Sept 12, 2000

Wang ehsan: Petronas pening kepala
Aman Rais

Pening! Itulah penyakit yang dihidapi oleh Petronas sekarang. Serba salah, serba tidak kena, ditelan mati emak, diluah mati ayah. Itulah dilema syarikat petroleum nasional itu.

Krisis royalti minyak antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Terenggganu sedang menguji sejauh mana kewibawaan Petronas.

Syarikat petroleum yang mempunyai rekod cemerlang, hingga diakui sebagai sebagai sebuah syarikat multinasional yang mempunyai pengurusan terbaik di dunia, berada dalam dilema yang besar.

Mungkin lebih besar daripada "dilema Melayu" yang pernah disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Petronas kini terpaksa memilih antara dua; untuk memenuhi tuntutan dan desakan "tuan politik" atau menjaga kredibiliti dan imej sendiri.

Mematuhi arahan kerajaan Pusat supaya tidak membuat bayaran tunai atau royalti kepada kerajaan negeri Terengganu bererti memuaskan hati ahli-ahli politik Barisan Nasional tetapi merosakkan nama sendiri yang dibina sejak 25 tahun lalu.

Melanggar arahan bermakna mengekalkan kredibilitinya sebagai sebuah syarikat yang berwibawa dan boleh dipercayai.

Petronas akan hilang kredibiliti dan imej baik kerana sanggup tunduk pada tekanan politik sedangkan sudah termaktub perjanjian yang mengikat supaya membayar royalti kepada kerajaan negeri.

Di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 tercatit: Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara tahunan sebanyak yang setara dengan 5 peratus dari nilai petroleum yang didapati di Terengganu.

Peruntukan inilah yang mengikat syarikat petroleum itu untuk memenuhi tanggungan dan tanggungjawabnya terhadap negeri dan rakyat Terengganu.

Jika tidak mematuhi arahan daripada kerajaan Pusat risiko yang akan dihadapi ialah kemungkinan besar pengurusan atasan Petronas akan bertukar.

Mengengkari arahan kerajaan Pusat bererti menentang Dr. Mahathir dan kerajaan Barisan Nasional. Sanggupkah pengerusi, ketua pegawai eksekutif dan pegawai-pegawai kanan syarikat minyak ini menghadapi risiko ini?

Dalam sejarah negara ini sukar ditemui pegawai tinggi kerajaan atau agensi-agensi kerajaan yang sanggup mengorbankan kepentingan peribadi bagi mempertahankan prinsip. Oleh itu, jawapannya kemungkinan besar Petronas akan akur dengan arahan dari kerajaan Pusat itu.

Sumber-sumber dalaman Petronas yang mengulas perkembangan terbaru isu royalti minyak itu memberitahu, pihaknya sekarang berada dalam dilema.

"Kami sedang pening, kami tersepit tidak tahu mana satu (keputusan antara kerajaan Pusat atau negeri) patut dibuat. Di satu pihak kepentingan kerajaan yang menjadi pemegang saham utama perlu dijaga dan satu pihak lain ada perjanjian yang mengikat kami untuk membuat bayaran itu.

"Mungkir janji atau sebaliknya. Serba tak kena kerana ia berkait rapat dengan kredibiliti kami. Bukannnya mudah untuk membina imej yang ada sekarang. Ia mengambil masa yang lama. Itu sebabnya pengurusan Petronas membisu sekarang.

"Biarlah keadaan menjadi reda dan lebih jelas barulah kita membuat pendirian rasmi. Kami berharap akan memilih jalan tengah," jelas seorang pegawai kanan yang tidak mahu dikenali.

Mungkin Petronas mempunyai keluar yang lebih selamat iaitu penyelesaiaan yang dapat menyelamatkan air mukanya? Mungkin ya dan mungkin tidak - bergantung pada tafsiran terhadap perjanjian yang ditandatanganinya dengan kerajaan negeri pada 22 Mac 1975.

Satu-satunya kelemahan yang mungkin boleh dieksploitasi oleh kerajaan Pusat atau Petronas untuk melepaskan diri daripada ikatan perjanjian itu ialah ayat, "�5 peratus dari nilai petroleum yang didapati di Terengganu..."

Ayat inilah yang dijadikan hujah oleh Dr. Mahathir dalam menafikan hak kerajaan dan rakyat Terengganu itu. Pada tafsiran beliau, minyak yang dicari gali di luar pesisiran pantai Terengganu itu tidak terletak dalam perairan negeri itu.

Mengikut takrifan negara ini, perairan yang berada dalam lingkungan 3 batu nautikal sahaja diiktiraf sebagai perairan milik kerajaan negeri. Kawasan di luar lingkungan 3 batu nautikal berada di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat.

Telaga-telaga minyak Petronas berada di luar kawasan 3 batu nautikal dari pantai, oleh itu kerajaan Pusat menganggap segala hasil minyak dari dasarnya adalah milik kerajaan Barisan Nasional.

Kerajaan PAS Terengganu tidak berhak mendapat royalti lagi kerana pemberian itu adalah budi bicara kerajaan Pusat.

Pegawai Petronas itu mengulas lagi, sukar untuk ditafsir kedudukan itu kerana pihak-pihak terbabit akan mentafsirnya mengikut keperluan dan kepentingan masing-masing.

"Yang pasti isu royalti ini akan berlanjutan ke mahkamah dan Petronas akan mendapat malu besar," tambanya.

Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu bertelagah, Petronas dan rakyat menjadi mangsa.



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!

Kirim email ke