June 1, 2000
Polis 'pengganas bertopeng undang-undang'
Fathi Aris Omar
1:30pm, KHA: PAS hari ini mengecam pasukan polis yang bertindak tidak profesional dalam beberapa kes mutakhir sebagai pengganas yang berselindung di sebalik penguatkuasaan undang-undang. Parti itu juga mempertikaikan tindakan polis di luar batas perikemanusiaan dan lunas-lunas demokrasi.
"Tindakan-tindakan tidak profesional polis ini umpama terrorist (pengganas) bertopengkan undang-undang apabila mereka begitu bengis dengan rakyat yang berjuang menuntut keadilan," kata Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar, dalam ucapan dasar Muktamar Dewan Pemuda ke-41 pagi ini.
Beliau menyebut contoh kejadian mata lebam bekas timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekasaran polis terhadap peserta perhimpunan aman, layanan di luar batas kemanusiaan terhadap tahanan dan sekatan terhadap hak berceramah parti-parti pembangkang.
"Semua ini menjadikan rakyat terbelenggu dan seolah-olah berada di 'negara polis' dengan restu pemimpin-pemimpin Barisan Nasional," katanya lagi dalam ucapan bertajuk 'Mengasak Perjuangan.'
Dalam ucapan yang sama, Mahfuz menuntut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan awam terhadap kewibawaan sistem undang-undang negara ini.
"Kes-kes yang dipertikaikan keadilannya mesti dibuka semula," katanya, sambil menyebut beberapa kes, antaranya bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Tamby Chik, wakil rakyat DAP Lim Guan Eng, peguam Zainur Zakaria, peguam Karpal Singh dan Anwar.
Selain itu juga, dalam ucapan itu, Suhakam disaran menyiasat kes pembunuhan di Memali, pemecatan Mufti Selangor Datuk Ishak Baharom, pengharaman majalah Detik, penggantungan permit akhbar Eksklusif dan tindakan tidak demokratik terhadap penyokong parti pembangkang.
Dalam ucapan yang sarat dengan pesanan kepada Pemuda PAS dan ulasan terhadap isu-isu semasa, Mahfuz juga membangkitkan isu-isu agama yang sememangnya menjadi tradisi parti Islam.
Mahfuz menyifatkan gesaan perwakilan Umno agar nama Islam digugurkan daripada parti itu sebagai langkah yang terdesak dan �benak'. Beliau juga menuduh parti kerajaan itu melumpuhkan institusi masjid apabila tidak membenarkan ia digunakan oleh beberapa ulama untuk menyampaikan majlis-majlis ilmu.
Ahli Parlimen itu mempertikaikan sikap kerajaan yang menubuhkan Majlis Tindakan Islam Nasional (Matin) untuk menyekat kebebasan ulama tetapi pada waktu yang sama membiarkan gadis-gadis Islam menukar agama.
Menurut satu sumber rasmi, kata Mahfuz, Jabatan Pendaftaran Negara melaporkan terdapat 795 permohonan untuk menukar nama Islam kepada bukan Islam.
Muktamar dewan itu diadakan di Dewan Tuanku Abdul Rahman, serentak dengan muktamar-muktamar Dewan Ulama dan Dewan Muslimat di dua tempat berasingan.
Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang.
Esok mesyuarat utama diadakan di Stadium Negeri dan akan dirasmikan oleh Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor. Ia akan berlangsung sehingga Ahad ini.
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Send instant messages & get email alerts with Yahoo! Messenger.
