*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


                  May 22, 2000

                  DOTMAI
                  Hishamuddin Rais



                            22 Mei: Kini telah
                            wujud satu obsesi dan
                            ketaksuban di kalangan
                            para menteri untuk
                            menjadikan pelancong
                            asing, terutama yang
                            berkulit putih, sebagai
                            bahan rujukan dalam
                  penggubalan dasar negara.

                  Lihat dan baca berita-berita ucapan
                  para menteri di media arus perdana.
                  Pasti ada diselitkan tajuk berita
                  tentang "pelancong asing
                  tertarik...," "pelancong asing
                  bersetuju...," atau "rancangan
                  pembangunan ini akan menarik
                  pelancong..."

                  Kenyataan seperti ini membuktikan
                  pelancong asing telah dijadikan
                  bahan latar untuk dipertimbangkan
                  apabila kerajaan Dr Mahathir
                  Mohamad merangka dasar negara.

                  Kita sebagai rakyat Malaysia sampai
                  ke satu tahap boleh memahami
                  sikap menghormati tetamu dari
                  dalam atau luar negara. Memang
                  wujud dalam tradisi bangsa-bangsa
                  di Malaysia nilai menghormati
                  tetamu dan musafir. Nilai ini positif.

                  Budaya Melayu sendiri cukup
                  menghormati para tamu. Pernah
                  secara sinis dan ironis dicerpenkan
                  oleh Sasterawan Negara Usman
                  Awang bagaimana satu keluarga
                  Melayu sanggup memberikan "yang
                  terbaik" untuk para tamu.

                  Yang terbaik ini mungkin tidak
                  pernah dinikmati oleh anggota
                  keluarga itu sendiri. Sifat inilah
                  yang sedang dieksploitasi dan
                  disongsangkan oleh kerajaan
                  Mahathir untuk melayani pelancong
                  asing.

                  Jika dihalusi, obsesi songsang ingin
                  "menyenangkan" pelancong asing ini
                  timbul daripada sifat rendah jiwa
                  (inferiority complex) yang telah
                  ditanam oleh tuan penjajah.

                  Umno sebagai sebuah badan politik
                  yang ditaja oleh Inggeris hingga ke
                  hari ini gagal membebaskan naluri
                  hamba yang telah terpahat lama.

                  Nilai-nilai keikhlasan jiwa Melayu
                  terus disongsangkan oleh kerajaan
                  Mahathir untuk mewujudkan naluri
                  hamba Uncle Tom. Nilai jiwa hamba
                  ini bukan hanya diserapkan di
                  kalangan ahli Umno, malah ingin
                  disebarkan untuk seluruh rakyat
                  Malaysia, terutama bangsa Melayu.

                  Sifat Uncle Tom jelas kelihatan
                  apabila kita memerhatikan
                  bagaimana media tempatan
                  membuat laporan tentang pemimpin
                  luar negara (bangsa orang putih)
                  yang "kagum" terhadap
                  "pembangunan bangunan-bangunan
                  tinggi" di Malaysia.

                  Dengan serta merta
                  menteri-menteri dan juak-juak
                  Mahathir akan menjadi burung
                  kakak tua melaungkan kalimah yang
                  sama sebagai bukti "kejayaan"
                  Malaysia.

                  Akhir-akhir ini jiwa hamba Uncle
                  Tom untuk menyenangkan hati
                  pelancong asing telah menjadi lucah
                  dan perverse.

                  Buktinya ialah apabila indek jerebu
                  (air pollutants index atau API)
                  diharamkam daripada pengetahuan
                  umum. Alasan utama pengharaman
                  indeks ini ialah untuk tidak
                  menakut-nakutkan pelancong asing.

                  Jika pelancong asing tahu angka
                  indeks ini, mereka tidak akan
                  datang ke Malaysia. Menurut logik
                  menteri pelancongan, indeks ini
                  akan mencemarkan nama baik
                  negara jika diketahui oleh rakyat
                  asing.

                  Langkah pertama yang diambil
                  (1997) ialah melarang
                  pengkaji-pengkaji alam sekitar
                  sama ada daripada universiti atau
                  kementerian berkenaan daripada
                  membuat laporan terbuka di media
                  massa tentang keadaan jerebu.

                  Lantas, indeks jerebu di laman web
                  rasmi kementerian alam sekitar
                  "terpadam".

                  Sinsalabin! Mahathir pun menjadi
                  burung unta yang menyorokkan
                  kepalanya ke dalam pasir.
                  Sayangnya buntut burung unta
                  beliau yang hitam legam itu masih
                  dapat dilihat oleh rakyat sedunia.

                  Apakah juak-juak Mahathir terlupa
                  bahawa indeks jerebu ini masih
                  boleh diketahui walau kerajaan cuba
                  sembunyikan?

                  Kerajaan Singapura dan Indonesia
                  mengeluarkan indeks jerebu
                  masing-masing.

                  Foto satelit tentang kebakaran di
                  Sumatra dan Borneo masih boleh
                  ditemui dalam internet. Saluran
                  berita 24 jam CNN sentiasa
                  melaporkan cuaca seluruh dunia
                  setiap satu jam.

                  Para pelancong kulit putih yang
                  ingin "ditipu" oleh Mahathir bukan
                  manusia bodoh. Sebelum mereka
                  membeli tiket untuk bercuti, mereka
                  akan menggeledah internet -
                  mencari maklumat tentang negara
                  yang ingin dituju.

                  Pelancong itu bukan hanya mencari
                  maklumat hotel dan cuaca; suhu
                  politik negara yang ingin dilawati
                  juga diambil kira.

                  Disebabkan sikap ingin menjaga
                  "nama baik negara," maka warga
                  negara sendiri telah dinafikan hak
                  untuk mengetahui keadaan
                  sebenarnya tahap jerebu yang
                  melanda negara ini.

                  Maklumat jerebu ini penting dari
                  segi jangka panjang kesihatan
                  umum. Apakah bahaya jerebu untuk
                  kanak-kanak atau untuk orang telah
                  berumur atau untuk ibu yang
                  mengandung?

                  Universiti tempatan dua tahun
                  dahulu menjalankan kajian mereka
                  sendiri. Satu pasukan pengkaji alam
                  sekitar dari Jepun datang membuat
                  kajian khusus tentang implikasi
                  jangka panjang jerebu.

                  Semua bahan kajian telah menjadi
                  senyap sunyi dan tidak
                  diheboh-hebohkan. Hingga ke hari
                  ini belum ada satu kajian rasmi
                  kerajaan tentang jerebu yang
                  diumumkan kepada orang ramai.

                  Apakah ada rashia yang ingin
                  disorokkan oleh kerajaan Mahathir?

                  Bulan ini jerebu sampai lagi. Dari
                  laporan satelit, kebakaran bermula
                  di Sumatra tengah dan di
                  Kalimantan.

                  Sabtu lalu, 150 kawasan kebakaran
                  dikesan dan semalam, 196 kawasan
                  pula dikesan di Sumatera.

                  Di Kuala Lumpur jerebu telah mula
                  melanda dan dapat dilihat dengan
                  jelas. Tetapi warga kota tidak
                  diberitahu tahap indeksnya.

                  Bagaimana pula tahap jerebu di
                  Sabah dan Sarawak, adakah
                  selamat untuk pergi ke sana?

                  Semua ini soalan-soalan asas yang
                  wajib diketahui oleh orang ramai.
                  Sebagai rakyat, kita berhak
                  mengetahui maklumat ini kerana ia
                  melibatkan kesihatan awam.

                  Kerajaan Mahathir yang mengakui
                  telah dipilih oleh pengundi
                  setidak-tidaknya wajib memberikan
                  maklumat, walau pun secara
                  menyorok-nyorok, kepada para
                  pengundi mereka. Mahathir
                  sepatutnya menyelamatkan
                  pengundi dan juak-juaknya daripada
                  bahaya serangan jerebu.

                  Jumlah penyokong dan pengundi
                  Mahathir semakin berkurangan. Jika
                  mereka satu demi satu jatuh mati
                  sesak nafas diserang jerebu pasti
                  akan menggoncangkan kedudukan
                  Mahathir sendiri!

                  Tetapi sebagai Uncle Tom yang
                  tulen, Mahathir Mohamad dan
                  juak-juaknya akan meneruskan
                  obsesi menghambakan diri kepada
                  tuannya - para pelancong asing.

                  Ratusan tahun dahulu, datuk nenek
                  moyang kita telah memberi ingatan
                  bahawa satu ketika nanti akan
                  muncul di tanah air kita
                  manusia-manusia berperangai
                  seperti Mahathir.

                  Amaran ini telah disampaikan
                  melalui pepatah "dagang lalu
                  ditanakkan, kera di hutan
                  disusukan, anak di rumah mati
                  kelaparan."


                  HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang
                  manusia baru dengan roh yang
                  bebas. Pendukung dan pengembang
                  asal mazhab NGI
                  (non-governmental individual).
                  Dipengaruhi oleh fahaman Marxis
                  jenis Groucho. Lulusan dari sekolah
                  pemulihan pemikiran politik seperti
                  Melbourne Tellamarine Center,
                  Bombay Arthur Road, Ayer Molek
                  dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI
                  beliau akan menulis isu-isu politik
                  semasa, filem, seksualiti hingga
                  kepada isu estetika kebosanan
                  hidup





 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke