Siapa Astora Dalam Umno?
Oleh Azizi Haji Abdullah

Saya sudah lama mengikuti tulisan Astora Jabat di dalam akhbar Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia, baik ketika beliau menjadi wartawan di Kaherah mahupun ketika menjadi staf, pengelola ruangan agama sekarang. Terus terang saya nyatakan, adalah sukar untuk menerima tulisan-tulisan beliau kerana asas tulisan itu 'lebih Umno dari Umno' disebabkan di tangan Astora mempunyai dua pancing (joran).

Pancing pertama tentulah Astora berkehendakkan ikan untuk menjadi lauk harian anak istrinya dan pancing kedua untuk mendapat ikan tambahan untuk dihadiahkan kepada orang yang membenarkannya memancing di tasik itu kerana tasik lain sukar baginya mendapat ikan. Kerana kalaulah beliau berbuat begitu maka akan selamatlah beliau dapat memancing di tasik idamannya.

Tapi nampaknya sejak akhir-akhir ini Astora bagaikan diserang penyakit 'gila dan geram' dengan menghentam terus menerus terhadap PAS dan pemimpinnya. Astora juga terus menerus 'membabi buta' membela Umno untuk membuktikan keUmnoannya yang telus dan maha betul. Kalaulah dilihat dari sudut peranan seorang seorang penulis atau pengkritik, Astora tidak sepatutnya menghentam PAS dan pemimpin-pemimpinnya saja, kerana yang meluat pada Umno/BN bukan saja PAS sebaliknya parti-parti lain juga malah kelompok-kelompok tertentu dalam Umno sendiri. Malangnya Astora tidak memainkan peranan penulisannya terhadap itu.

Balik-balik menghentam PAS dan para pemimpinnya, seolah-olah pemimpin maha kotor ialah Nik Aziz, Haji Hadi, Fadzil Nor dan Dr Harun Din. Dan lebih malang lagi Astora sering membayangkan orang-orang ini sangat kotor peranan mereka dalam agama kerana menjadi pemimpin PAS walaupun beliau selalu berkata bahawa beliau menyerang pemikiran bukan peribadi. Sukar untuk kita percaya bahawa dengan membuat serangan terhadap pemikiran itu untuk membetulkan kesilapan dan dan mengajak kembali kepada kebenaran kerana Astora tidak pula pernah menyerang pemikiran untuk membetulkan kesilapan para pemimpin Umno.

Jadi peranan Astora sangatlah jelas bahawa beliau dibangkitkan semata-mata dengan satu missi; jadi alat Umno hentam PAS walau dengan apa cara sekalipun. Cari salah, hentam. Yang betul pun mesti kata salah, hentam. Jangan bimbang, tasik disediakan. Pancing pun diberi. Tapi saya ingin bertanya; sampai bila? Apakah seseorang itu perlu berikrar bahawa segala urusan hidup kita semata-mata kerana Umno? Seperti yang saya sebutkan di atas bahawa saya kerap mengikuti tulisan Astora, maka apabila saya membaca tulisan beliau dalam keluaran Ahad 27 Ogos 2000 lewat ruangan Bicara Agama, saya dapati Astora benar-benar telah mabuk dengan dua pancing di tangannya sehingga lupa siapa dia sebenarnya.

Tulisan itu menggambarkan bahasa Astora Jabat adalah jurucakap Umno, pembela Umno dan tukang karut Umno yang semuanya memberi kesimpulan bahawa Astora 'lebih Umno dari Umno'. Sebenarnya menjadi pembela Umno, jurucakap Umno tidaklah salah. Bukankah Umno sendiri ada Pegawai Penerangannya? Tapi sayang peranan Astora lebih dari pegawai Umno. Saya bimbang kerana 'lebih Umno dari Umno' ini orang-orang Umno sendiri akan meluat pada Umno disebabkan keUmnoan Astora yang melampau.

Hal yang sama pernah saya menegur Astora di Majlis Debat Pro dan Kontra Negara Islam di Mengkuang, Bukit Mertajam tidak lama dulu. Saya bimbang kerana peranan yang terlampau itu orang ramai akan benci kepada Utusan Melayu disebabkan wadah yang diberi pada beliau itu disalah gunakan secara melampau. Seperti artikel Astora `Strategi untuk patahkan putar belit PAS' dalam Mingguan keluaran 27 Ogos 2000 yang lalu, sekali lagi saya melihat betapa semberononya Astora melempar tohmahan dan kecaman terhadap PAS dan tujuan penulisannya berdasarkan tajuk menyimpang sama sekali.

Di sinilah timbul pertanyaan, siapa Astora? Bagi saya selain dari 'lebih Umno dari Umno' Astora merupakan orang yang tidak tahu apa yang ditulisnya selain dari sekadar memenuhi ruangan khas untuknya. Bayangkanlah apabila beliau mencadangkan supaya penceramah Umno kemukakan fakta, maklumat dan ilmu yang benar dan jelas melalui konsep bijaksana sepeprti yang dianjurkan oleh Quran ayat 125 surah an-Nahl. Saya ingin jelaskan bahawa gesaan Astora tidak mampu dilakukan oleh penceramah-penceramah Umno, baik dari segi fakta, maklumat dan ilmu sekalipun, kecuali jika Dr Mahathir bercakap tentang ekonomi globalisasi, dasar Selatan-Selatan atau multimedia.

Seperti Astora sendiri yang bercakap berdasarkan ilmu contohnya, Astora tidak mampu memikat hadirin selain dari tersekat-sekat memberi hujah dan ini menjadikan hadirin bosan jemu dan sekaligus meluat. Kerana itu ceramah di `booo'. Sepanjang yang saya hadir ceramah-ceramah Umno, fakta dan hujah hanyalah jalan raya, lampu subsidi kerajaan, keamanan, perpaduan kaum. Apakah ini menjadi menarik kepada rakyat? Menuduh ramai orang Umno hadir ke ceramah PAS kerana terkeliru dengan isu bererti Astora membodohkan orang-orang Umno kerana tidak dapat memahami isu semasa.

Ini juga membawa erti sebahagian orang Umno lebih bodoh dari Astora. Dan sememangnya Astora sering membodohnya orang-orang Umno malah pemimpin Umno sendiri jika dilihat dari sudut apa yang tersirat. Jika tulisan beliau pada 27 Ogos yang lalu hendak dianggap sebagai laporan, maka sudah pasti laporan itu laporan silap, laporan yang cuba menipu pemimpin Umno dan cuba membodohkan pemimpin Umno. Ini kerana dakwaan beliau bahawa ceramah PAS yang dihadiri beribu-ribu orang semasa kemuncak krisis tahun 1998, kini dihadiri ratusan orang sahaja.

Ceramah PAS sudah tidak ada tarikan lagi dan tidak mendapat sambutan hebat, malah ada penganjur PAS mengeluh kerana penceramah yang bertaraf superstar tidak mendapat sambutan. Apakah dakwaan ini benar atau salah? Jika ini dianggap sebagai laporan ternyata Astora merupakan perisik Umno yang akan menjahanamkan Umno sendiri. Laporan yang tidak tepat akan membawa strategi tidak tepat. Strategi tidak tepat musnahlah perancangan.

Saya ingin bertanya Astora, di mana ceramah-ceramah PAS yang tidak ada sambutan sampai penganjur mengeluh? Untuk pengetahuan Astora ceramah-ceramah PAS dibahagikan kepada beberapa kategori; ada ceramah kelompok; ada ceramah kawasan; ada usrah dan ada ceramah umum. Bagaimana pun hatta, ceramah kelompok jika hendak dibanding dengan ceramah Umno, jauh bezanya. Saya sendiri pernah hadir ke satu ceramah Umno untuk mendengar isu terkini di Sebarang Perai Utara satu ketika dulu.

Saya sendiri merasa malu kerana yang hadir tidak sampai lapan belas orang sedangkan majlis itu disediakan makanan dan minuman, kerusi. Berlainan dengan ceramah PAS, baik sebelum pilihan raya, selepas pilihan raya. Baik dalam kawasan kalah atau kawasan menang. Tanpa menyediakan kenderaan, minuman, makanan malah derma pula dikeluarkan. Saya fikir Astora akan beristighfar seribu kali apabila melihat ribuan orang, termasuk yang mengendung anak-anak kecil. Jangan timbulkan soal tertipu, tidak ada fakta, caci, maki hamun tapi dari segi 'pengunjung' Astora tidak boleh menafikan.

Malah saya berni bertaruh dengan Astora, kita jemput Dato' Abdul Hamid Othman di satu tempat, kita jemput Tuan Ibrahim Tuan Man misalnya di satu tempat yang berdekatan dan Astora dapat melihat siapakah yang bohong? Astora atau PAS? Jemput pula Dr Mahathir tapi dengan syarat tidak ada bas percuma, makan percuma dan arahan dari ketua-ketua jabatan. Malam esoknya jemput pula orang nombor dua dalam PAS, Haji Hadi Awang. Saya ingin bertanya Astora, di mana saudara hendak sembunyi kebohongan saudara ini? Astora menilai kehadiran orang ramai dalam ceramah PAS berdasarkan propaganda, benci, emosi dan memutar belit fakta sedangkan di sanalah mereka mendapat fakta, ilmu setelah mereka tidak yakin dengan media-media massa.

Oleh itu janganlah perlekeh kemampuan PAS menarik orang ramai dalam ceramah dan jangan pula mengada-ngada yang tidak ada apabila Umno buat ceramah. Yang sebenarnya dalam Umno, untuk mencari lima orang penceramah agama pun tidak ada. Kalau ada pun mereka tidak mampu pula dan kalau mampu pula, hadirin tidak ramai yang datang kerana mereka terkongkong dengan teks. Cadangan Astora berdasarkan pengalaman dalam program ceramah saya kira akan diketawa oleh pemimpin Umno sendiri pendekatan Astora sudah ketinggalan zaman.

Tunjukkan keratan Harakah kepada orang ramai? Pasang keset lama ucapan pemimpin PAS? Baca transkrip? Itukah saranan terbaik bagi penceramah Umno? Untuk pengetahuan Astora, pendekatan itulah yang dibuat oleh PAS sejak dulu. Bukankah lebam mata Anwar Ibrahim sudah dicetak dan ditunjuk? Bukankah penyelewengan saham ditunjuk melalui transkrip? Bukankah keratan akhbar cakap-cakap pemimpin tentang salah fakta keagamaan dibuktikan? Bukankah gambar-gambar skandal juga didedahkan? Jika cara itu mengikut Astora dapat meyakini orang ramai, maka apakah silapnya fakta itu juga oleh PAS lalu orang ramai meyakininya?

Soalnya sekarang sekarang, apa yang dibukti oleh Astora melalui keset, keratan Harakah, transkrip dan lain-lain tidak betul. Oleh kerana tidak betul maka orang ramai pun tidak percaya dan apabila tidak percaya, sukar sekali ceramah-ceramah Umno dihadiri lebih dari seratus orang. Orang-orang PAS sukakan ilmu. Apabila ceramah-ceramah yang tidak ada unsur ilmu mereka menganggap buang masa saja. Jadi strategi untuk patahkan putar belit PAS yang Astora cadangkan tidak lebih dari cuba membodohkan pemimpin dan orang-orang Umno sendiri dan membuktikan Astora sebenarnya lebih Umno dari Umno. Jika begini, patutkah orang Umno mempercayainya?

(Azizi akan terus mengulas tulisan Astora melalui ruangan ini seterusnya - Editor)

Kirim email ke