Pertikai Jais: Umno sekat syiar Islam - MB

KOTA BHARU, 27 Jun (hrkh) - Tindakan Timbalan Perdana Menteri mempertingkaikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menangkap orang Islam yang berada di premis menjual arak sebagai mencerminkan Umno sebenarnya parti sekular.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tindakan dilakukan pemimpin terbabit adalah menjelaskan keadaan sebenar yang diingini Umno.

"Umno tidak meletakkan Islam sebagai dasar. Apa yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri itu adalah jelas begitu dasar Umno. Jadi dasar Umno adalah sekular," katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Ahad lalu, akhbar tempatan melaporkan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Jais menangkap orang Islam yang berada di premis menjual minuman keras, sebagai tidak tepat.

Menurut Timbalan Presiden Umno itu, 'Kita tidak tahu apakah jenis penghinaan yang dimaksudkan oleh Jais, tetapi jika kehadiran seseorang itu di tempat yang menghidangkan makanan atau minuman yang diharamkan, ia tidak boleh menyebabkan seseorang itu ditangkap".

Pada 11 Jun lalu, Jais menahan 25 orang Islam yang berada di Restoran The Ship, Damansara Utama dan 15 daripada mereka dikehendaki hadir ke mahkamah pada 13 September depan atas tuduhan menghina Islam kerana mereka berada di premis menyediakan minuman keras.

Menteri Besar berkata, sebelum ini Umno kononnya mengagung-agungkan syiar Islam dan dalam masa yang sama membenarkan orang Islam berada di premis menjual arak.

Tindakan Timbalan Presiden itu mencerminkan sebenarnya dasar Umno yang tidak mahu syiar Islam dan tidak menjadikan Islam sebagai dasar bagi parti tersebut. Beberapa tahun lalu, Jais pernah ditegur oleh pemimpin Umno termasuk presidennya apabila menahan gadis Melayu yang menyertai pertandingan ratu cantik.

Ekoran itu, bekas Mufti Selangor, Dato' Ishak Baharom meletak jawatan kerana mempertahankan tindakan pegawai Jais. "Kita di Kelantan tidak benar sama sekali orang Islam pergi ke restoran orang Cina yang tidak menjual makanan halal untuk orang Islam.

"Ini menggambarkan yang benar-benar mengembangkan syiar Islam ialah di Kelantan. Syariat kita tegak, syiar pun kita laksanakan," tambahnya.

Menurutnya, di negeri yang diterajui Umno, syiar pun tidak mahu disebarkan dan jauh sekali untuk menegakkan syariat Islam. "Bila Jais tangkap orang Islam yang berada di premis bukan Islam, ini bermakna ada syiar Islam, namun apa yang dimahukan pemimpin Umno, syiar Islam hendak disekat," katanya.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan masalah orang Islam dengan arak sudah jelas lagi nyata di mana hadis Nabi Muhamad yang diriwayatkan Tarmizi menyebut, "Rasulullah Saw melaknatkan 10 golongan manusia yang terlibat dengan arak iaitu, pemerah anggur menjadi arak, bekerja ladang anggur, tuan ladang, pembawa, peminum, penghidang, pengangkutan (dari kilang ke kedai), penjual, pemakan hasil jualan, pembeli atau penyuruh belinya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, berdasarkan hadis di atas adalah jelas sekali, Allah melaknat orang yang terbabit dengan arak.

Oleh itu, beliau mempertahankan tindakan Jais sebagai betul apabila menahan orang yang berada di premis menjual arak milik bukan Islam.

Beliau juga memberi contoh mudah iaitu polis akan menangkap semua orang yang berada di tempat perjudian sama orang berkenaan berjudi atau tidak.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke