*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Melangkah ke Jalan Menuju Allah - 4/11


Pemeliharaan Diri dari Dosa

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku di perjalanan menuju Allah, sesungguhnya 
anda tidak akan sampai kepada penunaian perintah-perintah Allah kecuali 
dengan menjaga hati dan anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. 
Allah swt melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada 
dirimu, mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga 
perbuatanmu, baik kamu sedang bergerak maupun sedang berdiam diri. Meskipun 
anda berada di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah 
kesemua itu tetap berada di dalam kehadiranNya. Lantaran itu awasilah dirimu, 
jauhilah kemungkaran.

Seandainya anda melakukan kemungkaran kepada Allah, sedang anda yakin bahawa 
Allah swt melihat kelakuan anda itu, maka anda adalah orang yang 
mengejek-ngejek Tuhan. Sebaliknya jika anda melakukan maksiat sedangkan anda 
yakin pula bahawa Tuhan tidak melihat kelakuan anda itu, maka sebenarnya anda 
adalah seorang kafir. 

Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati itu 
menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta tidak akan 
merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat. Jika Allah tidak memberi 
rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik pemiliknya kepada 
kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati ialah seseorang itu tidak 
merasa kaget atau takut dalam mengerjakan dosa, dan tidak merasa manis dengan 
mengerjakan ketaatan serta tidak berkesan akan nasihat. Sungguh benar orang 
yang mengatakan bahawa sekiranya anda tidak merasa kuat mengerjakan 
sembahyang di malam hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa 
anda terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan maksiat 
tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang bercita-cita 
untuk melakukannya.

Oleh yang demikian, peliharalah dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun 
ianya hanyalah dosa kecil. Jauhilah ia laksana anda menjauhkan diri dari 
meminum racun yang berbisa. Hendaklah anda takut dari melakukan dosa itu 
lebih dari rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan 
dirimu sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh 
badannya.

Saudara-saudaraku, adalah menjadi kewajipanmu untuk mengenal setiap maksiat, 
samada yang dilakukan oleh hatimu maupun yang dilakukan oleh tubuh badanmu 
yang kasar ini. Anda harus mengetahui penyakit-penyakit hati yang sering 
menyerangmu dan ubat-ubat baginya. Dengan hatimu yang mengidapi penyakit 
riya', ujub, takabbur, dengki, lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak 
memungkinkan anda berjaya dalam menjalani jalan menuju Allah. 

Setiap anggota badanmu juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan 
sesuatu yang terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang 
merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang 
masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa banyak 
perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal yang tidak patut 
sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya untuk menghapuskan kesan itu.

Allah swt telah berfirman:

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya. 
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya 
merugilah orang yang mengotorinya."
(Asy-Syams : 8-10)

Berbagai jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan 
melanggar perintah Allah dan mengerjakan laranganNya sehingga tidak lagi 
sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana 
kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari 
akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari golongan 
ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan itu? Adakah kita 
bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita segera menyesali dengan 
apa yang dilakukan itu?

Manusia yang benar-benar ingin berjalan menuju Tuhannya, benar-benar cinta 
dan memikirkan Hari Akhirat serta sentiasa mengambil berat untuk 
menghadapinya, malah sentiasa bimbang terhadap nasib yang akan diterimanya 
kelak. Dia benar-benar insaf bahawa di suatu hari nanti dia akan mati dan 
dihisab. Inilah yang menyebabkannya takutkan akibat yang akan dihadapi 
disebabkan dosa-dosanya. Lantaran itu ia segera bertaubat dan memohon ampun 
dari Tuhannya, untuk membersihkan diri dari dosa. Ia memahami bahawa dosa 
adalah suatu bebanan yang tidak berguna yang dipikulnya di dalam perjalanan 
ini. Dia menyedari sekiranya bebanan itu dibuang jauh-jauh maka dia akan 
lebih tangkas dan senang dalam menjalani jalan ini. Dia juga menginsafi 
firman Allah yang Maha Penyayang di dalam Al-Quran:

"Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian 
ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi 
Maha Penyayang."  (An-Nisaa' : 110)

Sabda Rasulullah saw:

"Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hambaNya melebihi dari 
kesenangan seseorang yang menemukan kembali untanya yang telah hilang 
daripadanya di tengah padang pasir."
(Bukhari, Muslim)

Syarat taubat yang sah ialah menyesali diri di atas segala dosa yang lalu 
dengan sebenar-benar penyesalan serta berazam kuat untuk tidak akan kembali 
kepada dosa yang sama selagi hayat di kandung badan. Orang yang bertaubat 
dari sesuatu dosa, sedang ia terus melakukan dosa itu, ataupun bercita-cita 
untuk melakukannya lagi, maka taubatnya itu tidaklah dikira sebagai taubat 
yang sebenar. 

Taubat yang hakiki ialah taubat yang lahir dari hati yang benar-benar jujur, 
dari keazaman dan kemahuan yang datangnya dari dasaran hati yang insaf serta 
mempunyai tekad yang bulat untuk menghapuskan segala kesan-kesan dosa. Di 
antara tanda benarnya taubat seseorang hamba ialah terhapus keinginan untuk 
melakukan dosa dari hati serta mengingatkan diri agar tidak kembali kepada 
mengangan-angankan sesuatu dosa yang pernah ia bertaubat darinya sebelum itu. 
Ia terasa dirinya bernasib malang kerana ia makan kurniaan Allah tetapi 
menurut kehendak syaitan.

Di samping bertaubat dan memohon ampun, lazimkanlah dirimu mengakui akan 
kelalaian dan kecuaian  dalam menunaikan kewajipan. Akuilah kehinaanmu, 
nescaya Allah akan menolongmu dengan kemulianNya. Akuilah kekuranganmu, 
nescaya Allah akan menolongmu dengan kesempurnaanNya. Akuilah kelemahanmu, 
nescaya Allah menolongmu dengan kekuatanNya. 

Kemuliaan seseorang insan hanyalah tatkala ia bersandar diri kepada Tuhannya. 
Martabatnya jatuh apabila ia berbangga dengan dirinya sendiri. Seseorang yang 
melakukan amalan ketaatan seraya merasakan dirinya sudah baik serta menghina 
orang lain, padahal amal perbuatannya itu jika diperiksa di segi keikhlasan 
tidak mungkin diterima. Bahkan amalnya itu hanyalah perbuatan yang palsu dan 
tidak berharga di sisi Allah. Seorang mukmin yang hakiki harus sentiasa 
berada di dalam keadaan takut dan gentar, meskipun ia telah mengikhlaskan 
diri dalam ketaatan dan telah memperbaiki peribadatan kepada Tuhannya.

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke