PELABURAN MESTI BERI FAEDAH KEPADA RAKYAT - HADI

 

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) -- Kerajaan PAS Terengganu sedia menerima kemasukan pelabur ke negeri ini asalkan ia mampu meningkatkan ekonomi dan memberi faedah kepada rakyat.

Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata perkara itu penting kerana rakyat Terengganu perlu diberi keutamaan dalam pengisian pembangunan yang dilaksanakan oleh para pelabur di negeri itu.

"Kita mahu pelaburan itu boleh membawa bersama pemindahan teknologi kepada negeri ini dengan mendedahkan rakyat kepada kemahiran dalam bidang-bidang tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Suruhanjaya Perdagangan Itali, Dr Massimiliano P Sponzilli di pejabatnya di sini petang semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri, Mustaffa Ali.

Abdul Hadi berkata kerajaan negeri akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan ekonomi dengan menyed! iakan kemudahan kepada para pelabur bagi merancakkan aktiviti ekonomi di Terengganu.

Beliau berkata selain petroleum, Terengganu juga mempunyai banyak hasil bumi lain seperti emas, marmar dan kayu balak yang boleh diusahakan secara komersil untuk pelbagai keperluan.

Terengganu menyambut baik kedatangan para pelabur yang berminat untuk menceburi bidang-bidang berkenaan kerana ia berpotensi besar.

Abdul Hadi berkata kerajaan PAS Terengganu juga bersedia menjadi pengeksport kayu bergergaji ke Itali bagi kegunaan industri pembuatan perabot di sana.

"Kita mempunyai banyak hasil kayu gergaji dan jika dieksport secara terus ia dapat dijual dengan harga yang lebih murah di negara berkenaan," katanya.

Terengganu dikatakan di antara negeri yang paling banyak mengeksport kayu bergergaji ke Itali setiap tahun untuk kegunaan industri pembuatan perabot.

-- BERNAMA


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke