Kejatuhan Sanusi Junid

Kalau benar Sanusi Junid memukul dua orang pekerja di KLIA seperti dilaporkan media, maka amat malang sekali bagi bekas Menteri Besar Kedah itu. Seburuk mana pun Malaysia ini, namun ia masih bergerak atas landasan undang-undang. Serangan fizikal yang dilakukan oleh Sanusi itu tidak boleh dibiarkan. Tidak boleh dimaafkan. Sanusi perlu dihadapkan ke mahkamah.

Mungkin Sanusi tidak dapat menahan marahnya. Dia mudah panas baran. Tidak sabar. Tetapi apapun alasan, Sanusi yang pernah menjadi Menteri Kerajaan Persekutuan dan pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Umno tidak boleh memukul dan menerajang seseorang dengan sewenang-wenang.

Perkara yang amat penting bagi seseorang manusia ialah keselamatan fizikalnya. Sanusi, bekas Pemimpin belia (MYC), pengasas ABIM dan kini menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa tentulah wajar menunjukkan teladan yang baik. Dalam keadaan Malaysia bergerak ke depan dalam usaha menghormati hak-hak asasi manusia, seperti tertubuhnya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, maka sedih sekali, Sanusi mahu membawa kita kembali ke undang-undang rimba. Yang kuat dan berkuasa boleh lakukan sesuatu kepada rakyat biasa. Biar kita seorang menteri atau bekas Menteri Besar, kita perlu menghormati setiap manusia, termasuk pekerja di KLIA itu. Di mana para mahasiswa, pensyarah, profesor dan kakitangan UIA mahu meletakkan muka mereka jika Presiden Universiti Islam itu bersikap kasar ala-samseng?

Sanusi Junid memang sekarang sudah di penghujung kerjaya politiknya. Dia hanya memegang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah. Jawatan Menteri Besar Kedah yang dipegangnya sebelum ini terpaksa dilepaskan setelah BN kalah banyak kerusi di Kedah kepada PAS. Sanusi yang kreatif dengan idea pelik-pelik seperti "tanam padi atas bumbung" kini terpaksa berhadapan dengan proses undang-undang. Apa yang Sanusi lakukan itu sama kelasnya dengan apa yang Rahim Noor, bekas Ketua Polis Negara lakukan ke atas Anwar Ibrahim. Bersedialah Sanusi untuk ke penjara!

Sanusi telah melakukan kesalahan jenayah. Dua pekerja di KLIA itu mungkin cedera. Tetapi Sanusi lebih teruk cederanya. Bukan fizikal Sanusi yang cedera tetapi nama baiknya selama ini, jika ada; nama itu akan runtuh sama sekali. Tetapi sesiapa yang kuat ingatannya tentu tidak lupa, bahawa Sanusi Junid inilah orangnya yang sanggup mempertahankan Mahathir walau bermandi darah. Jadi kecenderungan keganasan Sanusi ini bukan sesuatu yang baru.

Mungkin juga Sanusi marah kepada pekerja KLIA itu yang dikatakan lambat membawa kerusi roda bagi ibu saudaranya yang uzur dan baru sampai di KLIA dari Singapura. Tetapi soal lambat dan terpaksa menunggu seperti itu adalah perkara biasa bagi rakyat biasa. Mungkin Sanusi tidak biasa. Sanusi Junid mengharapkan layanan "VVIP" baginya. Atau dia tidak dilayan secara VIP lagi? Kerana tidak menjadi menteri. Adakah ini yang menjadikan Sanusi melenting kali ini? Banyak perkara yang masih kita tidak ketahui dengan pasti. Jadi wajar sekali pihak polis mempercepatkan penyiasatan dan mengambil tindakan. Bawa kes ini ke mahkamah. Sanusi juga ada hak untuk membela dirinya. Namanya sekarang sudah tercemar sebagai seorang yang sadis, samseng dan kaki pukul.

Mahathir juga rasa terpukul dengan perilaku Sanusi Junid di KLIA. Mahathir kata KLIA cekap dan canggih. Tetapi orang kepercayaan Mahathir sendiri menafikannya. Kerusi roda pun susah untuk dicari di KLIA sehingga bekas si Menteri Besar Kedah itu marah amat sekali. Tetapi apa pun alasannya, Sanusi kena bersabar. Kalau perlu minum air kelapa, minumlah air kelapa banyak-banyak seperti yang Sanusi selalu kempen supaya turunkan darah yang panas itu. Atau Sanusi buat bertenang seketika dengan bercerita tentang peristiwa "Mat Jenin" - kisah cerita rakyat yang Sanusi amat bangga untuk popularkan.

Tetapi bagaimanapun, Sanusi Junid benar-benar menyusahkan Mahathir yang sedang hendak mengadakan Perhimpunan Agung Umnonya pada 11 Mei ini. Mahathir mahu ahli-ahli Umno kembali kepada dasar perjuangan asal parti. Tetapi satu daripada perjuangan Umno dulu ialah melancarkan "Pemuda Tahan Lasak". Sekarang Umno dapat menuai hasilnya. Ada MB membuat lucah dengan tangannya. Ada Ketua Menteri yang buat kerja lucah dengan budak perempuan bawah umur. Kini, tiba-tiba bekas Setiausaha Agung Umno dan bekas Naib Presiden parti itu bersikap ganas semacam Rahim Noor bekas KPN itu. Semua yang pemimpin-pemimpin Umno itu lakukan adalah lasak-lasak belaka.

Jadi Mahathir kena bertindak. Abdullah Ahmad Badawi, selaku Menteri Dalam Negeri, dan dulu menjadi regu Sanusi untuk mempertahankan Ghafar Baba dari cabaran Anwar Ibrahim, kini kena ambil serius kes Sanusi ini. Kawan tetap kawan tetapi undang-undang tetap undang-undang. Sanusi perlu didakwa di mahkamah. Mahathir sudah lepaskan satu lagi anak Junid dalam kes jenayah. Anak Junid yang seorang itu didakwa terlibat dengan pembunuhan kes Mustakizah yang sampai sekarang entah apa kisahnya. Jadi kita tidak mahu ada penjenayah terlepas lagi kali ini.

Yang jelasnya, dan amat bahaya sekali ialah wujudnya sekarang satu fenomena di mana orang-orang kepercayaan Mahathir dan paling rapat dengan Mahathir, adalah orang-orang yang terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah, baik serangan fizikal (assault), rogol berkanun (statutory rape), rasuah dan fitnah. Semuanya dilindungi dan diselamatkan oleh Perdana Menteri. Kenal pastikan siapa-siapa yang rapat dengan Mahathir. Sama ada Timbalan Menteri atau Menteri penuh. Sama ada lelaki mahupun perempuan. Kemudian kenalpastikan apakah jenayah mereka? Jawab sendiri. Benar atau tidak fenomena ini? Kalau benar, persoalannya sekarang ialah: Apakah Malaysia kini diperintah oleh segerombolan "mafia"?

Subscribe to KINI & The Malaysian
tmk-despatch archive Hosted by eGroups.com

Help us by signing-up an [EMAIL PROTECTED] - Free Internet Email
Sign-up today at http://www.themail.com


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke