*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Melangkah ke Jalan Menuju Allah - 5/11


Menjauhi Diri dari Kesesiaan

Selain dari tercebur ke dalam kemaksiatan, seseorang insan tidak ketinggalan 
dari terjerumus ke lembah kesesiaan. Mereka suka menghabiskan masa mereka 
yang berharga itu untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan kemanfaatan. 
Islam membenci seorang muslim yang sibuk menghabiskan waktunya untuk hal-hal 
yang remeh, terlibat dalam perbincangan yang sia-sia serta perbuatan lain 
yang tidak berfaedah seperti banyak makan, banyak minum dan banyak tidur.

Hendaklah anda benar-benar menghargai waktu dan bersungguh-sungguh untuk 
memanfaatkannya. Setiap manusia pada hari kiamat akan ditanya mengenai 
usianya, untuk apa dihabiskan. Waspadalah, jangan sampai anda membelanjakan 
masa anda, hari anda, saat anda serta nafas anda pada sesuatu yang tidak 
berguna dan sia-sia, kelak anda akan menyesal dan berdukacita. Ketika itu 
barulah anda sedar bahawa anda telah mensia-siakan umur tatkala hidup di 
dunia.

Kita sering berpuashati membilang biji tasbih sambil berzikir nama Allah, 
tetapi kita tidak ada biji tasbih untuk mengira berapa banyak percakapan 
sia-sia yang kita ucapkan. Hamba-hamba Allah yang sebenar-benarnya adalah 
manusia yang tidak ingin berkata-kata kerana takutkan Allah. Sungguhpun 
mereka tidak bisu, sebaliknya dapat menggunakan bahasa dengan fasih, tetapi 
oleh kerana selalu memuji-muji Allah, mereka tidak dapat memperkatakan 
sesuatu yang sia-sia. Pernah seorang pujangga bermadah:

    Rebutlah dua rakaat sembahyang,
    Ketika berehat di malam gulita;
    Gantikan dengan tasbih sahaja,
    Dari bercakap sia-sia;
    Diam lebih berguna,
    Walau anda pintar berkata.

Apabila anda merasa hati keras, badan lemah dan tersuntuk rezeki maka 
ketahuilah bahawa anda telah bercakap perkara yang tidak bermanfaat. 
Jadikanlah diammu itu tafakkur dan percakapanmu hikmat kerana diam tanpa 
tafakkur itu tidak berguna sementara suara tanpa hikmat tidak bererti. 
Rasulullah saw pernah bersabda:

"Jangan banyak bicara selain zikir kepada Allah kerana banyak bicara selain 
zikrullah menyebabkan hati keras dan sejauh-jauh manusia dari Allah ialah 
yang berhati keras."  (Tarmizi)

Banyak makan, banyak minum dan banyak tidur juga boleh membawa kemudharatan. 
Meskipun anda memaksakan diri untuk beribadat dengan perut yang penuh dan 
anda berusaha dengan bermacam-macam cara agar boleh beribadat, namun ibadat 
anda itu tidak akan ada manisnya. Dengan banyak tidur pula umur seseorang itu 
tidak akan ada berkahnya.

Terdapat empat tingkat warak:

1. Menjauhkan diri dari perbuatan yang nyata haramnya.
2. Menjauhkan diri dari segala perbuatan yang syubhat.
3. Meninggalkan perbuatan yang sebenarnya halal tetapi dikhuatiri terbawa 
kepada yang haram.
4. Berpaling selain Allah kerana takut terpakai meskipun sesaat dari umurnya 
kepada perkara yang tidak berfaedah dalam mendekatkan diri kepada Allah swt 
walaupun ia tahu dan yakin bahawa perbuatan tersebut tidak membawa kepada 
yang haram.

Sabda Rasulullah saw:

"Sebaik-baik Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang bukan 
kepentingannya."  (Tarmizi)

"Tanda Allah membelakangkan (membenci) seseorang itu ialah ia leka atau sibuk 
dengan perkara-perkara yang tidak diperlukan. Kalaulah seseorang itu habis 
umurnya barang sesaat sahaja dalam kerja yang bukan menjadi tujuan hidupnya, 
nescaya sepatutnya ia menerima penyesalan yang panjang."
(dari buku Hai Anak)

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke