*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Ucapan Perbahasan Belanjawan 2000 oleh YAB
Tuanguru Hj. Abdul Hadi Awang di Parlimen pada
29/2/2000
Tuan Haji Abdul Hadi bin Haji Awang [Marang]:
(11.19 pagi : 29/2/2000)
Assalamualaikum warakhmatullahi wabarakatukh.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang
Berhormat.
Bagi menyertai perbincangan perbahasan tentang Belanjawan
2000, saya ingin mengajak Dewan ini supaya mengambil
iktibar dari pilihan raya yang ke-10, supaya semua pihak
sedar dan insaf betapa rakyat menjadi hakim untuk
menghukum kerajaan. Media Massa yang diperalatkan oleh
Barisan Nasional untuk siaran khusus untuk Pantai Timur
sangat menguntungkan Barisan Alternatif sehingga rakyat
dapat menilai kebenaran. Barisan Nasional disapu hampir licin
di dua negeri, Pantai Timur � Kelantan dan Terengganu. Di
mana Kelantan dapat dipertahankan dan Terengganu pula
dapat ditawan. Kerusi Parlimennya tinggal Gua Musang
sahaja yang sangat pedalaman dan kurang mendapat siaran
RTM dan TV3.
Media massa yang diperalatkan untuk satu pihak tidak dapat
menghalang kesedaran rakyat Pantai Timur bagi memilih
Barisan Alternatif. Apa yang mendukacitakan ialah media
massa, RTM yang dibiayai dengan duit rakyat telah
disalahgunakan dalam masa Pilihan Raya Umum,
disalahgunakan oleh parti yang pernah memerintah.
Sepatutnya di musim pilihan raya parti yang memerintah itu
tidak lagi menjadi kerajaan. Kerajaannya adalah kerajaan
sementara pimpinan yang tidak berparti, walaupun orang
yang mengetuai kerajaan dari kalangan pemimpin parti
menjadi amalan dalam negara Demokrasi Berparlimen di
seluruh dunia.
Demokrasi secara adil dan jujur di mana alat-alat kerajaan
tidak digunakan untuk kepentingan parti yang tertentu. Hal
ini tidak berlaku dalam negara kita, kita mengharapkan supaya
amalan yang seperti ini hendaklah dihapuskan. Insya-Allah,
kita akan mencuba dalam pilihan raya kecil yang akan
diadakan di Pahang. Adakah amalan yang sama akan berlaku
lagi, kita tunggu dan lihat. Mudah-mudahan, perubahan sikap
rakyat terutama golongan orang-orang Melayu dalam pilihan
raya yang lalu menyedarkan kepimpinan negara Barisan
Nasional bahawa wang yang diperuntukkan melalui
Belanjawan 2000 dalam pembentangannya yang pertama
tidak memberi kesan dari segi politik dan kita perlu menyedari
bahawa yang dipentingkan dalam Belanjawan bukan sahaja
kewangannya yang cukup tetapi ialah manusia yang
mengendalikannya, yang melaksanakannya. Oleh kerana itu,
maka pembangunan manusia merupakan satu aspek yang
paling penting yang perlu diberi penekanan dan tidak diberi
penekanan yang lebih dalam Belanjawan yang dikemukakan.
Saya pernah menyebut contoh, dalam sidang Parlimen
penggal yang lalu bagaimana Al-Quranul Karim telah
menyebut satu sejarah umat yang dianggap paling ramai
kalangan cerdik pandai iaitu umat Bani Israel. Apabila mereka
dipengaruhi oleh politik kebendaan, politik wang, mereka
mengabaikan kewajipan pembangunan manusia, di mana
kewangan yang banyak tidak boleh menyelamatkan umat dan
negara Bani Israel. Kisah ini berlaku apabila Bani Israel yang
pernah dijajah sebelum Masihi oleh bala tentera
Bakhtanusarian datang dari Timur, lalu pemimpin-pemimpin
masyarakat Bani Israel meminta kepada Rasul yang ada di
zaman itu supaya bermohon kepada Allah melantik seorang
raja yang memimpin mereka untuk memperjuangkan
kemerdekaan dan mengembalikan kedaulatan bangsa Bani
Israel.
Tuhan berfirman, [Membaca sepotong ayat suci Al-Quran]
Surah Al-Baqarah, yang bermaksud,
�Dan berkatalah kepada mereka yakni kepada
Bani Israel oleh Rasul mereka di zaman itu, Allah
telah memilih kepada kamu seorang yang bernama
Taulun menjadi raja yang memimpin kamu�.
Mereka menjawab, �Bagaimana dia boleh menjadi
pemimpin kami kerana dia tidak mempunyai harta,
tidak mempunyai wang, tidak mempunyai duit
yang banyak�. Lalu Rasul mereka menjawab,
�Allah memilih dia menjadi pemimpin kamu kerana
dia seorang yang berilmu dan dia seorang yang
gagah perkasa, yang mempunyai kemampuan�.
Menunjukkan bahawa wang sahaja tidak cukup bagi membina
negara. Mestilah kepimpinan yang berilmu, kalangan ahli ilmu,
mereka yang bermoral dan berakhlak mulia yang tinggi. Kita
melihat banyak bangsa yang bertamadun yang ditamatkan
riwayatnya di Rome, di Parsi, China, India dan lain-lain.
Kehancuran berlaku di puncak mereka mencapai kekayaan,
kemewahan. Ianya bermula daripada pengabaian dalam ilmu,
keruntuhan dalam akhlak. Oleh kerana itu, usaha dalam
membangun manusia hendaklah dilakukan dengan cara yang
bersungguh-sungguh. Kita memberi perhatian dalam perkara
membangun manusia ini sehingga Kementerian Pelajaran
dinamakan Kementerian Pendidikan. Kita pakai perkataan
�pendidikan� menunjukkan bahawa bukan sahaja pendekatan
untuk memberi ilmu sekadar tahu sahaja dalam segala bidang
tetapi mempunyai ahli ilmu yang dididik, yang dibentuk
jiwanya untuk menjalankan tugas dan kewajipan kepada
negara dengan cara yang sebaik-baiknya.
Bukan sahaja kita perlu mempelajari daripada sejarah Islam.
Kita juga perlu mempelajari daripada sejarah moden. Bangsa
Jepun yang jahanam, ranap kerana kalah Perang Dunia yang
kedua. Begitu juga Jerman, dengan kehancuran yang begitu
dahsyat, mereka pulih menjadi gergasi ekonomi dan politik
dunia. Walaupun mereka dikepung dari segi ekonomi dan
politik, ini adalah kerana keperibadian yang tinggi yang
berjaya ditanam melalui sistem pelajaran dan pendidikan.
Kita melihat ketika negara ini berada dalam sedikit
kesenangan, sudah kelihatan gejala-gejala yang tidak sihat.
Contohnya, penekanan komersial dalam aspek pendidikan.
Kerajaan mengelakkan diri daripada mengorbankan
perbelanjaan dalam pendidikan melalui pengkorporatan dalam
pendidikan - pengkorportan universiti, pusat-pusat pengajian
tinggi. Belanjawan yang dikemukakan dengan memberi
peruntukan kepada pendidikan sebagai modal berniaga
dengan ilmu. Para pelajar dibebankan dengan perbelanjaan,
melalui pinjaman yang membebankan hutang secara riba yang
perlu dibayar selepas tamat pengajian dalam jangka
bertahun-tahun lamanya. Dalam aspek yang lain, bukan
semua mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat
pinjaman menyebabkan sudah tentu ramai juga di kalangan
mereka yang berpendapatan rendah yang tercicir untuk
menyambungkan pelajaran. Pihak korporat yang berniaga ilmu
lebih menumpukan untuk mendapatkan keuntungan yang lebih
semata-mata.
Di zaman kegemilangan Islam, pihak swasta menjadikan
pendidikan sebagai kewajipan terhadap masyarakat. Mereka
menubuhkan pusat-pusat pengajian sebagai aspek kebajikan.
Contohnya, Universiti Al-Azhar yang ditubuhkan di Mesir, di
Egypt lebih seribu tahun yang lalu. Walaupun masyarakat
mengetahui ianya dalam bidang agama tetapi di Al-Azhar
termasuk juga pengajian- pengajian yang lain, perubatan dan
lain-lain. Universiti ini ditubuhkan lebih daripada seribu tahun
bergantung dengan harta wakaf, sumbangan daripada
hartawan-hartawan, daripada jutawan-jutawan, bahkan ada
harta wakaf di Eropah yang disalurkan keuntungannya kepada
Universiti Al-Azhar di mana universiti ini bukan sahaja
menyediakan pelajaran percuma kepada pelajar-pelajar
daripada seluruh dunia Islam, bahkan mampu menyediakan
biasiswa yang banyak. Kewangannya seperti satu negara, ini
adalah hasil daripada penglibatan kalangan harta di dalam
pendidikan.
Universiti Diuvan di India, Universiti Aligar di India yang
menjadi pusat ilmu kepada umat Islam dalam segala bidang.
Walaupun, umat Islam di India merupakan golongan minoriti
tetapi mereka dalam keadaan yang baik dalam bidang
pelajaran, dalam bidang ekonomi. Pusat pengajian ini
disumbangkan oleh kalangan-kalangan korporat, mereka tidak
berniaga dengan ilmu, mereka berniaga dalam aspek yang
lain, industri, pertanian dan lain-lain. Keuntungan yang lebih
daripada keluarga dan lain-lain untuk kesenangan bagi mereka
digunakan dalam bidang pendidikan, bahkan terdapat di
kalangan negara- negara Barat di Amerika,ditubuhkan
universiti swasta bukan tujuan untuk perniagaan tetapi untuk
satu pusat pengajian yang bebas daripada pengaruh politik
kerajaan yang memerintah supaya melahirkan para cerdik
pandai yang mempunyai pendirian yang tersendiri, yang tidak
terpengaruh dengan mana-mana pihak.
Sepatutnya, kita mengambil pengajaran daripada perkara ini.
Perkara yang seperti ini hendaklah dihidupkan dalam negara
kita, hendaklah digalakkan untuk meringankan bebanan
kerajaan mengeluarkan belanja dalam pendidikan. Di samping
kerajaan sendiri sepatutnya hendaklah memberi pengorbanan
dalam pendidikan ini. Jangan berniat ataupun bernawaitu
mengadakan universiti untuk mendapat pulangan kewangan
tetapi untuk mendapat pulangan kalangan-kalangan yang
berilmu dalam segala bidang, yang menjadi aset yang penting
kepada negara sekarang dan masa depan. Inilah yang
sepatutnya diberi penekanan.
Tuan Yang di-Pertua, kita melihat dalam kesungguhan
kerajaan menarik pelabur-pelabur asing sebagai contoh,
dengan menyediakan infrastruktur bagi kemudahan industri.
Apa yang berlaku pelabur-pelabur ini datang membuka industri
yang besar-besar. Yang sangat mendukacitakan kita ialah
tidak berlaku pemindahan teknologi kepada anak-anak negeri
ini sendiri, pemindahan teknologi kepada rakyat tempatan
tidak berlaku dengan cara yang sepatutnya, bukan tidak ada
langsung dengan cara yang sepatutnya.
Apa yang berlaku ialah mereka mahu menjadikan negeri kita
sebagai pengkalan untuk industri-industri mereka, untuk
mengaut keuntungan bukan sahaja tidak memindahkan
teknologi kepada penduduk tempatan yang juga mempunyai
kepakaran, bukan tidak ada, tidak boleh dipakarkan, yang
malangnya mereka juga mengambil pekerja-pekerja asing
dengan tujuan untuk membayar upah yang murah, untuk
mendapat keuntungan.
Pekerja-pekerja asing ini bukan sahaja menjadi satu cabaran
yang merugikan kepada penduduk tempatan, bahkan kita
melihat implikasi yang berkait dengan sosial, yang berkait
dengan akhlak, yang berkait dengan jenayah dan sebagainya
yang menjadi beban kepada negara. Oleh kerana itu, suatu
langkah yang serius hendaklah dilakukan oleh pihak kerajaan
bagi mengatasi kelemahan-kelemahan ini.
Seterusnya saya ingin menarik perhatian dalam pembangunan
manusia juga, yang berkait dengan kepimpinan negara, bukan
sahaja yang ada sekarang, bahkan dari segi kepimpinan
negara pada masa yang akan datang. Beberapa masa yang
terdekat, kita hebat membincangkan masalah politik wang,
negara kita dilanda oleh politik wang dan ini diakui oleh semua
pihak. Politik wang berlaku dalam masa pilihan raya umum
dan berlaku dalam pemilihan parti. Kita tidak boleh
memandang ringan politik wang ini, bukan sahaja kerajaan
bahkan pembangkang sama-sama bertanggungjawab kerana
sebarang perkara yang negatif yang menimpa negara,
kesannya akan menimpa kita semua tidak kira sama ada yang
menyokong kerajaan ataupun yang menyokong pembangkang.
Negara yang dilahirkan melalui politik wang menanamkan
benih-benih perkara yang tidak baik seperti rasuah dan
lain-lain yang melibatkan kalangan politik. Kita tidak boleh
membebankan perkara ini kepada kakitangan kerajaan sahaja,
kalangan politik hendaklah menjadi contoh yang pertama dan
yang utama dalam menghindarkan perkara rasuah. Islam
menyatakan [Membaca sepotong hadis] �Rakyat mengikut
agama pemimpin-pemimpin mereka�, kalau pemimpinnya
kencing berdiri, maka rakyatnya kencing berlari. Kalau
pemimpinnya naik dengan politik wang, bagaimana kita mahu
orang-orang yang di bawah boleh membersihkan diri daripada
rasuah.
Bukan sahaja kita perlu mengadakan undang-undang yang
tegas di dalam membanteraskan politik wang tetapi hendaklah
jujur dan ikhlas supaya undang-undang ini dilaksanakan
dengan cara yang sebenarnya. Jangan jadi undang-undang
�sarang labah-labah�, hanya nyamuk, lalat yang kecil sahaja
yang melekat, burung-burung yang besar boleh
menembusinya dengan mudah dan senang. Dalam
menegakkan kebenaran dan keadilan, kita perlu bukan sahaja
menjadi contoh yang baik di peringkat nasional. Contoh yang
baik juga ialah di peringkat international.
Saya ingin menarik perhatian dalam dasar luar negeri kita.
Hendaklah kita mempunyai pendirian yang tersendiri di dalam
menegakkan keadilan dan kebenaran. Sebagai contoh kita
melihat banyak negara termasuk negara kita sendiri
teragak-agak dalam menangani isu kekejaman, kezaliman,
pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di Chechnya,
sebuah wilayah yang didiami oleh umat Islam berlakunya
double standard oleh masyarakat antarabangsa, kita melihat
mereka begitu serius. Dalam menangani masalah Timor-Timur
Indonesia ditekan dengan begitu rupa supaya membebaskan
Timor-Timur. Kita menghormati pungutan suara yang
diadakan. Tetapi mengapa Indonesia sahaja yang diminta
supaya mematuhi keputusan majoriti rakyat tidak berlaku di
Chechnya, tidak berlaku di Kashmir, tidak berlaku di Palestin.
Ini menunjukkan ketidakadilan berlaku dalam politik
antarabangsa. Wilayah Cocos adalah wilayah didiami oleh
majoriti umat Islam sejak berabad-abad lamanya. Mereka
hendaklah diberi hak untuk membebaskan diri mereka sendiri
sebagaimana negara-negara lain. Apa yang berlaku
keputusan rakyat Chechnya tidak dihormati. Pembunuhan
dan kekejaman dilakukan dengan begitu rupa. Saya
mengharapkan supaya pihak kerajaan kita hendaklah
menggunakan pengaruhnya melalui OIC, melalui pertubuhan
negara-negara berkecuali dan melalui pertubuhan-pertubuhan
antarabangsa supaya memberi perhatian kepada kaum yang
tertindas yang dianiaya di Chechnya sekarang yang menjadi
mangsa pembunuhan. Satu tindakan oleh masyarakat
antarabangsa dengan cara yang seadil-adilnya hendaklah
dilakukan.
Begitu juga keadaan yang berlaku di Kashmir. Walaupun
sudah ada keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa
Bersatu tahun 1948, tetapi keputusan ini tidak dihormati.
Rakyat Kashmir tidak diberi hak untuk menentukan nasib
mereka sendiri sebagaimana yang diberi kepada Timor-Timur
yang berlaku lebih mutakhir daripada itu. Kita hendaklah
mempunyai sikap yang betul di dalam pergolakan politik
antarabangsa supaya kewangan yang kita peruntukkan
kepada semua kementerian digunakan dengan cara yang
sebetul-betulnya. Saya rasa itulah beberapa pandangan
yang dapat saya kemukakan mudah-mudahan menjadi
perhatian Dewan yang mulia ini.
Sekian, terima kasih.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>