THURSDAY- Mac 2, 2000

"Tukarlah diri sebelum ditukarkan"
Fathi Aris Omar

11am, KHA: Kalaulah bukan kerana beliau seorang bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Musa Hitam, mungkin dilihat sebagai seorang pengkritik parti itu atau lebih buruk lagi, ahli politik pembangkang.

Dalam ucapannya di Johor Bahru dua minggu lalu, ketika merasmikan mesyuarat tahunan cawangan-cawangan parti itu secara 'berkelompok', Musa meluahkan apa sahaja yang terbuku di hatinya.

Musa mengingatkan ahli Umno bahawa serangan yang "terlampau sangat" kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, boleh merugikan parti itu sendiri, sambil berpesan bahawa strategi yang sama sekiranya digunakan untuk menekan musuh politik - Musa maksudkan Tengku Razaleigh Hamzah - menjelang pemilihan pada Mei ini akan membawa akibat yang sama.

"Kuasa sememangnya mengkhayalkan. Selagi bertambahnya seseorang manusia itu dengan kuasa, selagi itu jugalah pula dia bertambah tamakkan kuasa itu," kata Musa sambil berfalsafah kepada ahli-ahli cawangan parti itu yang sudah hilang idealisme dan ideologi.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut sebarang nama, namun dipercayai Musa menyindir seseorang yang dilihat terlalu berkuasa dalam Umno.

Dalam ucapan setebal 11 halaman itu, Musa menggariskan beberapa isu yang membawa kesan sangat negatif kepada Umno dalam pilihan raya November lalu iaitu: Anwar Ibrahim, rasuah, kronisme dan nepotisme, agama, kelemahan Umno, konsep setia yang bercelaru dan akhirnya, perlembagaan parti.

Musa memang pandai menyusun ideanya dan pintar pula mengungkapkan kata-katanya.

"Dalam jangka masa satu dekad yang lepas, saya nampak Umno telah berubah corak. Mesyuarat-mesyuarat agong tahunannya, di peringkat bahagian, negeri, mahupun di peringkat nasional, semuanya tersusun dan disusun rapi, begitu rapi hinggakan kita telah terpesong daripada tujuan asalnya," kritik Musa mengenai kehilangan keberanian perwakilan untuk menegur pemimpin, sebaliknya mesyuarat dijadikan tempat menjaga kepentingan peribadi dan puak sendiri.

Dalam ucapan yang sama, Musa menjelaskan empat alasan ringkas mengapa beliau "ingin benar melihat" Datuk Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, alasan keempat yang "sangat-sangat simple" yang diberikan oleh Musa memaksa ahli Umno berfikir beberapa kali. Katanya, "saya tidak mahu melihat negara kita menampung seorang lagi bekas Timbalan Perdana Menteri (keempat)."

"Rakyatpun nanti bosan dan putus harapan." Sebagai timbalan pertama yang menerima padah, jelas di sini Musa menyindir Mahathir.

Musa juga membuat kenyataan ini: "Kalau boleh [pencalonan sebanyak] 30 peratus, [Ku Li] akan menandingi Mahathir. Kepada saya, tidak ada salahnya [pertandingan antara dua tokoh itu]."

"Apa yang terkandung dalam ucapan saya pada hari ini sememangnya provokatif. Ia agak keras, terus terang dan jelas," kata Musa sebelum mengakhiri ucapan sarat dengan analisis, sindiran dan teka-teki.

Ayat terakhir Musa? "Seruan saya ialah 'pulihkan Umno baik-baik' dan 'tukarlah diri sendiri sebelum ditukarkan'."

RIGHTARROW.gif (70 bytes)Teks penuh ucapan Musa Hitam (Bahagian 1)



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM

Do You Yahoo!?
Talk to your friends online with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke