*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Melangkah ke Jalan Menuju Allah - 2/11
Dorongan Batin
Di sana memang ada orang-orang yang dipilih Allah untuk menyintaiNya. Di hati
mereka tercetus satu dorongan yang mengajaknya untuk segera melangkah ke
jalan menuju Allah, ke jalan menuju kebahagiaan, serta membelakangi segala
maksiat dan kesesiaan di dalam hidup ini. Itulah tanda-tanda petunjuk
daripada Allah. Kerapkali ia dilimpahkan ke dalam hati seseorang insan dengan
perkara yang menggembirakannya atau menakutkannya seperti teringatkan azab
Allah; atau timbul perasaan rindunya terhadap Allah ataupun menerusi
pertemuan dengan para wali Allah. Adakalanya dorongan itu berlaku tanpa
sesuatu sebab. Firman Allah:
"... tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Dia
lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk." (Al Qashash : 56)
Allah yang Maha Penyayang tetap akan memberikan petunjukNya kepada sesiapa
sahaja di kalangan hambaNya yang mahu menerima petunjuk. Dia akan melapangkan
dada mereka untuk menerima bimbinganNya, menjalani jalan menuju kepadaNya
seterusnya mendapat keredhaan dan kecintaanNya. Allah swt telah berfirman:
"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya,
nescaya Ia melapangkan dadanya untuk menerima Islam." (Al An'aam : 125)
Adapun bercita-cita untuk mendapatkan dorongan seperti itu memanglah dituntut
dan digalakkan. Akan tetapi bercita-cita atau berharap sahaja untuk meningkat
tanpa berusaha adalah suatu keputusan bodoh yang menunjukkan kedangkalan akal
orang yang mencitainya itu. Sesungguhnya dorongan ini adalah salah satu
nikmat yang tertinggi di antara nikmat-nikmat Allah. Lantaran itu, insan yang
telah pun merasainya hendaklah melipat-gandakan kesyukuran kepada Allah swt
di atas kurnianNya itu. Lihatlah betapa ramai orang yang mencapai usia tua
tanpa memperolehi dorongan seperti itu.
Kita mungkin tertanya-tanya mengapa sebahagian dari manusia diberikan
petunjuk hidayat sedangkan sebahagian yang lain tidak. Sudah tentu Allah yang
Maha Adil tidak akan berlaku zalim. Untuk menjawabnya, renungilah firman
Allah swt:
"Sebahagian manusia diberi petunjuk hidayat oleh Allah dan sebahagian lagi
berhaklah mereka ditimpa kesesatan kerana sesungguhnya mereka telah
menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka selain Allah serta mereka pula
menyangka bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayat." (Al A'raaf : 30)
Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah swt agar kita dihindariNya dari
tergolong ke dalam golongan tersebut. Alangkah ruginya mereka lantaran
menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin mereka, menyesatkan lagi diri mereka
yang telah sedia sesat. Pohonlah dari Allah swt agar dilimpahkan kepada kita
petunjukNya. Sabda Nabi saw:
"Allah swt telah berfirman: 'Hai hambaKu, kamu sekalian sesat kecuali yang
Aku beri petunjuk, maka pohonlah petunjuk hidayat kepadaKu, nescaya Aku
tunjukimu.'" (Muslim)
Adalah terjamin doa setiap insan yang memohonkan hidayat dari Allah swt,
tetapi dengan syarat permohonan itu hendaklah lahir dari hati yang
benar-benar inginkannya, hati yang ingin dibimbing dan dipimpin oleh
sebaik-baik Pembimbing dan Pemimpin. Hati yang sedemikian inilah yang akan
diterangi dengan sinaran makrifat dan mahabbab Allah swt. Dari hati inilah
akan terpancarnya sinaran ke anggota lahir dan batin untuk terus mentaati
Allah, dan terus melangkah di jalan menuju Allah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]