*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF
Harakah: Cetusan kekeliruan KDN
RAMPASAN barang seribu dua naskah Harakah di Lembah
Kelang dan diikuti dengan larangan pengedarannya
secara terbuka mencetuskan keresahan di kalangan
rakyat khususnya mereka yang prihatin terhadap
perkembangan negara dan minat membaca.
Kesnya tidak sebesar mana, tetapi cukup memburukkan
lagi imej kerajaan yang sudah sedia buruk sekalipun ia
berjaya memenangi semula tampuk pemerintahan.
Isunya ialah penjual Harakah antaranya meletakkannya
di pasaran terbuka sedang izin yang terakhir ialah ia
mesti diletakkan di rak khas. Peraturan tambahan itu
ialah kerana permit akhbar rasmi PAS adalah untuk ahli
sahaja.
PAS tidak pernah memohon untuk akhbar dalaman. Sejak
dari mula ia dimohon untuk umum. Tetapi kerajaan agak
kedekut memperkenankannya.
Adapun kalimah 'Untuk ahli saja' yang dicetak di muka
depannya disyaratkan oleh KDN supaya dibuat begitu.
Pengurusan Harakah sendiri terpaksa akur. Sesiapa yang
hendak membaca Harakah, maka mereka hendaklah menjadi
ahli PAS. Itulah mesej KDN kepada rakyat.
Mungkin mesej itu tiba kepada setengah keturunan India
dan Cina lalu mereka minta PAS membuka keahlian PAS
kepada sekalian rakyat tanpa mengira kaum.
Memang PAS sudah mengambil langkah ke arah itu.
Setakat ini tindakan KDN adalah sekitar kaedah
pengedaran, tidak dari sudut kandungan.
Mungkin juga yang dirunsingkan itu dari segi
kandungan, tetapi mengusik kandungan lebih menyulitkan
dari mengusik kaedah pengedaran.
Sebenarnya Umno lebih cemburu kepada isi. Dalam
sejarahnya ia tidak pernah mengambil sikap terbuka
kepada kandungan.
Dato' Onn Jaafar sudah mengecam sikap kerajaan
terhadap kebebasan akhbar itu. Mungkin kesedarannya
itu kerana latar belakangnya sebagai seorang wartawan.
Ketika itu saya masih bersekolah dan saya tidak faham
mengapa Dato bersikap begitu.
Sesudah saya jadi wartawan dan tahu pula politik, maka
saya mewarisi pandangannya itu.
Akhbar-akhbar perdana dalam bahasa Malaysia hingga
sebelum 13 Mei, 69 agak kritikal terhadap Umno dan
kerajaan. Yang pro-Umno dan pro kerajaan seperti
Majlis tidak mampu bertahan.
Sebuah dari akhbar perdana itu asalnya lidah rasmi
Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Untuk bekerja di situ
pun mulanya disyaratkan menjadi ahli.
Ia menjadi pro-Umno dan prokerajaan setelah syarikat
itu membuka sahamnya kepada orang ramai. Ahli-ahli
Umno mengambil peluang membeli sahamnya hingga
menguasainya. Langkah pembersihan pun berlaku, hingga
bertempiaranlah pekerja-pekerjanya.
Selepas 13 Mei, 69 kebanyakan akhbar di negara ini
dikuasai oleh pemodal asing. Saya cuba masukkan
perkara ini untuk ditimbulkan oleh Idris Haji Ibrahim,
seorang pengurus sebuah akhbar dalam kertas kerjanya
di Kongres Kebudayaan Kebangsaan anjuran Universiti
Malaya.
Tidak ada perhatian.
Satu hari Dato' Harun Idris berucap mengenai akhbar.
Musa Hitam yang jadi timbalannya dalam Pemuda Umno
hadir. Saya menyuarakan kepada Musa untuk memberi
perhatian terhadap dasar pelaburan dalam perusahaan
cetak.
Adalah penting supaya pelaburan itu mengikut dasar
pelaburan negara iaitu 51 peratus sekurang-kurang dari
ekuitinya adalah modal tempatan.
Sebulan kemudian Haji Suhaimi Kamaruddin membentangkan
usul dalam perhimpunan Pemuda Umno dan tidak lama
kemudian kerajaan mengambil tindakan mensyaratkan
supaya modal tiap-tiap industri percetakan hendaklah
mengikut dasar pelaburan negara.
Berikutnya orang perseorangan dan syarikat pro
kerajaan membeli saham-saham akhbar hingga tiada lagi
akhbar yang kritikal.
Apabila Tunku Abdul Rahman bersara dari menjadi
Perdana Menteri, maka beliau pula mewarisi sikap Dato'
Onn membidas dasar akhbar kerajaan. Maka beliau
menulis setiap minggu dalam sesebuah akhbar Inggeris.
Akhirnya kerajaan Dr Mahathir bertindak dan akhbar itu
menghentikan ruangan popular Tunku itu.
Saya sendiri pernah mengasaskan beberapa akhbar
tabloid. Suara Rakyat digantung penerbitannya di bawah
ISA. Suara Merdeka tidak dikeluarkan permitnya setelah
Tan Sri Jaafar Albar meninggal. Beliau sentiasa
membantu saya mendapatkan sambungan permit penerbitan.
Watan adalah yang ketiga saya asaskan bersama Khir
Johari. Ia adalah akhbar bebas. Atas sebab kekurangan
modal, maka pengurusannya bertukar. Bila ia banyak
modal itu menjadi akhbar pro kerajaan. Ketika ia
kurang modal ia bertahan. Bila modalnya besar, ia pun
tutup.
Harakah adalah akhbar yang diminati oleh semua kaum
dan penganut semua agama walaupun ia berhajat untuk
menjadi sebuah akhbar Islam. Ertinya Harakah dapat
memecahkan tembok perkauman dan fahaman agama yang
sempit.
Ini adalah disebabkan ia percaya kepada keadilan dan
kebebasan bersuara.
Sekalipun masih banyak kelemahan, ia masih dikira
akhbar yang disukai oleh semua pihak. Tun Hussein Onn
selepas bersara, tidak lepas dari menatap setiap
keluarannya. Jika tidak ada di pasaran, setiausahanya
datang ke pejabat PAS minta naskah yang dipulangkan.
Sebagai peguam tentu dia tahu salah membaca akhbar
yang dikhaskan untuk ahli PAS saja. Tetapi itulah
ragam hidup manusia. Tunku juga walaupun rabun di
hari-hari tuanya tetapi ada orang membacakan Harakah
kepadanya.
Inilah akhbar yang memberikan ruang kepada Tengku
Razaleigh dan Rais Yatim semasa mereka menjadi
pelarian Umno dulu. Jika tiada Harakah, maka tiadalah
masyarakat pembaca tahu apakah mereka masih ada atau
tiada.
Dr Mahathir dan Dato' Abdullah Badawi tidak mustahil
berdepan dengan pengalaman yang dialami oleh Tunku dan
Tun Hussein selepas bersara. Jika Umno dan BN berkuasa
lagi selepas itu, dan mereka ada pandangan lain
tentang kerajaan masa itu, maka akhbar masa itu
mungkin melayannya sama seperti layanan yang Tunku dan
Tun Hussein hadapi.
Ketika itu Dr Mahathir dan Dato' Abdullah akan
terfikir, alangkah beruntungnya ada akhbar seperti
Harakah.
Adalah diakui ada berita salah dalam Harakah. Tetapi
kesalahan itu jika diketahui akan dibetulkan. Akhbar
boleh silap tetapi ia tidak mahu kepada bohong. Jika
adalah yang tidak betul adalah kerana silap tetapi
bukan hendak berbohong.
Jika Harakah berbohong, orang boleh dibohongi sekali
sekala. Tetapi orang tidak boleh dibohongi hari-hari.
Jika ia berbohong, ia tidak ada masa depan. Tidak
perlu sesiapa mengadakan sekatan. Orang akan
memulaukannya.
Bolehkah Harakah terus hidup selepas ini? Sebagai
makhluk ia tidak menongkat langit. Tetapi jika ia
mati, maka bagaimana matinya? Adakah ia mati kerana
penat hidup atau KDN menjadi malaikat mautnya datang
mengakhiri usianya pada ketika ia segar bugar dan
bertenaga?
Harakah bukanlah akhbar yang terbaik di dunia. Tetapi
ia adalah pilihan rakyat sekarang. Ia bukan kuat
sangat, tetapi ia yang membantu siapa saja yang lemah
dan teraniaya.
Ia juga tidak sempurna, tetapi ia saja yang berani
menegur Perdana Menteri yang tidak berani ditegur oleh
sesiapa. Dr Mahathir boleh menjadi malaikat maut
kepadanya walaupun dia tidak dijadikan untuk menjadi
malaikat maut. Tetapi itulah yang dihadapi oleh
Harakah.
Harakah terlalu kecil dan remeh untuk dibandingkan
dengan Dr. Mahathir. Terlalu banyak isu yang patut
dilayaninya selepas menang semula. Kalau mahu jatuh
pun carilah isu yang besar. Jangan jatuh kerana isu
Harakah yang kecil, apa lagi yang digaduhkan sekadar
ia dibeli oleh orang yang bukan ahli. Walau pun ia
peraturan, tetapi ia isu sampingan.
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: Comb attt <[EMAIL PROTECTED]>