| DARI FORUM "KEHARMONIAN KAUM DARI KACAMATA BERNEGARA"
BA HARUS MENJANGKAUI MANIFESTO PILIHAN RAYA "MENUJU SEBUAH MALAYSIA YANG ADIL" UNTUK MELAWAN SERANGAN BN TERHADAP ISU NEGARA ISLAM Apabila Mahathir berkata dalam Perhimpunan Agong MCA Sabtu lepas bahawa beliau berkeyakinan kaum bukan-Melayu akan menjadi Perdana Menteri negara ini satu hari kelak, maka terbitlah tulisan-tulisan pujian dalam media arus perdana bahasa Inggeris yang mengatakan bahawa "Dr Mahathir telah menjangkaui norma dan hati jiwa orang biasa", "munculnya seorang negarawan dan bermulalah satu pendirian yang penting dalam satu masyarakat majmuk untuk menyatu-padukan rakyat demi kebaikan bersama negara pada keseluruhannya", dan bahawa ucapan beliau sejajar dengan Wawasan 2020 serta konsep Bangsa Malaysia. Presiden Majlis Belia Malaysia Saifuddin Abdullah berkata bahawa kenyataan Mahathir itu membayangkan keyakinannya terhadap kematangan rakyat yang meningkat dengan menerima perubahan berdasarkan amalan-amalan demokratik. Parti Gerakan menjadi begitu teruja sehinggakan salah seorang pemimpin tertingginya membuat cadangan supaya BN membentuk satu parti tunggal untuk menggantikan sekaligus komponen-komponen partinya. Bagaimanapun, media arus perdana Bahasa Malaysia serta para pemimpin UMNO pula menggambarkan isyarat yang bertentangan, yang menekankan bahawa kenyataan Mahathir itu merupakan sebahagian dari tradisi politik ketakutan dan memeras ugut untuk cuba memulihkan sokongan Melayu. Mahathir Menafi Wawasan 2020 Dan Konsep Bangsa Malaysia Naib Presiden UMNO yang baru dipilih, Tan Sri Muhammad Taib berkata bahawa ucapan Mahathir merupakan satu amaran supaya kaum Melayu kembali bersatu padu di bawah naungan UMNO. Percakapan Muhamad Taib ini akhirnya dibuktikan betul, kerana dalam ucapannya di depan 500 rakyat Malaysia yang sedang belajar di Kaherah beberapa hari kemudian, Mahathir mengesahkan bahawa kenyataannya di Perhimpunan Agong MCA itu telah direka khas untuk merangsangkan rasa tidak selamat kaum Melayu supaya kembali ke bawah naungan UMNO. Semasa berada di Kaherah, Mahathir memberi amaran bahawa kaum Melayu akan kehilangan �ketuanan� mereka dan bukan-Melayu akan menjadi Perdana Menteri Malaysia di masa depan sekiranya mereka gagal dalam usaha terus menjadi kaum terkuat. Kata beliau: "Ketuanan Melayu hanya dapat dikekalkan sekiranya Melayu sanggup menjadi kaum terkuat dalam berbagai bidang, dari segi pendidikan, penguasaan ilmu, teknologi dan perniagaan. "Apa maknanya ketuanan jika kita menjadi pengemis di negara sendiri. Ketuanan mestilah datang dari kekuatan Melayu sendiri." Semasa mengulas tentang kenyataannya di dalam Perhimpunan Agong MCA bahawa kaum bukan-Melayu akan menjadi Perdana Menteri satu hari nanti, beliau berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak membataskan jawatan Perdana Menteri kepada mana-mana kaum. Kata beliau, seorang bukan-Melayu hanya akan menjadi Perdana Menteri sekiranya orang itu diterima oleh kaum-kaum lain, termasuk kaum Melayu sendiri. Kata beliau: "Kalau sampai satu masa orang Melayu sanggup menerima orang bukan Melayu sebagai Perdana Menteri, kita tidak boleh menghalangnya sebab ia pilihan orang Melayu sendiri. "Tetapi kalau orang Melayu menjadi terlalu lemah, miskin, pengemis, meminta sedekah kepada orang lain, dan mereka dibeli dengan duit supaya menyokong bukan Melayu, pada ketika itu mungkinlah orang bukan Melayu akan memegang jawatan. "Masa itu, Melayu akan jadi hamba dan bukan tuan dalam negaranya sendiri." Dr Mahathir berkata bahawa semasa beliau berucap mengenai perkara ini, ia adalah berdasarkan realiti dan bukannya emosional atau sekadar sentimen sahaja seperti orang lain. Katanya: "Apa maknanya ketuanan jika sekadar mencuci kasut orang." Ini merupakan ucapan paling mengejutkan oleh Mahathir yang menghina kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu. Sungguhpun Perlembagaan Malaysia tidak membataskan jawatan Perdana Menteri kepada mana-mana kaum atau agama, saya rasa kemungkinan ujudnya seorang Perdana Menteri bukan Melayu tidak akan berlaku sepanjang hayat saya ini. Sementara menerima realiti politik ini, kaum bukan Melayu merasa sungguh kecewa dan tersinggung kerana perbincangan hypotetika mengenai kemungkinan ujudnya seorang Perdana Menteri bukan Melayu ini telah diperletakkan dalam konteks kaum bukan Melayu �menyogok� kaum Melayu, dan ini telah menfitnah mereka yang tidak terus menyokong UMNO dan BN, samada kaum Melayu maupun bukan Melayu, sebagai tidak berintegriti, tidak jujur dan tidak bermaruah. Di samping itu, adalah sungguh tidak wajar bagi Mahathir membayangkan bahawa sekiranya kaum Melayu berhenti dari menyokong UMNO, maka itu akan bermakna mereka boleh �dibeli� dan �kaum sendiri pun boleh dijualkan�, dan bahawa mereka �akan menjadi hamba dalam negara sendiri�, �mencuci kasut orang�. Semua ini merupakan sindiran serius dan direka untuk menuduh bahawa kaum bukan-Melayu akan menjadi �tuan hamba� dan kasut mereka akan �dibersihkan� oleh kaum Melayu. Menerusi sentimen yang diluahkannya itu, Mahathir telah menafikan Wawasan 2020 serta konsep Bangsa Malaysia di samping mengesahkan ketakutan yang paling buruk bahawa selepas kegagalan paling teruk UMNO dalam pilihan raya umum yang lepas, pucuk pimpinan UMNO akan dengan terang-terang dan secara tidak berprinsipnya mempergunakan sentimen perkauman untuk memperkuatkan kedudukan kuasa mereka - tanpa mengambil berat kesan buruk ke atas hubungan kaum ataupun perpaduan masyarakat. Sekiranya Mahathir boleh bertindak begitu melulu dan kasar dengan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama empat tahun sebelum pilihan raya umum yang seterusnya diadakan, maka saya berasa amat khuatir terhadap penghakisan hubungan kaum serta perpaduan masyarakat dalam beberapa tahun yang akan datang ini dan bagaimana pilihan raya umum yang seterusnya akan menjadi lebih �kotor� lagi dari pilihan raya umum kesepuluh baru-baru ini - yang sejak awal-awal lagi telah diramalkan oleh Mahathir sendiri sebagai �pilihan raya yang paling kotor sekali dalam sejarah negara�. Pilihan Raya Umum Yang Paling Kotor Semasa pilihan raya umum November 1999, hanya BA yang benar-benar memupuk dan mengamalkan semangat perpaduan masyarakat yang merangkumi kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia, menyokong politik baru yang berdasarkan isu dan bukannya didominasi oleh perkauman dan agama. Sebaliknya, BN sebagai parti pemerintah - yang telah memerintah negara ini lebih dari empat dekad - yang cuba menabur perasaan saling tidak percaya antara kaum dan agama serta mencetuskan ketidakharmonian - satu taktik yang berbalik kepada politik perkauman zaman 80-an dan tahun-tahun sebelumnya. BN telah melancarkan satu kempen ketakutan dan kepalsuan yang sungguh tidak jujur, memberitahu kaum Melayu bahawa DAP campur PAS sama dengan Islam Hancur, sementara memberi amaran kepada kaum Cina dan kaum bukan Melayu bahawa satu undi untuk DAP bererti satu undi untuk PAS dan Negara Islam, di mana kaum bukan-Melayu tidak akan dibenarkan makan daging babi, tidak boleh minum arak, tidak boleh sembayang di kuil-kuil atau gereja, tidak ada lagi sekolah-sekolah Cina, wanita tidak boleh pakai gincu, wanita akan dipaksa memakai tudung, wanita yang jelita tidak akan dapat pekerjaan dan tangan serta kaki akan dipotong. Tempoh kempen yang pendek sepanjang 9 hari ditambahkan lagi dengan monopoli BN ke atas media massa, percetakan dan elektronik, semuanya tidak mengizinkan BA membongkarkan penipuan penuh kontradiksi BN ini, yang pada satu hujung, menakut-nakutkan kaum Melayu bahawa Islam akan musnah, sementara pada hujung yang lain, menakut-nakutkan kaum bukan Melayu bahawa hak-hak kebudayaan dan agama serta kebebasan mereka akan tersekat - sungguhpun parti pembangkang yang dirujuk itu sebenarnya adalah sama, iaitu DAP dan PAS. Penakutan lain yang dipergunakan termasuklah juga huru-hara Mei 13, ketidakstabilan ekonomi serta kebantukan pemulihan ekonomi negara. Pada keseluruhannya, para pengundi kaum Melayu tidak termakan dusta BN dalam pilihan raya umum yang lepas, tetapi malangnya kaum bukan Melayu khasnya kaum Cina terjerat. Inilah sebab mengapa keputusan pilihan raya lepas menampakkan PAS sebagai pemenang dalam BA, mendapat jumlah undi dan kerusi yang paling banyak dan muncul sebagai parti pembangkang parlimen paling besar dengan jumlah 27 ahli parlimen di samping menawan kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan. Sekiranya para pengundi bukan Melayu tidak termakan dusta BN, khasnya mengenai kerjasama DAP dan PAS, serta mengenai isu Negara Islam, dan memberi sokongan padu kepada seruan BA untuk mewujudkan negara yang adil, bebas, demokratik serta pentandiran yang baik, maka hegemoni politik BN semestinya dapat diberhentikan, kerana parti pembangkang hanya perlu 20 kerusi lagi untuk menafikan majoriti dua per tiga BN dalam parlimen. Dalam pilihan raya umum yang lepas, sejumlah 26 kerusi di Semenanjung Malaysia dimenangi dengan margin kurang dari 5% dan 24 kerusi lagi dimenangi dengan margin antara 5-10%. BN telah merebut 29 dari jumlah kerusi-kerusi ini sementara BA mendapat 21 kerusi. Sekiranya 5-6% pengundi menukar cara pengundian mereka dan menyokong BA dalam pilihan raya umum yang lepas, maka BA akan berjaya merebut kesemua 29 kerusi yang dimenangi oleh BN, dan hegemoni politik BN serta majoriti dua per tiganya sudah pasti dapat dipecahkan. Adakah BA dapat meneruskan peranan pemimpinnya untuk menerajui satu politik baru di Malaysia dalam abad ke-21, yang menjangkaui cara lama yang didominasikan oleh perkauman dan agama, dan seterusnya lebih berdasarkan isu untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia tanpa kira kaum atau agama untuk menentang ketidakadilan, rasuah, kezaliman dan eksploitasi? Semua ini akan bergantung kepada sama ada BA berupaya menangani dua bentuk kekhuatiran yang menghantui para pengundi Malaysia, iaitu pada satu hujung, bahawa DAP anti Melayu dan anti-Islam dan mahu memusnahkan Islam, sementara pada hujung yang lain, bahawa PAS sebuah parti fanatik dan pelampau yang mahu menghapuskan hak-hak beragama, budaya dan politik serta kebebasan kaum bukan Muslim di Malaysia. Sekiranya BA dapat meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kedua-dua bentuk kekhuatiran di atas tidak berasas, khasnya bahawa Islam Politik yang diamalkan oleh PAS merupakan Islam yang bertoleransi dan adil dan selaras dengan kerajaan yang bertoleransi, demokratik, terbuka dan bertanggungjawab, serta memberi ruang kepada kepelbagaian budaya, maka masa depan BA adalah cerah dan optimistik sekali. Tetapi masa tidaklah memihak kepada BA dan BA perlu belajar, dan belajar dengan pantas sekali, dari kegagalan kita dalam pilihan raya umum yang lepas. Serangan Baru Politik BA mesti menghapuskan semua pembohongan dan dusta yang disebarkan oleh BN terhadap kaum bukan Islam dalam masa yang paling singkat sekali, bahawa kerjasama DAP dengan PAS akan menyebabkan hak budaya dan agama mereka dicabuli. BA perlu memahami kekhuatiran dan penolakan kaum bukan Islam terhadap Negara Islam. Penolakan ini bukannya bermaksud kaum bukan Islam anti Islam, tetapi kerana dalam negara Islam, kaum bukan Islam tidak akan dapat menikmati hak kewarganegaraan mereka sepenuhnya, dan bahawa kaum bukan Islam percaya sama ada negara Islam, negara Buddha, negara Kristian ataupun negara Hindu, semuanya tidak sesuai untuk negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Dalam pilihan raya umum yang lepas, DAP khasnya dan BA amnya telah mendapat pengajaran menerusi pengalaman kegagalan yang pahit bahawa adalah tidak cukup bagi parti-parti pembangkang dalam BA mencapai kata sepakat atas isu-isu besar iaitu mewujudkan sebuah masyarakat adil dan demokratik, sementara isu-isu kontroversi seperti Negara Islam tidak dirujuk atau terus diketepikan. Isu-isu seperti Negara Islam merupakan isu yang tidak dapat dibincang atau difahami secara rasional. Terdapat hujah-hujah bahawa negara Islam tidak mungkin wujud di Malaysia kerana ia memerlukan persetujuan daripada majoriti dua per tiga ahli di Parlimen untuk memindakan Perlembagaan, dan PAS hanya bertanding kurang dari satu per tiga kerusi parlimen, maka PAS tidak akan mendapat jumlah undi 2/3 yang diperlukan. Hujah-hujah rasional ini hilang daya keyakinannya apabila isu-isu yang asas seperti tiada daging babi, tiada arak, tiada kuil dan gereja, tiada sekolah Cina, wanita tidak dapat bekerja dan isu-isu lain diperheboh-hebohkan oleh propagandis BN. Ini bererti BA mesti berusaha mengatasi 2 agenda ini sekiranya kita berharap barisan pembangkang yang mempunyai berbagai kaum dan agama dapat kekal dan terus bertumbuh menjadi suatu kuasa yang kukuh dan berupaya menggantikan BN satu hari nanti. 2 agenda ini ialah:
Pada pilihan raya umum seterusnya, BA dan terutamanya DAP harus berupaya mematahkan serangan BN, khasnya parti-parti komponen bukan Melayu yang menggambarkan PAS sebagai Islam Politik yang ekstrem, fanatik, menindas wanita dan minoriti, tidak selaras dengan demokrasi, hak asasi manusia dan kepelbagaian kebudayaan. Saya tidak akan berasa terperanjat jika MCA, Gerakan dan MIC, bagi kali pertama dalam sejarah Malaysia, menggunakan kempen hak asasi manusia untuk menyerang parti pembangkang pada pilihan raya umum yang seterusnya. Satu contoh, pernyataan Amnesty International yang dikeluarkan pada 19 Jun 2000 membantah "Pertambahan pelaksanaan hukuman mati dan amputasi" di Arab: "Pelaksanaan hukuman mati di Arab terus dibimbangi. 8 orang bangsa asing, termasuk seorang wanita telah dihukum mati atau kaki tangan mereka dipotong di antara 16 dan 19 Jun. 5 orang dihukum mati pada hari yang sama. Sehingga kini, dalam tahun ini, Arab telah mengenakan hukuman mati ke atas 60 orang, 25 orang daripada jumlah itu dihukum mati pada bulan lepas. Nama-nama orang yang akan dihukum mati dalam beberapa hari dan minggu yang seterusnya tidak mungkin diketahui." "Di antara mereka yang dihukum mati tahun ini, 16 orang ialah orang Arab dan 37 orang bangsa asing dari Nigeria, Bangladesh, India, Indonesia, Pakistan, Sudan, Eritrea, Yaman, Filipina, Etiopia, Mesir dan Iraq. Kewarganegaraan 4 orang yang lain tidak diketahui." "Jumlah amputasi juga bertambah tahun ini. Sehingga kini, Amnesty International telah merekodkan 24 amputasi, 7 daripadanya ialah amputasi bersilang - amputasi tangan kanan dan kaki kiri. 2 amputasi telah direkod dalam tahun 1999. " "Amnesty International tidak mengetahui berapa orang menghadapi hukuman mati atau amputasi, ia bimbang bahawa ramai orang yang terkurung di penjara Arab - yang mana nama mereka tidak diketahui - mungkin akan dihukum mati atau dipotong tangan kaki mereka esok, menjelang minggu yang seterusnya atau bila-bila masa dalam minggu dan bulan yang akan datang. Kebanyakan orang mungkin dikenakan hukuman akibat daripada pembicaraan yang tidak adil di mana hak asasi sepeti hak dibela oleh peguam dan hak untuk merayu telah dinafikan. Mereka mungkin disabitkan kesalahan berdasarkan pengakuan yang didapati dengan menyeksa, memaksa atau menipu mereka." "Amnesty International mengiktirafkan hak dan tanggungjawab semua kerajaan untuk membawa keadilan kepada mereka yang bersalah. Walau bagaimanapun, Amnesty International membantah hukuman mati yang dianggap sebagai penindasan terhadap hak untuk hidup dan menganggap hukuman amputasi yang kejam dan tidak berperikemanusiaan sebagai sejenis penyeksaan. Ia berkomitmen untuk mempertahan semua orang daripada penindasan hak-hak asasi yang diiktiraf antarabangsa, selaras dengan Perkara 3 dan 5 dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights). Latarbelakang "Arab mengenakan hukuman mati ke atas kesalahan-kesalahan seperti jenayah yang ganas, termasuk sesetengah kesalahan yang tidak membawa maut, seperti ilmu sihir dan kesalahan berkaitan dadah. Hukuman amputasi dikuatkuasakan bagi kesalahan-kesalahan yang terhad kepada kes pencurian, yang mana tangan kanan dipotong. Bagi rompakan (highway robbery), hukumannya ialah amputasi bersilang. Di bawah standard hak asasi manusia antarabangsa, pengenaan hukuman ini adalah bertentangan dengan larangan penyeksaan dan hukuman lain yang kejam." Dengan adanya tanggapan salah terhadap Islam di Barat dan fenomena kewujudan Islam sebagai fundamentalis yang tidak bertolak ansur dan ingin merampas kuasa melalui tentera supaya mengenakan undang-undang Islam yang tidak menghormati hak asasi manusia, tidak bertolak ansur terhadap perbezaan atau mengiktirafkan "orang lain", propagandis BN tidak kekurangan sumber untuk menggambarkan PAS sebagai parti yang ekstrem dan bertolak ansur. BA harus mencapai persetujuan atas isu-isu tertentu dengan segera pada peringkat kepemimpinan dan ahli-ahli dalam parti-parti komponen supaya BA dapat mematahkan serangan BN. Adakah PAS Selaras Dengan Demokrasi? Jika BA tidak dapat mencapai persetujuan dengan sepenuhnya atas isu-isu tertentu, suatu persetujuan mengenai cara bagaimana isu-isu ini dikendalikan harus dicapai untuk mematahkan serangan baru BN berdasarkan Islam politik PAS. Isu-isu utama yang akan dieksploitasi oleh BN termasuk: (1) PAS tidak selaras dengan demokrasi PAS tidak selaras dengan demokrasi dan tidak berpegang kepada sistem demokrasi berparlimen, dan percaya kepada "satu orang, satu undi, satu kali" dan akan menggunakan politik pilihan raya untuk "merampas demokrasi" kerana pengongsian kuasa hanyalah suatu strategi dan jentera untuk mencapai matlamat menubuhkan negara Islam. (2) PAS dan Negara Islam tidak selaras dengan kepelbagaian Demi menubuhkan negara Islam, PAS cuba melucutkan hak orang bukan Islam yang mewakili 48% daripada populasi dengan menjadikan mereka rakyat kelas kedua berdasarkan agama. (3) PAS tidak selaras dengan hak asasi manusia Contoh amputasi dalam hukum hudud dianggap sebagai hukuman yang kejam dan penindasan terhadap hak asasi manusia dan maruah manusia. (4) PAS tidak selaras dengan kepelbagaian kebudayaan Contoh larangan karaoke di negeri Terengganu dan persembahan kebudayaan seperti makyong dan wayang kulit di Kelantan yang hanya dibenarkan ditunjukkan kepada pelancong asing, menyekat kreativiti seni. (5) PAS menindas wanita PAS dituduh menolak prinsip-prinsip kesamarataan bagi wanita kerana wanita biasanya dihalang daripada menyertai kehidupan awam dan bekerja, dan gaji pegawai lelaki dalam perkhidmatan awam dinaikkan supaya wanita tidak digalakkan bekerja di perkhidmatan awam dan kebebasan wanita untuk memilih dinafikan. (6) PAS tidak selaras dengan pembangunan dan pemodenan PAS dituduh menganggap pembangunan dan pemodenan sebagai pembaratan dan PAS ingin kembali ke zaman Islam yang dahulu dengan contoh Kelantan dan Terengganu ketinggalan dalam pembangunan. Parti-parti BA akan menghadapi serangan hebat daripada BN atas isu-isu ini dan isu-isu yang berkaitan, oleh itu sekurang-kurangnya persefahaman harus dicapai supaya BA tidak akan diserang tanpa bersedia dan berada dalam keadaan yang berkucar-kacir jika persetujuan tidak dapat dicapai. Perbahasan Mengenai Islam Pengongsian Kuasa ("Power Sharing Islam")? Kini, perbahasan mengenai hubungan di antara agama, politik dan masyarakat dijalankan di negara-negara Islam seperti Iran yang mempunyai 99% orang Islam daripada populasinya. Malaysia terletak di tempat ke-57 dari segi peratusan populasi yang merupakan orang Islam, iaitu 52% dan realiti politik dan sosial adalah berbeza dari 32 buah negara lain yang mempunyai 90% atau lebih orang Islam. Saya percaya bahawa perbahasan sedemikian juga sedang berlangsung dalam komuniti Islam di Malaysia, termasuk PAS. Orang bukan Islam di Malaysia mengikuti perbahasan itu dengan penuh minat kerana ia akan mempengaruhi hak mereka sebagai rakyat dalam masyarakat yang demokratik dan bukan hanya subjek dalam negara ini. Orang bukan Islam bukan sahaja berminat terhadap kepelbagaian pandangan tentang hubungan di antara Islam dan demokrasi, hak asasi manusia, kepelbagaian kebudayaan, sekularisme, wanita, minoriti dan sebagainya, mereka juga ingin mengetahui pendirian PAS dan BA atas subjek-subjek ini. Saya tertarik dengan kertas yang dibentangkan oleh seorang pemikir politik Islam yang terkenal, Rachid Al-Ghannouchi dan pemimpin Hezb al-Nahda (Party of Renaissance) dari Tunisia bertajuk "Penyertaan Dalam Sebuah Kerajaan Bukan Islam" ("Participation in a Non-Islamic Government") di simposium antarabangsa, bertajuk "Islam Pengongsian Kuasa" di London pada 1992. Ghannouchi berkata bahawa kira-kira satu per tiga orang Islam di dunia ini merupakan kumpulan minoriti di negara-negara yang didiami mereka dan mereka tidak ada peluang untuk mentadbir negara mereka dengan cara Islam. Beliau berkata bahawa pilihan terbaik bagi minoriti sedemikian adalah untuk bergabung dengan kumpulan demokratik sekular. Mereka boleh bekerjasama untuk menubuhkan kerajaan demokratik sekular yang menghormati hak asasi manusia, memastikan keselamatan dan kebebasan bersuara dan beragama, serta keperluan manusia. Beliau merujuk kepada banyak komuniti atau pergerakan Islam yang wujud di negara-negara yang mempunyai majoriti orang Islam, tetapi ditadbir oleh kediktatoran yang menuntut diri sebagai Islam atau kediktatoran yang bermusuhan dengan Islam. Pergerakan Islam sedemikian tidak dapat memperbaharui regim atau mengubahnya. Ghannouchi bertanya: Adakah shari'ah membantah kerjasama dan perikatan di antara pergerakan-pergerakan ini dengan parti-parti sekular yang berjuang untuk menjatuhkan kediktatoran dan menubuhkan negara demokratik sekular yang menghormati hak asasi manusia dan menjamin kebebasan mereka? Jawapannya: "Tidak." Beliau kemudiannya membincangkan kemungkinan ketiga. Kumpulan-kumpulan Islam yang wujud di negara-negara yang mempunyai majoriti orang Islam dan ditadbir oleh kediktatoran mungkin dapat menarik sokongan awam dan menubuhkan kerajaan Islam. Walau bagaimanapun, perubahan sedemikian akan menghasut pemusuhan dalam negara mereka atau daripada negara-negara lain, menyebabkan kerajaan Islam yang baru ditubuhkan termakan oleh penindasan atau tekanan lain yang akhirnya mengakibatkannya runtuh. Ghannouchi berkata: "Terdapatkah sebarang sebab mengapa kumpulan sedemikian tidak boleh bersetuju atau bekerjasama dengan kumpulan sekular supaya menjatuhkan kuasa yang menindas dan menubuhkan negara yang demokratik sekular dengan menangguh matlamat jangka panjang untuk menubuhkan kerajaan Islam sehingga keadaan membenarkan? Pastiya, tiada apa-apa halangan." Ghannouchi menekankan bahawa pilihan itu bukan di antara kerajaan Islam dan kerajaan bukan Islam, tetapi di antara kediktatoran dan demokrasi. Beliau berkata: "Sebuah kerajaan yang adil, walapun bukan Islam, dianggap hampir sama dengan kerajaan Islam kerana keadilan adalah sifat terpenting kerajaan Islam, dan dikatakan keadilan ialah arahan Allah. "Ibn `Aqil mendefinasikan As-Siyasah Ash-Shar`iyah sebagai tingkah laku yang membawa manusia lebih mendekati yang baik (good) dan menjauhkan mereka dari yang buruk (evil), walaupun tingkah laku sedemikian tidak disokong oleh Nabi atau didedahkan dari Syurga." Ghannouchi mengikuti pegangan al-Nadha yang teguh - satu pergerakan yang berniat untuk menubuhkan republik Islam di Tunisia - kepada demokrasi, penggantian kuasa melalui pengundian dan menyeru semua pergerakan Islam yang lain supaya mengikuti teladannya dan menandatangani perjanjian dengan parti-parti lain. Saya merujuk kepada pandangan Ghannouchi mengenai Islam Pengongsian Kuasa dalam kerajaan bukan Islam kerana Malaysia mempunyai keadaan yang unik, walaupun orang Islam merupakan 52% daripada populasi, tetapi ini tidak bermaksud bahawa kebanyakan pengundi akan menyokong penubuhan negara Islam kerana mungkin dibantah oleh orang bukan Islam dan pengundi Islam. Dialog Antara Agama Dan Antara Tamadun Dari aspek Malaysia, adakah mungkin bagi PAS untuk terus berpegang kepada penubuhan negara Islam sementara menerima realiti politik iaitu dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, ini bukan cadangan yang praktikal dan ia tertakluk kepada proses demokrasi berparlimen seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan dan penggantian kuasa melalui pengundian. Seorang cendekiawan Islam yang terkenal, Ibn Qayim Al-Jawziyah telah berkata: "Sesetengah cendekiawan mengkategorikan kerajaan kepada shariah dan siyasah dengan cara yang sama mereka mengkategorikan agama kepada shariah dan haqiah, atau sesetengah mungkin mengkategorikan agama kepada 'aql dan naql; tetapi semua kategori ini salah. Politik, realiti, metodologi dan sebab dikategorikan kepada 2 kumpulan: betul dan salah. Shariah menerima dan menyokong semua yang baik dan menentang serta menolak yang buruk. Ini ialah salah satu asas yang paling penting dan berguna." Satu bidang lagi yang perlu dikendalikan ialah kedudukan orang bukan Islam dan kesannya ke atas kepelbagaian politik. Ini telah dinyatakan bahawa tanpa interpretasi semula doktrin perundangan Islam klasik yang menganggap minoriti bukan Islam sebagai jimmi, sebuah negara Islam yang berorientasikan ideologi mungkin mempunyai demokrasi yang terhad dengan profil kepelbagaian yang lemah kerana ideologinya akan menghalang penyertaan orang bukan Islam dalam jawatan kerajaan penting dan kewujudan parti-parti politik yang mewakili suatu ideologi lain, misalnya sekular. Saya mesti menekankan bahawa sekular tidak bermaksud anti Islam, ateis atau tiada tuhan, tetapi bermaksud menjangkaui agama dalam suatu sistem pentadbiran yang mempertahankan nilai-nilai agama dan etika yang biasanya terdapat dalam Islam dan agama-agama lain. Saya harus menyebutkan seorang reformis Islam yang terkenal, Abdul Karim Soroush, seorang Islam Shi'ite dan seorang Parsi dari Iran. Beliau berkata bahawa bahasa Arab, iaitu bahasa Islam, tidak ada terjemahan literal bagi perkataan sekularisme (secularism). Akan tetapi, pada abad ke-19, perkataan elmaniya - bermakna "yang rasional atau saintifik" - adalah hampir sama. Dalam konteks ini, Soroush tidak menganggap sekular sebagai musuh atau persaingan agama, tetapi sebagai pelengkap. "Ia bermakna melihat hal dari segi saintifik dan berkelakuan saintifik - yang tidak berkaitan dengan pemusuhan agama. Beginilah sekularisme ." Forum yang diadakan oleh PAS Melaka amat dipuji dan dialu-alukan kerana dialog antara parti, antara politik, antara agama dan antara tamadun harus digalakkan untuk mewujudkan persefahaman kaum, politik dan agama dalam BA dan Malaysia. Usaha harus diberi untuk menggalakkan dialog sedemikian di seluruh negara supaya mencapai semua rakyat, demi menggalakkan persefahaman rakyat Malaysia terhadap pelbagai kaum, agama dan kebudayaan. Pertama, Islam Politik yang diwakili PAS tidak berkaitan dengan keganasan, faham pelampau atau fanatisisme, ia juga tidak menindas wanita dan minoriti, selaras dengan kepelbagaian agama dan kebudayaan, menghormati hak asasi manusia dan bertolak ansur, mendukung liberalisasi politik dan demokrasi. Kedua, pentadbiran sekular yang didukung oleh DAP tidak ateis, tidak anti Islam, atau tidak anti agama tetapi menjangkaui agama. Dialog antara tamadun yang dimulakan oleh BA adalah paling sesuai dan bersesuaian dengan keperluan zaman kerana tahun 2001 telah ditetapkan sebagai Tahun Dialog Antara Tamadun oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berdasarkan cadangan Presiden Iran, Mohammad Khatami. Malaysia boleh menjadi mikrokosma bagi dialog antara agama dan antara tamadun supaya memberi suatu teladan di mana pelbagai kaum, agama dan kebudayaan boleh mewujudkan rangka politik yang mempunyai keadilan, kebebasan, demokrasi, pentadbiran baik dalam persekitaran toleransi dan kepelbagaian agama dan kebudayaan. LIM KIT SIANG |
COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM
Do YYou Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!
