*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu'alaikum,
Berikut wawancara Shahrir Samad. Menarik juga mengetahui buah pemikiran
Shahrir Samad selaku orang dalam UMNO. Bagi saya, orang yang semacam Shahrir
Samad inilah orang yang boleh membaiki UMNO dan membina semula UMNO. Namun,
janganlah dirisaukan. Tak ramai orang spt ini dalam pimpinan tertinggi UMNO.
Yang ramai ialah pemimpin yang tidak suka mencari punca masalah dan
menyelesaikannya. Yang ramai ialah mereka yang suka mencari 'kambing hitam'
di atas masalah UMNO. Yang ramai mereka yang hobinya mengutuk PAS dan BA.
Jadi, insyaAlah, UMNO tak akan bangkit semula. Malah, sedang menggali
kuburannya sendiri sambil pemimpin mereka merebut kuasa dan hartabenda.
Jadi, lagi ramai orang macam Shahrir ini, labi merbahaya kepada kedua2
Mahathir dan juga BA.
Wassalam:
................................
Jangan Hanya Berpaut Pada Nostalgia - Shahrir
http://www.shahrir-umno.com/Source/article.asp?Article=JHBPN
Issue cover-dated July 29, 2000
(MASSA - Majalah Berita Mingguan)
DATUK SHAHRIR SAMAD dilihat sebagai tokoh yang sering menimbulkan
kontroversi.Beberapa kenyataanya dilihat sebagai 'songsang' atau 'menentang
arus 'malah dianggap bersifat pembangkang .Bagi SHAHRIR, beliau akan
mengkritik jika perlu tanpa mengira siapa sasaran kritikannya. Beliau yang
berjaya memenangi kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Mei lalu pernah
digantung keahliannya kerana didakwa tidak membantu Barisan Nasional (BN)
pada pilihan raya umum di kawasan yang diketuainya, Parlimen Johor Bahru.
Selepas pemilihan 1987, beliau digugurkan dari kabinet. Beliau juga pernah
bertanding sebagai calon bebas apabila tidak menyertai UMNO baru. Walaupun
pernah menghadapi pelbagai rintangan dalam parti termasuk 'gagal' untuk
menempatkan semula dirinya sebagai wakil rakyat dalam dua pilihan raya umum
lalu, politik SHAHRIR masih hidup. Beliau tidak mudah merajuk meninggalkan
UMNO. Dalam satu wawancara bersama MASSA, SHAHRIR berkata, keadaan mungkin
berubah jika beliau bukannya orang Johor. SHAHRIR juga menjelaskann tentang
peranan UMNO masa kini dan hubungannya dengan pemimpin Johor . Disebabkan
banyak perkara yang dibincangkan terlalu menyentuh pemimpin dan UMNO, pada
akhir wawancara itu, SHAHRIR berkata kepada Pengarang MASSA, Hassan Mohd.
Noor dan wartawan Siti Mariam Md. Zain: " Cukuplah (wawancara itu) untuk
menyusahkan SHAHRIR dan Dr. Mahathir." Ikuti wawancara bersama SHAHRIR yang
diadakan di pejabatnya baru-baru ini.
Datuk pernah berada di luar UMNO, bertanding atas tiket bebas dan digantung
keahlian. Berdasarkan pengalaman ini, apakah perbezaan jelas dalam UMNO,
dahulu dan sekarang?
Saya rasa perubahannya bermula pada 1987 apbila pemilihan berakhir. Mereka
yang kalah dibuang dan dipecat. Ketika itu pun, saya pernah berhujah, bahawa
walaupun ada pertandingan hebat (1987) tetapi UNMO tidak berpecah. Buktinya
selepas pemilihan, satu pilihan raya kecil diadakan di Bukit Tuku, Kelantan.
Pas melawan UMNO dan UMNO menang. Maknanya ketika itu walaupun ada
pertandingan dalaman dan dikira paling sengit, tetapi apabila berhadapan
dengan rakyat dan pengundi, UMNO masih mendapat kepercayaan. Apabila UMNO
dibawa ke mahkamah dan diisytiharkan tidak sah, saya melihat pimpinan parti
mngambil kesempatan mengubah keseluruhan UMNO dengan meminggirkan atau tidak
melantik ketua bahagian UMNO sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja UMNO
baru. Di sini berlakunya pencantasan pemimpin di peringkat bawahan.
Sungguhpun saya dan beberapa rakan menang dalam MT, tetapi kami dikecualikan
daripada menjadi penaja. Ketika itu juga saya berhadapan dengan pilihan raya
kecil di Tanjung Puteri. Saya merupakan pengarah pilihan raya untuk calon
UMNO baru yang pertama . Saya buat kerja sungguhpun keadaan begitu susah
kerana orang Johor Bahru mempunyai sentimen yang begitu tinggi terhadap UMNO
dan memprotes wujudnya UMNO baru, tetapi kita menang.
Selepas itu apabila saya mengisytiharkan diri sebagai wakil bebas (ketika
itu Ahli Parlimen Johor Bahru mewakili UMNO), saya dicabar. Saya letak
jawatan dan bertanding sebagai calon bebas. Apabila saya menang, bermulalah
perubahan untuk membenarkan orang masuk UMNO baru. Ketika itu , UMNO
seolah-olah parti yang hanya terhad kepada mereka yang menyokong presiden.
Penentangan demi penentangan terhadap UMNO baru ini berlaku sehingga
ditubuhkan Semangat 46. Dari situ , Dr. Mahathir Mohamad memimpin UMNO
dengan cara dan ideanya tersendiri. Perubahan dalam UMNO berlaku dalam masa
10 tahun semenjak 1988 dan memuncak apabila pada pilihan raya 1999,
kelihatan jelas penentangan terhadap UMNO sehingga hasilnya, ramai calon
UMNO kalah.
Adakah kekalahan pada 1999 ada kaitan dengan perkembangan dalam UMNO 10
tahun lalu?
Kekalahan di Kelantan, Terengganu serta calon-calon peringkat Parliman dan
negeri termasuk di Kedah, kemerosotan undi UMNO adalah hasil perubahan yang
berlaku dalam tempoh 1988 sehinggalah 1999. Kalau dahulu UMNO ini merupakan
Parlimen orang-orang Melayu dan pernah dianggap bahawa kalau hendak bersuara
dengan bebas, kita boleh bersuara dengan bebas, hanya dalam UMNO. Dalam
setiap Perhimpunan Agung UMNO sebelum tahun 1987, memang perwakilan UMNO
bersuara secara bebas, secara terang menegur kerajaan untuk menentukan agar
kerajaan dan pemimpin-pemimpinnya yang memimpin parti, tidak menyimpang
daripada perjuangan parti. Tetapi antara 1988 hingga 1999, keadaan sudah
berubah apabila ucapan para perwakilan sudah diskripkan, dilulus dan ditapis
oleh pimpinan negeri unuk menentukan jangan pula nanti terguris hati
pemimpin apabila perwakilan memberi pandangan atau ucapan.
Ini memang berlaku dalam UMNO baru, UNMO dalam tahun 90-an. Jadi oleh sebab
itu, nampak bahawa tidak ada pandangan, tidak ada pendapat, tidak ada
teguran kepada pucuk pimpinan untuk menentukan perjalanannya sesuai dengan
kehendak dan agenda orang Melayu. Itu satu perbezaan yang sangat besar dan
dengan sendirinya UMNO yang dulu dikatakan pejuang demokrasi dan mempunyai
sifat demokrasi yang benar-benar wujud di dalamnya , dianggap sebagai tidak
lagi demokratik oleh pemerhati dan orang Melayu yang berada di luar. Sebab
itu dalam pilihan raya lalu umpamanya, UMNO dituduh tidak demokratik, tidak
memperjuangkan keadilan, tidak adil, tidak menentang rasuah, malah terlibat
dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Hakikat sebenarnya UMNOlah yang
memperkenalkan demokrasi dalam negara, mempertahankan demokrasi,
mempertahankan keadilan, menentang kezaliman dan penyalahgunaan kuasa tetapi
akhirnya ia beralih menjadi sebaliknya. Jadi keadaan ini berlaku kerana UMNO
bertukar coraknya daripada sebuah parti yang mengamalkan demokrasi, kepada
yang mengutamakan perasaan hati pemimpin, lebih daripada pandangandan dan
teguran para ahli serta masyarakat Melayu secara keseluruhan. Ini saya rasa
perbezaan besar di antara UMNO dahulu dan sekarang.
Dalam hal ini apakah langkah yang perlu diambil?
Sudah tentu UMNO kena memperlihatkan ia mempunyai agenda Melayu dan sanggup
menerima berbagai-bagai pandangan, teguran dan pendapat bukan hanya mewakili
satu pandangan atau kumpulan semata-mata. Apa yang perlu dilakukan oleh UMNO
sekarang, sudah pun berlaku. Dalam Perhimpunan Agung baru-baru ini, jelas
berbeza dari perhimpunan-perhimpunan sebelumnya, dalam masa 10 tahun atau
sedekad dulu.Bila saya bandingkan ucapan Dr. Mahathir Mohamad, semasa ucapan
dasar dengan ucapan penggulungan, kedua-duanya berbeza dari segi nada, hala
tuju dan arahnya. Matlamatnya berbeza. Umpamanya Presiden mengatakan,
tentang UMNO perlu mesti bersikap sebagai parti pembangkang, pemimpin harus
turun ke bawah, turun ke padang. UMNO mesti lebih terbuka dan sebagainya.
Ianya berbeza dengan ucapan awalan dan ini menunjukkan presiden mendengar
pandangan dan ucapan daripada perwakilan-perwakilan. Mungkin ini langkah
permulaan ke arah perubahan dalam UMNO di mana pemimpin harus mendengar dan
rapat dalam parti dan kepimpinan di peringkat akar umbi juga mendengar semua
pendapat bukan sahaja daripada kalangan orang UMNO tetapi juga daripada
kalangan masyarakat Melayu di luar UMNO.
Walaupun wujud unsur pinggir-meminggir tetapi Datuk menang pada pemilihan
MT. Adakah ini juga perubahan dalam UMNO?
Semasa penubuhan semula selepas keputusan mahkamah mengatakan UMNO tidak
sah, UMNO baru rakus untuk memisah atau meminggirkan pemimpin yang dianggap
tidak sehaluan. Jadi kemunculan saya semula umpamanya dalam MT menggambarkan
bahawa apa yang dilakukan sedekad akhirnya terpaksa kembali kepada
perjuangan asal bahawa kita tidak boleh pinggirkan sesama kita kerana yang
akhirnya, kesan dan mudarat adalah kepada kedudukan parti itu sendiri.
Datuk dilihat sebagai pemimpin yang berpandangan songsang?
Tidak. Saya bukan sentiasanya songsang. Tindakan saya bukan membuta tuli.
Sebenarnya saya seolah-olah sentiasa menentang arus. Idea saya lain daripada
orang lain. Orang lain ikut Anwar Ibrahim, saya sokong Ghabar Baba. Orang
sokong Dr. Mahathir, saya sokong orang lain. Ini yang dilihat sentiasa
menentang arus. Orang hendak mengampu-ampu, saya tak suka, orang tak buat
kerja, saya tak suka, orang rasuah, saya tak suka orang tahu. Jadi sebab itu
orang tak suka panggil saya berunding. Saya bukan tak boleh berunding,
hendak berunding dengan saya jelas. Kalau betul, kita sokong.
Datuk akan terus berperanan seperti ini?
Bila menang sebagai ahli MT, saya isytiharkan tidak hendak apa-apa jawatan.
Bagi saya di peringkat tertinggi sekali pun, di dalam UMNO mesti ada yang
hadir di situ bukan kerana jawatan. Perjuangan dalam politik bukan
semata-mata untuk kedudukan dan jawatan, sungguhpun orang boleh membuat
berbagai-bagai rasional mengatakan tanpa jawatan, kita tak boleh buat
apa-apa dan sebagainya. Kepada saya tanpa jawatan, lebih mudah. Saya menjadi
bebas dan memberi pandangan yang bebas. Saya tidak perlu menjaga kedudukan
dan kepentingan jawatan. Kalau saya diberikan jawatan, bila-bila pun saya
tidak akan meletakkan kepentingan jawatan itu daripada kepentingan yang
lebih besar iaitu kepentingan kebenaran dan menyampaikan pendapat secara
ikhlas dan sebagainya. Mungkin saya terpaksa meletak jawatan kerana hendak
mempertahankan kedudukan saya dalam parti. Jadi lebih baik saya tidak ada
jawatan.
Dalam mesyuarat MT, Datuk diberi kebebasan untuk bersuara?
Saya bebas bersuara dan bebas tidak bersuara. Dah tiga kali mesyuarat, pada
mesyuarat yang pertama saya bercakap. Dua kali lagi saya tidak bercakap.
Banyak sangat yang bercakap. Saya dengar sahaja. Adalah sebab-sebabnya. Saya
rasa ketika itu, ramai sangat yang hendak bercakap, jadi saya diamlah.
Biarlah mereka bercakap.
Ramai melihat Datuk berbeza dengan kebanyakan pemimpin lain.
Saya tidak terikat dengan apa-apa. Saya rasa yang penting ialah untuk
menentukan perjuangan UMNO itu balik kepada asal. Ini bermakna, ianya bukan
perjuangan Dr. Mahathir, Abdullah Badawi dan juga bukan perjuangan Shahrir
tetapi perjuangan orang Melayu, untuk kepentingan Melayu. Apa yang penting
sekarang ialah bukan untuk menyakinkan orang UMNO menyokong UMNO tetapi
mesti menyakinkan orang Melayu di luar UMNO menyokong UMNO. Orang UMNO pada
saya dah tak ada problem. Dia nak sokong, mesti dia sokong UMNO. Tapi saya
bercakap kepada orang di luar, macam mana saya harus menarik minat mereka
untukmenyokong UMNO. Pendirian saya simple. Sebagai orang politik, saya
percaya bahawa saya mesti melakukan sesuatu itu secara ikhlas, berusaha
seberapa kuat yang boleh dan lakukannya secara ikhlas dan bertawakal kepada
Allah untuk balasan bagi apa yang saya lakukan memenuhi tanggungjawab
sebagai seorang insan, manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t dengan
akal fikiran dan macam-macam lagi.
Datuk menimbulkan kenyataan yang agak kontroversi apabila berkata, orang
Melayu tidak boleh dipaksa berterima kasih kepada UMNO.
Bila saya bercakap begitu, orang kata saya ikut cakap Pas. Sebenarnya tidak.
Fikirkan balik kepada soal yang penting pada 1999. Mengapakah dalam keadaan
UMNO dah banyak berjasa itu, orang Melayu sebahagian golongan muda, sanggup
meninggalkan sifatnya yang berbudi dan berterima kasih? Mengenang budi,
disimpannya di rumah tetapi di peti undi, mengundi pembangkang. Itu
persoalannya kepada saya. Takkanlah kita hendak kata, itu salah pengundi.
Mungkin kita dan UMNO juga ada salah. Jadi ini yang menjadi penyebab
perbahasan dan perdebatan yang saya nampak sedang berlaku di kalangan
pemimpin-pemimpin UMNO dan masyarakat. Pada pendapat saya, bahawa bukan
sahaja pengundi yang silap. Kalau dah betul UMNO dah berjasa, sudah tentu
mereka pun tahu UMNO berjasa. Tetapi mengapa pula pemimpin UMNO mengatakan
mereka mesti terus berterima kasih... tak boleh lupa dan sebagainya. Kepada
saya, apa yang saya nampak ialah bahawa pemimpin-pemimpin UMNO terlupa
sebenarnya mereka duduk sebagai pemimpin atas sokongan orang Melayu dan
rakyat Malaysia dan apa pun yang mereka lakukan adalah untuk kepentingan
mereka. Tapi mungkin kali ini kalau UMNO dan pemimpin-pemimpin UMNO harap
untuk bergantung kepada nostalgia semata-mata, itu tidak dapat meyakinkan
pengundi-pengundi terutama generasi muda.
Saya ada menerima pandangan daripada seorang ahli UMNO, dia kata, kita mesti
mengenang nostalgia dan berterima kasih kerana kita hendak bergerak ke depan
mencapai satu wawasan. Saya setuju tetapi kita tak boleh bergantung atau
berpaut kepada nostalgia, kita mesti juga mempunyai satu wawasan yang boleh
meyakinkan orang Melayu untuk terus menyokong kita. Bagi saya, sebenarnya
orang Melayu yang muda ini bukan tidak berterima kasih, tetapi dia tak
hendak berpaut kepada nostalgia semata-mata. Sebenarnya mereka tak nampak
apakah rupa bentuk, hala tuju dan arah masa depan bagi generasi yang ada
hari ini. Sebagai contoh, ketika saya membesar dalam zaman 70-an, di bawah
Dasar Ekonomi Baru (DEB), kaum bapa, saya boleh melihat ke depan dan
membayangkan apakah kedudukan dan jaminan untuk anak-anaknya pada masa 20
tahun akan datang kerana adanya DEB, adanya satu wawasan, gambaran yang
jelas tentang kedudukan bangsa Melayu, agama Islam, negara Melayu dalam
tempoh 1970 sampai 1990. Tetapi hari ini generasi saya, yang sekarang ada
anak, mungkin tidak boleh nampak apa bayangan dan jaminan masa depan
generasi akan datang. Inilah yang saya kata, kalau setakat untuk berpaut
pada nostalgia tetapi tidak kelihatan wawasan yang boleh kita bergerak ke
depan, mungkin ini yang menyebabkan generasi muda Melayu mengatakan bahawa
UMNO tak boleh disokong dan mereka tidak menyokong. Ini pandangan saya.
Tetapi kita ada Wawasan 2020?
Mungkin mereka juga menolak wawasan itu yang tidak kelihatan sebagai wawasan
Melayu. DEB untuk Melayu dan negara kerana ia meletakkan Melayu sebagai
teras negara kerana kalau teras itu baik, maka negara akan selamat. Wawasan
2020 mungkin dilihat tidak sebegitu. Ia dilihat sebagai satu wawasan untuk
semua bangsa... bangsa Malaysia umpamanya dan negara maju. Apa maksudnya
negara maju dalam tahun 2020 kepada seorang yang berumur 21 atau 22 tahun
ataupun untuk anak-anak generasi saya, anak-anak muda Melayu generasi akan
datang? Apa maknanya? Adakah bermakna mereka perlu menjadi seperti Tajudin
Ramli, semata-mata untuk berjaya? Atau mereka mesti pandai menyediakan
kertas kerja penswastaan atau mesti berbaik-baik dengan pemimpin UMNO? Apa
gambaran untuk masa depan bangsa Melayu, generasi muda Melayu dalam 20 atau
30 tahun akan datang? Ini persoalannya.
'UMNO mesti ada wawasan baru bagi meyakinkan generasi muda seperti mana UMNO
meyakinkan generasi Melayu 70-an dengan DEB'
Maknanya Melayu masih dalam kepompong Melayu dan belum bersedia membina
bangsa Malaysia?
Saya tak tahu tetapi seolah-olah Wawasan 2020 tak menarik. Mungkin dia boleh
terima bangsa Malaysia tetapi pokoknya Wawasan 2020 itu tak menarik seperti
DEB. Kalau kita perhatikan Dr. Mahathir, dalam ucapan-ucapannya, semenjak
1985, 1986, kurang bercakap tentang DEB dan mula bercakap mengenai DEB
apabila beliau diserang tentang soal kroni dan nepotisme. Jadi dalam tempoh
1987 dan 1997, sepuluh tahun, saya rasa, kepimpinan negara, UMNO dan
sebagainya agak terlupa, meletak tepi DEB. Hanya apabila soal nepotisme dan
kronisme timbul, sebagai serangan daripada Anwar Ibrahim dan kawan-kawannya,
baru DEB ditimbulkan balik. Saya ambil contoh dalam tempoh itu ada usaha
untuk menghapuskan subsidi. Orang Melayu jangan mempunyai mentaliti subsidi.
Kita jangan bagi subsidi kepada petani, nelayan, pelajar dan sebagainya.
Orang Melayu patut belajar berdiri atas kaki sendiri. Orang Melayu pun dah
okey. Tetapi sebaliknya banyak pula subsidi diberikan kepada industri,
kepada usaha-usaha dan kegiatan peniaga besar orang korporat. Jadi subsidi
ditarik daripada kumpulan bawahan dan diberikan kepada kumpulan atasan. Ini
juga subsidi. Walau apa pun pertolongan kerajaan, adalah subsidi. Memang
rasionalnya kerana kilang atau syarikat ini membawa cukai dan memberi
pekerjaan, tetapi dari sudut sosioekonomi kumpulan bawahan ini, petani dan
nelayan ketinggalan sementara proses pendidikan, penyertaan orang Melayu
dalam pendidikan ketinggalan.
Apa cadangan terbaik Datuk berhubung perkara ini?
Saya fikir mesti ada satu usaha untuk menarik dan mengumpulkan cerdik pandai
Melayu menyediakan satu wawasan baru bagi memberi jaminan pada generasi muda
Melayu dan Malaysia pada masa ini. Ianya mesti berlandaskan kepada Melayu
sebagai teras bangsa negara. Ianya mesti berlandaskan kepada pembangunan dan
kemajuan Islam seperti mana juga DEB. Kalau kita tengok DEB umpamanya. Satu
ketika dahulu DEB ini dikritik sebagai satu program, dasar ekonomi
anti-Islam kerana mendakwa DEB ini berasaskan kepada sistem ekonomi berunsur
riba. Oleh yang demikian, DEB ketika itu dianggap anti-Islam.
Tetapi sebaliknya kemajuan dan pembangunan Islam berlaku secara tersirat
melalui DEB. Melalui DEB tertubuhnya Bank Islam dan Takaful Islam. Untuk
mewujudkan Bank Islam, dari segi nama memang mudah. Tetapi untuk diwujudkan
bank, mesti ada satu kumpulan yang menabung modal, mesti ada kumpulan yang
hendak meminjam dan mesti ada satu kumpulan yang boleh menguruskan bank itu.
Kumpulan orang yang boleh menabung mestilah kerana pendapatan mereka
bertambah, jadi bermakna mestilah datangnya dar dari pendapatan masyarakat
Islam di Malaysia. Sebagai prasyarat penubuhannya, mestilah ada sebahagian
masyarakat Islam Malaysia yang mempunyai pendapatan yang boleh ditabung.
Pendapatan mereka mesti naik. Itu yang diusahakan dalam DEB. Mesti ada satu
kumpulan masyarakat Islam yang meminjam duit dari bank itu, untuk ia menjadi
sebuah bank. Kalau kita tubuh bank tak ada orang Islam hendak pinjam wang
tak guna juga. Mesti ada sebahagian daripada masyarakat yang terlibat secara
langsung dan secara besar dalam industri, dalam perniagaan supaya mereka
akan menjadi peminjam kepada bank.
Untuk menggerakkannya juga mesti ada kumpulan masyarakat Islam yang boleh
mentadbir dan mengurus bank itu. Mereka ini tentunya akan datang daripada
golongan yang telah mendapat pendidikan, pelajaran, ilmu pengetahuan dan
seterusnya menguasai dan memahami kewangan, ekonomi dan berbagai-bagai ilmu
yang diperlukan untuk mengurus sebuah bank. Jadi ketiga-tiga kumpulan itu
memang diwujudkan oleh DEB. Sebab itu hari ini Bank Islam berjaya, kerana
adanya DEB yang tertumpu kepada pewujudan dan kelahiran ketiga-tiga kumpulan
tadi.
Begitu juga dengan Takaful. Ianya berjaya apabila ada yang mengurus dan ada
yang sanggup menerima dan mempunyai wang untuk menyertai skim Takaful. Kalau
tidak ada DEB dan dibiarkan pembangunan ekonomi sahaja dalam DEB, saya tidak
rasa kedua-dua institusi yang penting dalam ekonomi Islam boleh berjaya.
Jadi dalam DEB yang dulu pun sudah memang tersirat kemajuan Islam itu
sendiri. Jadi dalam dasar yang baru, wawasan yang baru mestilah ada sesuatu
yang mesti berlandaskan kepada kemajuan dan pembangunan masyarakat Islam itu
sendiri.
Sekiranya sikap pemimpin UMNO masih juga tidak berubah, dapat Datuk bayangan
tentang masa depannya?
Lenyaplah! Kalau UMNO tidak serius untuk mengubah persepsi rakyat terhadap
kerajaan yang ianya menjadi teras dan tonggak, parti yang terbesar, tulang
belakang, mengubah persepsi dari sebuah kerajaan yang rasuah, yang hanya
mementingkan kumpulan yang tertentu sahaja, maka akhirnya sudah tentu UMNO
tidak akan dapat mengekalkan sokongan dalam pilihan raya akan datang. Yang
mustahak persepsi rakyat.
Ada yang kata, UMNO terlalu bertindak sebagai kerajaan berbanding MCA. Apa
bentuk tindakan UMNO sebenarnya, kerajaan atau parti?
Umno mewakili atau mempunyai kedudukan yang besar atau kuat dalam kerajaan.
Dengan kedudukan itu banyak boleh dilakukan untuk memberi keyakinan semula
kepada pengundi-pengundi untuk menyokong BN. Jadi peranan UMNO penting.
Kalaulah pemimpinUMNO di dalam kerajaan boleh menyakinkan pengundi dan
rakyat, boleh melaksanakan program-program dan dasar serta strategi yang
menguntungkan masyarakat dan rakyat, saya rasa kerja UMNO dan parti senang.
Jadi sekarang ini kerana kerajaan tidak berkesan, maka UMNO mesti menentukan
bahawa pemimpin UMNO yang duduk dalam kerajaan membuat kerja dengan
sebaik-baiknya dan melaksanakan dasar yang boleh diterima oleh sebahagian
besar masyarakat. Tugas UMNO sebenarnya ialah untuk menentukan kerajaan,
pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan menghilangkan persepsi rakyat bahawa
ianya sebuah kerajaan yang mengamalkan rasuah. Jadi UMNO mesti menegur
pemimpinnya dalam kerajaan yang mengamalkan rasuah sebab UMNO mesti
membetulkan kerajaan. Itu tugas yang besar. Soal UMNO hendak bergerak untuk
program-program ini, itu perkara biasa, kita bergeraklah macam biasa. Tapi
UMNO punya tanggungjawab berbeza dengan tanggungjawab parti-parti komponen
BN yang lain. UMNO mempunyai tanggungjawab untuk menegur kerajaan agar imej
kerajaan itu berubah.
Baru-baru ini juga ditimbulkan persoalan tentang PM bukan Melayu.
Itu cakap politic. Memanglah dari segi hakikatnya, siapa yang menguasai
Parlimen, dialah yang menjadi PM. Dalam Perlembagaan kata, sesiapa sahaja
boleh menjadi PM Malaysia, asalkan mendapat kepercayaan dan sokongan
daripada semua parti, sebilangan besar anggota Dewan Rakyat. Itu hakikatnya.
Pada saya itu bukan isu yang penting. Lebih penting pada saya ialah
bagaimana UMNO harus terus membawa wadah perjuangan yang boleh diterima,
yang mewakili sebahagian besar masyarakat Melayu.
Ada cadangan supaya Timbalan Presiden, Naib Presiden dimansuhkan.
Saya tidak tahu apa sebabnya tidak payah bertanding Timbalan Presiden dan
naib presiden. Adakah kerana adanya naib presiden dan timbalan presiden,
UMNO tidak mendapat sokongan orang Melayu? Jadi inilah masalah UMNO
sekarang... masih lagi memikirkan bahawa kita tak ada masalah di luar. Kalau
kita menumpukan perhatian kepada kedudukan dan jawatan dalaman, apa hal?
Jadi masih ada problem dalam UMNO ini yang mana segolongannya memikirkan
yang penting UMNO tak payah ada timbalan, tak payah ada naib, mesti
kurangkan politik wang dan sebagainya. Apa fasal hendak ditumpulkan kepada
persoalan ini? Pada saya tak mustahak persoalan ini. Kalau kita dapat
menyakinkan orang Melayu menyokong UMNO, kita tak kisahlah siapa jadi
Presiden, timbalan ke, jadilah. Itu pendapat saya. Ini semua remeh-temeh.
Fungsi Pemuda dan Wanita UMNO sekarang ini, apa pandangan Datuk?
Saya rasa Pemuda tentu ada peranannya sendiri. Tetapi saya rasa dia mungkin
terpengaruh dengan suasana...suasana di mana sebahagian besar mereka berada
iaitu suasana korporat, suasana mencari rezeki. Itu adalah sebahagian
daripada mereka yang terpengaruh. Tetapi kita kena bagi peluang untuk mereka
melakukan apa yang mereka kata akan mereka lalukan. Seperti mereka kata
hendak mendekatkan diri dengan mahasiswa, dengan orang muda. Kita tunggu dan
lihat. Saya berpendapat, apa pun perubahan yang hendak kita lakukan mestilah
dilalukan di dalam parti induk. Kerana pada suatu ketika dahulu ada orang
suruh saya bertanding Ketua Pemuda, tapi saya rasa Pemuda sendiri tidak
boleh mempengaruhi parti induk kalau badan induk itu rosak. Pemuda tidak
boleh buat apa-apa. Jadi maknanya kena badan induk yang bertindak mengubah.
Pemuda akan ikut. Wanita saya ingat tak ada masalah.
Tentang UMNO Johor. Apa masalah sebenar antara Menteri Besar, Datuk Abdul
Ghani Othman dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Saya ingin berterus terang mengenai Ghani dan Muhyiddin. Bagi saya,
Muhyiddin itu lebih marah kepada Ghani daripada Ghani lebih marah kepada
Muhyiddin. Inilah suasana sebelum pemilihan Naib Presiden UMNO. Muhyiddin
marah pada Ghani kerana dia anggap Ghanilah yang menyebabkan dia kalah dalam
pemilihan yang dulu. Sebenarnya bukan Ghani... yang menyebabkan Muhyiddin
kalah ialah Shahrir. Tapi Muhyiddin tak hendak marah saya, dia marah Ghani.
Jadi sekarang dia dah menang dan Ghani tak menang, jadi kuranglah Muhyiddin
marah pada Ghani. Dia tak boleh marah saya pasal dia tahu, kalau orang tak
kacau, saya tak kacau... jangan kacau Johor Bahru. Kalau awak tak kacau,
saya tak kacau. Saya very fair. Jadi sekarang dengan kemenangan Muhyiddin,
selesailah. Lainlah kalau dia kalah.
KENAPA TETAP SETIA PADA UMNO?
Saya memang percaya bahawa akhirnya kebenaran dan perjuangan asal akan
kembali dalam UMNO. Saya tahu tindakan terhadap saya dulu (digantung
keahlian) memang dengan cara yang tidak adil, tidak ada peluang untuk
membela diri dan sebagainya. Tetapi saya tidak lari daripada UMNO kerana
saya rasa wadah perjuangan Melayu memang dalam UMNO mungkin kerana saya
orang Johor. Bagi orang Johor, ada beza sikit. Orang Johor memikirkan (dan
sesetengah negeri) bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO. Kita memahami
bahawa melalui UMNO sahajalah kita boleh membawa perjuangan bangsa, agama
dan negara. Tetapi bagi orang Melayu di Kuantan, Kedah, Terengganu, UMNO itu
UMNO, Pas itu Pas. Jadi Melayu itu boleh UMNO, Melayu itu juga boleh Pas.
Mungkin saya punya perasaan dan sikap terpengaruh oleh keadaannya sekeliling
kerana saya datang dari Johor. Mungkin itulah... Tapi kalau saya bukan dari
Johor, mungkin keadaan berubah. Kalau kita lihat di sesetengah tempat di
negeri Johor sendiri, kemunculan ranting-ranting Pas umpamanya atau
penyertaan orang Melayu dalam Pas, bukan kerana ideologi atau fahaman
politik tetapi kerana perkelahian di peringkat kampung, bergaduh dengan
Ketua Cawangan, tewas bertanding dalam cawangan, merajuk lari keluar. Apatah
lagi di negeri-negeri di mana Pas itu kuat, akan berlakulah perubahan ahli
UMNO meninggalkan UMNO kalau kena marah dengan Ketua Cawangan atau Ketua
Bahagian, berpindah kepada parti pembangkang. Mengenai demokrasi dalam UMNO,
saya percaya kalau ramai yang berani, demokrasi dalam parti akan dapat
dipertahankan. Maknanya, kita kena berani. Janganlah takut dan sayang sangat
pada kedudukan.
_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.
Share information about yourself, create your own public profile at
http://profiles.msn.com.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "salam sejahtera" <[EMAIL PROTECTED]>