*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* { Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net } { Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] } { Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] } *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~* PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ June 1, 2000 TANAHAIRKU MT: Siapa pilihan Mahathir? Kuasa untuk melantik dan memecat ahli Majlis Tertinggi terletak sepenuhnya di tangan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Dalam perlantikan-perlantikan lalu, beliau menggunakan sepenuhnya budi bicara sendiri untuk memilih calon-calon yang dirasakannya layak untuk mengisi 10 kekosongan dalam jawatan tersebut. Perlembagaan Umno memperuntukkan 35 kerusi MT - 25 daripadanya diisi melalui pemilihan dalam perhimpunan agung manakala 10 lagi dilantik oleh Presiden. Kini Dr. Mahathir sedang berkira-kira siapa yang layak dilantik bagi mengisi 10 kekosongan itu. Katanya, tidak semestinya perlantikan itu diumumkan dalam mesyuarat MT pada 5 Jun depan. Dr. Mahathir kini mahu berunding dengan timbalannya, Datuk Seri Abdullah Badawi dahulu mengenai perlantikan tersebut. Seorang tokoh yang rapat dengan ibu pejabat Umno berkata, sebenarnya tidaklah terlalu sukar bagi Dr. Mahathir memilih tokoh-tokoh yang sesuai kerana terdapat senarai panjang mereka yang layak dilantik. "Dilema beliau sekarang ialah untuk memilih yang terbaik dengan tidak menyinggung mana-mana pihak terutama para penyokong di peringkat akar umbi. Beliau terpaksa membuat perkiraan teliti bagi mengelakkan tohmahan bahawa semua yang dilantik adalah orang kuatnya," kata sumber.. Menurutnya lagi, Presiden Umno perlu memilih tokoh-tokoh yang dapat membantunya menguatkan kembali parti yang semakin reput itu. Tokoh-tokoh yang dilantik hendaklah mereka yang diterima oleh akar umbi, bukannya mereka yang hanya tahu mengiyakan kata-kata Presiden sahaja. Sebanyak 25 kerusi telah diisi mengikut selera atau kehendak para perwakilan. Pemilihan itu dilihat menggambarkan kehendak akar umbi yang mahukan perubahan dalam parti. Beberapa tokoh kontroversi yang pernah tersisih daripada arus perdana politik Umno seperti Datuk Shahrir Samad dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi terpilih. Pemilihan mereka tidak mengejutkan kerana Umno sedang dilanda arus baru. Sentimen dalam parti mahukan perubahan besar pada pucuk pimpinan tetapi hasrat ahli Umno untuk melihat perubahan yang ketara tidak tercapai apabila MT "menasihatkan" jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan. Walaupun terdapat percubaan untuk mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Presiden atau Timbalan Presiden, namun semua usaha itu tidak berhasil. Ku Li tidak mendapat jumlah pencalonan yang mencukupi dan akhirnya beliau tercicir. Beliau juga gagal bertanding jawatan Naib Presiden walaupun meraih 17 pencalonan. Ku Li dilarang bertanding atas sebab -sebab teknikal. Oleh itu, para perwakilan yang tidak puas hati dengan "nasihat" itu membuat perubahan dalam barisan MT. Hasilnya, tokoh seperti Shahrir dan Zahid terpilih. Malah Datuk Hassan Ariffin, bekas Timbalan Menteri Besar Pahang yang rapat dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memenangi MT. Tidak cukup dengan itu, perwakilan juga menolak tokoh-tokoh yang difikirkan rapat dengan Presiden. Datuk Megat Junid Megat Ayub, Datuk Shahidan Kassim, Datuk Hamid Pawanteh dan ramai lagi tokoh yang dilihat sebagai "pak turut" tewas dalam pemilihan tersebut. Berdasarkan senario ini, Mahathir mungkin terpaksa mengenepikan beberapa tokoh yang disenanginya - misalnya Megat Junid, Shahidan, Datuk Isa Samad, Datuk Osu Sukam dan Datuk Abu Hassan Omar - daripada senarai ahli MT yang bakal dilantik. Osu tidak perlu dilantik kali ini kerana sudah terdapat ramai wakil Sabah dalam MT. Datuk Lajim Okin, Datuk Shafie Afdal dan Datuk Salleh Said Keruak sudah memadai untuk mewakili suara negeri itu . Menurut sumber pejabat Umno lagi, Menteri Besar dan Ketua Menteri tidak patut dilantik kerana status mereka sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri sudah melayakkan mereka menghadiri semua mesyuarat MT. Tokoh-tokoh lain yang tidak mempunyai saluran untuk menghadiri mesyuarat MT wajar dipertimbangkan oleh Presiden. Selain itu tindakan melantik mereka yang telah ditolak oleh perwakilan akan dilihat sebagai membelakangkan kehendak ahli-ahli parti. Presiden perlu mengambil kira arus perubahan yang sedang melanda parti itu. Mahathir mesti sedar walaupun gelombangnya belum cukup kuat untuk menumbangkannya, namun ia akan menjadi api dalam sekam yang boleh memakan dirinya jika tidak ditangani dengan baik. Oleh itu beberapa tokoh baru yang bersih dan "segar" perlu dicari. Antara tokoh-tokoh yang disebut-sebut akan dilantik ialah Datuk Idris Jusoh dari Terengganu. Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri. Bekas Timbalan Menteri Perusahaan Awam ini dilihat sebagai tokoh yang mampu untuk memulihkan Umno di Terengganu. Beliau dilihat sebagai seorang yang bersih dan boleh bekerja. Idris tidak membawa stigma Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dalam permainan poilitiknya. Seorang lagi tokoh yang disebut-sebut bakal dipilih oleh Dr. Mahathir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Syed Razak Syed Zain. Beliau tidak bertanding dalam pemilihan agung lalu dan sebagai seorang menteri besar yang baru, beliau perlu dilantik ke MT sebagai pengesahan terhadap kedudukannya. Pemerhati politik Umno juga menjangkakan dua tokoh yang tewas dalam pemilihan Naib Presiden - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman - akan terpilih. Rais diperlukan kerana beliau adalah seorang pakar undang-undang. Nasihat dan ideanya diperlukan Umno. Ghani pula dilihat sebagai cendekiawan dalam parti. Oleh itu beliau diperlukan bagi mendapatkan input intelektual. Selain daripada nama-nama tersebut, tokoh-tokoh pergerakan Wanita Umno seperti Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman, Datuk Shahrizat Jalil dan Dr. Noraesah Mohamad juga disebut-sebut akan terpilih. Zaharah perlu dilantik jika Dr. Mahathir mahu menjaga hati para penyokong bekas Ketua Wanita itu. Kekalahannya dengan 12 undi dalam pemilihan baru lalu membuktikan pengaruh beliau masih kuat. Dr. Mahatahir juga perlu melantik Zaharah bagi membuktikan beliau benar-benar serius untuk menyatukan ahli-ahli Umno. Perpecahan dalam Wanita ekoran dari tindakan ketuanya, Datuk Seri Rafidah Aziz memancung pengikut Zaharah dalam perlantikan jawatan ketua-ketua wanita negeri perlu diubati. Shahrizat dan Dr. Noraesah mungkin dilantik untuk mengisi kekosongan wakil wanita dalam MT. Semua calon wanita tewas dalam pemilihan MT lalu. Perwakilan wanita telah mendesak Presiden supaya beberapa wakil mereka dilantik. Mahathir tidak boleh lari daripada menimbangkan desakan itu Para pemerhati politik juga mengingatkan bahawa Presiden mungkin akan membuat kejutan apabila melantik ahli-ahli MT. Jangan terperanjat, misalnya Ku Li atau bekas penyakong kuat Anwar, Datuk Afiffuddin Omar terpilih walau mereka menunjukkan sikap menentang Dr. Mahahthir. Walaupun kedua-duanya tidak begitu disenangi, namun pemilihannya akan dapat membantu membersihkan dan memulihkan imej Perdana Menteri. Dr. Mahathir boleh menunjukkan kepada ahli Umno bahawa beliau tidak berdendam dan lebih mengutamakan parti daripada perasaannya sendiri. Selain itu jika Dr. Mahathir bercadang untuk membawa lebih ramai orang-orangnya dalam MT, mungkin perlantikan Ku Li dan Dr. Affifuddin dapat mengimbangi pemilihan berat sebelah beliau itu. Selain spekulasi mengenai pelantikan MT, mesyuarat pertama majlis itu pada 5 Jun depan juga dijangka akan membincangkan perlantikan Ketua Penerangan Umno yang baru. Jawatan itu dulu disandang Datuk Dr. Yusof Noor. Nama yang disebut-sebut akan mengambil alih jawatan ialah Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohamad Mohd Taib. Memandangkan beliau adalah Naib Presiden sepenuh masa dan rapat dengan akar umbi, jawatan itu dirasakan sesuai untuknya. Mahathir terkenal dengan sikapnya yang suka membuat kejutan. Oleh itu kemungkinan ini tidak boleh ditolak. AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerja sebagai "pelapor berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi wartawan bebas bagi mencari wadah perjuangan yang lebih terbuka dan berkesan. ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB) ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB) ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan ) ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net ) ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] ) ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>