*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
http://www.parti-pas.org
Ucapan Perbahasan Belanjawan 2000 oleh YB Hj.
Mohammad Sabu di Parlimen pada 29/2/2000
17.11 ptg.
Tuan Mohamad bin Sabu [Kuala Kedah]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahirrahmanirrahim.
Ketika Rancangan Malaysia Ketujuh dibentangkan pada 1996
yang lalu ketika itu ekonomi negara berada di tahap yang
membanggakan di mana perkembangan ekonomi di sekitar 8%.
Waktu itu diberitahu bahawa ekuiti bumiputera telah merosot
daripada 19.5% kepada 18% . Itu ketika kemuncak ekonomi di
mana Malaysia digelar sebagai negeri �Harimau Asia Timur�.
Rupa-rupanya harimau itu hanyalah harimau kertas. Tahun
1997-2000 kemelesetan ekonomi berlaku. Banyak
konglomerat-konglomerat bumiputera gulung tikar.
Korporat-korporat jadi miskin. Kalau dulunya korporat-korporat
Melayu ketika di puncak kemewahan bercakap bahasa Malaysia
pun tidak terus. Kalau dia minum di Grand Continental, Grand
Con. Semalam I ada dinner kat Pan Pac. Baju I ini ori beli kat
London. Itu di zaman kemajuan ekonomi bumiputera dan
korporat-korporat ini menikmati keadaan ekonomi itu begitu
hebat sekali. Kemerosotan ekonomi itu begitu hebat sekali.
Kemerosotan ekonomi tahun 1997 sehingga sekarang
menyebabkan ramai yang gulung tikar, yang bankrup sehingga
kerajaan terpaksa menubuhkan Danaharta untuk membantu
syarikat-syarikat yang berada di dalam keadaan nazak, NPL �
Non Performing Loan. Kemudian dalam keadaan begitu sudah
tentulah penguasaan bumiputera dalam ekuiti ekonomi di
Malaysia ini terus menurun sebab ketika tahun 1996 berada di
kemuncak kemajuan ekonomi, peratus ekuiti bumiputera sudah
mula menurun. Bila berlaku kemelesetan ekonomi di mana
syarikat-syarikat bumiputera kebanyakkannya dibantu oleh
kerajaan ataupun disokong oleh kerajaan mengalami kegagalan
dalam perniagaan mereka, saya yakin ekuiti bumiputera terus
menurun.
Kemudian selepas itu kita lihat pula Kelantan, Terengganu
diperintah oleh pembangkang. Kelantan bermula pada tahun
1990 dan Terengganu 1999. Kelantan, Terengganu kita tahu
lebih 95% adalah kaum bumiputera. Orang-orang Tionghua di
sana tidaklah kaya sangat. Tetapi 95% adalah bumiputera.
Lebih dua juta bumiputera daripada lebih kurang 14 juta ataupun
13 juta bumiputera dalam negara kita ini berada di Kelantan dan
di Terengganu. Jikalau pihak Kerajaan Pusat terus menganaktiri
Kelantan dan Terengganu maka saya yakin ekuiti bumiputera
akan terus menurun lagi.
Angka sebenar keadaan ekuiti bumiputera sekarang tidak
diterangkan kepada kita. Kalau di tahun 1996 berada di tahap
18% menurun 1.5% berlaku kemelesetan ekonomi yang dahsyat
1997-1999 bankrupnya syarikat-syarikat bumiputera begitu
banyak. Kalau ada diskriminasi terhadap negeri yang
bumiputeranya ramai - Kelantan dan Terengganu maka saya
yakin bahawa ekuiti bumiputera di Malaysia sekarang ini berada
di tahap yang mencemaskan.
Tuan Yang di-Pertua, tambahan pula kalau berlaku penangguhan
projek-projek yang telah dirancangkan tetapi kerana pihak
Barisan Nasional kalah kemungkinan projek-projek itu
ditangguhkan. Misalnya telah diluluskan pembinaan jalan antara
Bukit Raja dengan Gua Musang tetapi sampai sekarang tidak lagi
menjadi kenyataan. Kenapa ditangguhkan, adakah kerana politik
ataupun tidak cukup wang?. Begitulah juga pembesaran airport
di Pengkalan Chepa. Nampaknya juga sekarang ini seolah-olah
ditangguhkan. Pembesaran airport Kuala Terengganu yang telah
diumumkan dalam Parlimen ini�
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Ya, Rompin berdiri Yang Berhormat.
Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
Terima kasih Yang Berhormat. Saya amat bangga, seronok
benarlah dengan ucapan Yang Berhormat pada hari ini bahawa
PAS juga memperjuangkan hak orang Melayu. Alhamdulillah.
Kalau dulu dituduh belah sini, kami ini �perjuangan� hanya bangsa
sahaja tinggalkan agama. Nampaknya PAS pun berubah macam
kita juga ini. Dulu dia tuduh kita telah perjuangkan orang
Melayu, Assabiah. Tetapi ini �perjuangkan� untuk orang Melayu
juga. Syabas Yang Berhormat. Saya seronok. Tetapi saya
hendak bertanya sedikit. Adakah pertanggungjawaban untuk
membela orang Melayu ini hanya diletakkan semata-mata di
tangan Kerajaan Federal sahaja. Mengapa tidak kerajaan negeri
juga Yang Berhormat. Sebab saya merasakan kerajaan negeri
ada tanah di bawah dia, air di bawah dia, banyak khazanah
negara kita, aset negara kita di bawah kerajaan negeri.
Semalam ada kenyataan oleh Menteri Besar Kelantan dia
tentang akaun kerajaan negeri, SCDC negeri yang tidak bergerak
dengan baik. Atau rugi tidak saya tidak baca lagi. Tetapi
bergeraknya tidak baik. Itu salah satu lagi syarikat di bawah
kerajaan negeri yang boleh digemblengkan untuk membela masa
depan orang Melayu. Kita tahu. Saya bersetuju Yang
Berhormat. Kemelesetan ekonomi ini ada kemungkinan membawa
kepada penyertaan ekuiti bumiputera jatuh. Tetapi kerajaan
negeri juga bertanggungjawab juga bersama dengan Federal
untuk sama-sama membela isu tentang bumiputera ini. Saya
minta sedikit pandangan Yang Berhormat tentang perkara ini.
Tuan Mohamad bin Sabu:
Terima kasih, terima kasih. Terima kasih memang kerajaan
negeri ada tanggungjawabnya tetapi sebahagian besar cukai
dipungut oleh Kerajaan Pusat termasuklah cukai pendapatan,
road tax dan sebagainya. Jadi kerajaan negeri itu banyak mana
sangat pendapatannya. Saya ingat Rompin tahu tetapi
saja-saja hendak usik.
Tuan Yang di-Pertua, begitulah juga barangkali akan
ditangguhkan pembesaran lapangan terbang di Kuala
Terengganu kerana negeri itu jatuh kepada pembangkang dan
juga pembinaan jambatan daripada Tendung ke Wakaf Che Yeh
yang diperjuangkan begitu hebat sebelum pilihan raya oleh
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dulu dan apakah
semua ini tertangguh dengan kemenangan pembangkang di dua
negeri tersebut. Kalau projek-projek ini tertangguh dengan
kemerosotan ekonomi dan sebagainya maka insfrastruktur tidak
berlaku di dua negeri tersebut dengan lebih hebat, kita bimbang
ekuiti bumiputera akan terus menurun maka bila kita lihat ekuiti
bumiputera terus menurun pada masa yang akan datang tidak
lainlah yang akan kita salahkan kepada pemerintah yang diterajui
oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Dato� Yang di-Pertua, begitulah sekarang ini kita lihat ketika
ekuiti yang menurun saya yakin, kemudian pula biasiswa sudah
begitu kurang dan orang-orang luar bandar begitu susah
sekarang ini untuk menyarai anak-anak mereka dalam bidang
pendidikan. Ini lagi satu bebanan yang dikenakan kepada
orang-orang luar bandar khasnya.
Begitulah juga kita lihat mutakhir ini, dalam penyusunan semula
bank rungutan begitu nyata kepada para peniaga, iaitu mereka
susah mendapat pinjaman sekarang ini. Bank Bumiputra yang
ditubuhkan di atas semangat kongres bumiputera untuk
memberi pinjaman kepada bumiputera untuk berniaga. Kita
memang kesal di atas penyelewengan yang berlaku dalam Bank
Bumi, sama ada kes BMF dan lain-lain kes yang menyebabkan
kerajaan terpaksa menyuntik lebih daripada RM4.6 bilion untuk
menyelamatkan Bank Bumi. Itu adalah penyelewengan yang
dilakukan, tetapi konsep penubuhan Bank Bumi itu jangan lari
daripada dasar kongres ekonomi bumiputera yang kita lihat
sekarang ini Bank Bumi apabila ditelan oleh Commerce Bank, kita
lihat dasarnya mula lari.
Penyelewengan dilakukan oleh orang-orang atas tetapi yang
menjadi mangsa para peniaga tulen yang susah untuk mendapat
pinjaman sekarang ini. Yang Berhormat bagi Rompin pun tidak
bela peniaga-peniaga sekarang ini, sebab itu UMNO tak
sokong.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Yang Berhormat bagi Rompin bangun, sila dia beri.
Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
Terima kasih, saya Yang Berhormat tuduh di dalam Dewan, saya
tak ada masalah, tetapi jangan tuduh di luar Dewan, sebab tak
ada masa, peluang saya hendak menjawabnya. Saya bersetuju
kita patut bela semua, yang susah orang Melayu, yang susah
bukan Melayu pun perlu dibela pun kita bela, tak ada masalah.
DAP dengar Setiausaha Agong dia tapi ada orang kompelin
juga mengapa Setiausaha Agong bagi orang baru, kenapa tak
beri pada Yang Berhormat bagi Kepong. Ada juga dalam DAP kita
dengar cerita. [Ketawa]. Persoalan yang saya tanya, adakah
Yang Berhormat� [Disampuk] Ehh! rasa pedaskah, makan cili?
Puan Teresa Kok Suh Sim: [Menyampuk]
Beberapa Ahli: Bangunlah.
Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
[Ketawa] Terasa itu saya Yang Berhormat sebut saya, saya
senyum sahaja, saya tak jawab. Kita biasalah, masa saya
bangun, saya sentuh, Yang Berhormat bangun Yang Berhormat
sentuh, ini biasalah dalam Parlimenkan.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Teruskan Yang Berhormat, ya.
Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
Saya hendak tanya, adakah Yang Berhormat ketahui bahawa
gabungan dua bank itu masih diketuai oleh kerajaan, pemegang
saham yang terbesar. Bermakna kalau�., saya tidak menuduh
sebab Yang Berhormat tak ada mengata, adakah Yang
Berhormat sedar bahawa walaupun digabungkan keduanya,,
tetapi saham terbesar totally share holder kedua-dua bank ini
masih lagi kerajaan. Adakah Yang Berhormat sedar tentang
perkara ini. Kalau Yang Berhormat sedar, sudah semesti
perkara-perkara Yang Berhormat bimbang nanti akan dipastikan
oleh kerajaan tidak berlaku. Ini saya hendak tanya sedikit pada
pandangan Yang Berhormat.
Tuan Mohamad bin Sabu:
Saya sedar memang masih dikuasai oleh kerajaan. Tetapi
commitment pegawai-pegawai bank itu dirungut oleh para
peniaga sekarang, sebab kita bertemu dengan para peniaga
terutama peniaga yang asli, yang genuine. Bank Bumi ini yang
melingkupkannya orang-orang atas, tetapi akhirnya yang
menerima akibat sekarang yang susah untuk buat pinjaman
adalah orang yang hendak berniaga secara betul. Kita bimbang,
yang saya sebut tadi dengan kemerosotan ekonomi, dua negeri
diperintah oleh pembangkang, bank mula lari pada dasarnya.
Maka ekuiti bumiputera semakin menurun. Ini UMNO kena
bertanggungjawab kalau perkara ini berlaku.
Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: [Bangun]
Tuan Mohamad bin Sabu: Ada lagi?.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Ya, Yang Berhormat Pokok Sena.
Tuan Haji Mahfuz bin Haji Jaafar:
Penjelasan daripada Yang Berhormat bagi Kuala Kedah, adakah
Yang Berhormat sedar bahawa Bank of Commerce yang
mengambil alih Bank Bumiputra itu antara pemegang syernya
ialah mereka yang mempunyai hutang yang tertangguh dengan
Bank Bumiputra dan ini bagi saya satu penyelewengan, bila
orang yang berhutang dengan Bank Bumiputra kemudian dia
mengambil alih dan kemudiannya hutang dia itu dilangsaikan
dengan NPL.
Tuan Mohamad bin Sabu:
Saya sedar, perkara ini kita bahas dulu dalam belanjawan
yang tak jadi dahulu [Ketawa]. Jadi inilah yang kita bimbang
sekarang ini matlamat kongres bumiputera melahirkan Bank
Bumi itu tidak berjalan lagi sekarang. Ini yang kita bimbang.
Sepatutnya keadaan sekarang pemimpin-pemimpin kerajaan
yang bercakap dengan hal-hal hendak membela Melayu
mestilah agresif seperti tahun 1971 terutama seperti selepas 13
Mei, tetapi kita lihat ucapan-ucapan terutama golongan muda
sekarang ini tidak bersikap untuk membela golongan umum ini
tetapi lebih bersikap menyokong apa sahaja yang dibuat oleh
pemerintah walaupun kita lihat sekarang ini usaha-usaha
menolong bumiputera yang miskin, bumiputera umum ada
komitmennya agak kurang sekarang ini daripada pemerintah.
Sebab itulah orang Melayu kurang undi parti tuan.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah] Yang Berhormat bagi Rompin sila.
Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:
Terima kasih Yang Berhormat, saya sungguh kagum dengan
semangat Yang Berhormat. Saya mengucapkan syabaslah.
Memang UMNO pada dahulu lagi perjuangan kita membela
bangsa kita dan perjuangan kita dapat kerjasama daripada
MCA dan Gerakan. Tetapi cara Yang Berhormat bercakap ini
adakah DAP boleh menerimanya, sebab kadang-kadang dia tidak
setuju bahawa pengagihan dibuat mengikut ras. Dia kata
mengikut meritokrasi sahaja. Ini yang dua tiga orang depan,
adakah ini dasar Yang Berhormat sebagai Parti PAS atau ini
dasar Parti Alternatif termasuk DAP, sebab Setiausaha
Agongnya senyum sahaja. Ha�. Ini sebab dia senyum sahaja,
tengok tu sama ada dia dah angguk ke, dia senyum, dia tak
bersetuju�
Tuan Mohamad bin Sabu:
Cukuplah masa tak banyak ni. DAP setuju kita bantu bumiputera
yang dia tidak setuju membantu �UMNOputra�.
Beberapa Ahli: Ya�.. [Tepuk] [Ketawa]
Tuan Mohamad bin Sabu:
Tuan Yang di-Pertua, oleh itu kita harap pemimpin-pemimpin
yang diberi amanah untuk memerintah buat sementara ini mesti
komitmen terus untuk membantu bumiputera terutama selepas
agensi-agensi yang ditugaskan membantu bumiputera terbantut
seperti Bank Bumi dan sebagainya. Kita harap semangat tahun
1971 mesti dikobarkan semula dan memperbetulkan
kesilapan-kesilapan yang lalu di mana kita lihat..
Tuan Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Ya, ada yang bangun tu. Yang Berhormat.
Tuan Haji Noh bin Haji Omar: Sikit sahaja ini, Terima kasih
saya hendak tanya sikit sahaja.
Masa kita membuat perlantikan Pengerusi PAC pada Yang bagi
Berhormat Rompin, Yang Berhormat pernah berjanji dalam
Dewan, Yang Berhormat hendak pastikan pengerusi PAC di
Terengganu dan juga di Kelantan dipilih pada wakil
pembangkang iaitu wakil daripada Barisan Nasional, jadi sebelum
hendak terus ucapan berapi ini, telahkah ditunaikan janji Yang
Berhormat itu.
Tuan Mohamad bin Sabu: Janji saya kalau Pusat buat dulu.
Pusat tak buat, kami nak ikut macam mana. Ini Yang Berhormat
bagi Tanjong Karang lena nampaknya.
Beberapa Ahli: Selamat [Ketawa]
Tuan Mohamad bin Sabu:
Itu hal ekonomi. Tuan Yang di-Pertua, perkara yang seterusnya
yang saya ingin sentuh ialah masalah rule of law kedaulatan
undang-undang di negara kita ini. ISA sudah tidak popular.
Penggunaan terhadap ISA ditentang oleh rakyat. Orang yang
ditahan di bawah ISA tidak dilihat buruk oleh rakyat, bahkan
pemerintahlah yang dilihat buruk. Di sini ramai yang di bawah
ISA Yang Berhormat Kepong, Yang Berhormat Pokok Sena,
ini�.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato� Haji Muhamad bin
Abdullah]: Kuala Kedah�[Ketawa]
Tuan Mohamad bin Sabu:
Kuala Kedah lagi lama. [Ketawa]. Rakyat melihat kerajaan yang
salah dan orang yang dikenakan ISA itu tidak bersalah. Oleh
itu sekarang ini Kerajaan Barisan Nasional tidak lagi
menggunakan ISA tetapi mereka bergerak ke arah �Lee Kuan
Yew�nism�, iaitu menggunakan undang-undang untuk menekan
pembangkang. �Lee Kuan Yew�nism� sedang melanda negara
kita sekarang.
Ini kita lihat setelah orang yang dulunya Timbalan Presiden 46
telah membuat tesis Ph.D dan dengan tesisnya itu dia
mendapat Ph.D iaitu penguasaan eksekutif sepenuhnya
terhadap perundangan di Malaysia. Beberapa para dalam buku
mengkritik sistem perundangan di Malaysia dan sekarang bila
beliau jadi Menteri rupa-rupanya �Lee Kuan Yew�nism� sedang
melanda negara kita ini.
Kita lihat OSA, Printing Act, Police Act, Akta Hasutan mula
digunakan sekarang ini.
Dato' Haji Azmi bin Khalid: Boleh, sekejap sahaja.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Ya, Yang Berhormat bagi Padang Besar.
Dato' Haji Azmi bin Khalid:
Tuan Yang di-Pertua, saya tertarik dengan apa yang
disebutkan oleh Yang Berhormat bagi Kuala Kedah tadi tetapi
adakah Yang Berhormat bagi Kuala Kedah sedar bahawa
dengan perlantikan seseorang yang membuat tesis mengenai
dan mengkritikkan undang-undang itu setelah diletak dia di
tempat yang berkenaan yang mampu dia memberi nasihat yang
sebaiknya kepada kerajaan, adakah itu satu pertanda bahawa
kerajaan ini amat demokratik memilih orang yang tahu dan
memilih orang yang mengkritik, letak di situ untuk dia
memperbaiki segalanya. Bukankah ini satu gambaran baik bagi
kerajaan dan kepada rakyat, insya-Allah - dia baru sangat di
situ, insya-Allah- semuanya akan diperlakukan supaya segala
apa yang buruk itu diperbaiki.
Tuan Mohamad bin Sabu:
Baiklah kita hendak lihat dahulu prestasinya. Tapi yang kita
lihat selepas pilihan raya, yang didakwa semuanya
pembangkang.
Beberapa Ahli: Ya�[Ketawa] [Tepuk]
Tuan Mohamad bin Sabu:
Ini yang pelik, tak kanlah dalam Akta Hasutan tak dak Menteri,
Timbalan Menteri di Parlimen yang bercakap menyentuh Akta
Hasutan, tiba-tiba yang didakwa Karpal Singh, yang didakwa
Ezam Mohamad Noor, yang didakwa Marina Yusof, yang didakwa
Zulkifli Sulong, semua pembangkang kecuali isu rasuah iaitu
Saidin Tamby dan juga Joseph Chong.
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Yang Berhormat boleh sambung besok.
Tuan Mohamad bin Sabu: Oh.. boleh 20 minit lagi
[Ketawa]
Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin
Abdullah]: Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan ditangguhkan
sehingga jam 10.00 pagi besok hari Rabu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Aimi Diyana" <[EMAIL PROTECTED]>