*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
RIDDAH DENGAN MULUT
Adapun riddah dengan percakapan itu sangatlah banyak. Di antaranya ialah:
1. Sengaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan iktikad yang bercanggah
dengan rukun iman dan akidah Islam yang telah ijmak umat Islam padanya dan
perkara itu mesti diketahui di dalam agama seperti mengatakan bahawa Allah
itu bukan satu tetapi dua, tiga atau lain-lainnya. Firman Allah di dalam
Surah Al-Maa'idah ayat 72-73 yang tafsirnya:
"Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya
Allah ialah Al-Masih ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata: "Wahai
Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa
yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah
haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah
seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim. Demi sesungguhnya
telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu
dari tiga Tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang ber hak disembah) melainkan
Allah yang Maha Esa."
2. Sengaja mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan kepada memperolok,
mengejek atau mempersendakan nama Allah, sifat Allah, perintah Allah,
larangan Allah, janji Allah dengan syurga, pahala, neraka dan balasan seksa,
para malaikat, kitab-kitab Allah Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam, para
rasul dan para nabi yang disepakati kenabian mereka, Hari Akhirat dan qadak
dan qadar Allah. Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 65-66 yang
tafsirnya:
"Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah
mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main".
Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu
memperolok-olok dan mengejek?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan
dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan)
keimanan."
3. Sengaja mengeluarkan kata-kata yang menolak perintah-perintah dan
larangan-larangan Allah yang telah disyariatkan-Nya dengan ingkar atau
membangkang dan menolak dengan takbur. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah
ayat 34 yang tafsirnya:
"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri
hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat
melainkan iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang
kafir."
4. Sengaja mengkafirkan atau menuduh orang yang beragama Islam dengan
tuduhan kafir, atau memanggilnya dengan kata-kata kafir seperti berkata
seorang Islam kepada seorang Islam yang lain: "Hai kafir, atau hai Yahudi
atau hai Nasrani," sedangkan orang itu masih tetap dengan keislamannya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu berkata: "Telah besabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Mana-mana orang yang berkata kepada saudara Islamnya "wahai kafir", maka
telah kufur dengan perkataan itu salah seorang dari keduanya (kufur yang
dipanggil) jika benar sebagaimana yang dikatakannya dan jika tidak (benar
apa yang dikatakannya) kembali kekufuran itu kepadanya (si pemanggil)."
(Hadis riwayat Muslim.
HUKUM ORANG YANG MURTAD
Orang Islam sama ada lelaki atau perempuan yang telah murtad wajib dia
kembali semula dengan segera ke dalam agama Islam dengan mengucapkan dua
kalimah syahadat, meninggalkan perkara-perkara yang telah menjadikan dia
murtad, menyesali tindakannya yang menjadikan dia murtad serta berazam tidak
akan mengulangi tindakannya yang telah menjadikannya murtad.
Apabila dia telah kembali kepada Islam maka wajib dia menqada sembahyang
atau puasa atau lain-lain ibadat yang difardukan yang telah luput ketika di
dalam masa dia murtad.
Jika dia tidak mahu bertaubat maka wajib ke atas raja atau pemerintah
memerintahkannya untuk bertaubat supaya kembali kepada agama Islam. Apabila
dia enggan juga bertaubat untuk kembali kepada agama Islam, maka wajiblah
dia itu dibunuh dengan perintah raja atau pemerintah. Rasullulah Sallallahu
Alaihi Wasallam bersabda yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahuanhu
yang maksudnya:
"Barangsiapa yang menukar agamanya maka kamu bunuhlah dia." (Hadis riwayat
Bukhari).
Manakala hadis yang lain pula yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas'ud
Radiallahuanhuma berkata: "Telah bersabda Rasullullah Sallallahu Alaihi
Wasallam yang maksudnya:
"Tidak halal darah seorang Islam yang bersaksi bahawa tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Allah dan bahawasanya aku Rasullulah melainkan
dengan salah satu daripada tiga perkara: Jiwa yang wajib dibayar dengan jiwa
(qishas), janda yang berzina, orang yang meninggalkan agamanya (Islam) yang
memisahkan diri dari jamaah orang Islam (murtad)." (Hadis riwayat Muslim)
Mayat orang yang murtad tidak wajib dimandikan, disembahyangkan dan tidak
dikebumikan di perkuburan orang Islam kerana keluarnya dia daripada golongan
orang Islam dengan riddah. Harus dikebumikan mayatnya itu di perkuburan
orang-orang kafir bahkan secara hukum asalnya tidaklah menjadi kewajipan
mayatnya itu untuk dikebumikan seperti halnya mayat kafir dan harus pula
mayatnya itu dibiarkan untuk dimakan oleh anjing. Jika bau busuk mayat itu
memberi gangguan kepada orang-orang yang berjalan maka wajiblah ditimbus
mayat itu. (Lihat Fath Al-'Allam 4/542).
Maka dari itu, setiap orang Islam mesti berhati-hati dalam membicarakan soal
agama lebih-lebih lagi yang menyentuh kepada perkara akidah Islam. Yang
sering berlaku, setengah orang menjadikan perkara agama sebagai bahan
jenaka. Jika perkara ini sampai ke tahap suatu tindakan memperolok-olokkan
agama, tidak syak lagi perkara itu boleh membawa kepada riddahwal
'iyazubillah.
WALLALU A'LAM.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]