*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
COLUMNS
June 6, 2000
DOTMAI
Hishamuddin Rais
Mencari bom maut 'Cluster'
Apabila membaca berita
pengunduran tentera
Isreal dari Selatan
Lebanon minggu lepas,
ingatan saya kembali
kepada Sungai Litani yang
memisahkan Lebanon
dengan kawasan yang
dikuasai oleh tentera
boneka Isreal. Di
tahun-tahun 1970-an, sungai itu
menjadi focal point - di mana para
wartawan dunia akan memulakan
laporan berita mereka mengenai
keadaan politik dan perang saudara
di Lebanon.
Bagi saya, tahun-tahun itu adalah
zaman romantis walau disadur oleh
pelbagai pancaroba. Generasi muda
di seluruh dunia ketika itu sedang
ghairah berjuang untuk melahirkan
sebuah dunia baru. Jika dunia ini
seorang insan, maka 70-an ibarat
zaman remaja dan ia baru
mengalami cinta pertama.
�Percintaan' inilah yang membawa
saya ke Selatan Lebanon pada
permulaan musim bunga 1977. Tiga
bulan sebelum ini, Isreal telah
menyerang Selatan Lebanon secara
besar-besaran. Puluhan rakyat biasa
tewas dan ratusan lagi melarikan
diri. Hasrat tentera Isreal untuk
menumpaskan gerila Palestin
daripada terus menyerang negara
haram itu telah gagal.
Saya diajak ke Selatan Lebanon
oleh Mahmoud, seorang pegawai
dari Jabatan Penerangan PLO
(Pertubuhan Pembebasan Palestin).
Dengan sebuah kereta dan dua
orang anak muda sebagai pengawal
bersenjata, kami memulakan
kembara melalui jalan besar di
pesisir Laut Tengah. Jalan induk ini,
mengikut Mahmoud, berterusan dari
Beirut hingga ke Tel Aviv.
Di kiri kanan jalan saya melihat
rumah dan bangunan yang runtuh
akibat serangan bom. Kapal terbang
Phantom menyerang dari udara dan
kapal laut Isreal membedil ke
daratan. Rumah-rumah nelayan
ditinggalkan kosong. Restoran dan
pekan-pekan kecil tidak kelihatan
orang lagi.
Sebelum menghampiri Sungai Litani,
kami berhenti di tepi sebuah
bangunan yang telah roboh akibat
serangan udara. Saya masuk ke
dalam runtuhan itu untuk melihat
dengan lebih dekat lagi. Di
tengah-tengah bangunan ini
terpacak sebutir bom sepanjang
lima kaki sebesar batang pinang.
Menurut Mahmoud, bom ini tidak
meletup kerana ia digugurkan
terlalu dekat dengan sasaran.
Apa yang kami cari ialah bom
Cluster - satu jenis bom buatan
Amerika yang paling berbahaya dan
diharamkan penggunaannya.
Lebanon, menurut kenyataan PLO,
dijadikan makmal untuk menguji
bom jenis ini. Isreal berkeras
menafikan bahawa bom jenis ini
telah digugurkan di Selatan
Lebanon. Dan kami dari Jabatan
Penerangan PLO datang untuk
mencari bahan bukti.
Kami meneruskan perjalanan ke
arah Isreal. Dari jauh saya
ternampak soldadu-soldadu
berberet biru. Saya telah mengenali
beret ini semenjak di sekolah
rendah lagi kerana abang ipar saya
pernah bertugas sebagai soldadu
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu
di Congo. Beret biru ini masih
tergantung di ruang tamu rumah
kami sebagai tanda
kenangan-kenangan.
Seorang soldadu Perancis yang
lengkap bersenjata datang dan
menahan kereta kami. Tiga orang
lagi tercegat, bersedia dengan
senjata, memerhatikan dari khemah
mereka. Kami sedar bahawa kami
tidak akan dibenarkan menghampiri
Sungai Litani. Tidak mungkin kereta
kami melintasi jalan yang telah
dipagari dengan besi berpaku yang
merintangi jalan raya itu.
Kami berundur dan mengambil jalan
kecil memasuki kawasan kampung.
Tidak pernah saya melihat
keindahan alam seperti musim
bunga di kawasan Laut Tengah.
Bunga-bunga liar bertaburan.
Rumput-rumput bangun menghijau
sesudah tiga bulan tidur ketika
musim sejuk. Pucuk-pucuk di ladang
limau kelihatan merah membakar.
Saat romantis seperti ini
mengingatkan saya pada Khalil
Gibran. Apakah saya sedang
melintasi kampung dan lembah
dusun angggurnya? Apakah lembah
hijau yang subur ini telah memahat
jiwa halus seorang insan untuk
melahirkan sebuah puisi? Bumi
seindah ini pasti menjadi mata air
di tengah gurun untuk kelahiran
sajak-sajak sufinya.
Kemudian kami sampai ke sebuah
perkampungan. Di antara pokok
pisang dan pokok anggur, saya
ternampak dua buah rumah yang
telah roboh. Sebaik saja kami
berhenti, dua orang petani Arab
datang menyambut kami. Saya tidak
faham apa yang dibualkan antara
mereka dengan Mahmoud. Tiba-tiba
muncul dua orang anak kecil dan
ibunya.
Bagi saya orang kampung di
mana-mana di dalam dunia ini
serupa saja. Penanam padi atau
penanam anggur semuanya berhati
ikhlas. Mereka mempelawa kami
minum teh dahulu sebelum kami
dibawa melihat dua buah rumah
yang telah runtuh. Rumah itu milik
jiran mereka. Seorang anak muda
telah syahid di rumah ini. Ahli-ahli
keluarga yang lain melarikan diri ke
Beirut.
Di kawasan rumah runtuh ini,
barulah dapat kesan bencana bom
Cluster. Kami menemui bangkai
bom ini berhampiran dengan kebun
pisang. Bom sebesar batang pinang
itu panjangnya lima kaki. Ia
meletup sebelum sampai ke bumi.
Apabila meletup, badannya akan
terbuka. Dari badannya, keluar
biji-biji besi sebesar bola tenis.
Bola-bola besi ini akan
berterbangan mencari sasaran.
Dalam masa beberapa saat, bebola
besi ini akan meletup sekali lagi
dan akan berterbangan keluar
besi-besi halus tajam berbentuk
bintang berbucu tiga.
Di dalam runtuhan rumah ini, saya
melihat berbaris-baris besi-besi
halus berbentuk bintang berbucu
tiga yang tercacak tajam di dinding.
Bintang besi yang terbang
berpusing-pusing ini adalah senjata
maut. Apa saja yang dilanggarnya
akan terputus. Kepala atau badan si
mangsa jika dilanda oleh besi halus
ini boleh terputus. Saya ternampak
batang-batang pisang yang terputus
akibat serangan bom ini.
Kami mengambil satu bangkai
Cluster dan beberapa bebola besi
untuk dibawa pulang ke Beirut
sebagai bahan bukti.
Mahmoud kemudian mengarahkan
pemandunya membawa kami ke
sebuah lagi perkampungan di lereng
bukit. Orang kampung ini membawa
kami melihat tiga buah rumah
pasang siap yang telah ditinggalkan
tentera Isreal. Rumah dua bilik ini
sengaja ditinggalkan - mungkin
sebagai alat perang saraf. Atau
sebagai tanda bakti mereka
terhadap penduduk kampung ini.
Mahmoud kemudian cuba
mencungkil logo syarikat yang
membuat rumah ini untuk dibawa
pulang ke Beirut. Semasa Mahmoud
mengopek logo itu, seorang petani
datang dan bertanya kepada
Mahmoud, apakah nanti Isreal akan
marah apabila melihat rumahnya
telah terkopak?
Mahmoud tergamam mendengar
soalan itu. Tetapi saya tidak hairan
kerana inilah sifat peperangan -
tentera berperang tetapi orang
biasa terperangkap di
tengah-tengah.
Dari kampung ini, kami mengambil
satu lagi jalan kecil untuk pulang ke
Beirut. Di sini saya menyaksikan
kebusukan perangai soldadu Isreal.
Di tengah-tengah jalan kelihatan
tiga buah kereta yang telah kemek
menjadi papan akibat dilanggar
kereta kebal. Kain baju bertaburan.
Ia adalah kereta penduduk kampung
yang ingin melarikan diri daripada
serangan udara Isreal tapi mereka
bertembung dengan pasukan kereta
kebal.
Minggu lepas, saya melihat berita
pengunduran Isreal dari Selatan
Lebanon di CNN. Saya teringat
kembali lembah-lembah hijau dan
penduduk kampung yang pernah
saya temui di Selatan Lebanon.
Bendera-bendera Hizbullah dan
bendera merah Parti Komunis
Lebanon kelihatan berkibaran.
Orang kampung beratur di jalan
raya menyambut kedatangan
mereka.
Saya tersenyum puas kerana 23
tahun dahulu saya juga telah
melintasi jalan yang sama. Dunia
baru yang kami harapkan telah
lahir. Dunia romantis 1970-an telah
berlalu dan mendewasa.
________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "aziz osman" <[EMAIL PROTECTED]>