June 23, 2000

Bekas pegawai tinggi BPR buat laporan polis rasuah PM
Fathi Aris Omar

8pm, JUM: Dakwaan salah guna kuasa dan menghalang siasatan rasuah terhadap Perdana Menteri, Datuk Dr Mahathir Mohamad akan dilaporkan kepada polis hari Ahad ini. Laporan itu akan dibuat oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafie Yahya, sebagai susulan kenyataannya di mahkamah 12 Jun lalu.

Keterangannya itu tidak dicabar oleh pihak pendakwa.

Menurut Shafie, beliau dipanggil dan dimarahi Dr Mahathir di pejabatnya pada Jun 1998 kerana menggeledah pejabat Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (foto) dan menemui wang tunai sejumlah RM100,000.

Tambahnya, wang itu ditemui di dalam laci di dalam bilik Abul Hassan dan diragui sumber perolehannya.

Perdana Menteri juga mengarahkan beliau menghentikan siasatan tersebut serta-merta, kata Shafie di mahkamah ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan kes kedua bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafie dijangkakan membuat laporan di Balai Polis Jalan Dang Wangi, bersebelahan kompleks membeli-belah Campbell, pada jam 2:30 petang hujung minggu ini.

Menurut seorang aktivis Pemuda Parti KeADILan Nasional, Lokman Noor Adam, bekas pegawai tinggi BPR itu akan diiringi oleh beberapa pemimpin pembangkang dan aktivis reformasi. Orang ramai juga diminta memberikan sokongan moral.

Mesyuarat agung parti itu hujung minggu lalu meluluskan sebulat suara usul tergempar bagi mendesak polis menangkap dan menahan Perdana Menteri atas dakwaan salah laku tersebut.

Sehari selepas keterangan Shafie di mahkamah, Anwar membuat laporan polis yang sama.

"Keterangan terbaru (Shafie itu) memperkukuh hujah saya selama ini bahawa Dr Mahathir adalah perasuah besar dan pelindung utama perasuah besar lainnya," lapor Anwar di Balai Polis Jalan Stadium.

Shafie juga, dalam keterangan yang sama, menyebutkan beliau berasa kecewa terhadap Perdana Menteri kerana "sanggup melindungi perasuah."

Dalam perkembangan berkaitan, satu majlis ceramah berhubung hal yang sama akan diadakan di Markaz Tarbiyyah PAS di Gombak jam 9 malam pada Ahad ini.

Menurut Lokman, ceramah itu dijangkakan disampaikan oleh Setiausaha Agung PRM, Dr Sanusi Osman, Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar, Naib Presiden KeADILan Tian Chua serta Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor dan aktivis reformasi Abd Malek Hussin.

Perdana Menteri masih lagi berada di luar negara selepas menghadiri persidangan G-15 di Kaherah awal minggu ini.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke