Oleh TUAN HAJI SUBKY ABDUL LATIF
Darihal kecekapan Ling Liong Sik
SUDAH tebalnya muka dengan keterangan seorang peniaga Islam Johannesberg yang berjaya tentang karenah pelabur Malaysia di sana.
Dari serambi belakang rumah mewahnya yang tersergam, atau mahligainya yang kecil, kelihatan pandangan malam yang bergemerlapan dengan cahaya bulan penuh purnama dan lampu neon. Tidak terperi indahnya.
'Itulah tapak kasino yang hendak didirikan oleh pelabur Malaysia,' saudagar itu menunjuk ke arah kawasan yang bak kayangan itu.
'Pelabur Malaysia?' saya cuba pastikan. Saya cuba mengagak siapa dan kroni siapa.
'Ya!' jawab warga Islam Afrika Selatan itu.
Masyarakat Islam Johannesberg membantah keras, maka pelabur Malaysia yang tidak mengenal dosa itu berambus ke tempat lain dan kononnya di Afrika Selatan juga.
Tidak tebalkah muka orang Islam Malaysia di hadapan orang Islam Afrika Selatan sedang mereka sekadar kaum minoriti di sana.
Islam mana yang tidak merah muka dan tidak mendidih di dada dengan perangai rakyat Malaysia yang berdekat-dekat dengan dosa besar amalan syaitan itu? Sudahlah mereka sendiri terjerumus dengan dosa besar, lalu cuba menceroboh iman orang Islam lain dengan cadangan menegakkan kasino di kawasan mereka.
Dengan marah tadi belum reda maka saya menyebal pula dengan Lapangan Terbang KLIA yang mewah dan dikatakan terhebat itu. Pukul 6.15 pagi kapal terbang dari Johannesberg mendarat di KLIA. Seperti biasa berdahulu-dahuluanlah penumpang menuju tempat pengambilan bagasi supaya segera menemui sesiapa yang menunggu.
Tiada berapa lama tercegatlah saya di situ bersama-sama dengan penumpang lain yang ramai dari dalam dan luar negeri itu.
Alat mengeluarkan muatan yang automatik itu sudah bergerak. Beberapa saat lagi tentunya ia memuntahkan bagasi yang berbagai bentuk dan rupa. Bertumpu masing-masing menjenguk kalau-kalau beg mereka muncul.
Pegawai-pegawai kastam yang bertugas sudah sedia berdiri menunggu penumpang untuk pemeriksaan bagasi yang bercukai.
Kerana tiada muatan yang keluar, bukan sekadar penumpang penat menunggu, alat pemuntah itu juga penat lalu terhenti. Lembap, lambat dan melecehkan.
Melihat saya tercegat, seorang demi seorang kastam datang memberi salam dan berhari raya.
"Sudah lama menunggu?" seorang bertanya.
"Sudah lebih 20 minit," jawab saya.
Biasanya di lapangan terbang buruk di Subang dulu, bagasi menunggu penumpang. Penumpang terpaksa menunggu giliran melepasi pintu imigrasi. Biasanya berbaris panjang dan mengambil masa. Kali ini pun demikian.
Di lapangan terbang Subang yang buruk dan lama, bagasi menunggu penumbang, tetapi di KLIA yang mahal, mewah dan canggih, penumpang pula menunggu bagasi.
Sepatutnya lagi lama umur dunia, lagi maju kita, tetapi lagi lama Barisan Nasional dan Ling Leong Sik memerintah lagi lambat dan leceh pentadbiran di bawahnya.
Apa Liong Sik buat sebagai menteri? Hati bertanya sendirian. Begitu banyak wang negara dicurahkan dengan projek itu dan begitu banyak hutang yang rakyat perlu jelaskan, tetapi alat automatik memuntahkan bagasi tidak juga muntah-muntah.
Akhirnya muncullah juga bagasi-bagasi itu. Berapa lamalah dapat ia mendera kami? Bagasi kami tetap dapat dipungut kerana ia bagasi kami.
Ketika beg dan ole-ole dipungut jam sudah pukul 7.20 pagi. Satu jam baru barang tiba? Bayangkan resahnya jika ada yang menunggu di luar balai ketibaan.
Dulu kita tidak perlu menunggu masa, tetapi kini terpaksa membuang masa. Oh Liong Sik! Apa anda buat?
Selalukah begini? 'Hari-hari begini,' seorang petugas KLIA berkata. Kalau begini baik balik ke Subang saja. Tetapi hendak jadi apa dengan KLIA?
Saya tergambarkan menteri yang macam MIC tetapi sebenarnya Umno, iaitu Dato' Kadir Syikh Fadzir yang bersemangat menggalakkan pelancongan. Apakah ini menarik dan menyeronokkan pelancong?
Yang ramai bersama saya tadi orang putih. Apalah kata mereka dengan negeri dan kerajaan Kadir Syikh Fadzir ini?
Saya dibagi tahu begitulah hari-hari. Bukan salah mesin dan alaf baru. Tetapi pentadbiran KLIA. Kerana kelemahan manusia. Kononnya petugas-petugas sekarang adalah orang asing khususnya Bangladesh. Imigresyen pula tegas, Mereka terus memburu siapa yang tidak membaharui permit. Setengahnya ditangkap dan setengahnya dihambat balik. KLIA mungkin senang dengan buruh asing.
KLIA kadang-kadang tidak peka.
Jika KLIA tidak peka, maka Liong Siklah yang tidak peka.
Ketika dalam penerbangan ke Afrika Selatan seminggu sebelum ini, tekun saya mendengar pengumuman anak-anak kapal. Lama sudah negara merdeka. Sudah lama bahasa Malaysia dikumandangkan.
Aneh kali ini. Pramugari bertutur dalam tiga bahasa - Inggeris, Manderin dan Bahasa Malaysia. Tidak ada apa-apa yang dipelikkan dengan penjelasan dalam bahasa Inggeris. Dunia begitu dan tidak siapa membantah.
Yang menarik dengan MAS, pesawat rasmi Malaysia ini ialah kadang-kadang pengumuman dalam bahasa Inggeris dan Manderin saja. Ke mana Bahasa Rasmi negara?
Bahasa Malaysia boleh mis, bahasa Mandrin tidak mis!
Mungkin ramai penumpang Cina, tetapi yang pasti lebih ramai penumpang hendak ke Buenos Aires. Tidak salah Mandrin digunakan, tetapi apa jadi dengan bahasa rasmi?
Jika bahasa rasmi digunakan mungkin tidak memahamkan semua orang. Tetapi fahamkah orang Latin Amerika itu dengan Mandarin?
Di pesawat itu ada wayang. Ada yang disari katakan dengan Mandarin. Ia tidak salah. Tetapi mengapa sebelum merdeka itu tidak berbangkit semua ini. Sama ada penumpang Melayu tahu Inggeris atau tidak tahu, penumbang kena dengar bahasa Inggeris yang mereka tidak faham. Cina juga begitu. Mereka faham atau tidak, mereka kena dengar Inggeris mereka tidak tahu apa-apa.
Sekarang kebanggaan merdeka antaranya ialah dengan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya. Bahasa rasmi itu satu. Bahasa tidak rasmi itu banyak. Bahasa tidak rasmi itu tidak salah. Tetapi melecehkan bahasa rasmi itu hina. Ia tidak derhaka. Ia tidak jenayah. Tetapi ia hina.
Ketika baru merdeka, ramai rakyat tidak faham bahasa rasmi. Penumpang bukan Melayu yang tidak faham penjelasan bahasa Melayu dan Inggeris tidak bising bila mereka tidak tahu apa yang diberi tahu. Lebih 40 tahun merdeka, sekalian yang belum tua dan nyanyuk tahu bahasa rasmi dan yang tidak faham bahasa rasmi sebelum merdeka kebanyakannya telah mati.
Yang lahir kemudian dari merdeka semua bahasa rasmi sendiri.
Gerangan apa bertambah lama merdeka, maka bertambah banyak bahasa yang digunakan dalam kapal terbang kita dan urusan rasmi?
Adakah merdeka juga macam manusia. Bertambah tua manusia bertambah nyanyuknya. Maka bertambah lama merdeka, bertambah nyanyuk juga merdeka itu? Manusia bukan keladi, bertambah tua bertambah gatal.
Adakah kekeliruan dalam perkara seperti ini suatu hasutan? Atau suatu contoh pelampau? Atau berfikiran sempit? Atau dorongan perkauman?
Atau adakah ia melambangkan perjuangan MCA untuk memalukan perjungan Umno yang tidak diketahui apakah perjuangan sebenarnya? Sudahlah Umno itu hanyut dan pentadbiran Liong Sik tidak membantu mereka pada kaca mata orang Melayu.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.
