*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Mutiara Kisah Mingguan

.
NabiPalsu Memurtadkan Ummah
|  Si Hitam Yang Bercadar  |  Merancang Pembunuhan  |  Kepala Aswad 
Dicampakkan Ke Tanah  |








..............Sesungguhnya Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib 
Al-Quraisyi telah dinyatakan oleh Allah sebagai Nabi dan Rasul terakhir, 
Allah sekali-kali tidak mengangkat Nabi lagi sesudahnya. Hal ini telah 
dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran yang ertinya:
�Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari salah seorang lelaki di antara 
kamu, tapi dia adalah Rasul Allah dan penutup para Nabi. Dan Maha Mengetahui 
atas segala sesuatu.�
(Al-Ahzab, ayat 40)
    Akan tetapi sejarah mencatatkan ramai individu yang mengaku sebagai Nabi 
sejak Nabi Muhammad masih hidup, sehingga ke abad dua puluh ini. 
Bermacam-macam dalil yang mereka kemukakan untuk memperkuat dakwaannya, tapi 
orang-orang berakal menolak dengan tegas dan menganggapnya sebagai perkara 
yang melucukan. Semua Nabi-Nabi yang diangkat Allah dapat dilihat sejarahnya 
bahawa mereka tidak ada maksud apa-apa selain hanya menjalankan perintah 
Allah.
    Sedang para pendakwa Nabi atau Nabi-Nabi palsu itu masing-masing 
mempunyai kepentingan individu tersendiri, sama ada ditaja oleh pihak lain 
atau atas daya usahanya sendiri. Sebahagian besar mereka yang mengaku 
menjadi Nabi itu dikenakan berbagai hukuman, ada yang digantung sampai mati, 
dibakar, dirotan dan ada pula yang dipulihkan dari penyakit jiwanya.

    Sejarah pun mencatat nama-nama individu yang pernah mengaku menjadi Nabi 
dari zaman ke zaman, di antaranya ialah Musailamatul Kazzab, Aswad Al-Insi, 
Tulaihah Al-Asadi, Sajjah binti Al-Harith, Ahmad bin Husain, Laqit, Mirza 
Ghulam Ahmad, Mirza Ali Muhammad, Bahaullah, Al-Mukhtar bin Ubaidillah, Ibnu 
Sam�an, Amir bin Harb, Abu Mansur Al-Ijli, Ibnu Said As-Sajli, Abu Khattab 
Al-Asadi, Ibnu Bahram Al-Juba�i, Hasan bin Hamdan, Abul Qasim An-Najar, 
Al-Muni�ul Qashar, Ibnu Kharba Al-Kindi, Abu Muslim As-Siraj dan lain-lain. 
Turut mengaku sebagai Nabi juga adalah:

Harith bin Saad; dia mendakwa menjadi Nabi di masa Khalifah Abdul Malik bin 
Marwan dari Daulat Bani Umaiyah. Ramai orang yang dapat dipengaruhi dan 
menjadi pengikut-nya. Tapi kesudahannya dia dibunuh bersama 
pengikut-pengikutnya.

Isa Al-Asfahan; dia mendakwa dirinya diangkat menjadi Nabi di masa Khalifah 
Al-Mansur dari Daulat Bani Abbasiah . Akhirnya dia dihukum bunuh.

Faris bin Yahya, dia mendakwa dirinya menjadi Nabi di masa pemerintahan 
Khalifah Al-Muktaz di Mesir. Faris mengaku sebagai Nabi Isa dan mendakwa 
dapat menyembuhkan penyakit sopak, orang buta, penyakit kusta dan 
menghidupkan orang mati.

Ishak Al-Akhras, dia mengaku sebagai Nabi di Asfahan (Iran). Dia pandai 
membaca kitab Taurat, Injil dan pandai mentafsirkan Al-Quran sesuka hatinya. 
Di antara ajarannya ialah barangsiapa yang beriman kepada Allah, beriman 
kepada Nabi Muhammad dan beriman kepadanya, dialah orang-orang yang mendapat 
kemenangan. Kerana kepandaiannya bertutur kata, ramai orang yang dapat 
dipengaruhinya dan menjadi pengikutnya. Ishak pada akhirnya dapat dihukum 
bunuh.

Aswad Al-Insi
    Namanya sebenar adalah Ailat bin Kaab bin Auff Al-Insi keturunan bangsa 
hitam Habasyah yang tinggal di Jazirah Arabia. Oleh kerana itulah dia 
dipanggil Aswad yang bermakna Si Hitam Pekat, dan terkenallah namanya 
sebagai Aswad Al-Insi. Dia mengaku dirinya sebagai nabi pada saat-saat 
menjelang Rasulullah SAW jatuh sakit dan segera mendapat pengikut yang ramai 
di kalangan kaumnya. Akan tetapi nabi palsu ini dapat dibunuh pada tahun 11 
H/632M iaitu di saat-saat menjelang kewafatan Rasulullah SAW.





Si Hitam Yang Bercadar
    Aswad Al-Insi sentiasa menutup mukanya dengan cadar (purdah) seperti 
yang biasa dipakai oleh kaum wanita sehingga dia dipanggil juga dengan nama 
Zul Khimar yang bermakna orang yang memakai cadar. Dia sendiri rela dirinya 
diberi gelar Si Hitam atau Aswad. Sebelum mengisytiharkan dirinya sebagai 
nabi, Aswad Al-Insi memang terkenal sebagai seorang yang mempunyai ilmu-ilmu 
hitam dan sihir (black magic) yang mampu memperlihatkan hal-hal yang aneh, 
ajaib dan menakutkan. Kerana kebolehannya itu, dia ditakuti dan dikagumi di 
kalangan kaumnya dan pengaruhnya besar. Ditambah lagi dia sebagai seorang 
orator yang tutur katanya manis dan menarik. Orang-orang awam dari suku 
besar Mazhaj segera mempercayainya bahawa dia sebagai nabi.
    Ajaran utama Aswad adalah membebaskan manusia dari kewajipan solat dan 
membayar zakat serta membenarkan perzinaan. Kewajipan solat dan zakat inilah 
yang dirasakan berat oleh sesetengah kabilah Arab selama ini. Apabila 
mendengar ajaran yang dibawa oleh �nabi� baru itu sangat sesuai dengan 
nafsunya, mereka berpusu-pusu datang menyatakan sokongan dan sedia mati 
membela Aswad Al-Insi. Mereka bersedia bergadai nyawa jika Aswad 
mengarahkannya menyerang Madinatul Munawwarah tempat Nabi Muhammad 
menyampaikan ajarannya.

    Setelah memperolehi pengikut yang ramai, Aswad maju menyerang kota 
Najran yang ketika itu dibawah pengawasan penguasa Islam Amru bin Hazmi dan 
Khalid bin Saad.

    Aswad berhasil menduduki kota itu dan wilayah sekitarnya, sementara 
kedua-dua penguasa Islam di situ terpaksa berundur ke kota San�a. Maka 
berlangsunglah keluar agama (murtad) secara besar-besaran di kawasan-kawasan 
yang dikuasai oleh Aswad.

    Dalam masa yang singkat, pengikut Aswad telah bertambah besar dan dia 
bertambah sombong dan bermaharajalela. Kekuatan tenteranya semakin besar 
kerana para pengikutnya rela berperang bersamanya. Langkah seterusnya dia 
membentuk 700 pasukan berkuda yang dipimpin oleh Kais bin Abdi Yaguts 
Al-Muradi sebagai panglima perang besarnya. Sedang zon-zon pasukannya 
dipimpin Maawiyah bin Kais Al-Janabi, Yazid bin Maharram, Yazid bin Hushain 
Al-Harithi dan Yazid bin Afkal Al-Yazidi.

    Pasukan berkuda Aswad bergerak menyerang kota San�a yang ketika itu 
diperintah oleh penguasa Islam bernama Emir Syahr bin Bazan yang dikukuhkan 
oleh Rasulullah SAW sendiri. Syahr bin Bazan keluar dengan pasukannya 
menyambut kedatangan pasukan Aswad. Maka terjadilah pertempuran sengit di 
antara kedua-dua pasukan itu yang berakhir dengan kekalahan di pihak Syahr 
bin Bazan yang menemui syahid di dalam pertempuran bersama sejumlah besar 
tentera Islam lainnya.

    Aswad menduduki San�a dengan sombong dan mengambil janda Syahr bin Bazan 
yang bernama Azaz yang sangat terkenal cantik jelita itu menjadi salah 
seorang isterinya secara paksa. Walaubagaimanapun Azaz tetap menjadi seorang 
muslimah yang solehah, taat kepada Allah dan Rasul-Nya sekalipun jasmaninya 
berada dalam genggaman Aswad secara paksa. Aswad juga telah mengangkat 
Fairuz Ad-Dailami bersama Emir Dazwih untuk mengetuai seluruh kaum peranakan 
(al-Abnak).






Merancang Pembunuhan
    Dengan kejayaan Aswad menakluki San�a, umat Islam di seluruh wilayah 
Hadramaut menjadi cemas dan khuatir kalau-kalau nabi palsu itu mengarahkan 
pasukannya menyerbu wilayah Hadramaut pula. Mereka berada dalam keadaan 
berjaga-jaga untuk menghadapi segala kemungkinan. Rasulullah SAW di Madinah 
telah mengetahui perkara yang terjadi.
    Baginda telah menghantar Wabar bin Yuhannis Al-Asadi sebagai utusan ke 
Yaman untuk memberikan arahan agar kaum Muslimin di sana tetap bertenang dan 
menyusun kekuatan semula untuk menghadapi Aswad. Muaz bin Jabal yang ketika 
itu sedang bertugas di Yaman, telah berkeliling menghubungi orang-orang yang 
masih kuat imannya.

    Kedatangan utusan dan khabar dari Rasulullah itu telah membuat kaum 
Muslimin terhibur dan semangatnya naik semula untuk menghadapi Aswad.

    Sementara Aswad sendiri semakin sombong akan kejayaannya. Dia merasa 
kejayaan yang dicapainya dalam waktu singkat itu adalah berkat kekuatannya 
sendiri dengan menggerakkan ilmu-ilmu hitamnya. Sehingga dia sering mencemuh 
Qais bin Abdi Yaguts panglima perang yang telah berjasa dalam memimpin 
tenteranya.

    Tidak ketinggalan Fairuz Ad-Dailimi dan Emir Dazwah juga sering dicemuh 
dan dihina oleh Aswad di hadapan orang ramai. Akibatnya, sama ada panglima 
Qais, penguasa Fairuz dan Dazwah menjadi benci terhadap Aswad.

    Lebih-lebih lagi perempuan janda Syahr yang dijadikan isteri secara 
paksa oleh Aswad sangat dendam dan membenci nabi palsu itu. Tapi mereka 
tidak berani berbuat apa-apa kerana Aswad sangat terkenal, ramai pengawalnya 
dan sering menggunakan khidmat syaitan-syaitan / jin-jinnya untuk 
mencelakakan seseorang.

    Muaz bin Jabal melihat situasi ini sangat menguntungkan untuk mengambil 
kesempatan. Secara senyap-senyap dia melakukan pendekatan kepada Fairuz 
Ad-Dailimi dan Dazwah sambil memperlihatkan surat Rasulullah SAW. Kedua-dua 
Emir itu sangat gembira, bagaikan kejatuhan emas dari langit ketika menerima 
khabar dari Rasulullah SAW. Mereka pun melakukan pendekatan pula terhadap 
panglima perang Qais bin Abdi Yaguts dan berhasil. Kini ketiga-tiga orang 
penting Aswad itu telah sepakat untuk memusnahkan tuan besarnya yang 
bongkak.

    Walau bagaimanapun, mereka bertiga mesti melaksanakan maksudnya dengan 
terancang dan tipu helah. Sebab disekitar Aswad sangat ramai tentera, 
pengampu dan pengawal yang menjaganya setiap masa. Apabila mereka yang 
menyimpan dendam itu telah sebulat suara untuk membunuh Aswad, 
syaitan-syaitan nabi palsu itu dapat mengesannya lalu memberitahukan kepada 
Aswad.

    Syaitan-syaitan itu memberitahukan kepada Aswad bahawa ada komplot yang 
ingin membunuhnya yang dianggotai oleh panglima perang dan orang-orang 
penting lainnya. Aswad segera memanggil Qais dan memberitahukan wahyu yang 
dibisikkan oleh syaitan itu.

�Wahai Qais! Aku menerima wahyu yang tidak sedap tentang kamu.� kata Aswad.

�Apa katanya?� tanya Qais.

�Engkau memuliakan Qais, menaruh kepercayaan dan bermurah hati kepadanya. 
Awas, kelak bila dia sudah sangat akrab dengan kau dan mempunyai kedudukan 
yang kuat seperti engkau, dia akan menjadi lawanmu, merampas kekuasaanmu dan 
melakukan pengkhianatan. Wahai Aswad! Kasihan engkau.� kata Aswad 
memberitahukan bisikan syaitannya.

    Qais pura-pura menafikan perkara itu sambil berkata dan berkata palsu: 
�Wahai Zul Khimar! Itu semua bohong. Tuanku sungguh agung dan mulia di 
sisiku, sehingga tidak pernah terlintas dihatiku ada cita-cita seperti yang 
tuanku khuatirkan itu.�

�Engkau sungguh biadab wahai Qais! Engkau telah menganggap seorang raja 
berbohong. Raja bercakap benar, dan sekarang aku tahu bahawa engkau mesti 
menyesal atas semua yang pernah engkau lakukan.� kata Aswad dengan marah 
sambil melihat Qais dari kepala hingga ke kakinya.

Qais dibebaskan dan segera keluar menjumpai teman-teman sehaluannya untuk 
membincangkan apa yang telah terjadi.
�Kalau begitu, mulai sekarang kena berwaspada.� kata mereka.

    Tiba-tiba mereka punya idea untuk mendekati Azaz yang menjadi isteri 
paksa Aswad dan sangat membencinya. Kebetulan pula perempuan cantik jelita 
itu masih saudara sepupu kepada Fairuz.

    Mula-mula Qais menjumpai Azaz secara senyap-senyap dan mencuri-curi, 
sebab kalau diketahui Aswad, padahnya sangat besar.

�Wahai sepupuku! Engkau telah tahu musibah yang menimpa kaummu gara-gara 
kekejaman lelaki itu (Aswad). Dia telah membunuh suamimu, memalukan kamu dan 
memaksa perempuan menjadi miliknya. Adakah engkau tidak dapat bertindak 
sesuatu keatasnya?� tanya Qais kepada Azaz.

�Bertindak bagaimana?� tanya Azaz.

�Menghalaunya keluar.�

�Bagaimana kalau dia dibunuh saja?� tanya Azaz.

�Dibunuhpun boleh.� kata Qais.

�Memang, demi Allah. Allah tidak menciptakan seseorangpun yang paling aku 
benci selain si Aswad itu. Jika kamu sudah berazam untuk membunuhnya, 
beritahu aku. Aku akan memberimu tunjuk ajar tentang perkara ini.� kata 
Azaz.






Kepala Aswad Dicampakkan Ke Tanah
    Setelah berhasil menghubungi Azaz, Qais segera keluar dan berunding 
dengan kawan-kawannya mengenai jalan terbaik untuk membinasakan Aswad. 
Sementara Aswad sendiri semakin terasa bahawa ada komplotan yang ingin 
memudaratkan dirinya. Dia mendapat tahu perkara ini dari syaitan-syaitan 
yang menjadi temannya. Dia mencurigai Fairuz dan selalu memanggilnya untuk 
disoal siasat, tapi Fairuz menafikan bahawa dirinya sedang memendam rasa 
benci.
    Suatu hari Aswad mengadakan sembelihan haiwan secara besar-besaran yang 
terdiri dari seratus ekor lembu dan unta di hadapan orang ramai. Tiba-tiba 
Aswad berkata kepada Fairuz: �Wahai Fairuz! Aku telah menerima wahyu bahawa 
engkau benar-benar ingin memusnahkan aku. Aku benar-benar bercadang akan 
menyembelih engkau seperti haiwan-haiwan ini.�

    Sekali lagi Fairuz menafikan tuduhan itu dengan mengeluarkan 
perkataan-perkataan yang membanggakan Aswad. Fairuz mengingatkan Aswad 
bahawa dirinya telah diberi pangkat sebagai pengetua kaum peranakan dan juga 
masih iparnya, mana mungkin akan menaruh dendam?

�Aku menyukai tuan, sebagaimana tuan menyukai aku.� kata Fairuz.

�Betul itu. Baiklah sila agih-agihkan danging haiwan ini kepada orang 
ramai.� kata Aswad Al-Insi.

    Akan tetapi apabila Fairuz selesai membagi-bagikan daging dan ingin 
berjumpa dengan Aswad, dia mendengar berita bahawa nabi palsu itu 
betul-betul ingin membunuhnya. Fairuz segera pergi kepada teman-teman 
sehaluannya untuk berunding. Masa telah suntuk. Kalau nabi palsu itu tidak 
segera dibunuh, nasib mereka yang diketahui belot pasti sangat berbahaya. 
Ketiga-tiga orang penting itu telah nekad untuk bekerja sama dengan isteri 
paksa Aswad untuk membunuhnya. Fairuz dipilih untuk berjumpa terus dengan 
Azaz, kerana dia masih sepupunya.

�Bilik-bilik kediaman Aswad dipagar dan dipenuhi dengan pengawal-pengawal, 
kecuali bilik yang ini yang tidak begitu ketat kawalannya.� kata Azaz kepada 
Fairuz.

    Walau bagaimanapun Azaz yang sangat menaruh dendam terhadap Aswad 
memberikan cara rahsia untuk sampai ke bilik tidur orang yang dibencinya 
itu. Dia mengarahkan agar membuat suatu lubang sulit yang boleh mencapai 
bilik Aswad, dan dia sendiri akan membantunya secara sulit pula. Setelah 
berbincang banyak, Fairuz segera berpaling akan keluar dari rumah Azaz. Akan 
tetapi tiba-tiba Aswad datang dan melihat Fairuz baru keluar dari Azaz.

�Kurang ajar. Hai Fairuz! Mengapa engkau berani masuk ke tempat isteriku?� 
kata Aswad dengan marahnya.
Tidak ampun lagi, Aswad menangkap batang leher Fairuz dan akan membunuhnya 
ketika itu juga. Nasib baik Azaz segera datang dan berteriak: �Jangan 
apa-apakan! Dia adalah saudara sepupuku datang menziarahiku. Apa salahnya.�

�Engkau diam!� kata Aswad menengking Azaz.

    Kerana masih merasa sangat sayang kepada Azaz yang sangat cantik jelita 
itu, Aswad tidak jadi membunuh Fairuz. Dia melepaskan cengkamannya dengan 
kasar sambil berkata: �Berambuslah engkau dari sini!�

�Selamat, selamat......� kata Fairuz yang masih ketakutan itu ketika 
berjumpa dengan kawan-kawannya dan menceritakan apa yang telah terjadi.

    Mereka terus berbincang langkah seterusnya. Azaz pula mengirim pesan 
agar azam mereka diteruskan dan menyatakan sokongannya. Ketika Aswad tidak 
ada, Fairuz masuk lagi ke rumah Azaz dan segera menggali lobang sulit. Tiada 
berapa lama Aswad pun datang, dan Azaz sudah bersedia dengan sikap seperti 
seorang yang sedang berziarah.

�Siapa lagi ini?� tengking Aswad.

�Dia saudara sesusuanku dan juga sepupuku. Mengapa engkau selalu curiga?� 
jawab Azaz.

    Fairuz pun dihalau keluar dan berjumpa dengan teman-temannya.

    Pada sebelah malam, mereka pun masuk ke rumah Aswad melalui lubang sulit 
yang telah dibuatnya. Azaz pula sudah siap sedia memberikan laluan kepada 
mereka untuk membunuh suaminya. Malam itu Aswad sedang berada dalam keadaan 
separuh sedar kerana mabuk arak dan tertidur pulas di atas tilam sutera. 
Ketika Fairuz masuk, syaitan-syaitan Aswad mengejutkannya lalu didudukkannya 
dalam keadaan separuh sedar.

�Ada apa dengan engkau hai Fairuz?� kata Aswad yang sedang tertidur mabuk 
itu.

    Fairuz khuatir Aswad akan sedar. Oleh kerana itu dia cepat-cepat 
menangkap kepalanya, menekan lehernya dari belakang, dipijak lalu 
dihantuk-hantukkannya kepala nabi palsu itu sehingga mati. Kemudian Fairuz 
keluar memberitahukan teman-temannya yang sedang mengepung di luar bahawa 
nabi palsu itu sudah mati. Gegap gempitalah takbir di sekitar itu. Akan 
tetapi syaitan-syaitan Aswad selalu menggerak-gerakkan tubuhnya sehingga 
kelihatan seperti masih hidup.

    Mereka pun tidak dapat memastikan bahawa dia telah mati. Azaz segera 
menarik rambut Aswad kuat-kuat, sehingga syaitan Aswad tak tentu hala. 
Sedang orang yang lain terus memotong lehernya, sehingga terpisahlah kepala 
nabi palsu itu dari badannya. Orang-orang yang berkawal di sekitar rumah 
kediaman Aswad merasa curiga apabila mendengar suara yang mencurigakan.

�Suara apa itu?� tanya mereka.

�Tidak ada apa-apa, hanya nabi sedang menerima wahyu.� jawab Azaz.

    Fairuz, Qais dan Dazwiyah berunding cara yang paling berkesan untuk 
menunjukkan kepada orang ramai bahawa nabi palsu itu sudah dibunuh. Mereka 
sepakat untuk mengumpulkan orang ramai di sekitar istana menjelang Subuh. 
Menjelang Subuh, orang ramai pun berkumpul berpusu-pusu di sekitar istana 
kerana mengikut arahan. Mungkin dikatakan kepada mereka bahawa nabi Aswad 
memintanya mereka agar berkumpul. Mereka yang berkumpul bukan saja dari 
pengikut setia Aswad, tapi juga dari kalangan orang-orang beriman dan yang 
masih menyimpan iman di hatinya.

    Waktu Subuh pun masuk, Qais naik ke bumbung istana lalu melaungkan azan. 
Apabila sampai pada lafaz Asyhadu anna Muhammadarrasulullah.....tiba-tiba 
ditambah dengan Wa anna Abhalah (Aswad) pendusta�. Serentak dengan perkataan 
Abhalah, si tukang azan tiba-tiba melemparkan kepala nabi palsu Aswad ke 
tanah.

    Maka tahulah mereka bahawa Aswad yang angkuh itu sudah dibunuh. Maka 
gemuruhlah takbir, kepala Aswad lalu disepak-sepaknya ke sana ke sini. Orang 
ramai bertaubat dan kembali kepada agama Islam yang sebenar dan mengucapkan 
taat setia kepada Rasulullah SAW. Tamatlah riwayat nabi palsu Aswad Al-Insi 
setelah berkuasa selama lebih kurang empat bulan sahaja. Sementara di 
Madinah Rasulullah SAW telah mengetahui peristiwa tersebut dari Allah pada 
malam itu juga.

�Al-Insi telah dibunuh malam tadi oleh lelaki yang diberkati dari keluarga 
yang diberkati.� kata Rasulullah.

�Siapa itu wahai Rasululllah?� tanya sahabat.

�Fairuz Fairuz.� jawab Rasulullah SAW. Wallahu a�lam.

    Banyak pihak merasa lega dengan kematian Aswad, tapi ramai yang masih 
bimbang akan kemunculan konco-konconya yang mungkin boleh menggugat keamanan 
kaum Muslimin. Fairuz sendiri berkata: �Setelah Aswad kami bunuh, keadaan 
kita kembali seperti sedia kala dengan usaha Mu�az bin Jabal, dan dia yang 
menjadi imam solat kami. Akan tetapi walaupun Aswad sudah tidak ada, pasukan 
berkuda teman-teman Aswad masih ada. Kemudian setelah tersiar berita 
kewafatan Rasulullah, timbullah kegelisahan di merata tempat.�

    Kebimbangan Fairuz itu menjadi kenyataan apabila dikemudian hari banyak 
lagi Nabi palsu dan pembelot agama membuat kekacauan. Bahkan Qais bin Abdi 
Yaguth juga tiba-tiba murtad dan ingin berkuasa sepenuhnya, tapi dapat 
dipadamkan akhirnya.





_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: "Dalisha Salihudin" <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke