*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamu alaikum,
Mitos Rehlah Ibnu Bathutah Tentang Ibnu Taimiyah.
Oleh : Hamidi Fatihi
(Universiti Mu'tah, Jordan)
Firman Allah SWT: �Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang
fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti
jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang
benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan�
(Surah Al-Hujurat 49 : 6)
Firman-Nya lagi: �Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara
yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).� (Surah Al-Isra'
18 : 34)
Kenyataan bahawa begitu ramai ulamak yang ditohmah oleh umat Islam sendiri,
adalah sesuatu yang pedih untuk diterima tetapi terpaksa diakui bersama.
Bermula daripada tuduhan-tuduhan melampau terhadap ulamak seawal Imam
At-Thabari serta Imam Al-Hakim An-Naisaburi dan seterusnya Ibnu Taimiyah
dsb, semuanya itu sentiasa menjadi wacana perbalahan yang selalunya
berakhir dengan kerugian terhadap umat Islam itu sendiri. Sikap menelan
semua fakta dan bahan penulisan tanpa meneliti secara adil latar
belakangnya, adalah satu perilaku yang bercanggah dengan amanah ilmu dan
mengakar umbikan permasalahan seperti yang tersebut di atas.
Saya tertarik dengan tulisan saudara Abdul Rasyid Idris di dalam Majalah
Tamadun keluaran Jun 1999 yang diberikan tajuk �Lagi Sokongan Buat Syeikh
Wahabi� di mukasurat 8. Permusuhan terhadap Muhammad bin Abdul Wahab dan
gerakan Wahabiah banyak berpunca daripada hubungkait aliran ini dengan
method Ibnu Taimiyah. Ia digambarkan sebagai proses tajdid (pembaharuan)
kepada aliran pemikiran Ibnu Taimiyah sekaligus mengheret cerita-cerita
buruk berkenaan Ibnu Taimiyah sebagai hujah juga untuk menghukum Muhammad
bin Abdul Wahab.
Oleh yang demikian, pembersihan imej Muhammad bin Abdul Wahab, mahu tidak
mahu mesti melibatkan usaha memurnikan syakhsiah Ibnu Taimiyah daripada
tohmahan liar mereka yang memusuhinya.
Kebanyakan pihak yang menuduh sesat Ibnu Taimiyah, banyak mengambil hujah
daripada riwayat-riwayat yang terkandung di dalam buku Pengembaraan
(Rehlah) Ibnu Bathutah. Misalnya Kiyai Sirajuddin Abbas di dalam bukunya
�Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah� yang masyhur di tanah air. Musuh-musuh Ibnu
Taimiyah mendakwa bahawa beliau termasuk di dalam golongan Ahli Tamsil
(yang menyamakan Allah SWT dengan makhluk) serta Ahli Tajsim (yang
menjisimkan Allah SWT). Dakwaan ini datangnya daripada permusuhan mereka
terhadap Ibnu Taimiyah itu sendiri dan yang keduanya berdasarkan keterangan
Rehlah Ibnu Bathutah; sebuah kitab yang penuh dengan pembohongan dan mitos
yang tertolak oleh disiplin ilmu yang sahih.
Di sini saya akan membawakan catatan yang dibuat oleh Al-Allamah Bahjatul
Baithar tentang penipuan kisah Hadith An-Nuzul (hadith yang menerangkan
tentang turunnya Allah dari langit bumi ke dunia) sebagaimana yang
dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah. Ibnu Bathutah di dalam riwayat
pengembaraannya ke Damsyik menceritakan betapa satu ketika beliau melihat
Ibnu Taimiyah mengajar di atas mimbar Masjid Umawi di Damsyik. Lalu beliau
ditanya tentang �Hadith An-Nuzul� itu tadi, lantas Ibnu Taimiyah menjawab,
�Tuhan turun sebagaimana turunnya aku ini..!�. Rujuk Rehlah Ibnu Bathutah
(juzuk 1 ms. 57)
Berikut adalah beberapa noktah penting tentang riwayat Ibnu Bathutah
berkenaan:
1. Ibnu Bathutah hakikatnya tidak pernah mendengar dari Ibnu
Taimiyah atau berkumpul bersamanya. Ini berdasarkan fakta bahawa
beliau telah sampai ke Damsyik pada hari Khamis 19 Ramadhan 726H,
sedangkan Ibnu Taimiyah telah pun dikurung di dalam penjara Kota
Damsyik di awal bulan Syaaban tahun berkenaan. Beliau terus
dipenjara di dalam kota itu sehinggalah pulang ke rahmatullah
pada malam 22 Dzulkaedah tahun 728H. Jika begitu perihalnya, maka
bilakah masanya Ibnu Bathutah melihat Ibnu Taimiyah mengajar di
atas mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa di dalam
riwayatnya itu tadi?!
2. Rehlah Ibnu Bathutah sedia dimaklumi oleh mereka yang mengkajinya
sebagai sebuah buku yang penuh dengan riwayat dan hikayat yang
ganjil. Banyak fakta di dalamnya tidak mampu diterima oleh akal
dan naqal bahkan hanya mengaibkan mereka yang meriwayatkannya.
Misalnya di dalam juzuk 1 ms. 54, Ibnu Bathutah menyatakan bahawa
di tengah-tengah Masjid Umawi terletaknya makam Nabi Zakaria AS.
sedangkan makam berkenaan adalah makam Nabi Yahya AS. Ibnu
Bathutah juga menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan
daripada Sufian Ats-Tsauri tentang kelebihan Damsyik kononnya
mendirikan solat di Masjid Umawi itu sama pahalanya dengan
mendirikan 30 ribu solat di tempat lain! Hal ini tidak pernah
muncul di dalam periwayatan sesiapa, apatah lagi oleh Sufian
Ats-Tsauri. Tidak mungkin bersolat di Masjid Umawi lebih utama
dari mendirikan solat di Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
3. Ibnu Taimiyah tidak pernah mengajar atau berkhutbah di atas
mimbar Masjid Umawi sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah.
Bahkan apa yang jelas Ibnu Taimiyah apabila mengajar, hanya duduk
di atas kerusi dan dikelilingi oleh hadirin, sebagaimana yang
diterangkan oleh Al-Hafidz Adz-Dzahabi.
4. Al-Hafidz Ibnu Hajar menjelaskan di dalam Ad-Durarul Kaminah
(juzuk 1 ms. 154) tentang tindakan sesetengah ulamak di zaman
Ibnu Taimiyah menghebohkan masalah riwayat turunnya beliau dari
tangga mimbar itu berpunca daripada penulisan Ibnu Taimiyah yang
menentang fahaman Wahdatul Wujud, yang mana mereka itu telah
menyelitkan sekali kisah kononnya Ibnu Taimiyah telah turun dari
mimbar sebanyak dua anak tangga lalu berkata �.. Tuhan turun
sebagaimana turunnya aku ini..� Lantas dengan mitos itu, Ibnu
Taimiyah dikaitkan dengan fahaman tajsim.
5. Dari kalam Ibnu Bathutah juga, kononnya Ibnu Taimiyah telah
dipenjarakan beberapa tahun dengan perintah Al-Malik An-Nasir,
lalu menulis semasa di dalam tahanan itu sebuah kitab tafsir yang
dinamakan �Al-Bahrul Muhith�. Kemudian bonda Ibnu Taimiyah telah
mengadu dan membantah tindakan Al-Malik An-Nasir lalu
diperintahkan agar Ibnu Taimiyah dibebaskan. Akan tetapi
kemudiannya Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan sekali lagi. Ibnu
Bathutah mendakwa bahawa beliau berada di Damsyik dan pada waktu
itulah beliau menyaksikan perihal Ibnu Taimiyah dan kisah Hadith
An-Nuzul berkenaan.
6. Ibnu Bathutah juga meriwayatkan kononnya Al-Faqih Al-Maliki
menceritakan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipukul dengan tangan dan
kasut sehingga terjatuh serbannya lantas tersingkap bahawa di
atas kepalanya, Ibnu Taimiyah memakai kain kasa sutera!
Apa yang jelas, Al-Malik An-Nasir adalah orang yang bertanggungjawab
mengeluarkan Ibnu Taimiyah dari tahanan di Iskandariah, Mesir. Beliau juga
merupakan orang yang menyambut ketibaan Ibnu Taimiyah dengan disertai oleh
para hadirin yang ramai termasuk para ulamak dan qadhi. Antara yang hadir
menyambut Ibnu Taimiyah adalah Ibnu Makhluf Al-Maliki yang memusuhi beliau.
Ibnu Makhluf pernah meminta Ibnu Taimiyah supaya mengeluarkan fatwa
membunuh beberapa orang qadhi tetapi tidak mendapat persetujuan Ibnu
Taimiyah.
Manakala bonda Ibnu Taimiyah pula telah meninggal dunia pada hari Rabu 20
Syawal tahun 716H, selepas Ibnu Taimiyah pulang ke Damsyik. Beliau tidak
pernah mengadu kepada mana-mana pemerintah berkenaan anaknya Ibnu Taimiyah
sebagaimana yang dihikayatkan oleh Ibnu Bathutah.
Memang tidak dinafikan bahawa Ibnu Taimiyah telah dipenjarakan di akhir
hayatnya itu atas perintah Al-Malik An-Nasir. Ini berikutan daripada
penguasaan para ulamak yang memusuhi Ibnu Taimiyah, terhadap Al-Malik
An-Nasir. Mereka mendakwa bahawa Ibnu Taimiyah telah mengeluarkan fatwa
mengharamkan ziarah ke makam Rasulullah SAW, sebagai usaha untuk
memfitnahnya. Lantas Al-Malik An-Nasir telah memerintahkan supaya Ibnu
Taimiyah dipenjara. Peristiwa ini berlaku pada hari Isnin 6 Syaaban 726H.
Kisah Al-Faqih Al-Maliki tentang pemakaian sutera oleh Ibnu Taimiyah itu
juga merupakan mitos Ibnu Bathutah. Ibnu Al-Athir mahupun Ibnu Kathir atau
Ibnu Hajar Al-Asqalani, tidak pernah meriwayatkan kisah sedemikian rupa,
yang mustahil ditinggalkan ketika proses mengadili perawi (ilmu al-jarh wat
ta�dil) dibuat. Semestinya Ibnu Taimiyah kehilangan kredibilitinya jika
benar beliau memakai sutera sebagaimana yang didakwa oleh Ibnu Bathutah!
Adapun tohmahan-tohmahan lain yang dilemparkan oleh sekalian pihak terhadap
Ibnu Taimiyah tanpa mendatangkan sebarang bukti, tidaklah ia mempunyai
sebarang nilai di sisi keilmuan Islam. Golongan yang jahil sentiasa
menjadikan tohmahan dan fitnah sebagai alat untuk menentang musuhnya.
Bahkan Baginda SAW sendiri tidak terlepas dari dituduh sebagai ahli sihir
dan penyair jahat. Begitu juga fitnah musuh terhadap para sahabat seperti
Uthman Al-Affan RA, Abu Hurairah RA, Muawiyah bin Abi Sufian RA dsb.
Mereka yang banyak menyumbang kepada umat, mereka jugalah yang banyak
diserang tohmahan musuh termasuk daripada kalangan umat Islam yang
memperhambakan diri kepada kejahilan.
Kesimpulan
Ibnu Taimiyah tidak pernah mengeluarkan pendapat yang menyalahi Al-Quran
dan As-Sunnah, tidak di dalam masalah akidah mahu pun pada masalah yang
lain. Tidak dinafikan, ada di antara fatwanya yang berbeza dengan pendapat
majoriti dan masyhur, tetapi ia tidaklah menjadi satu kesalahan kerana
kedudukannya sebagai mujtahid. Bahkan setiap hujahnya, adalah berserta
dengan dalil yang terbuka untuk dibincangkan oleh mereka yang tidak
bersetuju, tetapi bukannya dengan melemparkan tohmahan melulu yang
bercanggah dengan kemuliaan etika umat ini.
Menganggapnya sesat semata-mata dengan berhujah bahawa beliau itu seorang
banduan yang mati dalam tahanan, adalah hujah dangkal yang memalukan
pendukungnya. Sebelum Ibnu Taimiyah, Imam Abu Hanifah juga pernah
dipenjara. Apakah itu menjatuhkan martabat beliau? Tidak sama sekali!
Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya. Bersedia menaggung azab demi
mempertahan kebenaran�!
Jika kita membaca tentang Ibnu Taimiyah sama ada melalui penulisannya,
mahupun berdasarkan pendapat ulamak tentang beliau, kita akan dapati bahawa
Ibnu Taimiyah bebas daripada tohmahan- tohmahan yang dilemparkan kepadanya
bahkan itu semua hanyalah rekaan musuh-musuh yang mengelilingi beliau. Ini
adalah kerana, kebanyakan musuh Ibnu Taimiyah adalah dari kalangan Ahli
Fiqh dan Tasauf yang berkepentingan, terutamanya dengan pemerintah ketika
itu. Sesungguhnya jihad Ibnu Taimiyah, usaha beliau dan sumbangan baktinya,
tidak mungkin tersembunyi dari pengetahuan sesiapa yang mengkaji, melainkan
orang-orang yang jahil dan taasub.
Bacalah tulisan-tulisan Ibnu Taimiyah yang begitu banyak dan mudah
diperolehi. Dari risalah yang ringkas seperti Risalah Al-Wasithiah
hinggalah kepada tulisan-tulisannya yang besar seperti Minhaj As-Sunnah
yang meruntuhkan �berhala� syiah, pasti akan kita temui suatu pembentangan
ilmu yang hebat dan mulia sebagai warisan umat ini. Lihat sahaja Risalah
Al-Wasithiah yang beliau sediakan atas permintaan penduduk Wasith.
Penjelasan tentang akidah berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang
sahih telah diperdebatkan beberapa kali di antara beliau dan ulamak yang
sezaman dengannya. Akan tetapi tidak pula ada yang mampu membuktikan
kesalahan atau kesesatan risalah berkenaan, bahkan mereka mengiktirafnya.
Malangnya, bilamana permusuhan mengatasi rasional ilmiah, berlakulah apa
yang telah berlaku. Apabila gagal mendatangkan hujah untuk melawan, mereka
mencipta pula pembohongan dan fitnah.
Inilah yang berlaku kepada Ibnu Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab.
Kedua-duanya muncul pada zaman yang rumit. Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah
muncul ketika umat Islam belum sembuh dari kehancuran Daulah Abbasiyyah
tahun 656H. Manakala Muhammad bin Abdul Wahab pula berusaha untuk
mengislahkan umat ketika Daulah Othmaniyyah berada di ambang kehancuran.
Dua zaman yang menyaksikan bagaimana umat diselaputi segala macam bencana.
Daripada masalah khurafat, pembohongan dan bidaah yang tersebar, hinggalah
kepada tercemarnya keilmuan Islam dengan hadirnya ramai yang bergelar
ulamak tetapi mempunyai niat jahat untuk mendapatkan sedikit habuan dunia
daripada pemerintah.
Marilah kita bersama-sama meneliti dan merenung kembali segala perihal itu
tadi. Adalah tidak wajar kita menganggap satu-satu fakta itu telah muktamad
dan benar semata-mata kerana ia masyhur atau disokong oleh segelintir yang
menisbahkan diri kepada ilmu dan Islam. Kajilah secara adil agar kerugian
umat akibat kemusnahan Baghdad dulu tidak menjadi lebih kronik dengan
mentohmah ulamak dan warisannya yang berbaki.. Mudah-mudahan Allah
menunjukkan kepada kita apa yang benar, lalu direzekikan untuk mematuhinya,
serta menunjukkan kepada kita apa yang batil, lalu diberi kekuatan untuk
membanteras dan menjauhinya.
Firman Allah SWT: �Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang seorang
fasiq kepada kamu membawa berita, periksalah ia terlebih dahulu. Agar nanti
jangan kamu menghukum sesuatu kaum dalam keadaan jahil (terhadap apa yang
benar), lantas kamu kemudiannya menyesal atas apa yang telah kamu lakukan�
(Surah Al-Hujurat 49 : 6)
Firman-Nya lagi: �Dan janganlah kamu berpendirian di dalam sesuatu perkara
yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran,
penglihatan dan hati itu akan dipersoalkan (di akhirat).� (Surah Al-Isra'
18 : 34)
------------------------------------------------------------------------
Hamidi Fatihi
Universiti Mu'tah, Jordan - 7 Julai 1999
email : [EMAIL PROTECTED]
_________________________________________________________________________
Get Your Private, Free E-mail from MSN Hotmail at http://www.hotmail.com.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: "k b" <[EMAIL PROTECTED]>