*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

ANGKATAN PEMUDA WARISAN,MALAYSIA
( PEWARIS )
No. 11 Jalan 3/57 A, 46000 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
No. Tel : 03- 7781 1791


KENYATAAN AKHBAR


Kepada :
Semua wartawan media       8 Mei 2000


Perkara : Pembongkaran Isu Safeguards Corporation Berhad.

 Angkatan Pemuda Warisan, Malaysia, (PEWARIS) merupakan sebuah
pertubuhan belia yang diasaskan bagi menyumbangkan tenaga dan buah
fikiran di dalam merperjuangkan isu- isu yang sepatutnya. Sepanjang
ianya ditubuhkan, PEWARIS sentiasa melakukan usaha-usaha yang
memberikan  kesan positif kepada masyarakat. Kami sentiasa menyokong
kerajaan di dalam melaksanakan pendekatan-pendekatan yang mampu
meningkatkan mutu kehidupan masyarakat secara kolektif. Berdasarkan
kepada keputusan pilihanraya yang lalu, kami mempunyai kepercayaan yang
tinggi bahawa UMNO mampu mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik dan
dapat menghapuskan sebarang bentuk penyelewengan serta penindasan yang
sering berlaku di dalam masyarakat pada masa kini. Pemimpin-pemimpin
kerajaan juga telah banyak menjanjikan perubahan dan kami yakin
perubahan itu akan hanya kita kecapi sekiranya semua pihak bekerjasama
bagi mencapainya. Di samping itu juga, kami melihat bahawa parti
pemerintah yang ada sekarang, khususnya UMNO sedang berusaha keras di
dalam  memperjuangkan kedaulatan bangsa Melayu di mata dunia.

 Salah satu daripada prinsip PEWARIS ialah, kami tidak akan berkompromi
dengan mana-mana pihak yang kami dapati cuba untuk berlaku tidak adil
terhadap kepentingan rakyat. Bagi kami, rakyat adalah perkara pokok
dalam apa-apa jua polisi serta pendekatan yang dilaksanakan oleh
kerajaan. Kami juga menolak mana-mana pemimpin yang menyalahgunakan
kedudukkan serta pangkat, semata-mata untuk mencapai impian peribadi
mereka, sehinggakan  sanggup untuk menggadaikan maruah bangsa dan
menyebabkan rakyat terpaksa menanggung derita. Ini adalah keperihatinan
kami demi masa depan negara yang lebih saksama dan gemilang. Malah,
ianya menjadi tanggungjawab kami pihak PEWARIS,  untuk menyahut seruan
pihak kerajaan yang mahukan golongan belia agar sentiasa aktif, berdaya
saing, bermoral tinggi dan sebagainya.

 Tujuan kami mengadakan sidang akhbar  pada hari ini ialah untuk
memaklumkan keperihatinan kami kepada satu permasalahan yang mungkin
sering berlaku di dalam negara kita. Buat pengetahuan semua, pihak
PEWARIS ada menerima sepucuk surat daripada ahli keluarga Allahyarham
Datuk Abdul Shattar yang bagi kami telah menjadi mangsa permainan
korporat oleh pihak-pihak yang tertentu. Berdasarkan kepada fakta-fakta
yang boleh dipercayai, hasil daripada pertemuan kami dengan pihak
keluarga, peguam serta beberapa pihak lain, kami ingin membongkar
tentang kemelut yang melanda di dalam sebuah syarikat milik Bumiputra,
iaitu Safeguards Corporation Bhd.

 Safeguards  Sdn. Bhd (selepas ini disebut Safeguards) telah diasaskan
kira-kira 33 tahun yang lalu oleh Allahyarham Abdul Shattar bin Abdul
Rahim . Beliau memiliki hampir 86% daripada saham-saham syarikat ini.
Beliau juga dikenali sebagai seorang peniaga Melayu yang begitu gigih
dan berdedikasi. Safeguards telah berjaya berkembang menjadi satu simbol
kejayaan perniagaan bangsa Melayu di mata dunia. Ianya telah membuka
peluang pekerjaan yang luas kepada golongan Bumiputera, terutamanya
kepada pesara polis dan tentera. Tidak lama kemudiaan Safeguards Holding
Sdn. Bhd telah ditubuhkan manakala Safeguards Sdn. Bhd. telah ditukar
kepada Safeguards Security Protection, dan dimiliki 100% oleh Safeguards
Holding Sdn. Bhd. Bagi mengembangkan lagi perniagaan Safeguards,
Allahyarham bercita- cita untuk menyenaraikan Safeguards ke  Bursa Saham
Kuala Lumpur. Beliau telah menerima banyak tawaran untuk berkerjasama
dari pelbagai pihak termasuklah tawaran yang di terima daripada Dato’
Abdul Aziz bin Hj. Sheikh Fadzir (selepas ini disebut Dato' Aziz).
Dengan penuh kepercayaan, akhirnya Allahyarham bersetuju untuk menerima
tawaran yang dikemukakan oleh Dato’ Aziz.

 Menurut perjanjian yang ditandatangani di antara mereka berdua,
Allahyarham Datuk Abdul Shattar yang merupakan pemegang saham utama
Safeguards Security Protection  akan menjual 100% saham syarikat
berkenaan kepada Capaian Ilham Sdn. Bhd ( yang dimiliki oleh Dato’ Aziz
) sebagai mekanisma untuk mewujudkan dan menyenaraikan Safeguards
Corporation Berhad ke papan kedua Bursa Saham Kuala Lumpur. Dengan
perjanjian ini, Capaian Ilham Sdn. Bhd. akan memiliki sebanyak 60%
daripada saham-saham Safeguards Corporation Berhad dan 20% (bersamaan
dengan 7 juta saham) daripada 60% saham-saham tersebut akan dipindahkan
kepada Allahyarham sebaik sahaja Safeguards Corporation Berhad
disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Kuala Lumpur. Baki daripada
saham-saham tersebut iaitu sebanyak 40% akan dijual kepada awam. Sekitar
bulan Jun 1997, Safeguards Corporation Berhad akhirnya berjaya
disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Kuala Lumpur. Pada 1hb Ogos
1997, melalui satu perjanjian jual dan beli di antara Allahyarham dengan
Capaian Ilham Sdn. Bhd, 1 juta saham telah dijual kepada pihak Capaian
Ilham Sdn. Bhd. dengan harga RM 4.3 juta. Perlu disebut disini bahawa,
baki 6 juta saham yang dimiliki oleh Allahyarham masih diperakui
kewujudannya di dalam perjanjian jual dan beli tersebut.

 Di sepanjang tempoh di antara sebelum dan selepas Safeguards
disenaraikan ke Bursa Saham Kuala Lumpur, Allahyarham pernah beberapa
kali dimasukkan ke hospital diatas sebab-sebab kesihatan. Pada 8hb Ogos
1998,  Dato’ Aziz bersama-sama rakannya bernama Darmendran Kumaretnam
ada melawat Allahyarham Datuk Abdul Shattar yang ketika itu sedang
tenat. Dato’ Aziz telah berjanji dan memberi jaminan kepada Allahyarham
Datuk Abdul Shattar walau apa yang akan terjadi, 6 juta saham yang
dijanjikan kepada Allahyarham Datuk Abdul Shattar adalah terjamin dan
beliau sendiri akan memastikan bahawa saham-saham itu akan diuruskan
dengan baik. Perkara ini telah disaksikan sendiri oleh isteri
Allahyarham Datuk Abdul Shattar iaitu Datin Alauyiah binti Abdul Aziz.
Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 6 Oktober 1998.

Selepas Allahyarham meninggal dunia, Datin Alauyiah serta ahli keluarga
yang lain telah mencuba sedaya upaya untuk berbincang dengan Dato’ Aziz
mengenai kedudukan saham-saham milik Allahyarham, akan tetapi, Dato’
Aziz seringkali mengelak diri daripada berjumpa dengan Datin dan
keluarga. Darmendran pula pernah beberapa  kali membuat tawaran kepada
salah seorang anak Allahyarham untuk membeli saham-saham tersebut tetapi
beliau menolaknya kerana harga yang ditawarkan oleh Darmendran itu tidak
munasabah jika dibandingkan dengan harga pasaran pada ketika itu.

Kini, keluarga Allahyarham Datuk Abdul Shattar masih gagal untuk
mendapatkan kembali hak milik mereka ke atas saham-saham tersebut. Pihak
keluarga juga telah beberapa kali mencuba untuk menyelesaikan masalah
ini melalui bantuan pihak ketiga tetapi masih gagal. Baru-baru ini Dato’
Aziz telah menyampaikan, melalui orang ketiga, akan kesediaan beliau
untuk bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham hanya selepas daripada
bulan Mei untuk berbincang mengenai masalah ini. Menurut sumber
tersebut, Dato’ Aziz juga akan memberikan sedikit saguhati kepada
keluarga Allahyarham. Setiausaha Syarikat Capaian Ilham Sdn. Bhd. pula
menafikan melalui perbualan telefon bahawa Allahyarham mempunyai saham
di dalam Capaian Ilham Sdn. Bhd. iaitu sebanyak 6 juta saham daripada
saham-saham Safeguards Corporation Berhad.

Bagi PEWARIS, kami melihat kes seumpama ini dari 3 persepsi. Pertamanya
kami melihat dari persepsi korporat. Bagi kami, adalah amat ganjil bagi
pihak Dato’ Aziz untuk menafikan kewujudan saham-saham milik
Allahyarham. Ini kerana, berdasarkan bukti-bukti yang diperolehi,
kebenarannya tidak dapat disangkal sama sekali. Sebagai sebuah syarikat
Bumiputera yang telah lama wujud, bagaimanakah ianya boleh
diperkotak-katikkan dengan begitu mudah?. Keduanya, kami melihat kes ini
dari persepsi perundangan. Adakah undang-undang membenarkan seseorang
itu menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh orang lain?. Berdasarkan
kepada sistem perundangan yang ada di negara kita, kami begitu yakin
perkara seperti ini tidak mungkin terjadi melainkan adanya pakatan yang
cuba untuk membolot kekayaan Safeguards Corporation Berhad. Ketiganya,
kami melihat kes ini dari persepsi moral. Bagi kami, perkara sebegini
tidak seharusnya berlaku dengan begitu mudah. Sedangkan perkara ini
boleh berlaku kepada pihak keluarga Allahyarham, ianya juga mungkin
berlaku kepada pihak lain, tidak kiralah samada yang tua, muda, miskin
ataupun yang kaya. Ingin kami tegaskan bahawa perkara seumpama ini tidak
seharusnya dibiarkan menular ke dalam masyarakat kita.

 Persoalannya sekarang, bagaimanakah kedudukkan saham-saham milik arwah
yang berjumlah 6 juta itu sekarang? Mengapa setelah hampir 3 tahun
perkara ini berlarutan, pihak keluarga masih belum menerima sebarang
berita tentang kedudukan saham-saham tersebut? Malah kami difahamkan
bahawa Dato’ Aziz seringkali mengelakkan diri daripada bertemu dengan
pihak keluarga bagi menyelesaikan masalah ini. Bagi PEWARIS, ini
merupakan soal hak milik yang sepatutnya tidak boleh dipersoalkan.
Tawaran yang dilakukan oleh Darmendran untuk membeli saham-saham
tersebut jelas membuktikan kepada kita bahawa kewujudan saham-saham
tersebut diakui. Ini turut diperkukuhkan lagi dengan laporan yang
dikeluarkan oleh Pendaftar Syarikat pada Ogos 1999 yang mengatakan
bahawa arwah ketika itu masih lagi menjadi pemegang saham Capaian Ilham
Sdn Bhd.

Berdasarkan maklumat yang kami perolehi daripada Pendaftar Syarikat,
Capaian Ilham dimiliki oleh 2 buah syarikat lain iaitu Ivory Hills
Development Sdn. Bhd. dan Bougainville Sdn. Bhd. Maklumat ini juga
menjelaskan bahawa kedua-dua buah syarikat tersebut diterajui oleh bukan
Bumiputera. Persoalannya sekarang, bagaimana mungkin sebuah syarikat
yang menjadi lambang kebanggaan Bumiputera  akhirnya boleh jatuh ke
tangan bukan Bumiputera? Adakah Dato’ Aziz hanyalah sebagai boneka
kepada pihak- pihak tertentu di dalam mencaturkan supaya syarikat
Bumiputera ini akhirnya terlepas ke tangan pihak lain?

Bagi kami, kes ini turut melibatkan manipulasi korporat oleh pihak-
pihak tertentu yang rakus dalam mengejar kekayaan. Soalnya sekarang,
adakah perkara ini merupakan satu lumrah yang biasa berlaku di dalam
dunia korporat ? Apakah Bursa Saham Kuala Lumpur, Suruhanjaya Sekuriti,
Pendaftar Syarikat dan Kementerian Kewangan hanya akan berdiam diri ke
atas kes-kes sebegini? Dengan seribu keyakinan, pihak PEWARIS tidak
pernah meragui ketelusan pihak-pihak tersebut di dalam menjalankan
tugas-tugas mereka.

Sekiranya benar akan maklumat-maklumat yang kami perolehi ini dan
terbukti bahawa pihak keluarga arwah berada di pihak yang benar, PEWARIS
sama sekali akan menolak pemimpin seperti Dato’ Aziz daripada dinobatkan
sebagai pemimpin di negara kita. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri
Dr. Mahathir b. Mohamad sering menegaskan kepada pemimpin- pemimpin di
negara kita agar sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dan
tidak menyalahgunakan kedudukkan serta pangkat demi kepentingan
peribadi. Di sini PEWARIS ingin melahirkan rasa khuatir, sekiranya
beliau diangkat sebagai pemimpin negara suatu hari nanti. Ini kerana,
beliau akan membawa bersamanya satu sistem yang tidak sihat bukan sahaja
ke dalam sistem pentadbiran negara kita malah turut memberi kesan kepada
sistem ekonomi negara. Persoalannya sekarang adakah UMNO akan merelakan
maruah parti dicemari oleh seorang pemimpin muda yang telah memanipulasi
hak milik rakyat, malah apa yang lebih membimbangkan kami ialah, perkara
ini adalah lebih buruk seandainya Dato’ Aziz sendiri yang
dimanipulasikan oleh pihak lain?. Janganlah kita mengaburi mata rakyat
dengan cuba menonjolkan imej yang bersih sedangkan di sebalik tirai,
ianya penuh dengan titik- titik hitam.

Buat pengetahuan pihak media, tindakan undang-undang telah pun diambil
oleh pihak keluarga dan bagi pihak PEWARIS, kami  tidak akan mudah untuk
membiarkan kes sebegini lenyap begitu sahaja. Kami akan berusaha sedaya
upaya untuk memastikan keluarga Allahyarham akan mendapat semula hak
mereka dan bagi kami ini adalah satu perjuangan untuk menegakkan
kebenaran dan kami yakin Tuhan akan senantiasa membantu mereka yang
berada di pihak yang benar. Bagi PEWARIS, adalah menjadi hak kami untuk
mendapatkan penjelasan yang sewajarnya daripada Dato’ Aziz, yang kami
anggap sebagai bakal pemimpin negara suatu hari nanti berkaitan dengan
isu ini. Ini juga bukanlah satu agenda politik yang direncanakan oleh
mana-mana pihak yang ingin membunuh karier politik beliau. Pihak PEWARIS
berasa sedih dan hampa sekiranya benar keluarga Allahyarham telah
diperlakukan dengan sedemikian rupa oleh seorang bakal pemimpin negara
seperti Dato’ Aziz. Ini kerana, seorang pemimpin negara haruslah menjadi
teladan dan pembela kepada rakyat dan bukan sebaliknya. Jika seorang
pemimpin negara tidak mampu untuk berperanan seperti yang diamanahkan,
maka kami khuatir bahawa kita tidak akan lagi dapat menikmati keamanan
dan  keharmonian dalam negara.

Sebagai kesimpulan, PEWARIS tidak pernah dibeli atau disuruh oleh
mana-mana pihak bagi mengenengahkan isu ini ataupun isu-isu lain. Apa
yang kami lakukan adalah berdasarkan prinsip dan kami berpegang kepada
prinsip tersebut. Kami juga ada mengambil beberapa langkah dengan
menggunakan pendekatan orang ketiga bagi menyelesaikan masalah ini namun
kami  tetap menemui jalan buntu. Bagi kami ini merupakan satu
tanggungjawab golongan belia di dalam membantu mencegah sebarang
penyelewengan yang berlaku di dalam negara kita. Di samping itu juga,
kami ingin menyampaikan mesej kepada seluruh pemimpin di dalam negara
bahawa kami akan senantiasa menjadi pemerhati  terhadap setiap
tindak-tanduk mereka yang melampaui batas susila dan sekiranya perlu,
kami akan berjuang habis-habisan untuk mendedahkan sebarang bentuk
penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita, tidak kiralah
dari segi korporat, moral ataupun perundangan. Kami penuh yakin dan
percaya bahawa ini adalah kehendak serta impian setiap rakyat dan
pemimpin di negara kita.

Akhir kata, kami pihak PEWARIS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia
yang ada ditindas, dianiaya, diperlakukan secara tidak adil dan
sebagainya oleh mana- mana pihak yang tidak bertanggungjawab untuk
tampil ke hadapan dengan membuat aduan  terus ke Biro Aduan Masyarakat
yang dikendalikan oleh PEWARIS. Di bawah biro ini, setiap aduan akan
disiasat dan sekiranya kami mendapati aduan itu mempunyai asas serta
bukti- bukti yang kukuh, kami tidak akan teragak- agak untuk
mendedahkannya dan seterusnya dengan sedaya upaya membantu menyelesaikan
permasalahan pihak pengadu.

Semoga Allah senantiasa bersama kami.
Sekian. Wassalam.


Yang Benar,

(ditandatangani oleh)

AZHAR B. HARUN
PENASIHAT,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


AHMAD ANSOR B. MOHD.RIVAI BATUBARA
PRESIDEN,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


ANAS HAFIZ B. MUSTAFFA
TIMBALAN PRESIDEN,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


HASANUL ISYRAF B. NAIM
SETIAUSAHA AGUNG,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


AZWAR B. IBRAHIM
PENOLONG SETIAUSAHA AGUNG,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


MOHD. NURUL HADI B. ABD. WAHAB
BENDAHARI,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


NIK AMRAN B. NIK ABD. RAHMAN
KETUA PENERANGAN,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.


MOHD. IKHBAL B. ABD. RAHMAN
PENOLONG KETUA PENERANGAN,
ANGKATAN PEMUDA WARISAN, MALAYSIA.






 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke