*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


                  June 12, 2000

                  DOTMAI
                  Hishamuddin Rais

                Manusia telah berpesta sejak
                  wujudnya tamadun. Lukisan yang
                  ditemui di gua-gua batu atau galian
                  kaji purba membuktikan manusia
                  telah berpesta. Mereka berpesta
                  kerana pelbagai desakan dan sebab.

                  Apa yang terbukti daripada
                  bahan-bahan kuno ini ialah manusia
                  telah mengadakan pesta-pesta
                  kerohanian untuk merayakan
                  kehidupan mereka. Berpesta juga
                  adalah sebahagian daripada
                  falsafah untuk memaknakan
                  kehidupan itu sendiri.

                  Berpesta bererti bergembira untuk
                  merayakan sesuatu. Sesuatu yang
                  dirayakan ini lama-kelamaan
                  menjadi tradisi dan akhirnya
                  menjadi seni budaya kehidupan.

                  Contohnya masyarakat di Sarawak
                  merayakan Gawai (atau di Sabah
                  disebut Kaamatan) - pesta musim
                  menuai - sebagai satu tarikh yang
                  wajib disambut dengan penuh
                  kegembiraan. Setelah bertungkus
                  lumus berhuma di ladang, seluruh
                  ahli masyarakat bergembira
                  beramai-ramai untuk menyambut
                  dan menikmati hasil titik peluh
                  mereka.

                  Masyarakat pesawah di
                  Semenanjung pula mengadakan
                  kenduri untuk "berasa'' nikmat beras
                  baru. Manakala masyarakat di
                  Pantai Timur yang saban hari
                  menempuh gelora badai laut
                  mengadakan pesta puja pantai
                  untuk menyahkan diri daripada
                  kecelakaan. Sambil berpesta,
                  nelayan berdoa agar mendapat
                  rezeki tangkapan yang lumayan.

                  Apa yang jelas daripada
                  sambutan-sambutan ini ialah
                  pertalian yang rapat antara
                  persekitaran alam dan asas
                  ekonomi dengan budaya berpesta.
                  Kedua-dua unsur inilah yang
                  bertanggungjawab menjana
                  kelahiran pesta itu.

                                  Baru-baru ini di
                                  ibukota diadakan
                                  Pesta
                                  Warna-warni
                                  Malaysia. Sehari
                                  sesudah pesta
                                  ini berlangsung,
                  Menteri Kebudayaan, Kesenian dan
                  Pelancongan Datuk Abdul Kadir
                  Sheikh Fadzir menyuarakan rasa
                  tidak berpuas hati terhadap badan
                  korporat dan syarikat perhotelan
                  kerana tidak memberikan sokongan
                  yang diharap-harapkan.

                  Kenyataan menteri ini hanya
                  sebahagian daripada cerita.
                  Sebahagian lagi ialah warga Kuala
                  Lumpur sendiri tidak bersama untuk
                  "berpesta" mewarnai Malaysia
                  anjuran rasmi kerajaan itu.

                  Kerajaan diberitakan telah
                  membelanjakan ratusan ribu ringgit
                  untuk mementaskan pesta ini.
                  Tetapi kenapa ia masih menemui
                  kegagalan?

                  Untuk memahami kegagalan Pesta
                  Warna-warni Malaysia, kita mesti
                  melihat kembali Pesta Flora
                  Malaysia yang telah menjadi arwah.
                  Kedua-dua pesta ini mempunyai
                  banyak persamaan.

                  Pertama, pesta flora diadakan
                  bukan kerana rakyat atau warga
                  kota ingin berpesta untuk
                  merayakan kehidupan mereka.
                  Tetapi ia dipentaskan khusus untuk
                  menghiburkan mata dan kamera
                  pelancong luar negara.

                  Justeru, pesta ini tidak lahir
                  daripada hukum dan syarat alam
                  persekitaran, budaya dan asas
                  ekonomi warga kota itu sendiri.
                  Pesta-pesta ini diwujudkan dengan
                  harapan pelancong akan tertarik
                  dengan bunga-bunga tempatan.
                  Harapan ini jelas meleset.

                  Pesta flora bukan Pertunjukan
                  Bunga Chelsea di London yang
                  menjadi tumpuan peminat bunga
                  dari seluruh dunia.

                  Rakyat Malaysia tidak mempunyai
                  budaya estetika meminati
                  keindahan bunga hidup. Dari kelas
                  atasan ke golongan korporat ke
                  kelas menengah hinggalah ke
                  penghuni rumah setinggan -
                  semuanya tidak dapat membezakan
                  estetika bunga hidup dengan bunga
                  plastik.

                  Buktinya, pergilah ke hotel
                  termahal, ke rumah tersohor atau
                  ke gubuk buruk, pastilah akan
                  ditemui bunga plastik. Sifat buta
                  estetika seperti inilah yang telah
                  menjenazahkan pesta flora dua
                  tahun dahulu.

                  Pesta yang dipentaskan oleh
                  birokrat budaya secara rasmi sering
                  tidak dilihat "semula jadi". Ia lebih
                  mendekati pesta tempelan tanpa
                  roh perayaan.

                  Roh perayaan dalam pesta datang
                  daripada semangat penyertaan
                  orang ramai yang berseronok dan
                  bergembira merayakan kehidupan
                  mereka. Keseronokan dan
                  kegembiraan ini bukan dibuat-buat
                  atau dipentaskan untuk pelancong.
                  Ia datang dari hati dan jiwa mereka
                  yang sedang berpesta.

                  Roh inilah yang paling penting
                  untuk memastikan sesuatu pesta
                  menjadi popular, hidup dan
                  menyeronokkan. Warga kota dan
                  orang ramai bukan hanya terpanggil
                  untuk menjadi penonton tetapi akan
                  turut serta mengambil bahagian
                  merayakan kehidupan di kota
                  mereka .

                  Pesta Warna Malaysia yang baru
                  dipentaskan itu jelas menonjol
                  pola-pola plastiknya. Penari-penari
                  semiprofesional dari kementerian
                  berkenaan lebih banyak menyeringai
                  daripada tersenyum kerana seronok
                  menari.

                  Warga kota hanya berdiri
                  "menebeng" di tebing dan pinggir
                  jalan. Seperti biasa, pelancong
                  asing yang cuba digembirakan itu
                  tidak banyak kelihatan. Semua ini
                  adalah bahan kimia yang akan
                  menazakkan pesta tersebut.

                  Rakyat pelbagai bangsa di negara
                  ini mempunyai banyak pesta yang
                  merayakan kehidupan mereka.
                  Sambutan-sambutan Hari Raya,
                  Thaipusam, Krismas, atau Tahun
                  Baru Cina adalah contoh-contoh
                  pesta yang tidak memerlukan
                  campur tangan birokrat budaya atau
                  tajaan badan korporat.

                  Pesta seperti Mandi Safar, Hari
                  Gawai dan Puja Pantai adalah pesta
                  rakyat - mereka sendiri melahirkan
                  pesta untuk memberi erti kepada
                  kehidupan mereka.

                  Mandi Safar di Tanjung Keling,
                  Melaka dan Puja Pantai di Batu
                  Buruk, Terangganu suatu ketika
                  dahulu menjadi tarikh yang
                  ditunggu-tunggu bukan untuk
                  pelancong tetapi untuk rakyat biasa
                  turun berkelah dan mandi-manda.

                  Apapun alasan yang menyebabkan
                  mereka turun ke air adalah satu
                  persoalan yang lain. Tetapi yang
                  penting mereka berpesta dan
                  berseronok untuk merayakan
                  kehidupan.

                  Puja Pantai dan Mandi Safar tidak
                  pernah mendapat tajaan dari
                  Coca-Cola atau dari syarikat Nike.
                  Datuk dan Tan Sri tidak perlu
                  dijemput untuk merasmikan pesta
                  ini. Tidak ada ucapan
                  angkat-mengangkat oleh ahli
                  jawatankuasa tetapi beribu-ribu
                  orang dari seluruh pelusuk negara
                  dengan sendiri hadir untuk
                  merayakan pesta ini.

                  Inilah contoh pesta rakyat yang
                  mempunyai roh kegembiraan dan
                  keseronokan dalam merayakan
                  kehidupan.

                  Agenda menghiburkan pelancong
                  luar negara tidak pernah
                  ditimbulkan dalam pesta rakyat.
                  Sama ada pelancong datang atau
                  tidak bukan satu persoalan. Jika
                  mereka tidak sampai, pesta tidak
                  akan terjejas. Jika mereka hadir,
                  orang ramai mengucapkan ahlan wa
                  sahlan.

                  Pelancong dari luar negara hanya
                  dilihat seperti "kera dari hutan."
                  Orang ramai yang sedang
                  berseronok mandi-manda tidak ada
                  masa untuk menyusukan "kera-kera
                  ini."

                  Justeru, pesta-pesta rakyat seperti
                  ini wajib dihidupkan dan bukannya
                  pesta-pesta plastik yang tidak
                  mempunyai nyawa dan roh. Telah
                  sampai masanya rakyat berpesta
                  bukan untuk dijadikan artifak bahan
                  rakaman kamera pelancong tetapi
                  berpesta gembira merayakan
                  kehidupan.

                  Mustahil ada agama dalam dunia ini
                  yang akan melarang penganutnya
                  berseronok merayakan kehidupan.


                  HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang
                  manusia baru dengan roh yang
                  bebas. Pendukung dan pengembang
                  asal mazhab NGI
                  (non-governmental individual).
                  Dipengaruhi oleh fahaman Marxis
                  jenis Groucho. Lulusan dari sekolah
                  pemulihan pemikiran politik seperti
                  Melbourne Tellamarine Center,
                  Bombay Arthur Road, Ayer Molek
                  dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI
                  beliau akan menulis isu-isu politik
                  semasa, filem, seksualiti hingga
                  kepada isu estetika kebosanan
                  hidup.








 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke