Syarat bebas tebusan -- 8 rakyat kita ditukar dengan seorang lelaki tua di Penjara Kota Kinabalu
JOLO 26 Jun - Kumpulan Abu Sayyaf hari ini bersedia membuat pertukaran melibatkan lapan orang tebusan Malaysia yang masih ditahan dengan seorang lelaki tua Filipina, dipercayai anggota kumpulan itu yang kini berada di Penjara Kota Kinabalu.
Pemimpin kumpulan tersebut, Galib Andang membuat tawaran itu dalam rakaman mesej yang diberikan oleh doktor-doktor Malaysia semasa melawat kem para tebusan itu hari ini.
Beliau berkata, banduan warga Filipina itu dikenali sebagai Mohamad Aklan, berusia 85 tahun.
Utusan melalui sumbernya hari ini diberitahu, banduan itu yang turut diburu oleh kerajaan Filipina, dipenjara atas kesalahan memiliki senjata api.
Seorang penterjemah tempatan berkata, mesej di dalam bahasa Tausug itu menawarkan pertukaran tawanan.
''Sebagai balasan, kami meminta kerajaan Filipina dan Malaysia untuk membebaskan seorang rakyat Filipina yang dipenjarakan di Malaysia,'' kata Galib atau juga dikenali sebagai Komander Robot dipetik oleh agensi berita AFP.
Sabtu lalu, kumpulan Abu Sayyaf membebaskan seorang tebusan Malaysia, Zulkarnain Hashim tanpa sebarang syarat.
Andang berkata, Zulkarnain dibebaskan kerana dia beragama Islam dan bukan ekoran pembayaran sebarang wang tebusan.
Zulkarnain diterbangkan ke Malaysia tengah hari ini.
''Tebusan yang kami bebaskan itu mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Islam. Jadi demi nama Allah dan nama Malaysia, kami bebaskan dia. Adalah tidak benar bahawa kerajaan Filipina membayar wang tebusan kepada kami,'' kata Galib.
Terdahulu, kumpulan Abu Sayyaf itu menuntut wang tebusan 21 juta dolar dan konsesi politik sebagai pertukaran untuk pembebasan kesemua tebusan mereka.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi enggan mengulas mengenai tuntutan terbaru itu sehingga memperoleh kenyataan hitam putih mengenainya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri ketika dihubungi petang ini memberitahu ''saya enggan mengulas hanya berdasarkan kenyataan akhbar.''
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!
