www.malaysiakini.com

Oct 11, 2000

EKSKLUSIF!

K'jaan pusat tiada hak hapus royalti T'ganu

Ng Boon Hooi


7pm, RABU: Kerajaan persekutuan tidak mempunyai sebarang hak untuk menafikan pembayaran wang royalti minyak daripada Petronas kepada kerajaan PAS Terengganu.


"Perjanjian ini tidak ada langsung kena mengena dengan kerajaan pusat yang membolehkan ia campur tangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak kerajaan Terengganu," kata Pengerusi Jawatankuasa Hisbah Terengganu Tun Mohd Salleh Abas, merujuk Seksyen 4 Akta kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara negeri itu dengan Petronas pada 22 Mac 1975.


"(Campur tangan) ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Persekutuan."


"Sekarang sudah jelas dan nyata bahawa kerajaan Terengganu telah dinafikan haknya kerana royalti bagi pengeluaran dalam tempoh bulan Januari hingga 1 Julai tahun ini, yang sepatutnya dibayar pada 1 September baru-baruini, belum lagi dibayar," kata Mohd Salleh lagi dalam sesi soal-jawab dengan malaysiakini hari ini. [Lihat Wawancara dengan Mohd Salleh Abas, 11 Okt]


Beliau juga menggesa kerajaan persekutuan berpegang kepada prinsip perundangan dan "tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian" dan "tindakan ganas ini" (pemberian wang ehsan) hendaklah ditarik semula.


Beliau menambah, Terengganu tidak mengetahui apa-apa tentang kaedah pembayaran baru itu melalui Jawatankuasa Pembangunan Pusat (JPP) kecuali melalui satu salinan kenyataan Kementerian Kewangan pada 5 September lalu.


"Tidak ada persetujuan yang sedemikian telah dibuat (antara kerajaan pusat dengan negeri), bahkan kerajaan negeri Terengganu pun tidak tahu dan langsung tidak diberitahu secara rasmi oleh Petronas dan kerajaan pusat bahawa negeri itu tidak mempunyai apa-apa hak," katanya lagi.


Tindakan menukarkan nama bayaran kepada wang ehsan tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu pada segi undang-undang kerana ia mesti dibayar oleh Petronas dan menjadi hak Terengganu, tambahnya.


Beliau juga membidas kerajaan pusat yang menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak memberikan royalti pada 1974 kerana Terengganu dianggap negeri paling miskin waktu itu.


"(Kenyataan) itu tidak boleh diterima akal," kata Mohd Salleh.


Diskriminasi tanpa royalti


Menurutnya, Akta Kemajuan Petroleum berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 dan perjanjian wang tunai (royalti) di bawah akta itu dibuat pada pada 22 Mac 1975.


Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 tetapi petroleum hanya dijumpai di persisiran pantai Terengganu pada pertengahan tahun itu dan dikeluarkan dua tahun kemudian. Pada tahun 1978, Terengganu menerima royalti lebih kurang RM13 juta.


"Mustahil Abdul Razak mengarahkan supaya royalti petroleum dibayar kepada Terengganu sebelum beliau meninggal dunia sedangkan petroleum belum dijumpai," jelas bekas Ketua Hakim Negara itu.


Mohd Salleh juga menjelaskan latar belakang penggubalan akta-akta berhubung Petronas dan kerajaan-kerajaan negeri yang mengandungi petroleum.


"Untuk menyelesaikan masalah ketegangan kerajaan pusat dengan kerajaan Sarawak, akhirnya dua kerajaan itu bersetuju bahawa dasar lautan tidak boleh dimiliki mana-mana negeri dalam Malaysia, tetapi hak kepunyaan minyak yang ada di dasar lautan dan di daratan boleh dimiliki oleh negeri-negeri," jelasnya.

Menurut akta petroleum 1974, minyak yang ditemui di sesebuah negeri hendaklah diserahkan kepada Petronas dan syarikat itu pula dikehendaki membayar wang tunai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dalam satu jumlah wang yang dipersetujui.


"Meneruskan bayaran royalti kepada Sabah dan Sarawak tetapi menghapuskan bayaran ini kepada Terengganu adalah satu perbuatan diskriminasi.


"Penghapusan ini tidak sah dan tidak berkesan dari segi undang-undang," kata Mohd Salleh.


Beliau juga menegaskan bahawa isu tentang penemuan minyak di luar kawasan 3 atau 12 batu nautika tidak boleh dijadikan asas undang-undang untuk menghapuskan hak negeri itu.


"Isu ini telah dihapuskan dan diselesaikan (selepas penubuhan Petronas) oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan (Akta Perlombongan Petroleum 1966) tidak relevan lagi," kata Mohd Salleh.

RIGHTARROW.gif (70 bytes) Wawancara dengan Mohd Salleh Abas



Oct 11, 2000

Wawancara dengan Exco Terengganu, Mohd Salleh Abas


Royalti, bukan wang ehsan

Malaysiakini:
Siapakah yang berhak kepada royalti minyak ini; kerajaan Pusat atau kerajaan Terengganu?


Mohd Salleh: Royalti minyak adalah hak kerajaan negeri Terengganu yang mesti dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh Petronas, sebabnya:


a. Seksyen 2 Akta Kemajuan Petroleum 1974 menyatakan bahawa hak kepunyaan petroleum keseluruhannya sama ada di darat atau di laut adalah terserah (vested) kepada Petronas dan penyerahan hak kepunyaan ini akan berkuat kuasa apabila surat acara penyerahan telah ditandatangani. Penyerahan ini adalah muktamad, tidak boleh ditarik balik dan hak kepunyaan itu adalah menjadi hak kepunyaan Petronas buat selama-lamanya.


b. Di bawah Seksyen 4, sebagai balasan penyerahan ini, Petronas diwajibkan membayar kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan mana-mana negeri yang berkenaan, iaitu negeri di mana petroleum dijumpai dan diusahakan satu jumlah wang tunai sebanyak yang dipersetujui di antara pihak berkenaan.


c. Surat cara penyerahan hak kepunyaan telah dibuat oleh semua negeri di Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu. Bagi Terengganu, surat acara itu ditandatangani oleh Menteri Besar pada masa itu sebagai mewakili negeri ini dan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, sebagai Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petronas. Surat cara penyerahan itu dibuat di Kuala Terengganu pada 22 Mac 1975.


d. Pada hari yang sama dan di tempat yang sama, satu perjanjian ditandatangani oleh Menteri Besar Terengganu mewakili negeri dan oleh Tengku Razaleigh Hamzah mewakili Petronas.


Perjanjian ini menetapkan jumlah wang tunai yang mesti dibayar oleh Petronas kepada kerajaan negeri sebanyak 5 peratus daripada nilai petroleum yang didapati di Terengganu dan dijual oleh Petronas atau agen-agen atau kontraktor-kontraktornya.


Bayaran ini hendaklah dibuat tiap-tiap enam bulan sekali iaitu sebelum 1 September bagi petroleum yang diperolehi dan dijual dalam tempoh 6 bulan yang pertama dan sebelum 1 Mac tahun berikut bagi petroleum yang diusahakan dan dijual dalam tempoh 6 bulan yang kedua.


Adalah diingatkan bahawa bayaran wang tunai itu tidak diberikan nama apa-apa sama ada royalti atau bayaran ihsan.


e. Pada 16 September 1987, Petronas memberikan nama kepada bayaran wang tunai ini sebagai bayaran royalti. Ini jelas disebut dalam surat Tan Sri Abdullah bin Salleh selaku Presiden Petronas kepada YAB Datuk Seri Amar Diraja, Menteri Besar Terengganu.

Surat ini merakamkan persetujuan antara Petronas dengan Terengganu tentang bagaimanakah royalti lima peratus itu dihitung. Tajuk surat ini ialah:
Computation of royalty payment to the Government of the State of Terengganu by Petronas for the production of petroleum. (Perhitungan bayaran royalti kepada kerajaan Terengganu oleh Petronas bagi pengeluaran petroleum).


Surat ini telah pun jua dipersetujui oleh Menteri Besar Terengganu. Walau apa nama diberikan sekalipun, kesimpulannya: wang tunai itu merupakan satu bayaran yang wajib dibuat oleh Petronas sebagai balasan menerima hak kepunyaan petroleum daripada kerajaan Terengganu di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974.


Bayaran itu bukan satu bayaran ihsan sebagai belas kasihan atau murah hati Petronas. Bayaran itu diwajibkan apabila petroleum diperolehi di darat ataupun di laut Terengganu dan dijual.

Sekiranya petroleum diperolehi di negeri-negeri lain, seperti Pahang, Johor, Kelantan dan sebagainya, negeri-negeri itu berhak juga kepada bayaran tersebut kerana tiap-tiap buah negeri ada membuat surat cara penyerahan hak kepunyaan dan juga menandatangani perjanjian bayaran wang tunai 5 peratus.


Tetapi Allah Yang Maha Kuasa dan Amat Pemurah Lagi Amat Penyayang telah memberikan berkat kepada Terengganu. Di laut negeri lain petroleum belum dijumpai, tetapi di laut Terengganu petroleum ada dijumpai.


Yang demikian, Terengganu termasuk dalam istilah "mana-mana negeri yang berkenaan" seperti Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974, bersama-sama Sabah dan Sarawak.


Satu kesimpulan lain ialah wang tunai ini ialah bayaran royalti kerana mengikut undang-undang khususnya amalan perniagaan (commercial usage), royalti itu ialah satu bayaran yang wajib dibuat oleh penerima hak kepunyaan kepada tuannya yang menyerahkan hak kepunyaan itu.


Syarikat-syarikat minyak menggunakan perkataan royalti kepada bayaran yang mereka buat sebagai balasan kepada mana-mana concession (konsesi) yang mereka dapat. Bayaran royalti setakat 5 peratus itu adalah hak kerajaan dan rakyat Terengganu dan Petronas wajib membayarnya.


Hak kerajaan negeri tidak boleh diganggu dan dibolot oleh kerajaan pusat. Bahkan kerajaan pusat jua menerima royalti daripada Petronas mengenai petroleum yang dijumpai dan dikeluarkan Petronas di dasar lautan Negeri Terengganu.

Perjanjian Terengganu-Petronas

Malaysiakini: Bolehkah kerajaan pusat menafikan hak kerajaan Terengganu?


Mohd Salleh: Oleh kerana royalti itu hak Terengganu, kerajaan pusat tidak ada kuasa menafikan atau menghapuskan hak tersebut melainkan kerajaan Terengganu sendiri bersetuju.


Tidak ada persetujuan yang demikian telah dibuat; bahkan kerajaan Terengganu tidak tahu dan langsung tidak diberitahu secara rasmi oleh Petronas dan kerajaan pusat bahawa Terengganu tidak mempunyai apa-apa hak. Kerajaan Terengganu tidak pernah diminta berunding dan kira-bicara mengenai hal-hal ini.


Apa yang diketahui hanyalah melalui satu salinan fotostat siaran akhbar oleh Kementerian Kewangan bertarikh 5 September 2000. Itulah sebabnya pada awalnya YAB Menteri Besar Terengganu (Abdul Hadi Awang) teragak-agak menerima siaran akhbar itu sebagai kenyataan yang benar-benar dibuat oleh kerajaan pusat.


Sekarang sudah jelas dan nyata bahawa kerajaan Terengganu telah dinafikan haknya kerana royalti bagi pengeluaran dalam tempoh bulan Januari hingga 1 Julai tahun 2000, yang sepatutnya dibayar pada 1 September 2000, belum lagi dibayar.


Mungkin wang royalti itu sudah dibayar kepada kerajaan pusat. Cara kerajaan pusat menghapuskan hak kerajaan Terengganu ialah dengan cara mengubah nama pembayaran wang tunai -- daripada perkataan royalti kepada perkataan bayaran ihsan amatlah dikesali sekali dan langsung tidak beralaskan asas undang-undang dan perlembagaan.


Royalti ialah satu bayaran yang wajib oleh penerima hak kepunyaan kepada pemilik hak yang menyerahkan (sesuatu) itu; tetapi bayaran ihsan ialah satu bayaran sukarela atas belas kasihan si pembayar sahaja.


Sudah tentu bayaran ini tidak diwajibkan dibuat. Dan jika dibuat pun, bilakah masa dan berapakah jumlah bayaran itu hendak dibuat bergantung kepada budi bicara pembayar itu sendiri.


Dengan menukarkan nama bayaran (tunai) royalti kepada perkataan bayaran ihsan tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu dari segi undang-undang kerana ia tetap wajib dibayar oleh Petronas dan ia tetap menjadi hak kerajaan Terengganu.


Jika benar bayaran wang tunai itu bayaran ihsan (iaitu satu bayaran yang tidak wajib), kenapakah bayaran itu diwajibkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian royalti 1975 yang dibuat di bawah akta ini?


Penukaran nama ini adalah semata-mata untuk mengelirukan kefahaman rakyat mengenai royalti petroleum. Bukan sahaja setakat menukar nama, kerajaan pusat terpaksa berdalih bahawa Perjanjian Royalti 1975 ini hanyalah sebagai surat persefahaman (MOU) sahaja.


Dalih yang seperti ini menunjukkan mereka tidak ada alasan undang-undang yang sah bagi menafikan hak royalti petroleum negeri Terengganu.


Selain itu, Petronas dipertanggungjawab membayar wang tunai seperti Seksyen 4, Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu pada 22 Mac 1975.


Perjanjian ini tidak ada langsung kena-mengena dengan kerajaan pusat yang membolehkan ia campur tangan dalam perjanjian ini untuk menghapuskan hak kerajaan Terengganu. Perbuatan ini adalah bertentangan dengan undang-undang kontrak dan Perlembagaan Persekutuan.


Kita berharap kerajaan pusat yang sering melaungkan kerajaan mereka mengamalkan demokrasi dan berpegang kepada prinsip rule of law tidak sepatutnya bertindak liar sedemikian dan hendaklah ditarik balik tindakan ganas ini.


Halaman 2



Oct 11, 2000

Halaman 1

Akta petrol selepas krisis Pusat-S'wak

Malaysiakini:
Benarkah bekas Perdana Menteri, (Allahyarham) Tun Abdul Razak membuat keputusan pada tahun 1974 agar memberikan royalti minyak kepada kerajaan Terengganu kerana negeri itu sebuah negeri termiskin pada ketika itu?


Mohd Salleh: Kenyataan ini adalah satu anggapan yang tidak benar. Kenyataan ini dibuat oleh Kementerian Kewangan sebagai dalih untuk menafikan atau menghapuskan hak royalti petroleum kerajaan Terengganu.


Pada 1974, petroleum belum lagi dijumpai di dasar lautan mana-mana negeri di Semenanjung, khususnya di Terengganu. Petroleum yang dijumpai pada masa itu hanya di dasar lautan Sabah dan Sarawak.


Benar sekali, Terengganu pada masa itu miskin bahkan pada masa ini pun negeri ini masih lagi miskin. Negeri ini kedua termiskin di Malaysia. Mengikut Kajian Separuh Penggal bagi Rancangan Malaysia Ketujuh (RM7), kadar kemiskinan Terengganu ialah 17.3 peratus -- ini bermakna jika rakyat Terengganu seramai 1 juta orang, bilangan orang miskin seramai 173,000 orang. Bilangan ini bukan sedikit.


Pada 1974, Abdul Razak tidak tahu sama ada petroleum akan dijumpai atau tidak di mana-mana negeri di Semenanjung. Pada masa itu, saya memegang jawatan Peguamcara Negara dan sayalah yang mengarang Akta Kemajuan Petroleum 1974 di bawah arahan Tun Abd. Razak.


Akta ini diciptakan untuk meyelesaikan masalah perhubungan politik antara kerajaan pusat yang diterajui oleh Abdul Razak dengan kerajaan Sarawak yang diketuai oleh YAB Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob.


Pertikaian ini ialah megenai royalti petroleum yang patut dibayar kepada kerajaan Sarawak. Butiran terperinci pertikaian di antara dua kerajaan ini mengenai ehwal royalti tidak dapat disebutkan di sini. Mungkin pada ketika yang lain saya akan jelaskan.


Pendirian dua kerajaan ini telah menimbulkan satu pehubungan politik yang genting dan tegang. Lebih-lebih lagi langkah Kementerian Perusahaan Utama yang menubuhkan satu badan berkanun bernama HIKMA untuk menyelenggarakan hal-ehwal mencari dan mengusahakan petroleum di dasar laut Malaysia.


Dengan sebab ini, kerajaan Sarawak hampir-hampir mendakwa kerajaan pusat di mahkamah pada tahun 1974. Perhubungan dengan Sabah juga bermasalah. Ini bukan mnegenai isu petroleum tetapi atas hal-ehwal lain yang tidak patut disebut di sini.


Bagaimanapun perhubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan Sabah adalah tamat genting dan membimbangkan jika tidak diselesaikan.


Untuk menyelesaikan masalah ini, (Allahyarham) Tun Ismail Ali, pada masa itu menjadi Gabenor Bank Negara dan Tengku Razaleigh Hamzah megambil peranan utama dengan saya membantu mereka mencari penyelesaian.


Akhirnya Sarawak dan kerajaan pusat bersetuju dengan rancangan penyelesaian ini. Mereka bersetuju bahawa dasar lautan tidak boleh dimiliki sebagai kepunyaan mana- mana negeri dalam Malaysia; tetapi hak kepunyaan minyak yang ada di dasar lautan dan di daratan ini boleh dimiliki oleh negeri-negeri.


Itulah sebabnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dijadikan undang-undang (enacted) bahawa hak kepunyaan petroleum ini sama ada di dasar lautan atau daratan negeri-negeri dalam Malaysia hendaklah diserah kepada Petronas untuk mencari dan mengusahakan, dan sebagai balasan, Petronas dikehendaki membayar wang tunai kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri-negeri berkenaan satu jumlah wang yang dipersetujui di antara pihak-pihak berkenaan.


Penyelesaian yang dicapai dan syarat-syarat penyelesaian ini telah dijadikan kandungan Akta Kemajuan Petroleum 1974.


Mengingati peristiwa ini, saya masih terdengar-dengar perkataan (Allahyarham) Ismail bahawa kita mesti letakkan hak kepunyaan petroleum ini kepada satu syarikat yang akan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 di mana-mana sahaja petroleum ini dijumpai dan di usahakan, sama ada di daratan atau di lautan dan syarikat inilah yang menjadi pihak berkuasa mencari dan mengusahakan petroleum sebagai usaha bersendirian atau memberikan lesen dan kontrak kepada syarikat-syarikat lain.


Perkataan royalti tidak digunakan dalam Akta tersebut kerana hendak menjaga sentitiviti pertikaian tersebut dan juga untuk mempromosikan persetujuan antara pihak-pihak yang bertikai.


Bagaimanapun, Abd. Razak tidak hanya bersetuju wang tunai ini dibayar kepada Sabah dan Sarawak sahaja, bahkan jgua untuk menyamakan kedudukan negeri-negeri di dalam persekutuan Malaysia supaya tidak ada rasa diskriminasi, sekiranya petroleum dijumpai di negeri-negeri itu.


Inilah sebabnya Seksyen 4, Akta Kemajuan Petroleum menyatakan bahawa wang tunai itu hendaklah juga dibayar kepada kerajaan "mana-mana negeri yang berkenaan" dengan tidak menentukan mana-mana negeri.


Istilah "negeri-negeri berkenaan" mestilah mempunyai makna "negeri-negeri yang ditemui dan dikeluarkan petroleum". Pada masa itu (1974), petroleum sudah dijumpai dan dikeluarkan di dasar lautan Sabah dan Sarawak tetapi belum lagi di mana-mana dasar laut negeri-negeri di Semenanjung.


Mengenai hal ini, Abdul Razak tidak mengamalkan diskriminasi antara negeri-negeri Malaysia Timur dengan negeri-negeri Malaysia Barat. Oleh kerana Sabah dan Sarawak berhak kepada royalti, kenapakah negeri-negeri lain di Semenanjung (jika petroleum juga dijumpai dan diusahakan) tidak diberikan hak yang sama?


Negeri-negeri ini juga bersekutu di bawah nama Malaysia dan berhak kepada layanan dan hak yang sama. Seperti Terengganu, petroleum di Sabah dan Sarawak pun juga dijumpai di dasar lautan.


5. Orang yang mengambil bahagian utama menyelesaikan pertelingkahan hal-ehwal petroleum antara kerajaan pusat dan Sarawak ialah Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Ismail Ali. Saya ialah orang ketiga untuk membantu mereka.


Saya masih ingat lagi buah fikiran Ismail Ali bahawa soal di mana petroleum dijumpai sama ada dalam kawasan 3 atau 12 batu nautika atau di mana-mana sahaja petroleum dijumpai, tidak akan menjadi syarat penyelesaian ini.


Yang mustahak ialah supaya hak kepunyaan petroleum di mana-mana sahaja dijumpai, baik dasar lautan atau 3 atau 12 batu nautika. Ini semuanya dijadikan hak kepunyaan Petronas dan Petronas diwajibkan membayar royalti.


Petronaslah yang menjadi tuan empunya hak dan berkuasa mengeluarkan lesen kepada mana-mana syarikat untuk mencari dan mengusahakan petroleum yang dijumpai itu. Oleh sebab itu, Akta Perlombongan 1966 sudah menjadi redundant (bertindih) dan tidak terpakai lagi setelah Petronas ditubuhkan dan beroperasi.


Yang demikian jika petroleum dijumpai dan diusahakan di negeri Pahang, Johor, Perlis dan sebagainya, Petronas wajib membuat bayaran royalti kepada negeri-negeri itu, tetapi Allah memberkati negeri Terengganu yang mana setakat ini petroleum di Semenanjung ini hanyalah dijumpai dan diusahakan di negeri Terengganu.


Negeri-negeri lain yang belum ditemui dan diusahakan petroleum tidak ada hak mencampuri hal-ehwal ini dan kerajaan pusat tidak boleh menghalang penerusan pembayaran royalti itu kepada kerajaan Terengganu.


K'jaan pusat tiada hak hapus royalti T'ganu (11 Okt)







 

 


COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Get Yahoo! Mail - Free email you can access from anywhere!
eGroups Sponsor

------------------------------------------------

ADIL-Net will remain a Free Forum
until further notice.

Disclaimer:
The opinions and views posted are not necessarily that of the
list owner's or ADIL's

--------------------------------------------------

Send a blank e-mail to:
[EMAIL PROTECTED] - to subscribe to the list
[EMAIL PROTECTED] - to unsubscribe from the list
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to normal
[EMAIL PROTECTED] - to switch your subscription to digest

ADIL Homepage: http://members.easyspace.com/reformasi/

Kirim email ke