*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,
Berikut adalah keratan artikel Ustaz Ali Muda yang dihantar ke Utusan Malaysia
bagi menjawab Tulisan Liar Astora Jabat terhadap Hudud Islam. Malangnya, tulisan
beliau ini tidak disiarkan oleh Astora/Utusan Malaysia. Ini sekali gus
membuktikan bahawa Astora dan Utusan cuba menyembunyikan sesuatu dalam
membincangkan isu Pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia ini; ringkasnya
tulisan-tulisan beliau selama ini telah diolah sedemikian rupa hanya untuk
memuaskan hati demi dan kepentingan tuan pemerintah di negara Malaysia yang
ditumpangnya ini.
Sama-samalah kita tatapi hujjah balas oleh Ustaz Ali Muda ini untuk manafaat
bersama!
-temingat dari belantara-
==============================================================================
SALAH TANGGAPAN TERHADAP HUDUD ISLAM
Saudara Pengarang,
Tulisan saudara Astora Jabat (AJ) dalam ruangan 'Debat' (Utusan Malaysia 13
Oktober 2000) yang bertajuk 'Rogol dalam bas dari sudut hudud' menarik
perhatian saya untuk membuat sedikit ulasan dan pembetulan.
Secara mudahnya AJ menyimpulkan bahawa hukuman hudud dalam Islam tidak boleh
dilaksanakan jika tiada empat orang saksi ke atas perbuatan jenayah tertuduh,
kerana menurutnya, Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali.
Jika ada empat saksi pun, menurut AJ lagi, penjenayah masih boleh melepaskan
diri dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. atau melarikan diri (iaitu
pengingkaran terhadap pengakuan terdahulu) semasa hukuman dijatuhkan.
Beberapa kesimpulan mudah oleh AJ ini perlu dinilai secara ilmiah supaya para
pembaca Utusan tidak tersalah faham terhadap hukum hudud yang mulia itu. AJ
hanya bersandarkan kepada sebuah hadis untuk membuat kesimpulan terhadap enam
atau tujuh kategori hudud.
Sebuah hadis yang dimaksudkan itu ialah tentang peristiwa seorang lelaki bernama
Ma`iz al-Aslami yang telah mengaku berzina sebanyak empat kali (pengakuan)
dalam empat majlis di depan Nabi s.a.w. Setelah Nabi s.a.w. memastikan Ma`iz
memahami pengertian zina yang sebenar dan mengutuskan beberapa Sahabat lain
untuk memastikan beliau tidak cacat akal atau terlalu bodoh, barulah Nabi
s.a.w. jatuhkan hukuman rejam ke atas beliau. Tetapi sebaik sahaja terkena
rejaman, Ma`iz terasa kesakitannya lalu melarikan diri. Para perejam mengejar
Ma`iz sehingga beliau dapat ditangkap di tengah sebuah padang pasir lalu direjam
semula sehingga mati.
Para perejam kembali memberitahu Nabi s.a.w. akan hal itu, tetapi Nabi s.a.w.
berkata, "Bukankah baik kamu biarkan sahaja Ma`iz melarikan diri, mudah-mudahan
dia bertaubat dan Allah s.w.t. terima taubatnya?" Ini kerana tindakan melarikan
diri itu telah dikira sebagai penarikan balik pengakuan dan ia telah menjadi
suatu syubhah (keraguan) yang menggugurkan hukuman hudud.
Makna hadis di atas adalah berdasarkan koleksi beberapa riwayat yang dikeluarkan
secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 17), Abu Dawud (2422, 2423 dan
2424), Ahmad bin Hanbal (1: 238 dan 325), al-Bayhaqi (8: 226), al-Tabarani (2:
261 dan 11: 338), al-Daruqutni (3: 121) dan al-Hakim (4: 361) -lihat Mawsu`ah
Atraf al-Hadith al-Nabawi al-Syarif oleh Syeikh Muhammad al-Sa`id Zaghlul.
Namun begitu, pergantungan kepada sebuah hadis ini untuk membuat kesimpulan
tentang konsep keseluruhan hudud dalam Islam adalah satu pergantungan kepada
dahan yang amat rapuh. Ini kerana sesuatu hukum dalam Islam bukanlah terhasil
daripada satu atau dua nas sahaja, sebaliknya orang yang ingin membuat
kesimpulan tentang sesuatu hukum Islam wajib mengumpulkan seluruh nas yang
berkaitan sama ada daripada al-Quran atau hadis sahih. Selepas itu barulah
dibuat rumusan atau kesimpulan yang mengambil kira semua kehendak nas-nas yang
terkumpul itu. Contohnya kita tidak dapat membuat rumusan dan fahaman yang tepat
tentang pengertian sembahyang jika kita tidak kumpulkan semua nas tentang
sembahyang dalam al-Quran dan hadis secara serentak.
Oleh kerana AJ tidak menyempurnakan proses pengumpulan nas-nas yang berkaitan
hudud terlebih dahulu, maka kesimpulan yang dibuat oleh beliau berdasarkan satu
nas amatlah dangkal, tidak tepat dengan ruh (semangat) hudud Islam dan boleh
mengelirukan pembaca.
Kenyataan AJ bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali adalah kenyataan yang
silap. Ini kerana terdapat banyak hadis lain yang menunjukkan Rasulullah s.a.w.
menghukum penjenayah hudud hanya dengan sekali pengakuan sahaja ataupun kurang
daripada empat kali pengakuan.
Imam al-Bukhari (3: 134, 241, 250 dan 8: 208), Imam Muslim (al-Hudud: 255),
al-Nasai (Adab al-Qudhah: 1), al-Bayhaqi (8: 213, 219, 222 dan 225) dan beberapa
ulama hadis yang lain meriwayatkan daripada Abu Hurayrah dan Zayd bin Khalid
bahawa seorang pekerja lelaki (al-`Asif) telah berzina dengan isteri majikannya.
Setelah mengetahui keterlanjuran itu, bapa al-`Asif cuba mencari penyelesaian di
luar mahkamah dengan majikannya. Oleh kerana ada kekeliruan tentang hukuman
yang sebenar yang sepatut diterima oleh penzina, bapanya dan majikan itu (suami
perempuan yang berzina dengan al-`Asif) telah pergi bertemu Nabi s.a.w. supaya
kedua-dua pesalah zina dihukum menurut Kitab Allah s.a.w. Maka Nabi s.a.w.
menjatuhkan hukuman sebat seratus kali dan buang begeri setahun ke atas al-`Asif
(kerana beliau bujang ketika itu) dan baginda memerintahkan seorang Sahabat
bernama Unays supaya pergi bertanya isteri kepada majikan al-`Asif itu sama ada
benar dia telah berzina. Sekiranya dia mengaku, kata Nabi s.a.w., rejamlah dia.
Isteri majikan al-`Asif mengaku, lalu Nabi s.a.w. merejamnya (hukuman zina bagi
yang telah berkahwin).
Berdasarkan hadis ini nyatalah Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud ke atas
pesalah dengan hanya sekali pengakuan sahaja. Jadi bagaimanakah seorang ilmuan
Islam dapat menyelaraskan kedua-dua hadis sahih yang nampak secara zahirnya
bertentangan ini?
Sebenarnya, Nabi s.a.w. menunggu sehingga Ma`iz mengaku sebanyak empat kali,
memastikan beliau memahami pengertian zina dan mengutuskan beberapa Sahabat
menyelidik kewarasannya, adalah disebabkan keadaan Ma`iz yang tiba-tiba mengaku
berzina itu dianggap oleh Nabi s.a.w. sebagai tindakan orang yang tidak waras
atau terencat akalnya. Setelah hilang tanggapan itu dengan pasti, Nabi s.a.w.
pun menjatuhkan hukuman wahyu itu. Ini berdasarkan pembacaan menyeluruh terhadap
beberapa versi riwayat sahih yang dihimpunkan.
Dalam peristiwa al-`Asif pula, kedudukan beliau dan isteri majikannya adalah
diketahui oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat sebagai orang yang benar-benar
mukallaf (berakal waras, sedar dan baligh), maka dengan sekali pengakuan sahaja
Nabi s.a.w. menjatuhkan hukuman hudud. Dengan ini, jelaslah kesimpulan AJ adalah
tersasar daripada konsep hudud yang sebenar dan boleh mengelirukan pembaca.
Demikianlah juga dengan hadis tentang seorang perempuan al-Ghamidiyyah yang
datang mengaku perzinaannya sehingga hamil di depan Nabi s.a.w. Baginda telah
menerima pengakuannya walaupun belum sampai empat kali, apatah lagi bukti
perzinaan jelas iaitu hamil tanpa suami. Jika tidak kerana perempuan itu hamil,
sudah tentu Nabi s.a.w. merejamnya ketika itu juga. Tetapi kerana hamil, Nabi
s.a.w. menyuruhnya melahirkan anak itu dahulu dan menyusukannya sehingga anak
itu pandai makan sendiri. Setelah itu baharulah Nabi s.a.w. merejamnya sehingga
mati. Hadis ini diriwayatkan secara sahih oleh Imam Muslim (al-Hudud, 5: 22, 23
dan 24), Ahmad (4: 430, 435 dan 440), Abu Dawud (al-Hudud: 25), al-Tirmizi
(1435), al-Nasai (al-Janaiz: 63), al-Tabarani (18: 197 dan 198) dan para ulama
hadis yang lain.
Sebenarnya ada banyak hadis yang lain menunjukkan hukuman hudud dijatuhkan
dengan sekali pengakuan dan tanpa keterangan empat saksi, tetapi kebanyakannya
dalam kategori hukum hudud yang lain seperti hudud minum arak, qazaf (menuduh
orang lain berzina tanpa saksi), mencuri, murtad, membunuh dan lain-lain. Oleh
kerana perbincangan hudud di sini lebih tertumpu persoalan zina, maka tidak
perlulah dibawa contoh hadis dalam kategori hudud yang lain. Jadi bagaimana AJ
boleh mendakwa Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghukum penjenayah hudud
melainkan dengan pengakuan tertuduh sebanyak empat kali?
Perlu dijelaskan bahawa syarat empat saksi hanya diperlukan dalam keterangan
terhadap tuduhan zina atau seertinya dengannya (qazaf) ke atas orang yang
dikenali sebagai baik. Jika si penuduh gagal membawa empat saksi yang adil
(tidak fasik), maka hukuman sebat lapan pulah kali akan dikenakan ke atasnya
kerana telah melakukan jenayah hudud qazaf (Surah al-Nur: 4).
Dalam keterangan tuduhan jenayah selain zina atau perbicaraan bukan jenayah,
syarat empat saksi ini tidak diperlukan, bahkan cukup dengan dua saksi adil
sahaja (Surah al-Talaq: 2). Jadi amatlah mengelirukan bila AJ merumuskan semua
jenayah hudud hanya boleh disabitkan bila ada empat saksi atau empat kali
pengakuan tertuduh sahaja.
Berdasarkan kekeliruan ini maka AJ menyimpulkan bahawa pemandu bas yang merogol,
meliwat dan mambunuh Noor Suzaily Mukhtar pada 7 Oktober yang lalu, tidak boleh
diadili melalui hukum hudud, kerana pada anggapan AJ, penjenayah itu boleh
terlepas dengan mudah kerana tiada empat saksi, tiada kemungkinan penjenayah itu
akan mengaku sebanyak empat kali di depan hakim dan kalau mengaku pun,
penjenayah itu boleh terlepas dengan mengingkari pengakuan terdahulunya dengan
segala cara yang difahami sebagai menarik balik pengakuan.
Bila pengakuan ditarik balik, hudud tidak dapat dilaksanakan kerana wujud
syubhah (keraguan). Maka, dakwa AJ, hanya hukum ta`zir yang boleh mengadili
jenayah tersebut.
Sekiranya AJ mengetahui himpunan lengkap nas-nas berkenaan hudud dalam Islam,
kekeliruan ini tidak mungkin terjadi. Si pemandu bas yang merogol, meliwat dan
mambunuh itu boleh diadili secara hudud. Yang pasti di sana telah ada dua saksi
pra-jenayah yang melihat Noor Suzaily meminta tolong dari dalam bas, terdapat
qarinah (isyarat kuat) seperti kesan mani di lantai bas, kesan cap jari atau
pergelutan dan tertuduh sendiri telah menunjukkan kepada polis tempat beliau
membuang dompet mangsa (menurut laporan akhbar). Dengan dua saksi dan
qarinah-qarinah yang wujud, hakim boleh bertanya sama ada tertuduh mengaku atau
tidak terhadap tuduhan jenayah hudud yang dikenakan. Sekiranya tertuduh mengaku,
hukum rejam sampai mati boleh dilaksanakan (menurut Islam) kerana tertuduh telah
berkahwin (dilaporkan, sebanyak empat kali dengan isteri berlainan). Ini
berdasarkan hadis dalam kes isteri majikan al-`Asif yang mengaku berzina
dengannya.
Sekiranya tertuduh tidak mengaku, beliau tidak akan terlepas begitu sahaja
seperti salah tanggapan AJ. Sebaliknya, berdasarkan kewujudan dua saksi
pra-jenayah itu dan qarinah-qarinah kuat yang ada, hakim boleh menjatuhkan
hukuman ta`zir sehingga ke tahap bunuh. Apatah lagi tertuduh mempunyai
rekod-rekod jenayah sebelum ini. Tetapi hukum ta`zir ini terletak pada budi
bicara hakim yang memutuskan hukuman. (Saya harap ulasan ini tidak menjadi satu
prejudice terhadap tertuduh dan subjudice terhadap perbicaraan yang bakal
diadakan kerana saya hanya menyingkap gambaran sebenar pelaksanaan hukum hudud
dalam Islam terhadap kes ini).
Malangnya negara kita sekarang masih tidak membenarkan hakim menjatuhkan hukuman
ke atas penjenayah seperti yang dikehendaki Islam kerana undang-undang hudud ini
belum diperkanunkan dalam Kanun Kesiksaan. Diandaikan si tertuduh yang merogol,
meliwat dan membunuh itu mengaku melakukan jenayah tersebut, hakim tidak boleh
menurut hukum Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. walaupun hakim
memahaminya.
Hal ini pernah terjadi di Mahkamah Rayuan pada 9 Oktober 2000 yang lalu apabila
Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Yunus dan hakim-hakimnya sebulat suara
menolak rayuan dua orang bapa yang mengaku bersalah merogol anak mereka dan
mengatakan mereka sepatutnya dihukum rejam (Berita Harian, 10 Oktober 2000). Ini
menunjukkan para hakim mengetahui hukum Islam yang sebenar tetapi tidak berupaya
melaksanakannya kerana tiada peruntukan dalam Kanun Kesiksaan atau akta yang
lain.
Setelah jelas kedudukan sebenar konsep hukum hudud dalam Islam berdasarkan
himpunan nas-nas al-Quran dan hadis, maka ternyatalah rumusan AJ hanyalah
merupakan kekeliruannya dalam memahami hukuman yang kompleks ini.
Jika kita menyedari perbuatan pemandu bas itu amat dahsyat, kenapa kita tidak
mengorak langkah untuk membendung jenayah seperti itu dengan mengaktakan
hukuman-hukuman yang paling adil seperti yang termaktub dalam al-Quran dan
hadis.
Kesimpulannya, Islam menggariskan dua bentuk pencegahan daripada jenayah seperti
itu. Pertama, pencegahan sebelum berlaku jenayah iaitu lelaki diperintahkan
menjaga pandangan dan kemaluan, dalam masa yang sama wanita juga diperintahkan
menjaga pandangan, kemaluan dan aurat yang tidak boleh didedahkan (kecuali muka
dan pergelangan tangan) -(Surah al-Nur: 30 dan 31).
Yang kedua, pencegahan selepas berlaku jenayah itu iaitu mengenakan hukuman
rejam bagi penjenayah yang telah menikmati seks halal (perkahwinan) atau sebat
seratus kali bagi penjenayah yang belum menikmatinya. Hukuman tegas ini
bertujuan menginsafkan pesalah berkenaan dan menggerunkan orang lain yang
berniat untuk melakukan kesalahan serupa. Ini amat berkesan kerana hukuman
hudud ini dijalankan di depan khalayak ramai (Surah al-Nur: 2). Maka benarlah
kata-kata: Mencegah lebih baik daripada merawat.
Ali Muda, Negeri Sembilan.
============================================================================
[EMAIL PROTECTED] wrote:
Demikianlah tulisan yang dihantar kepada Utusan. Walaupun fahaman Astora
terhadap konsep hudud ternyata salah, tetapi Utusan tidak mengambil
tanggungjawab untuk memperbetulkannya dengan sebuah rencana lain yang
dikirimkan.
Mungkin Astora merupakan satu aset yang amat besar bagi Utusan, semakin rosak
imej Astora (yang sedia rosak) bererti semakin rosak imej Utusan yang
sememangnya telah merudum jualannya. Astora adalah seorang penulis yang mampu
meningkatkan jualan Utusan. Malangnya Astora atau Utusan mungkin tidak menyedari
bahawa tidak semua benda yang dikerumuni itu benar. Sesuatu perkara itu menjadi
glamour dengan dua sebab.
Pertama, mungkin kerana kebaikannya dan kedua, kerana keburukan atau
kejahatannya. Nabi Muhammad s.a.w., para nabi yang lain dan para mujahidin
terkenal sepanjang zaman kerana risalah Islam yang dibawa, sebaliknya Fir`aun,
para penzalim dan diktator terkenal kerana kezaliman dan keingkaran terhadap
Allah s.w.t.
Orang membaca tulisan Astora untuk mengetahui apa repekannya pada hari Ahad dan
Jumaat. Astora jangan syok sendiri kononnya ramai peminat. Dengan melihat
komen-komen daripada pembaca yang disiarkannya di ruangan 'E-mel daripada
pembaca' itu, kita dapat mentelah bahawa semakin ramai pembaca yang muak dengan
sikap fanatik butanya terhadap Umno dengan menegakkan benang basah melalui
slogan 'Bicara Agama'.
Para pembaca semakin menyedari metodologi Lubsu al-haq bi al-Batil (mencampur
aduk antara kebenaran dan kebatilan) yang dimainkan Astora. Astora semakin
tertekan dengan asakan-asakan pembaca dan pendengar di mana-mana sahaja beliau
berucap. Tetapi seperti biasa, Astora sentiasa membuat ulasan bahawa dia menang
dan penyokongnya semakin ramai. Astora sanggup mendakwa tulisannya penuh dengan
fakta yang tidak boleh dipertikaikan langsung, (Mingguan Malaysia, 22/10/00)
dan kononnya tiada ulama atau ustaz Pas yang mampu menyanggahnya dalam Harakah
(Mingguan Malaysia, 15/10/00). Sepatutnya Astora tidak mencabar penentangnya di
medan Harakah kerana akhbar itu hanya dibenarkan terbit dua minggu sekali.
Ruangnya amat terhad dan tidak sesuai untuk tulisan-tulisan penentangnya
(Astora) yang selalunya panjang.
Jika benar Astora ingin menunjukkan kepada pembaca akan keberaniannya, kenapa
tidak berani mendedah URL laman yang mendebatkan pemikiran sesatnya seperti
laman Minda Rakyat atau Tranung Kite dan laman-laman yang lain. Kenapa
akhbarnya (Utusan) memadamkan URL laman Minda Rakyat yang saya sebutkan dalam
rencana saya tentang isu penggubalan rang undang-undang murtad pada 7 Oktober
lepas, sedangkan URL laman Sisters In Islam didedahkan kepada umum seminggu
sebelum itu?
Rupanya Astora semakin tertekan apabila semakin ramai rakyat Malaysia telah
sedar bahawa seorang yang menganggap dirinya sebagai 'Pembicara Agama' dalam
akhbar Utusan itu sebenarnya 'Pendusta Agama' dari Thailand. Kerana tidak tahan
dengan tekanan itu, Astora pun mengugut untuk menyaman saya kerana kononnya
saya telah membuat kesimpulan serong tentang pendiriannya terhadap hadis Nabi
s.a.w., khususnya hadis ahad.
Tetapi Astora tidak menyebutkan nama saya secara terang untuk tidak
mengglamourkan saya (saya pun bukan sukakan glamour seperti Astora), apatah lagi
selama ini Astora mendakwa tiada seorang pun yang mampu menyanggah pendapat dan
pemikiran 'Islam'nya.
Tentang topik ugutan handak menyaman saya ini, saya akan ulas dalam tulisan yang
akan datang. Kita kerja kerana Allah s.w.t., tetapi apakah Astora juga kerja
kerana Allah s.w.t. apabila semua kebatilan yang dilakukan oleh pujaan dan
pemimpin parti pujaannya (tidak dapat dipastikan sama ada pujaan ikhlas atau ada
benda sebaliknya) itu disifatkan sebagai bertepatan dengan kehendak Islam. Dalam
bekerja, pertama sekali kita memastikan ketepatan dengan hukum Islam, yang kedua
ketepatan dengan peraturan undang-undang sivil negara.
Sebagai rakyat negara ini kita tidaklah buta sangat tentang undang-undang,
walaupun bukan pengamal undang-undang itu. InsyaAllah saya akan bahaskan dari
sudut undang-undang fitnah atau defamation (seksyen 499) daripada Kanun
Kesiksaan, untuk menjustifikasikan sama ada saya dikira menfitnah Astora dalam
tulisan yang mensifatkannya sebagai anti-hadis itu (yang bertajuk "Awas! Astora
anti-hadis?").
Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.
[EMAIL PROTECTED]
26/10/00
__________________________________________________________
This email has been sent through 2b at http://www.2b.co.uk
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "Temingat Di Belantara" <[EMAIL PROTECTED]>