*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MIN AINA ILA AINA
Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF

Elak tanding Presiden, Umno pecah juga
  

KETIKA Umno menuding kononnya imam-imam PAS memecahkan
umat di masjid dan surau-surau, dan ketika
menteri-menteri menuduh Harakah memecahkan perpaduan
rakyat dengan kandungan yang dikatakannya fitnah,
tiba-tiba Majlis Tertinggi Umno memutuskan agar dua
jawatan utama - Presiden dan timbalannya - tidak
dipertandingkan. 

Alasannya pertandingan yang sedemikian akan memecahkan
perpaduan Umno atau akan memecahkan Umno. 

Umno juga mengambil langkah menyegerakan perhimpunan
agungnya ke bulan Mei, 2000 juga bagi mengelakkan
tempoh kempen yang panjang yang memungkinkan
perpecahan yang lebih parah. 

Semua langkah yang Umno ambil itu adalah untuk
mengatasi soal perpecahan yang berlaku dalam parti itu
di bawah pimpinan Dr Mahathir. Langkah-langkah itu
diambil ketika Umno dan menteri-menterinya
mengumandangkan lagu PAS kononnya juara pemecah umat
dan rakyat. 

Tidakkah segala perkembangan itu menjawab segala
dendangan tadi betapa Umno gagal menyatu padukan
pengikutnya, maka natijahnya terbawa-bawa ke tengah
masyarakat. 

Demi menyedapkan diri, maka pemimpin-pemimpin Umno
melemparkan pandangan ke surau dan masjid. Bila rakyat
semua lapisan sibuk dengan apa yang dikatakan
perpecahan ummah dalangan Pas, maka orang tidak ingat
tentang tidak mampu bersila sebilik bersama. 

Sudah beberapa tahun pemimpin Umno mengigau tentang
pertelagahan sama sendiri. Sejak Ghafar Baba
disingkirkan dari Timbalan Presiden Umno dengan cara
menghinanya, maka setiap saat Umno melihat wawasan
mengadu domba sama sendiri. 

Bermula dari sayonara kepada Ghafar itu Umno membuat
usul supaya ditiadakan pertandingan untuk Presiden dan
Timbalan Presiden. Malah ada juga saranan supaya
Timbalan Presiden ketika itu tidak mencabar ketuanya.
Dan ada juga saranan supaya tidak ada pula yang lain
mencabar sang timbalan itu tadi. 

Begitulah dari semasa ke semasa hingga beberapa kali
perhimpunan agung yang ada pemilihan, isu dan saranan
tidak berlaga itu dibangkitkan. Dan paling menjoloknya
Umno menangguhkan pemilihan. 

Untung juga Umno menguasai kerajaan; demokrasi dan
kedaulatan rakyat tinggal nyawa-nyawa ikan, maka
tidaklah ada takwil dari jabatan pendaftaran dan tiada
siapa berani menyuarakan tentang kegagalan Umno
mematuhi undang-undang tubuhnya. 

Jika MTUC atau Majlis Peguam menangguh-nangguh
peraturan persatuannya, maka riuh-rendah macam kokok
ayam jantan di waktu pagi negara kita ini. 

Sekalipun perhimpunan agung Umno pernah menyarankan
agar ditiadakan pertandingan antara Presiden dan
Timbalan Presiden selepas Ghafar untuk satu jawatan
atau mana orang lain tidak menandingi mereka, tetap
tidur pemimpin Umno tidak lelap dan impian berkelahi
sama sendiri menguasai roh masing-masing. 

Igauan itulah pula mencadangkan supaya Tengku
Razaleigh pulang ke pangkuan Umno. Disejarahkan betapa
pertandingan antara Tengku Razaleigh dengan Dr.
Mahathir untuk jawatan Presiden tahun 1987 menyebab
perpecahan besar Umno hingga hilang Kelantan kepada
PAS. 

Tetapi telah retak sebelum itu. Ia retak di luar
pertandingan dan di luar musim mesyuarat pemilihan
pimpinan Umno dan menunggu detik belah saja. Ia retak
berikutan peletakan jawatan Dato Musa Hitam dari
Timbalan Perdana Menteri. 

Untuk mengelakkan perpecahan maka dielakkan
pertandingan. Untuk mengelakkan pertandingan, maka
diadakan sistem bonus; sepuluh mata bagi satu
pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden. 

Sistem ini tidak berjaya mengelakkan pemegang jawatan
dicabar, cuma setakat ini ia mengelakkan pertandingan
disebabkan Ghafar menarik diri dari bertanding. Benar
tiada pertandingan tetapi benarkah tiada perpecahan
setelah tiada pertandingan? 

Bagi menjamin perpaduan Umno menubuhkan tim wawasan.
Tetapi tim itu pecah juga dan hancur sebelum ada
sebarang pertandingan peringkat tinggi. 

Pemimpin Umno bersetuju membenarkan Tengku Razaleigh
kembali ke pangkuan Umno demi menyatukan orang Melayu
di luar PAS. Tetapi kembalinya Tengku Razaleigh tidak
pula mengukuhkan perpaduan Umno. Usaha
mengembalikannya itu dikira untuk menyemaikan
perpecahan yang lebih besar dalam Umno. 

Sejak Tengku Razaleigh rujuk, Umno menangguhkan
pemilihan peringkat tinggi dan berlaku pemecatan ke
atas Anwar Ibrahim dari Timbalan Perdana Menteri dan
Timbalan Presiden Umno. 

Pemecatan itu menyebabkan Umno berpecah lagi. Tidak
padan bilangan Umno yang kembali ke pangkuan Umno
bersama dengan Tengku Razaleigh dengan Umno yang
keluar dari Umno berikutan dengan pemecatan Anwar. 

Dan kedatangan semula Tengku Razaleigh tidak pula
mampu mengembalikan Kelantan kepada Umno, tetapi
menyaksikan Umno hilang pula Terengganu. 

Ketika Tengku Razaleigh di luar Umno, Umno mula
beroleh banyak kerusi di Dun Kelantan. Dengan Tengku
Razaleigh membawa pulang orang Umno ke pangkuan Umno,
Umno tinggal dua saja Adun. 

Bagai yang diduga, Tengku Razaleigh yang sudah tidak
mengancam pimpinan Umno di luar, dirasakan sekejap
menjadi ancaman kepada pimpinan di dalam Umno. 

Dia dicipta oleh pimpinan Umno sebagai ancaman.
Mahathir tidak nampak ada ancaman sebenar jika tidak
diwujudkan ancaman ciptaan walaupun lemah. Ia tentu
tidak menakutkan Mahathir, tetapi boleh menakutkan
orang lain yang boleh menjadi ancaman baru kepadanya. 

Memang selepas pilihan raya dan keputusannya
membariskan Umno hilang banyak kerusi dan pengaruh.
Umno tidak ada masa depan dengan keadaan yang ada.
Maka Umno hanya boleh menarik perhatian jika pemimpin
Umno yang ada dilucutkan. 

Pemimpin Umno tidak bersedia menghadapi kemungkinan
itu. Justeru itu perlu dielakkan pertandingan dalam
keadaan tidak menentu ini. 

Alasan tiada pertandingan sekadar mengelakkan
perpecahan. Perpecahan tidak dapat dielakkan sekalipun
tiada pertandingan. Sama ada pertandingan atau tidak
ada pertandingan, Umno akan pecah. 

Dan perpecahan lebih mudah tanpa pertandingan. Tanpa
pertandingan menutup peluang kepada ahli membuat
perubahan. Dari tiada perubahan baik mereka keluar
parti bagi memulakan kerja perubahan dari luar. 

Umno tidak dapat berbuat apa-apa untuk menukar Wan
Mokhtar dari memimpin Umno Terengganu. Maka cara yang
mudah ialah setengah orang Umno menyertai PAS maka
akhirnya Umno berpeluang mendapat pimpinan baru. 

Umno sudah jemu dengan Mahathir. Dia mesti ditukar.
Dato Abdullah Badawi tidak penting. Dia tidak penting
sangat kerana peranannya sama seperti Habibie. Tenaga
tidak banyak. Dia nampak besar kerana Mahathir ada.
Beliau tidak mampu mententeramkan Umno apabila tiada
Mahathir. 

Mahathir memerlukan Abdullah yang setia dalam kabinet
dan memerlukan Tengku Razaleigh dikelirukan di luar
kabinet. Jika Tengku Razaleigh masuk Majlis Tertinggi
lagi baik kerana ia lebih mengeliru dan menggerunkan
orang-orang keliling Dr Mahathir yang sudah dicipta
takutkan Tengku Razaleigh sekalipun dia sudah keliru
dengan penyertaan semula dalam Umno. 

Tetapi adakah Umno akan mengangguk lagi macam cicak
kekapuran atau mula sedar akan kepalsuan pimpinan dan
perjuangannya? Yang jelas sekarang, keputusan tidak
menandingkan dua jawatan itu adalah demi keselamatan
jawatan yang pertama sedang yang kedua adalah perisai
saja. 

Dan keputusan tadi menjawab tohmah tentang punca
perpecahan jika benar perbezaan politik dalam
demokrasi itu dikira perpecahan. Jawapannya ialah
perpecahan besar ada dalam Umno dan tiap-tiap seorang
dari mereka. Dari dewan Umno ia terbawa ke setiap
ruang dalam masyarakat semua kaum. 


=====
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: counterbalance <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke