Date: Sat, 21 Oct 2000 10:48:18 +0800



www.malaysiakini.com


Oct 20, 2000

Saya tidak akan temui polis: Ezam
'Ein Azmi


4:15pm, JUM: Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional tidak akan memberikan keterangan seperti dikehendaki polis berhubung satu ceramah tanpa permit di Selangor dua hari lalu.


"Saya tidak akan pergi ke balai polis untuk memberi kenyataan," tegas Mohamad Ezam Mohd Nor kepada malaysiakini, apabila diminta mengulas kenyataan seorang pegawai tinggi polis daerah seperti dilaporkan hari ini.


"Saya membuat keputusan tidak akan memberikan kerjasama," jelas Ezam lagi.


Penolong Pegawai Polis Daerah Klang, Supritenden Rusni Hashim dilaporkan berkata 12 pemimpin pembangkang, termasuk Ezam, dikehendaki hadir memberikan kenyataan kerana menyampaikan ucapan dalam satu majlis ceramah tanpa permit di Kampung Rantau Panjang, Jalan Kapar pada 18 Oktober lalu.


Ketua Keadilan Selangor Azmin Ali, Setiausaha Pemuda DAP Dr Wong Ang Teng, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor Norman Toha dan beberapa pemimpin Pemuda Keadilan turut diminta berbuat demikian, menurut akhbar The Sun hari ini.


Rusni juga berkata kes ini akan dirujukkan kepada Timbalan Pendakwaraya selepas menerima semua kenyataan pemimpin pembangkang berkenaan. Mereka dituduh menyalahi Seksyen 27 Akta Polis kerana mengadakan perhimpunan di tempat awam tanpa kebenaran polis.


Polis juga dilaporkan menolak satu lagi permohonan mengadakan ceramah yang dijadualkan di Bukit Kapar malam ini.


Ketika dihubungi pagi ini, Ezam berkata beliau belum menerima berita berhubung kenyataan polis itu.


Beliau mempertikaikan polis yang tidak menunjukkan tindakan serius terhadap laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, apabila menyekat siasatan Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafie Yahya
waktu itu terhadap seorang pegawai tinggi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri.


"Disebabkan laporan seorang rakyat, (saya) perlu hadir ke balai tetapi laporan (banyak pihak) berhubung kenyataan Datuk Shafie Yahya yang ditandatangani lebih 1000 orang, masih tidak ada apa-apa tindakan, siasatan," katanya.


Permit dipohon, polis tidak lulus


Ezam menjelaskan beliau menerima panggilan telefon daripada polis Terengganu pagi ini berhubung satu ceramah ‘Sumpah Keramat II' di stadium Kuala Terengganu 25 Ogos lalu.


Beliau turut menerima dua surat agar hadir di balai polis di Pulau Pinang dan satu waran tangkap dikeluarkan dari polis Kepala Batas berhubung laporannya Julai lalu kepada polis terhadap isu keterangan Shafie itu.


Apabila ditanya sama ada permit ceramah pernah dipohon, Ezam menjelaskan hanya Kelantan dan Terengganu membenarkan ceramah diadakan di negeri tersebut, sementara negeri-negeri lain menolak permohonan.


Sementara itu satu "perhimpunan 100,000 rakyat" akan diadakan di Markas Keadilan, Jalan Kebun, Shah Alam pada 5 November depan.


Pengerusi jawatankuasa program itu, Saari Sungib menjelaskan ia diadakan setelah pihak berkenaan menafikan hak mereka untuk berhimpun di Stadium Nasional, Bukit Jalil bulan lalu.


"Perhimpunan 100,000 rakyat juga membuktikan kecekalan dan ketabahan rakyat untuk mempertahankan hak untuk berhimpun secara aman di mana-mana sahaja," kata Saari lagi.


Kemuncak perhimpunan hari itu adalah pelancaran "kempen nyah Mahathir."



COUNTERBALANCE.ANYWHERE.ANYTIME.ANYBODY.ANYONE.COM



Do You Yahoo!?
Yahoo! Messenger - Talk while you surf! It's FREE.

Kirim email ke