuan Buddha yang berperanan
menyebarkan ajaran agama tersebut. Saya menemui dua kecenderungan yang
mendesak dalam masyarakat Cina Malaysia.
Pertama, mereka asyik mencari kejayaan kebendaan dan keseronokan. Kedua,
mereka hanya mengamalkan adat istiadat dan menunaikan ibadat agama tanpa
memahami ajarannya yang sebenar. Setelah berhenti sebagai sukarelawan, saya
bergerak pula di sekolah ibunda saya sebagai penceramah agama kepada
ahli-ahli Persatuan Agama Buddha sekolah. Saya dapati pelajar-pelajar Cina
banyak menghadapi kesukaran untuk menghayati ajaran Buddha lantaran tidak
mempunyai asas agama yang kukuh dalam keluarga mereka.
Lebih mendukacita saya ialah pelajar yang kebanyakan berbangsa Cina itu
adalah 'free thinkers' yang bersifat hedonis. Mereka semua sebenarnya secara
'cincai' mengisikan ruangan agama dalam dokumen rasmi sekolah dengan
perkataan 'agama Buddha'.
Memang tidak dapat dinafikan prestasi kelulusan akademik di kalangan pelajar
Cina ini adalah cemerlang, bahkan sesetengah daripada mereka telah
dimasukkan ke dalam aliran sains dan memperolehi pencapaian akedemik yang
baik.
Malang sekali nilai-nilai murni yang diajar dalam mata pelajaran Pendidikan
Moral dan mata pelajaran lain hanya tertinggal di dalam kelas dan di atas
kertas sahaja. Ia tidak dipraktikkan dalam kehidupan seharian mereka.
Matlamat mereka belajar bersungguh-sungguh hanyalah semata-mata untuk
mencapai kelulusan akademik yang cemerlang agar nanti status ekonomi mereka
terjamin. Pelajaran bukanlah untuk membina sahsiah yang seimbang dalam semua
segi, apatah untuk matlamat yang lebih jauh seperti soal perjuangan bangsa,
negara dan agama.
Begitulah sedikit sebanyak latar belakang yang mendasari kehidupan
kebanyakan pemuda-pemudi Cina Malaysia yang hanya mahu memperjuangkan
kepentingan diri sendiri, atau dalam perkataan lain mereka hanya tahu
bersikap individualistik.
Sekiranya masalah sosial di kalangan pemuda-pemudi Cina berleluasa, bukankah
anak-anak muda berketurunan India yang berfahaman `free thinkers' juga
mengalami masalah yang sama? Dan bukankah pendidikan Islam di
sekolah-sekolah tajaan kerajaan Persekutuan juga gagal membendung keruntuhan
akhlak remaja Melayu kini?
Selain kelemahan institusi-institusi agama, masalah moral yang dihadapi oleh
masyarakat kita ini banyak dipengaruhi sistem pendidikan berbentuk dualisme
yang diamalkan yang telah memisahkan pelajar-pelajar daripada ajaran agama.
Akibatnya mereka hanya berfikir berdasarkan ilmu dan perspektif sekular
semata-mata.
Bagi mereka, tempat agama ialah di masjid, kuil, gereja dan tempat-tempat
sembahyang sahaja. Secara beransur-ansur, masyarakat kita telah melahirkan
begitu ramai 'secular extremists' yang sedang menodai jiwa rohaniah dan
akhlak anak-anak bangsa kita.
Setelah berfikir secara mendalam, saya tidak lagi dapat menolak kenyataan
bahawa selagi dasar politik yang diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional
pimpinan Umno yang mengasingkan ajaran agama daripada pentadbiran dan
penggubalan dasar-dasar negara masih berkuasa dan berleluasa maka selagi
itulah masalah yang dihadapi oleh masyarakat kita akan berterusan.
Bagaimanapun, pada ketika itu kita tidak mempunyai pilihan lain. Umno dan BN
memang kuat dan utuh, bukan mudah dilemahkan. Manakala PAS pula pada masa
itu berkecenderungan menonjolkan diri sebagai parti politik yang
memperjuangkan nasib orang Melayu. Saya terpinga-pinga memikirkan di manakah
keislaman PAS yang kononnya memperjuangkan Islam. Perjuangannya langsung
tidak menggambarkan jiwa Rasulullah s.a.w. dan khalifah-khalifah Islam yang
amat mengasihani rakyat, hatta yang bukan beragama Islam.
Kemunculan pemimpin Islam seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah mengubah
pandangan saya terhadap PAS. Keterbukaan sikap Tuan Guru Abdul Hadi Awang
yang agak di luar jangkaan saya pula, telah menyuluhi jalan untuk saya
mendampingi PAS.
Pada hemat saya, ajaran-ajaran murni yang termaktub dalam kitab-kitab suci
agama, sama ada Al-Quran (serta Sunah), Tipitaka, Injil, Veda (Kitan agama
Hindu), Sri Guru (Kitab agama Sikh), Daode Jing, Lunyu dan sebagainya
mestilah disebarluaskan.
Demi menjana pembangunan kebendaan, jasmani dan rohaniah yang seimbang,
agama tidak boleh disisihkan daripada politik, parlimen, pentadbbiran dan
kehakiman negara. Selain itu, bagi melahirkan sebuah negara yang disandarkan
kepada semangat 'Malaysian Malaysia' yang luhur, adil dan berakhlak, maka
ajaran agamalah pemangkinnya.
Saya yakin perjuangan Islam yang sebenar dan menyeluruh akan dapat memimpin
rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama menuju ke arah
tersebut. Tetapi sebelum itu PAS mempunyai kewajipan untuk memimpin dan
menyatukan ahli-ahli agama bukan-Islam supaya dapat duduk bersama-sama dan
berbincang tentang faktor-faktor persamaan antara mereka. Bak kata pujangga
dahulu, 'duduk seorang bersempit-sempit, duduk beramai berlapang-lapang.'
Mudah-mudahan atas semangat kata-kata ini dan setelah pelbagai dialog dan
perbincangan yang bakal diadakan itu berhasil, maka pendirian tegas Majlis
Perundingan Agama Budha, Kristian, Hindu dan Sikh Malaysia yang kini
menentang penubuhan sebuah Negara Islam dapat dialihkan ke haluan yang
betul, iaitu ajaran agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan semua
lapisan aanggota masyarakatnya, termasuklah ahli-ahli politik.
Alangkah indah jika satu hari nanti Majlis Perundingan tersebut pula yang
akan memainkan peranan menjinakkan 'secular extremists' yang masih
bermaharajalela di negara kita yang tercinta ini.
______________________________________________________
Get Your Private, Free Email at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "mawar berduri" <[EMAIL PROTECTED]>