PAS amat perlukan pakatan BA
Ahmad Lutfi Othman

Muktamar tahunan PAS di Terengganu yang bermula Jumaat ini tentunya mengingatkan pendukung parti itu tentang muktamar pertama yang diadakan di Rusila, Terengganu, 13 tahun lalu selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya umum 1986.

Namun suasana kali ini jauh berbeza. Bukan saja tempat persidangan tidak lagi di Masjid Rusila, tetapi mood perwakilan tidak lagi tegang seperti muktamar 1987 yang menyaksikan pemulauan PAS terhadap akhbar-akhbar utama yang menyerang parti itu dengan begitu hebat semasa kempen 1986.

Ingat lagi kempen �lidah bercabang pemimpin PAS', isu �parti Allah' dan �penghapusan hak istimewa orang Melayu'. Manakala semua wartawan arus perdana dilarang keras daripada mengikuti muktamar di Rusila!

Muktamar 2000 dijangka berlangsung penuh ceria dengan suasana pemimpin PAS saling mengucap tahniah antara satu sama lain atas kejayaan cemerlang pilihan raya lalu. Segala keperitan selama ini, khususnya bermula era kepimpinan ulamak 1982, terubat sudah.

Ia bertambah manis dengan penguasaan mutlak PAS di negeri kaya minyak itu. PAS kini mampu mendakwa mereka mewakili majoriti orang Melayu, mengambil alih kedudukan Umno sejak merdeka.

Di Terengganu, dalam pilihan raya lalu, PAS memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri, dan membolot semua lapan kerusi Parlimen (termasuk Kemaman yang ditandingi calon keADILan).

Di seluruh negara, PAS menguasai 98 kerusi DUN dan 27 Parlimen, satu catatan prestasi terbaik PAS sejak menyertai pilihan raya 1955.

Tiada negeri ketiga buat PAS

Sebagai bandingan, di Terengganu, pada 1986, PAS kalah semua kerusi Parlimen dan menang hanya dua kerusi DUN. Di peringkat pusat, PAS hanya berjaya mempertahankan kerusi Pengkalan Chepa di Kelantan. Nik Aziz Nik Mat, sekarang Menteri Besar Kelantan, turut kecundang di Bachok.

Muktamar PAS tahun ini diadakan tanpa pemilihan kepemimpinan parti. Berbeza dengan Umno yang menyaksikan pemilihan tiga tahun sekali, PAS memilih pemimpinnya lebih kerap, iaitu setiap dua tahun. Paling akhir pemilihannya pada 1999.

Justeru, perbahasan perwakilan kali ini mungkin lebih bertumpu, selain menganalisis keputusan pilihan raya lalu, juga menggariskan agenda besar PAS di alaf baru ini.

Selepas PAS menawan Kelantan pada 1990 dan Terengganu sedekad kemudian, kini parti Islam itu terpaksa berdepan dengan cabaran yang lebih getir. Dari segi komposi penduduk, hanya untuk dua negeri itu, PAS dapat bergantung sepenuhnya dengan pengundi Melayu. Tiada lagi negeri ketiga yang PAS dapat tawan jika ia hanya mengharapkan sokongan orang Melayu.

Sememangnya pilihan raya 1999 menyaksikan dominasi PAS (dan juga keADILan) ke atas pengundi Melayu. Di peringkat Parlimen, daripada 25 kerusi yang mempunyai pengundi Melayu melebihi 90 peratus, Barisan Alternatif menang di 21 kerusi, sedangkan Umno hanya empat.

DAP pula, walaupun prestasinya tidak cukup membanggakan, tetapi bagi enam kawasan Parlimen yang pengundi Cina melebih 90 peratus daripada jumlah pengundi, DAP memenangi lima.

Pencapaian BA di kawasan campuran begitu ketara sekali kelemahannya. Misalnya bagi kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Melayu antara 30 hingga 70 peratus, yakni sebanyak 74 kerusi Parlimen, pakatan alternatif itu hanya menang tiga sahaja!

Di satu peringkat, PAS boleh berbangga dengan sokongan pengundi Melayu kepadanya, sehinggakan bekas ahli MT Umno, Dr Affifuddin Omar menganggarkan lebih 70 peratus pengundi Melayu menolak Umno. Manakala Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid memberikan angka 64 peratus.

Dan bayangkan di Terengganu, daripada 32 kerusi DUN, 20 daripadanya (yakni lebih separuh) mempunyai peratusan pengundi Melayu lebih 98 peratus! Dan sembilan kerusi lagi pengundi Melayu melebihi 92 peratus. Tiga kerusi selebihnya ialah Chukai (Melayu, 79.19 peratus), Sura (Melayu, 87.44) dan Bandar (Melayu, 60.18).

Justeru, bagi melebarkan pengaruh PAS khususnya di Pantai Barat, tidak dapat tidak, satu pendekatan baru yang lebih harmonis dengan pengundi bukan Melayu mesti dicari segera.

Namun ia tidak harus dilihat hanya mempunyai matlamat politik jangka pendek kerana tanpa strategi yang tepat dan bijaksana tidak mustahil pengundi Cina akan mempersoalkan kejujuran PAS.

Bukan Melayu belajar dekati PAS

Misalnya jika PAS Kedah (negeri Presidennya, Datuk Fadzil Mohd Noor) berhasrat menawan kubu Presiden Umno di utara Semenanjung itu, langkah mendekati pengundi Cina tidak wajar dilakukan bermusim, yakni hanya menjelang tarikh pilihan raya nanti.

Pix by COLIN NICOLAS

Kedah dikatakan negeri ketiga paling kuat pengaruh PAS, selepas Kelantan dan Terengganu. Kekuatan asas di negeri utara itu tidak kurang dari 35 peratus jumlah keseluruhan pengundi.

Di Kedah, dari 36 kerusi DUN, hanya separuh darinya (18 kerusi) mempunyai pengundi Melayu lebih 85 peratus. Dan dalam pilihan raya umum November lalu, PAS memenangi 12 darinya. Di peringkat Parlimen, PAS memenangi lapan kerusi dan hanya dua orang calonnya (selebihnya ditandingi parti lain dalam BA) kalah kepada Umno - di Langkawi dan Kubang Pasu.

Umno pula hanya berjaya menguasai lima kerusi Parlimen di Kedah.

Semuanya itu mendesak kepemimpinan PAS agar lebih ikhlas dan jujur menangani kerencaman komposisi pengundi di Malaysia.

Tindakan Jawatankuasa PAS Pusat menangguhkan perbincangan mengenai keahlian anggota bukan Islam disambut baik banyak pihak, apatah lagi dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS, Haji Hadi Awang bahawa golongan bukan Islam yang berminat dengan PAS boleh saja menyertai DAP kerana semua komponen parti bergerak atas nama BA.

PAS harus menyedari bahawa orang bukan Melayu baru saja belajar mendekati PAS, maka janganlah ditimbulkan isu-isu sensitif yang mungkin mengganggu keghairahan yang sedang berputik itu.

Sementara Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dilihat semakin mendekati konsep perjuangan Negara Islam PAS (rujuk kenyataannya di Australia minggu lalu), pemimpin PAS pula wajar lebih terbuka membincangkan isu-isu sensitif ini, bermula dari sekarang, dan tidak menunggu hingga saat-saat akhir tarikh pilihan raya diisytiharkan.

Jika PAS sudah bersedia mengkaji semula larangannya terhadap calon wanita untuk bertanding pilihan raya, mungkin lebih banyak lagi perubahan dapat dibuat dalam rangka menghadapi realiti baru politik Malaysia.

Perkara ajaib kelapan

Kerjasama PAS-DAP - yang pernah disifatkan Ahli Parlimen PAS, Mohamad Sabu sebagai "perkara ajaib kelapan" selepas tujuh benda ajaib di dunia - harus terus dimantapkan.

PAS juga diharap dapat menggerakkan dengan lebih cergas lagi Sekretariat Barisan Alternatif. Inisiatif awal tertanggung di atasnya, khususnya merealisasikan sistem dua parti, bagi menyuntik keyakinan baru di kalangan pengundi bahawa pakatan alternatif itu sememangnya satu alternatif terbaik kepada Barisan Nasional.

Pemimpin PAS juga perlu membuktikan �keberanian' mereka untuk bereksperimen dalam pentas politik yang sentiasa berubah ini.

Presidennya, Ustaz Fadzil Mohd Noor telah merintis jalan melalui kerjasama politik dengan Semangat 46 pada 1990, bagi membentuk Angkatan Perpaduan Ummah, yang kemudiannya bekerjasama dengan DAP melalui Gagasan Rakyat, yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah.

Tiada lagi keyakinan palsu bagi sesetengah ahli-ahli PAS bahawa parti itu dapat memerintah negara ini secara bersendirian.

Penubuhan GERAK yang menggabungkan parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditahan ISA pada September 1998 membuka laluan kepada cetusan idea Barisan Alternatif.

Dan perkembangan selepas pilihan raya lalu menunjukkan Majlis BA tetap aktif meskipun tiada liputan media terhadapnya.

Berbanding BN yang hanya mengadakan mesyuarat dua kali setahun, BA lebih berpotensi bergerak secara kesatuan. Pilihan raya Sanggang membuktikan bagaimana petugas DAP di bandar Mentakab berkempen habis-habisan, siang dan malam, seolah-olah calon yang bertanding bukannya Datuk Hishamuddin Yahaya tetapi Lim Kit Siang sendiri!

Selama ini, ramai pemerhati politik membuat tanggapan, kepemimpinan PAS yang datang dari Terengganu mempunyai pendekatan politik agak radikal, dan sukar bekerjasama dengan pihak luar seperti S46 suatu waktu dulu. Tetapi kini ia nampak berubah.

Kit Siang dan Hadi Awang boleh berpelukan, manakala program pertama dialog dengan kerajaan Terengganu di Kuala Lumpur dibuat atas inisiatif DAP sendiri di Dewan Perhimpunan Cina.

Sesungguhnya potensi dan masa depan BA banyak ditentukan oleh sikap kepemimpinan PAS mendepani cabaran semasa dan halangan masa depan. Tanggungjawab ini diakui berat tetapi perlu ditangani sebaik mungkin.

Nota: Malaysiakini akan melaporkan Muktamar PAS mulai esok hingga Ahad dari Kuala Terengganu.


AHMAD LUTFI OTHMAN, bekas pengarang majalah Detik yang diharamkan, merupakan penulis politik yang prolifik, selain pengarang dan penerbit bahan-bahan bacaan yang berani berdepan dengan Kementerian Dalam Negeri. Beliau juga merupakan bekas pengarang Harakah dan aktivis pelajar.

COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.

Kirim email ke