|
Demi
masa depan yang cerah BANYAKKAN PROGRAM TARBIAH Oleh Sulaimin Muhsinin (Pelajar Sabah di Jordan) Ana
cukup gembira atas semangat yang ditunjukkan oleh barisan pejuang Islam di
Sabah. Sesungguhnya inilah tanda-tanda untuk kita melihat Islam akan unggul di
Sabah suatu hari nanti, insya-Allah. Sebenarnya perkara ini menjadi pendorong
kepada ana sendiri untuk lebih bersemangat dalam mengharungi kehidupan sebagai
pelajar, di samping sebagai jundullah di muka bumi
ini. Ketahuilah
bahawa tarbiah merupakan aset yang sangat penting dalam sesebuah gerakan
Islamiah. Proses pentarbiahan yang berkesan akan melahirkan jundullah yang
tabah, kental hati, sabar dalam perjuangan serta kuat
berjuang. Jika
kita melihat proses pentarbiahan yang Rasulullah s.a.w. lakukan dalam liku-liku
perjuangannya, kita dapati pentarbiahannya yang cukup berkesan dapat melahirkan
sahabat-sahabat yang sanggup menggadaikan jiwa serta harta benda untuk fi
sabilillah. Kita lihat sahaja sahabat baginda Bilal bin Rabah yang mati dihukum
oleh tuannya dengan hukuman yang cukup sengsara di kawasan lapang yang panas,
hanya mempertahankan keesaan Allah S.W.T. Kita lihat juga Abdul Rahman bin Auf,
ketika puak muhajirin berhijrah ke Madinah Abdul Rahman berkata, “Saya ada
dua orang isteri. Pilihlah yang tercantik daripada keduanya. Saya akan
talakkan dan kamu akan kahwin dengannya.” Inilah
pengorbanan sahabat Rasulullah yang lahir daripada pentarbiahan yang cukup
kuat. Kalau
kita bandingkan dengan kita hari ini, sudah semestinya sangat berbeza. Sedangkan
harta benda pun kita tak dapat menginfakkan untuk Islam, apatah lagi isteri
kesayangan seperti mana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah
s.a.w. Kita
sebenarnya tidak mementingkan sangat soal kuantiti untuk masa terdekat ini,
khususnya di Sabah, tetapi walaupun jumlah kita sedikit, apabila disertakan
dengan proses pentarbiahan yang kuat, insya-Allah yang sedikit inilah akan
melahirkan generasi pelapis yang banyak untuk masa hadapan. Oleh yang demikian
banyakkan program yang berbentuk tarbiah demi masa depan yang
cerah. Disediakan
oleh Abu Saufi, Pancarkan akhlak mulia dalam
penulisan. |
