*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
UMNO perlu responsif
Oleh: SYED HAMID ALBAR

BANYAK telah dibincangkan mengenai keputusan pilihan
raya yang telah diadakan pada 29 November 1999 lalu.
Demokrasi yang kononnya tidak diamalkan di negara ini
sebenarnya hidup dengan subur berasaskan kempen dan
keputusan pilihan raya.

UMNO sebagai parti teras kepada pemerintahan negara
diletakkan di bawah mikroskop untuk dianalisis oleh
kawan mahupun lawan. Berbagai-bagai pendapat dan
pandangan mengenai prestasi UMNO dalam pilihan raya
tersebut telah diberikan dan dibentangkan.

Kita melihat penulisan di media cetak dan perbincangan
di media elektronik oleh pelbagai golongan termasuk
ahli akademik, penulis bebas, ahli politik, wartawan
dan lain-lain. Masing-masing membincangkan keputusan
pilihan raya dan kesannya kepada UMNO dan orang
Melayu.

Dalam pengalaman saya, perbincangan secara meluas
begini terhadap keputusan pilihan raya tidak pernah
berlaku sebegini rupa sebelum ini. Pemimpin dan ahli
UMNO sendiri, (walaupun bergembira yang Barisan
Nasional (BN) mendapat lebih dari 2/3 kerusi
(Parlimen), terperanjat dengan jumlah kerusi yang
diperoleh oleh Pas di Parlimen, dan kehilangan negeri
Terengganu dan penerusan kemenangan Pas di Kelantan.

Kejayaan Pas memenangi beberapa kerusi di negeri
Kedah, Pahang dan Selangor juga adalah di luar dugaan.
Pada tanggapan saya, beberapa persoalan boleh
ditimbulkan.

Pertamanya sama ada pengaruh UMNO sudah mula terhakis.
Benarkah orang Melayu sudah mula menolak UMNO. Kedua,
sama ada benar Pas kini sudah diterima sebagai sebuah
parti untuk mewakili orang Melayu (alternatif bagi
UMNO!).

Ketiga, kekalahan dan kemerosotan undi UMNO disebabkan
jentera UMNO kurang bersedia dan lemah jika
dibandingkan dengan parti-parti lawan.

Keempat, faktor kesetiaan ahli UMNO, yang dikatakan
rela dan sanggup mengundi calon dari parti lawan
semata-mata kecewa atau tidak berpuas hati dengan
calon yang dipilih untuk bertanding.

Kesimpulannya, boleh dikatakan tidak terletak kepada
satu faktor sahaja tetapi bertindih dengan
bermacam-macam sebab. Boleh kita katakan kombinasi
faktor-faktor tersebut menyebabkan kedudukan UMNO
terancam. Malahan ramai calon Barisan Nasional dari
UMNO menang kerana sokongan yang diberikan oleh
pengundi bukan Melayu.

Yang aneh terdapat kawasan di mana jumlah undi yang
diperoleh oleh calon UMNO kurang dari jumlah ahli UMNO
di kawasan tersebut.

Saya berpendapat bahawa apa yang telah berlaku pada
pilihan raya ini adalah satu fenomena sementara. Orang
Melayu sebenarnya masih menghendaki UMNO tetapi mahu
melihat UMNO membuat pembetulan dan perubahan,
mengikut keadaan dan selera sekarang. Walau
bagaimanapun, fenomena sementara ini boleh menjadi
lebih buruk dan tidak terkawal jika dibiarkan parti
pembangkang terus menggerakkan jentera dan propaganda
mereka, membuat persediaan sekarang, untuk menghadapi
pilihan raya 2004/5.

Oleh itu, kita harus melaksanakan satu program
bersepadu untuk memerangi dakyah pembangkang bukan
sahaja sibuk membuat analisis dan post-mortem bagi
memastikan pemantauan dakyah-dakyah pembangkang dapat
dilaksanakan dengan jayanya.

Pada kali ini kerjasama di antara parti pembangkang
telah dijalin secara serius dan bersungguh-sungguh.
Mereka kini tidak menghadapi masalah kewangan melihat
kepada cara mengurus dan melaksanakan kempen. Ada
sesetengah tempat poster pembangkang lebih banyak dan
berkualiti dari Barisan Nasional. Mereka sedikit
sebanyak dapat meyakinkan rakyat mereka sebenarnya
adalah barisan alternatif yang mampu menubuhkan
kerajaan atau sekurang-kurangnya menjadi pembangkang
yang berkesan.

Kempen mereka lebih terancang dengan menggunakan
kemudahan teknologi terkini sepenuhnya. Mereka lebih
bersifat menyerang dan UMNO lebih defensif. Jentera
propaganda ceramah mereka berjalan sepanjang masa
sebelum pilihan raya. Begitu juga dengan pendekatan
kepada pengundi dilaksanakan dengan perancangan jangka
panjang.

Akibatnya sokongan orang Melayu terhadap UMNO merosot.
Di sebaliknya perpaduan dan kesatuan bukan Melayu pula
lebih mantap dan ampuh. Pengundi bukan Melayu berpuas
hati dengan mengundi BN untuk melahirkan sebuah
kerajaan yang kukuh dan stabil. Justeru mereka
memberikan sokongan padu pada Barisan Nasional dan
menolak DAP termasuk orang-orang kuat DAP.

Ekoran daripada itu muncullah persoalan sama ada UMNO
dapat mempertahankan kedudukannya sebagai sebuah parti
dominan dalam BN ataupun sebaliknya. Bezanya pilihan
raya ini dengan yang lalu dikaitkan juga dengan kes
Anwar Ibrahim yang menyentuh perasaan orang Melayu
dari aspek cara ia dikendalikan. Pas telah menggunakan
isu ini untuk meraih keuntungan politik.

Lebih membahayakan untuk UMNO adalah pendapat yang
mengatakan sememangnya pengundi Melayu sudah berubah
selera. Mereka tidak lagi menganggap UMNO sahajalah
parti yang dapat melindungi kepentingan agama dan
orang Melayu. Malahan ada yang menyatakan bahawa Pas
kini sudah berjaya mempengaruhi majoriti pengundi
Melayu kerana calon-calonnya yang profesional dan
berwibawa atau boleh dipercayai. Apa juga pandangan
yang diutarakan, kenyataannya ialah UMNO mesti
menerima hakikat bahawa kini ia menghadapi ancaman
serius yang perlu ditangani dengan bijaksana.

Sesungguhnya UMNO tidak boleh lagi bergantung harap
kepada semata-mata track record dan prestasi cemerlang
masa lalu bagi menjamin kejayaan di masa-masa akan
datang. Apakah yang perlu dilakukan UMNO untuk
menentukan kelangsungannya sebagai wadah perjuangan
orang Melayu dan teras kepada BN.

Banyak cadangan dan syor telah dikemukakan oleh
pelbagai pihak mengenai masalah yang dihadapi UMNO dan
cara untuk mengatasinya. Saya ingin melihatnya dan
beberapa sudut yang saya anggap perlu diberikan
perhatian.

Pada masa lalu semangat perjuangan dihayati dan
menjadi asas yang menggerak dan mengukuhkan UMNO.
Kepentingan peribadi ataupun kumpulan tidak langsung
menjadi matlamat. Mereka memang berkorban untuk agama
dan bangsa. Prinsip dan matlamat utama perjuangan
mereka ialah untuk memartabatkan bangsa dan agama
supaya terlepas dari belenggu penjajahan.

Wadah perjuangan UMNO berjaya meletakkan martabat
bangsa di tahap yang mulia dan tidak terhina lagi.
Soal kesetiaan kepada individu atau puak dalam
menentukan pucuk kepimpinan parti tidak ketara.
Ketaatan dan kesetiaan kepada parti amat mendalam di
kalangan ahli. Pertandingan dalam parti pun tidak
membangkitkan perpecahan ataupun menjejaskan perpaduan
parti.

Oleh yang demikian, agenda parti menjadi unsur penting
membentuk dasar-dasar kerajaan untuk mencapai matlamat
yang telah digariskan. Pembangunan bangsa Melayu
menuntut tumpuan diberikan kepada bidang ekonomi dan
pendidikan untuk melahirkan keseimbangan dan keadilan
dalam bidang sosial dan ekonomi. Walau bagaimanapun,
pembangunan sosial dan ekonomi sahaja tidak mencukupi.
Melalui penguasaan politik, BN sebagai kerajaan
bersungguh-sungguh mengambil langkah untuk membina
kekuatan rohani melalui pendekatan agama dengan konsep
seperti penerapan nilai-nilai Islam dalam
pemerintahan.

Pendekatan dasar melalui konsep pembangunan yang
menyeluruh untuk mengisi matlamat perjuangan UMNO dan
BN berjaya membawa kemajuan kepada seluruh rakyat
Malaysia. Rakyat dapat menerima Dasar Ekonomi Baru
(DEB) dan Dasar Pembangunan Negara (DPN) sebagai
terjemahan kepada perjuangan mengisi kemerdekaan dan
memartabatkan bangsa.

Kita tidak menafikan bahawa terdapat kelemahan dan
kepincangan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan.
Namun demikian hakikat sebenarnya dan secara
keseluruhannya menunjukkan bahawa UMNO sebagai teras
pemerintahan telah berjaya membentuk agenda Melayu
yang membela nasib bangsa Melayu, meningkatkan syiar
Islam, mengurus pembangunan negara dengan berkesan
sehingga membawa banyak manfaat kepada seluruh rakyat.

Secara keseluruhannya, masyarakat Melayu tidak lagi
boleh rasa terpinggir, walaupun jika dibandingkan
dengan masyarakat lain, orang Melayu masih lagi
tertinggal di belakang. Dengan hasil kejayaan agenda
Melayu maka kita mula melihat kehadiran Melayu dalam
bidang ekonomi, keusahawanan, profesional, pendidikan
serta kewujudan kelas pertengahan Melayu. Begitu juga
kadar kemiskinan juga dapat diturunkan.

Dalam lain-lain perkataan UMNO sebagai teras kepada
Perikatan dan kemudian Barisan Nasional telah berjaya
menguruskan pembangunan negara dan melahirkan negara
dan bangsa yang merdeka dan bebas. Barisan Nasional
berjaya mewujudkan jati diri rakyat dan menjadikan
Malaysia sebagai salah sebuah negara ketiga yang tidak
terkandas sebaik sahaja diberikan kemerdekaan oleh
penjajah.

Tidak boleh dinafikan pertumbuhan ekonomi Malaysia
membanggakan. Dasar luar negara kita pula dibentuk
berasaskan kepentingan strategik Malaysia dalam
konteks perhubungan dua hala dan pelbagai hala.
Malaysia menjalin perhubungan dua hala bukan hanya
bersandarkan kepentingan politik tetapi juga
menekankan kepentingan ekonomi dan perdagangan.

Dari negara yang bergantung kepada pertanian, Malaysia
sudah menjadi negara perdagangan yang mengeksport
produknya ke seluruh dunia. Sistem ekonomi terbuka
yang diamalkan negara membuka peluang pelaburan dari
dalam dan luar negara.

Di arena antarabangsa suara Malaysia didengar lantang
dan jelas dari berbagai-bagai dimensi. Tujuan negara
untuk melihat order baru dunia yang berasaskan
keadilan sejagat menjadi pemangkin kepada tindakan
kita. Kita dihormati oleh masyarakat dunia kerana
sumbangan yang positif. Di masa yang sama kita juga
dianggap terlalu lantang dan berani menyentuh
kepentingan negara kuasa besar dan pola orde baru
dunia. Kita mendapat pujian dan di masa yang sama
tidak disenangi oleh sesetengah negara luar.

Dunia yang digerakkan oleh sistem kapitalisme,
perdagangan bebas, liberalisme, demokrasi kini
memasuki era globalisasi. Hak asasi manusia dijadikan
sebagai prasyarat untuk membentuk masyarakat madani.
Dunia kini dianggap sebagai perkampungan sejagat
kerana kemajuan teknologi dan dipenghulukan
(dicorakkan) oleh Amerika Syarikat.

Negara kita Malaysia mahukan perubahan dunia ini tidak
memudaratkan negara-negara membangun. Justeru, peranan
kita menjadi lebih terserlah dalam semua perkara sama
ada di peringkat rantau atau antarabangsa. Berdasarkan
kepada senario ini, perjuangan UMNO perlu dikaji dan
dianalisis bagi menentukan relevannya kepada bangsa
dan negara. Perjuangan asal UMNO mestilah diberikan
nafas baru, supaya mengambil kira tuntutan selera
masyarakat berilmu yang memiliki kualiti dan taraf
hidup yang lebih tinggi.

Suasana dan persekitaran memberikan UMNO cabaran yang
lebih besar untuk terus berkuasa dan menjadi pelindung
kepada kekuasaan politik Melayu dan negara. UMNO tidak
mampu menggunakan strategi dan pendekatan lama dalam
berhadapan dengan suasana dan persekitaran baru.

Dewasa ini tuntutan pada UMNO ialah bagaimana kita
menguruskan perubahan dan kejayaan yang telah kita
capai selama ini. Kerajaan telah berjaya membangunkan
negara, namun kekuasaan politik Melayu melalui UMNO
dilemahkan oleh persaingan dari parti-parti politik
Melayu yang lain. Hakikatnya masyarakat Malaysia dan
masyarakat Melayu sekarang sudah berubah dari segi
kualiti dan nilai hidupnya.

Tuntutan ke atas kepimpinan parti, kebebasan,
ketelusan pada masa ini dipengaruhi oleh
berbagai-bagai unsur dalaman dan luaran. Pandangan dan
pegangan masyarakat Melayu terhadap kepimpinan,
politik dan agama kini lebih kritikal dan terbuka.
Kita tidak boleh hanya bersandarkan kepada kejayaan
lampau.

Orang Melayu dewasa ini mahu jawapan kepada
persoalan-persoalan baru dan sejagat. Melainkan UMNO
dapat merapatkan jurang antara apa yang kita telah
laksanakan dengan kehendak dan kemahuan masyarakat
hari ini kita akan terus dipisahkan dan akan terpisah.
Jika UMNO dianggap tidak responsif kepada suara dan
rintihan golongan muda, profesional, kelas menengah,
pegawai kerajaan, golongan agama, mereka akan
meninggalkan kita dan kita akan ditinggalkan.

Masyarakat Melayu kini tidak lagi berpuas hati
semata-mata kepada kemajuan yang telah mereka capai
tetapi mahu turut serta dalam proses penentuan dasar
yang mempunyai kesan terhadap masa depan mereka. Kita
harus menerima hakikat bahawa mereka kini terdedah
kepada ilmu pengetahuan dan teknologi maklumat.
Pemikiran mereka dibentuk oleh maklumat, yang bukan
hanya datang dari kerajaan tetapi dari luar kerajaan.
Mereka dipengaruhi oleh persepsi lebih dari realiti.
Persepsi apabila terbentuk lebih susah untuk diubah.
Ada masanya mereka membuat ketentuan kerana maklumat
yang diberikan membentuk persepsi terhadap sesuatu
perkara, sedangkan realitinya tidak dijelaskan ataupun
tidak sampai pada mereka.

Dalam polemik beginilah UMNO berhadapan dengan
tuntutan yang amat hebat sekali kerana masyarakat
sudah menuntut perkara yang lain dari apa yang telah
dilaksanakan dengan jayanya. Soal demokrasi,
liberalisme dan pemodenan menuntut UMNO supaya membuat
perubahan agar ia bukan lagi parti yang telah berjuang
untuk mencapai kemerdekaan, tetapi parti yang kini
harus mengurus kejayaan dan masyarakatnya yang telah
berubah. Di sinilah mereka mesti dapat melihat dan
merasai bahwa UMNO masih lagi relevan dalam perjuangan
seterusnya. Kepimpinan dan cara kita menguruskan
demokrasi dan ketelusan juga dianalisis secara
terperinci. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah
supaya UMNO dilihat sebagai masih lagi memenuhi cita
rasa rakyat yang telah memberikan kuasa pemerintahan.

Walaupun kita mahukan kesinambungan dan keupayaan
dalam memerintah negara, kita juga harus menunjukkan
bahawa UMNO mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk
menjayakan aspirasi rakyat seterusnya. Rakyat tidak
mahu menerima pandangan bahawa kerajaan sahaja yang
mampu menjayakan masyarakat. Mereka mahu pandangan dan
pendapat mereka juga diambil kira. Inilah cabaran yang
perlu ditangani UMNO dengan baik dan sempurna, sejajar
dengan perkembangan semasa.

Oleh kerana itu adalah perlu bagi kita mengasaskan
kepimpinan UMNO seterusnya di atas prinsip siddiq,
amanah, tabligh dan fatanah. Prinsip ini mengandungi
dan meliputi nilai keberanian dan tanggungjawab.
Kebenaran dan kebijaksanaan akan mengukuhkan amanah
yang dituntut untuk pemimpin melaksanakan tugas dan
tanggungjawab dengan baik dan sempurna.

Sebenarnya UMNO sahajalah yang boleh menjadi asas
kepada wadah perjuangan orang Melayu yang sederhana,
bertimbang rasa dan adil. Sebab itulah kita perlu
bukan sahaja berkata mengenainya tetapi membuktikan
melalui cara dan kaedah pengamalannya.

DATUK SERI SYED HAMID ALBAR, Menteri Luar Malaysia.



--------------------------------------------------------------------------------
© 

=====
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
http://im.yahoo.com

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: counterbalance <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke