*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
RIDDAH DENGAN HATI
DI ANTARA kategori riddah yang dilakukan dengan hati ialah :

1. Tidak mengakui bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan
Allah, atau mengakui ada sekutu bagi Allah pada zat-Nya seperti beriktikad
bahawa ada Tuhan selain daripada Allah atau pada sifat-Nya seperti
beriktikad bahawa ada kuasa yang sebanding dengan kuasa Allah, atau syak
tentang kewujudan Allah Subhanahu Wataala, atau beriktikad bahawa Allah
tiada bersifat dengan satu sifat yang wajib bagi Allah bersifat dengannya
dengan ijmak umat Islam seperti ilmu Allah dan kudrat Allah, atau
mensabitkan sesuatu sifat kepada Allah padahal Allah suci daripada sifat itu
seperti berjisim, berwarna dan bertempat.

2. Tidak mengakui atau syak kewujudan malaikat-malaikat dan segala urusan
yang diserahkan Allah kepada mereka

.3. Tidak mengakui atau syak tentang kebenaran kitab-kitab yang telah
diturunkan Allah kepada rasul-rasul-Nya termasuk kitab Al-Quran yang
diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, atau tidak
meng-akui atau syak bahawa Al-Quran itu Kalamullah, terpelihara daripada
tambahan dan kekurangan sama ada satu ayat atau satu huruf yang telah ijmak
umat Islam padanya.

4. Tidak mengakui atau syak tentang kerasulan rasul-rasul Allah
Alaihimussalam yang disebut nama-nama mereka di dalam Al-Quran atau
kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam atau beriktikad harus ada
nabi lagi selepas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

5. Tidak mengakui atau syak berlakunya Hari Kiamat dan yang bersangkutan
dengannya daripada soal hisab, syurga, neraka, timbangan amal, pahala, dosa,
seksa dan apa-apa yang diberitakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah
daripada kejadian-kejadian yang akan berlaku pada Hari Kiamat dan
sebagainya.

6. Tidak mengakui atau syak tentang qadak dan qadar Allah, baik dan buruk
semuanya datang daripada Allah, bahawa Allah Pencipta segala sesuatu dan
bebas menghendaki apa yang dikehendaki-Nya, memberi hidayat dan menyesatkan
sesiapa yang dikehendaki-Nya, bahawa Allah tidak menzalimi hamba-Nya dan
segala sesuatu yang berlaku itu adalah dengan qadak dan qadar Allah jua.

.7. Tidak mengakui atau syak tentang hukum-hukum Allah yang disebutkan di
dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

8. Tidak mengakui atau syak terhadap perkara-perkara yang telah ijmak umat
Islam padanya daripada perkara agama yang telah sabit dengan tiada boleh
ditolak atau disangkal seperti Israk Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
daripada Masjidilharam ke Masjidilaqsa, mukjizat para nabi, atau mengingkari
sunnah-sunnah nabi yang sahih, atau menafikan perkara wajib yang telah sabit
dengan ijmak seperti kewajipan sembahyang fardu lima waktu, sujud di dalam
sembahyang, berwuduk sebelum sembahyang, zakat, puasa dan haji, atau
mewajibkan perkara yang tidak wajib dengan ijmak seperti menambah satu
rakaat atau satu sujud di dalam sembahyang fardu lima waktu atau menafikan
sesuatu perkara yang disyariatkan Allah dengan ijmak umat Islam padanya
seperti menafikan hukum sunat sembahyang-sembahyang sunat rawatib yang
mengiringi sembahyang fardu lima waktu.

9. Mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dengan menghalalkan perkara yang
telah diharamkan dengan dalil qat'i (Al-Quran, hadis dan ijmak) seperti
haram berzina, liwat, mencuri, meminum arak, membunuh, riba dan sebagainya,
atau mengharamkan perkara yang telah dihalalkan dengan dalil qat'i
(Al-Quran, hadis dan ijmak) seperti halal jual beli, nikah, sewa-menyewa dan
sebagainya. Di dalam Surah An-Nahl ayat 116, Allah berfirman yang tafsirnya
:

"Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah
kamu : "Ini halal dan ini haram," untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta
terhadap Allah; sesungguhnyan orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak
akan berjaya.

"Firman Allah lagi di dalam Surah Al-Baqarah ayat 39 yang tafsirnya :

"Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat keterangan Kami,
mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

10. Berazam hendak kufur pada masa akan datang. Adapun merasa was-was
tidaklah menjadi kufur kerana ia hanya lintasan hati.

11. Membenci atau tidak menyukai ajaran-ajaran tauhid atau hukum-hukum
syarak yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wataala, kerana ini adalah
sifat-sifat orang yang kufur sebagaimana firman Allah dalam Surah Muhammad
ayat 8-9 yang tafsirnya :

"Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka,
dan (Allah) mensia-siakan amal-amal mereka. Berlakunya yang demikian kerana
sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan oleh Allah (mengenai
ajaran tauhid dan hukum-hukum syarak yang diterangkan di dalam Al-Quran),
lalu Allah menggugurkan amal-amal mereka."Pada umumnya seorang itu boleh
menjadi murtad apabila saja dia beriktikad dengan iktikad yang bercanggah
dengan rukun Iman dan akidah Islam yang telah ijmak umat Islam padanya dan
perkara yang memang mesti diketahui di dalam agama.

RIDDAH DENGAN PERBUATAN

Di antara perkara-perkara riddah dengan perbuatan ialah :

1. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada kekufuran seperti sujud kepada
berhala atau matahari atau bulan atau kepada makhluk sama ada binatang atau
yang lain seperti sujud kepada salib (cross) atau kepada api.

Adapun apa yang berlaku secara adatnya iaitu menundukkan kepala dan
membongkokkan badan sedikit kepada had yang tidak sampai kepada batasan
sekurang-kurang rukuk, itu adalah makruh sahaja hukumnya. (Lihat Fath
Al-'Allam 4/537).

Adapun memakai cross atau salib juga adalah perbuatan kufur kerana kata
ulama : "Perbuatan kufur itu tiap-tiap perbuatan yang telah ijmak orang
Islam bahawa perbuatan itu tidak dilakukan melainkan oleh orang-orang kafir
pada hakikatnya. Oleh kerana itu, sekalipun orang Islam yang melakukan
perbuatan orang kafir itu menyatakan bahawa dia orang Islam dengan
berterang-terang atau tiada berterang-terang, dengan disaksikan oleh zahir
keadaannya, jika perbuatan itu keluar daripadanya dengan sengaja
memperolok-olokkan agama Islam dengan olok-olok yang terang dan nyata, maka
dia adalah kufur." (Lihat kitab Al-I'lam Bi Qawati'i Al-Islam)

.2. Perbuatan sengaja yang menunjukkan kepada penghinaan, memperolok,
mengejek atau mempersendakan kitab Al-Quran atau kitab-kitab hadis seperti
memijak atau melemparkannya ke tempat yang kotor.
Bersambung



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke