Berhijrah, berkorban untuk kejayaan

DUNIAKU DUNIAMU

DALAM ruangan ini beberapa minggu lalu, saya memperkatakan betapa pentingnya umat Islam, terutamanya generasi muda berkorban dan berhijrah bagi memperbaiki penghidupan.

Saya juga menekankan bagaimana golongan perantau berupaya membina penghidupan lebih baik, sama ada yang membabitkan dunia atau akhirat.

Untuk berjaya seseorang itu perlu berkorban termasuk meninggalkan anak isteri, kaum keluarga dan kampung halaman, hatta tanah air.

Lanjutan daripada itu, ada yang berkata, adalah mudah untuk bercakap atau membuat syor tetapi tidaklah mudah untuk seseorang itu mempraktikkan apa yang dicakapnya. Ringkasnya, cakap tidak serupa bikin.

Untuk makluman pembaca, saya hanya bekerja tetapi tidak tinggal di Kuala Lumpur. Saya tinggal di Melaka dan berulang alik di antara dua kota ini, lima hari seminggu. Ertinya, saya melakukan perjalanan lebih 300 kilometer sehari bagi mencari rezeki.

Perjalanan saya mencari rezeki bermula dengan menunggang motosikal, selepas itu menaiki bas ekspres melalui tiga negeri sebelum sampai di ibu kota, kemudian menaiki kereta api ringan (LRT) melepasi empat stesen dan akhirnya berjalan sejauh 1/2 kilometer sebelum tiba di pejabat.

Cabaran ini berat tetapi seperti kata orang, alah bisa tegal biasa. Pengorbanan ini kecil jika dibandingkan dengan mereka yang terpaksa meninggalkan tanah air dan anak isteri serta kaum keluarga bertahun-tahun lamanya kerana mencari penghidupan lebih baik.

Malah, ada yang menggadai nyawa di lautan demi rezeki kaum keluarga. Sebenarnya ada jutaan pendatang di seluruh dunia yang berusaha membaiki penghidupan di rantau orang, termasuk di negara kita.

Di Malaysia dianggarkan ada 2.1 juta pekerja asing, 1.5 juta daripadanya berada di Semenanjung.

Dianggarkan 300,000 hingga 500,000 rakyat Filipina menetap di Sabah. Menurut perangkaan, sehingga 1 Januari 1997, ada 960,164 pekerja yang sah dari segi undang-undang di negara ini.

Negara Asia Selatan menjadi penyumbang tenaga buruh yang besar di negara Asia yang pesat membangun.

Dianggarkan 440,000 pekerja India berhijrah ke negara lain setiap tahun, dari Pakistan sehingga 120,000 orang; dari Bangladesh seramai 190,000 orang dan dari Sri Lanka 130,000 orang.

Negara penyumbang tenaga buruh lain di Asia ialah Indonesia dengan 130,000 rakyatnya merantau setiap tahun manakala Filipina dengan 720,000 orang.

Rantau yang paling banyak menerima pekerja asing ialah Asia Barat yang mencatatkan lima juta orang, diikuti Malaysia (2.1 juta), Jepun (satu juta), Korea Selatan (satu juta) dan 300,000 orang masing-masing di Taiwan, Hong Kong dan Singapura. Di Hong Kong, dilaporkan ada 14,200 rakyat Malaysia di sana.

Selain itu, ada 20,500 rakyat Australia, 20,900 rakyat India, 21,500 rakyat Jepun, 21,500 rakyat Thailand, 25,900 rakyat Indonesia, 26,700 rakyat Britain, 28,200 rakyat Kanada, 32,600 rakyat Amerika Syarikat dan 128,000 rakyat Filipina.

Penghijrahan dan kejayaan Ayatollah Ruhollah Khomeini memimpin Revolusi Islam Iran boleh dijadikan contoh.

Selepas ditindas di negaranya, beliau berhijrah ke Paris dan dari sinilah beliau mengatur strategi perjuangan sehingga berjaya menumbangkan Shah Iran pada 1978.

Ertinya, berdasarkan contoh hijrah Rasulullah, seseorang yang hendak berjaya itu perlu melakukan penghijrahan dan pengorbanan.

Tiada orang yang berjaya dengan semata-mata berpeluk tubuh dan sebaik-baik pekerjaan ialah dengan melakukannya sekarang menepati kata-kata bijak pandai, seribu langkah bermula daripada langkah pertama!

Berpandukan kata-kata inilah ramai pendatang meraih kejayaan di rantau orang. Salah seorang pengembara paling masyhur dalam dunia Islam, Ibnu Batuta, mengembara beribu-ribu kilometer dari tanah airnya di utara Afrika dan berkhidmat dengan beberapa kerajaan Islam seperti di India dan Mesir.

Merantau atau berdagang di negeri orang amat digalakkan oleh Islam. Selain mencari rezeki, seseorang itu dapat membantu menyebar dan mengembangkan Islam.

Jika tidak kerana kegigihan pedagang Islam ini, kemungkinan besar rantau kita masih diselubungi kegelapan - tiada cahaya Islam. Fikirkanlah hakikat bahawa rukun Islam kelima - menunaikan haji - hanya boleh ditunaikan jika kita sanggup mengembara, meninggalkan anak isteri dan kampung halaman!



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke