Sept 1, 2000

Keranamu, Malaysia...
Aman Rais
1 Sept: Tiga tahun lalu menjelang Ogos, bulan kemerdekaan, di sana sini di
tepi jalan kita dapati anak-anak muda membuka "gerai" menjual Jalur
Gemilang.
Di depan sebuah rumah seorang timbalan menteri di Jalan Ampang Hilir berdiri
sebuah "pondok bendera" menjual Jalur Gemilang dan pelekat untuk dipamerkan
di kenderaan, rumah atau pejabat.
Khabarnya, anggota keluarga timbalan menteri itu sendiri yang berniaga di
gerai tersebut. Sambutannya pula amat menggalakkan. Penulis dapat
menyaksikan sendiri kereta-kereta berhenti membeli Jalur Gemilang di gerai
tersebut. Harganya antara lima hingga 10 ringgit setiap satu.
Begitulah senarionya tiga tahun lalu. Kereta, lori dan bas berlumba-lumba
menyusun bendera di cermin atau bumbung masing-masing. Teksi dan motosikal
juga tidak mahu ketinggalan dalam keser! onokan dan kebanggaan mengibarkan
bendera negara itu.
Begitu juga di taman-taman perumahan, penghuni rumah ghairah mengibarkan
Jalur Gemilang. Masing-masing mahu menunjukkan semangat patriotis.
Tetapi pada tahun ini suasananya begitu berbeza sekali.
Menteri rasa terkilan

Gerai bendera di depan rumah Timbalan Menteri itu tidak kelihatan. Begitu
juga dengan anak-anak muda yang beberapa tahun lalu tidak melepaskan peluang
untuk mencari wang saku sempena bulan kemerdekaan, kali ini hilang entah ke
mana.
Kali ini, kereta, motosikal, lori, bas dan teksi juga tidak ghairah seperti
dulu untuk menunjukkan semangat nasionalisme. Kalau kita menghitung, di
tempat-tempat letak kereta atau ketika kesesakan lalu lintas di ibu kota,
nisbah kenderaan yang mengibarkan bendera kali ini amat kecil.
Secara purata, daripada 20 buah kenderaan yang berada di jalan raya, hanya
dua atau tiga peratus sahaja yang dihiasi Jalur Gemilang. Apa sudah jadi?!
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, merangkap Pengerusi Jawatankuasa
Sambutan Hari Kemerdekaan, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir pada Ahad lalu
telah menyuarakan rasa terkilan terhadap sikap warga kota terutama pemandu
kerana tidak menyahut seruan mengibarkan bendera negara di kenderaan
masing-masing.
Beliau menyelar warga kota dan syarikat kenderaan kerana tidak memberikan
kerjasama untuk mengibarkan Jalur Gemilang. "Mereka hanya berminat untuk
membuat wang," begitulah bidas Abdul Kadir.
Sebaliknya, kata beliau, penduduk luar bandar lebih prihatin. Malah
negeri-negeri yang dikuasai pembangkang memberikan sambutan baik kepada
kempen mengibarkan bendera negara ini.
Mengapa perubahan selera terhadap Jalur Gemilang di kalangan warga kota
terjadi? Adakah semangat patriotisme mereka sudah hilang atau mereka terlalu
sibuk dengan urusan peribadi sehingga tidak menghiraukan seruan kerajaan
itu?
Karnival kemerdekaan
Perubahan sikap i! ni adalah satu yang amat mengecewakan. Sepatutnya setelah
tiga tahun kempen mengibar bendera negara dijalankan, rakyat tidak perlu
disuruh-suruh lagi untuk melakukannya setiap kali menjelang 31 Ogos.
Rakyat patut sedar tangggungjawab mereka terhadap negara. Sepatutnya lebih
banyak kenderaan dan kediaman mengibarkan Jalur Gemilang kerana ia diberi
percuma pada tahun ini, tidak seperti dua tiga tahun lalu yang terpaksa
dibeli.
Pergi sahaja ke stesen petrol, pasti juruwang akan memberi anda sebatang
bendera kecil. Begitu juga jika kita memperbaharui insurans di MNI Insurans,
bendera percuma juga diberikan sebagai menghargai pelanggan.
Malah di plaza-plaza tol dan pusat membeli-belah juga banyak syarikat menaja
Jalur Gemilang secara percuma.
Tidak hairanlah mengapa Abdul Kadir begitu kecewa. Beliau telah bersusah
payah selama beberapa bulan merangka program sambutan hari kemerdekaan yang
gilang-gemilang. Kerajaan telah mengisytiharkan ! sepanjang bulan Ogos sebagai
karnival kemerdekaan sebagai usaha meningkatkan kesedaran sivik dan
kebanggaan terhadap negara.
Tidak cukup dengan kempen mengibarkan bendera, program larian Jalur gemilang
diadakan di setiap negeri dan di Melaka para pelajar telah bekerjasama untuk
membuat bendera terpanjang di Malaysia.
Sambutan terhadap program seperti larian Jalur Gemilang yang melibatkan
jabatan dan kakitangan kerajaan itu nampaknya mendapat sambutan meriah.
Tetapi sambutan terhadap aktiviti sukarela atau berdasarkan kesedaran
sendiri (kecuali untuk pesta jualan di seluruh negara) amat mengecewakan.
Rakyat merajuk

Mengapa ini terjadi? Kadir mengambil kesimpulan mudah dengan menuduh rakyat
terlalu asyik "mencari wang" hingga terlupa untuk mengibar bendera negara.
Memang mudah menyalahkan rakyat tetapi dapatkah tuduhan itu mengubah sikap
mereka supaya menjadi lebih positif terhadap usaha-usaha kerajaan?
Sepatutnya Kadir melihat! secara lebih mendalam lagi masalah ini.
Kementeriannya patut menyelidik sebab-sebab semangat patriotisme rakyat
menurun. Mengapa kini warga kota bersikap tidak endah terhadap hari
kemerdekaan?
Pastinya ada sesuatu yang lebih besar dan kritis daripada kesibukan "mencari
wang" yang menyebabkan mereka meminggirkan diri daripada sambutan hari
kemerdekaan kali ini.
Isu ini nampak kecil sekarang tetapi ia mungkin tersirat perkara yang lebih
besar dan asasi - yakni apabila rakyat tidak lagi menghargai 31 Ogos sebagai
satu tarikh keramat dalam sejarah negara. Atau, rakyat 'malu' mengakui
negara ini perlu dibangga-banggakan.
Perubahan sikap rakyat ini harus dilihat sebagai satu isyarat atau amaran
kepada kerajaan dan pemimpin negara yang selama ini menyangka segala yang
mereka lakukan sentiasa betul dan terbaik.
Apakah rakyat marah atau merajuk, dan kenapa begitu? Jika rakyat marah
kerana mereka berpendapat sistem keadilan dan kehakiman ! negara tidak berada
di landasan sepatutnya, kerajaan eloklah mengkaji sistem yang dipertikaikan.

Andai kata rakyat merajuk kerana hak berhimpun dan kebebasan bersuara mereka
disekat, kerajaan hendaklah mengembalikan hak tersebut. Kalau rakyat tidak
berpuas hati kerana banyak berlaku penyelewengan, korupsi, kronisme dan
nepotisme, hapuskan sahaja gejala itu.
Jika rakyat berasa mereka masih 'dijajah' atau belum merdeka walaupun
setelah 43 penjajah Inggeris meninggalkan negara ini, wajarlah penjajahan
bentuk baru itu pula dihapuskan!
Sambutan hari kemerdekaan tidak akan membawa apa-apa makna jika rakyat tidak
berasa bebas, megah dan bangga dengan negara mereka sendiri. Hidup Malaysia!

AMAN RAIS adalah bekas wartawan yang pernah berkhidmat dengan beberapa
akhbar arus perdana. Beliau meninggalkan kerjaya sebagai "pelapor
berita-berita prokerajaan" dan memilih menjadi penulis bebas bagi mencari
wadah perjuangan yang lebih terbuka d! an berkesan.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke