MEMBANTAH PENANGKAPAN DAN TAHANAN REMAN

Parti Rakyat Malaysia (PRM) merasa kesal atas tindakan menangkap kira-kira
70 orang yang disyaki terlibat dengan perhimpunan aman yang diadakan oleh
sebilangan rakyat pada 15hb April. Ada di antara mereka yang ditangkap telah
dibebaskan, akan tetapi terdapat juga yang masih ditahan tidak terlibat sama
sekali dengan perhimpunan itu; mereka kebetulan saja berada di tempat polis
mengambil tindakan menangkap.
Seramai 51 orang telah dibawa ke mahkamah. Di antara mereka ialah tiga orang
peminpin keADILan, iaitu Ezam Mohamad Noor, Tian Chua dan Gopalakrishnan.
Mereka, bersama Malek Hussein dituduh merancang perhimpunan haram, manakala
seramai 47 yang lain dituduh menyertai perhimpunan haram. Kesemuanya telah
dibawa ke mahkamah yang memperkenankan permintaan polis supaya mereka
ditahan reman di antara lima hingga enam hari. Hanya seorang penuntut
berumur 17 tahun ditahan reman selama tiga hari.

PRM membantah keras penahanan reman semua orang yang kena tahan (OKT) ini.
Kami berpendapat ia lebih daripada tempoh yang sebenarnya diperlukan. Pihak
polis selalunya memberikan alasan bahawa penahanan reman itu perlu untuk
membuat penyiasatan dan mengambil kenyataan. Dari pengalaman sendiri dan
juga orang lain yang pernah ditahan reman polis, kami lihat ada tendensi
sengaja hendak melengah-lengahkan proses ini. Lagi pula, kenyataan
sepatutnya boleh diambil tanpa menahan seseorang dengan memanggilnya hadir
ke balai polis saja. Nampaknya pihak polis sengaja hendak mendera. Ini
perbuatan tidak adil lagi zalim.

Saya mendapat tahu daripada pihak peguam dan keluarga OKT bahawa ada
beberapa orang – antara lima enam orang – menunjukkan tanda kecederaan
kerana dipukul polis semasa ditangkap. Bahkan seorang daripadanya luka di
dahi oleh kerana katanya dipukul polis dengan belantan. Sangat hairan
mengapa pihak polis keberatan membawa mereka yang cedera ini ke hospital.
Lebih menghairankan lagi apabila Perdana Menteri mengatakan peguam-peguam
yang membela OKT sepatutnya membuktikan bahawa mereka ini telah dipukul.

PRM berpendapat bahawa yang membawa senjata dan yang mengganas ialah pasukan
polis, bukannya rakyat yang cuba berhimpun secara aman. Kezaliman polis,
tidak kira sama ada di Kuala Lumpur atau di Washington perlu dikutuk. Yang
membimbangkan ialah di negeri ini kezaliman polis mencerminkan juga
kezaliman pucuk pimpinan yang semakin jelas membawa negara menuju kepada
pemerintahan kuku besi.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
18hb April 2000



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send online invitations with Yahoo! Invites.

Kirim email ke