*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~




---------- Forwarded message ----------
Date: Sun, 23 Jul 2000 10:15:58 +0800
From: Hassan Karim <[EMAIL PROTECTED]>
To: Detik <[EMAIL PROTECTED]>,
    Forum Rakyat <[EMAIL PROTECTED]>, Harakah
<[EMAIL PROTECTED]>,
    "[EMAIL PROTECTED]" <[EMAIL PROTECTED]>,
    Malaysiakini <[EMAIL PROTECTED]>, suaram
<[EMAIL PROTECTED]>
Subject: sajak:Sudahkah kaukenal ISA?

Sajak
Sudahkah kaukenal ISA?

Oleh Hassan Karim
(Sajak ini ditulis untuk majlis menghormati kawan-kawan bekas tahanan
ISA
pada 22 Julai 2000 di Johor Bahru
anjuram Suaram cawangan Johor Bahru)


engkau tidak akan kenal
zalimnya ISA
kecuali sendiri
dikejutkan di tengah malam hari
ketukan kuat di pintumu
gegaran biadab gate rumahmu
tapak boot menghentak-hentak lantai
bilikmu diselongkar
kabinet bukumu dipungar
engkau kemudian dijemput ke balai
dan sejak saat itu
‘incommunicado’ berlaku
isteri dan keluargamu
tak tahu
engkau di lokap mana
di penjara mana malam itu
tiada peguam dalam gelap hari
dapat mempertahankan hak asasimu
engkau akan mendapat bilikmu
dipagar jeriji besi
dalam gelap dan  lembab
dan engkau tidak dihadapkan ke mahkamah esok hari
waran seorang magistrate
cukup untuk menahanmu tanpa bicara
60 hari pertama
engkau menjadi objek soalsisat SB
kadang-kadang engkau ditelanjangi
dipukul juga pernah terjadi
dalam bilik di malam hari
aircond sedingin salji
sedang engkau separuh bogel disuruh berdiri
lalu kamu dicaci dimaki
dihina sekehendak hati
hingga pada satu titik
engkau berasa hidupmu seperti tidak ada lagi erti
kerana harga dirimu dinjak-injak
semangatmu dipatah-patah  dipijak-pijak
keyakinanmu digoncang digugat
mereka mahu engkau ditumpaskan
supaya akhirnya menyerah
peristiwa mata lebam
masih kuat dalam ingatan
jadi engkau mungkin masih tidak tahu
betapa zalimnya ISA itu
melainkan engkau ada anak isteri
ada suami ada keluarga disayangi
yang akan tinggal sendiri
selepas landrover biru hitam polis
atau kini proton wira, rusa putih
merampas dirimu dari mereka  yang menyanyangimu
engkau jadi seperti seekor burung kecil
disambar helang lalu dibawa terbang
dan tidak lagi kembali
sejak saat itu
tarikh pulangmu tidak lagi pasti
ada kawanku
bertahun-tahun di penjara ISA
sehingga dia tidak dapat melihat sendiri
hari pertama anak sulung kecilnya
masuk ke sekolah rendah
kemudian bila dia keluar
anak itu hampir ke sekolah menengah
ada temanku,
Kamarulzaman Hj Teh namanya
kini 80 tahun umurnya
sakit tua tidak boleh begerak
mata sudah tidak nampak
pemimpin API Pahang
yang mula bangun berjuang untuk kemerdekaan
ditahan sejak British
dan disambung lagi
kerajaan Malaya merdeka
dia dibelenggu terus dengan ISA
bukan sehari
berbelas tahun lamanya
dia hilang isteri dan keluarga
dihujung usianya dia tiada memiliki apa-apa
seorang lagi teman kami
ketika sama-sama
di kampus universiti
Yong Ah Chit namanya
Enam tahun ISA memenjaranya
sebaik bebas dia merasa hidup bagaikan terkurung lagi
lalu dia mencari kebebasan caranya sendiri
kawanku itu membunuh diri
pada tahun 70-an dulu
Kem Batu Gajah,
Kem Kamunting
banyak memakan korban
di dalam sel beberapa tahanan mati
mencabut nyawa sendiri
terlalu mengharap pembebasan
yang dijanji-janjikan Special Branch
janji pembebasan
bagai umpan mempermainkan ikan
hingga pada satu hari
ada di antara mereka tadi
tertekan tidak tertahan lagi
lalu memilih jalannya sendiri
jalan mati
sekarang mungkin kita mulai mengerti
betapa kejamnya ISA ini
percayalah
engkau tidak akan kenal hidup terseksa
seorang diri terkurung sunyi dalam sel sendiri
bukan sekadar sehari
tiada siapa untuk dilawan bercakap
jika tidak kuat
engkau boleh jadi gila nanti
dan inilah yang mereka hajati
misalnya ada tahanan yang cuba menembak kepala sendiri
apabila mendapat tahu isteri di luar
sudah hilang setianya
kekasih barunya membawa lari
itulah ISA, saudara…
bila kita dijemput Menteri Dalam Negeri
menjadi tetamu negara
yang ditahan tanpa bicara
mereka tiada pertuduhan ke atas kita
tetapi mereka yang ada kuasa
merampas setiap hak kita
sebagai warga
sebagai manusia
dengan tanpa bicara
jadi pada malam ini
kita berhimpun di tanah hujung
di tanah semenanjung
di bumi Tanjong Puteri
di Jalan Serampang dekat Taman Pelangi
kita menghormati kawan-kawan tahanan ISA
selama lebih 40 tahun ini
sebenarnya kita telah menghadapi kehidupan
banyak simpang-simpang
dalam kita mengejar erti kebebasan manusia
dengan indahnya alam lepas diwarnai pelangi
marilah kita kembalikan piagam maruah manusia
bahawa tiada kuasa kerajaan apapun juga
boleh berbuat sesuka-suka
merampas kebebasan peribadi
manusia kita ini
dengan tanpa bicara
marilah malam ini
kita bercakap untuk semua
biarpun yang ditahan itu kumpulan Al-Ma’unah
anggota Arqam atau Komunis
Marxist atau Syiah
Cauvanis atau Ekstremis
Anarkis ataupun Reformis
atau siapa saja
atas apapun jenama mereka dilabelkan
pokoknya mereka itu semacam kita juga
sama-sama manusia
lalu kita tidak bersikap talam dua muka
tidak double standard ukuran kita
sekali ini kita tegaskan kembali
pemerintahan manapun jua
yang sedang berkuasa
atau akan naik takhta nanti
tidak boleh merampas manusia dari kebebasannya
tanpa perbicaraan
tanpa keadilan

22 Julai 2000

 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Haji Johari Adam" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke