*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,

Minggu ini minggu akhir bulan Feb 2001; tak banyak isu menarik untuk 
diperkatakan selain daripada isu penangguhan pertemuan PAS-UMNO yang kini 
sedang mula dicanang oleh pemimpin-pemimpin UMNO merata kampung kononnya  PAS 
memang tak mahukan perpaduan.

Dr Mahathir pula nampaknya beliau mengambil jalan selamat untuk tidak mahu 
mengulas lebih-lebih mengenai penangguhan ini cuma berulang kali menyatakan 
bahawa UMNO tetap bersedia untuk meneruskan perjumpaan tersebut.

Saya, buat pertama kalinya merasakan bahawa Dr Mahathir yang pernah saya 
hormati suatu ketika dulu, kali ini setelah kesekian lamanya, saya dapat 
merasakan semacam ada rasa kesungguhan di dada beliau, saya merasakan beliau 
memang betul-betul ingin melihat Perjumpaan ini menjadi. Menulis dari dalam 
diri, tanpa mewakili pendapat mana-mana parti atau pun organisasi; saya 
merasakan bahawa Dr Mahathir memang sudah dapat menjangka masa beliau untuk 
berundur sudah terlalu hampir tiba; kalau pun kejatuhan Estrada dan Fujimori 
mungkin tidak begitu merisaukan beliau kerana secara tradisinya rata-rata 
rakyat Malaysia masih lagi percayakan kepada sistem demokrasi berpilihanraya, 
tetapi perkembangan terbaru di mana munculnya suara-suara sumbang di dalam 
UMNO yang dimulai dengan serangan melalui internet oleh Datuk Shahrir yg sudah 
tentunya mendapat bantuan daripada politikus-politikus bayangan dalam UMNO, 
dan dikuti pula oleh serangan secara terbuka oleh BBM dalam bangunan milik 
UMNO sendiri tempoh hari membuatkan Dr Mahathir memang tak senang duduk; 
adalah dirasakan beliau kini sudah dapat membaca signal yang pernah suatu 
ketika dulu cuma menjadi kata-kata politik yang sering bermain di bibir 
beliau.

"Saya akan berundur apabila saya sudah dapat baca signal/petandanya"

Kalau saya jadi Dr Mahathir; dalam keadaan yang runcing ini; dengan ekonomi 
negara sedang bergelut dengan ancaman kemelesetan serantau, dengan pasaran 
saham yang hidup segan mati tak mahu, dengan AFTA yang sedang mengetuk muka 
pintu di kala syarikat2 gergasi yang dididik dan dibela selama ini tiba-tiba 
mula tumbang satu demi satu, dan di kala suara rakyat yang mahukan beliau 
berundur bukan sahaja sudah menjalar masuk ke bangunan milik UMNO itu, tapi 
juga sudah pun mula melepasi sempadan Kuala Lumpur Merdeka dan melewati ras 
bangsa; maka di kala itu, tidak ada jalan yang lebih baik, selain merencanakan 
suatu master plan agar pengunduran beliau itu nanti akan memungkinkan beliau 
menikmati kehidupan yang aman di luar sana.

ITULAH YANG SAYA RASA APA YANG DR MAHATHIR TENGAH FIKIRKAN SEKARANG.

Lantas itu, apabila berlakunya penangguhan ini, Dr Mahathir nampak begitu 
kecewa sekali. Pun begitu, di celah-celah kekecewaannya itu, beliau cuba 
sedaya upaya untuk tidak melahirkan secara terbuka sepertimana yang 
dilakukannya dalam kes Sekolah Wawasan tempoh hari sehingga beliau ter-celupar 
menuduh aktivis-aktivis Cina sebagai Kominis kerana menentang usaha kerajaan 
untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui apa yang dikatakan sebagai Sekolah 
Wawasan. Dr Mahathir tentunya sudah pun belajar daripada kesilapannya itu.

Dalam isu penangguhan perjumpaan PAS UMNO ini, beliau dilihat cuba untuk tidak 
mengeruhkan keadaan, mungkin kerana beliau cukup desperate mahukan perjumpaan 
ini menjadi agar apabila beliau berundur nanti, di celah-celah gelaran 
Mahazalim dan Mahafiraun yang diterimanya itu,  beliau akan juga dikenang 
orang sebagai seorang pemimpin Melayu yang bertanggungjawab dan berjasa besar 
dalam merintis jalan ke arah penyatuan Melayu melalui pertemuan PAS-UMNO ini. 
Sikap berhati-hati Dr Mahathir ini boleh dilihat dari jawapan balas beliau 
kepada seorang wartawan apabila ditanya apakah kemungkinan Ustaz  Fadzil Noor 
sengaja berlepas ke Mekah mengambil haji kerana sengaja untuk tidak bertemu 
muka dengan beliau yang dijangka akan bersembahyang raya di Masjid Baru di 
Alor Malai, Kedah iaitu di kawasan kampung Ustaz Fadzil. Jawab Dr Mahathir 
kepada wartawan tersebut:

"Itu kamu yang cakap, bukan saya yang cakap!!"  [The STAR: 26/2/01]

Dr Mahathir boleh kata: "No komen"

Tapi beliau memilih untuk menempelak wartawan tersebut. Ini membuktikan bahawa 
Dr Mahathir memang desperate mahukan perjumpaan PAS dan UMNO itu berjaya. 
Jadi, siapakah dalang yang menyebabkan perjumpaan yang sepatutnya berlangsung 
pada 19 hb Feb 2001 itu tiba-tiba ditangguhkan begitu saja?

Jika dikatakan bahawa PASlah yang menyebabkan perjumpaan itu tidak menjadi; 
itu tidak benar kerana sedari awal PAS telah komited untuk menjayakan 
pertemuan tersebut dengan perlantikan Jawatankuasa Teknikal Khas yang diketuai 
sendiri oleh Setiausaha Kerja Pusatnya. Jika PAS memang tidak mahukan 
pertemuan ini menjadi, PAS tidak perlu bersusah payah membentuk Jawatankuasa 
berkenaan, dan pemimpin2 PAS tidak perlu bersusah payah memberikan penerangan 
kepada ahli-ahlinya yang terkenal dengan sikap anti-sekular mereka dulu kini 
dan selama-lamanya. Ustaz Fadzil Noor sendiri terpaksa masuk ke kampung 
kampung untuk menyakinkan ahli-ahli PAS tentang peri pentingnya pertemuan ini 
kepada perjuangan. PAS sanggup berdepan dengan fitnah demi fitnah daripada 
media massa media massa tempatan yang cuba melaga-lagakan pucuk pimpinan dan 
pihak pemudanya dan juga antara parti PAS dan parti KeADILan dalam kemelut 
parti PAS menghadapi pertemuan ini. Setiausaha PAS Pusat, Ustaz Nasharudin Mat 
Isa sendiri sanggup menghadapi risiko dipandang serong oleh pengikut PAS 
dengan bergambar live bersalaman secara terbuka dengan Datuk Khalil Yaakob; 
untuk apa kalau bukan untuk menjadikan Pertemuan itu berjaya seperti yang 
dirancangkan.

Maka itu, sesiapa yang mengatakan bahawa PAS tidak berminat dengan pertemuan 
itu, kenyataan tersebut adalah tidak benar sama sekali. PAS tidak akan pergi 
sejauh itu jika benar-benar mereka tidak berminat dengan pertemuan tersebut.

Jadi, siapakah dalangnya yang menyebabkan Pertemuan ini tidak menjadi?

Saya melihat bahawa ada dalang dalam UMNO yang memang tidak mahu pertemuan 
tersebut menjadi kenyataan. Saya cuba menganalisa komen-komen yang diberikan 
oleh pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan setelah pertemuan tersebut tidak menjadi 
kenyataan; dan saya merasakan bahawa ada sekumpulan manusia-manusia tertentu 
dalam UMNO ini yang memang sejak azali lagi tidak mahu pertemuan ini berjalan 
seperti yang dirancang.

Mereka tahu bahawa Dr Mahathir memang desperate sangat mahukan pertemuan ini 
berlangsung, dan di kala yang sama juga mereka tahu dan menyedari bahawa 
jangka hayat Dr Mahathir bersama UMNO cuma boleh dibilang dengan jari sahaja; 
dan mereka juga melihat bahawa kesediaan Dr Mahathir yang berlebih-lebihan 
dalam menjadikan pertemuan ini menjadi realiti menyebabkan UMNO kini sudah 
tidak dipandang gah seperti dulu, kesediaan UMNO yang berlebih-lebihan ini 
menunjukkan bahawa UMNO sudah terlalu lemah dari sudut politik hingga sanggup 
tunduk, merayu dan merengek meminta musuh politik no wahidnya itu agar dapat 
duduk semeja berunding, seolah-olah menyatakan bahawa UMNO kini sudah pun 
tewas di medan pertempuran.

Mereka-mereka inilah yang saya lihat beria-ria benar mahukan pertemuan itu 
tidak menjadi. Maka di kala pertemuan itu hampir menjadi realiti, kita dapat 
lihat bagaimana secara tiba-tiba FRU dan pihak keselamatan yang selama ini 
kita tahu cuma bersikap keras terhadap ceramah KeADILan dek dendam kesumat 
peribadi antara pemimpin UMNO dan DSAI; dan tidak pernah bersikap kasar 
terhadap ceramah-ceramah PAS terutama apabila ada dalam barisan penceramah itu 
tokoh2 PAS yang disegani seperti TG Haji Hadi misalnya; tapi kali ini 
tiba-tiba - di kala pertemuan PAS UMNO hampir menjadi realiti - pasukan FRU 
dan Polisi bagaikan diarah telah bertindak kasar dalam ceramah PAS di 
markasnya sendiri di Sabak Bernam yang dihadiri oleh YAB TG Menteri Besar 
Terengganu Tg Haji Hadi dan Ahli Parlimen Kuala Kedah YB Mat Sabu.

Saya mendapat berita bahawa setelah majlis itu diganggu dan diperlakukan 
secara kasar oleh pihak polis/FRU; TG Haji Hadi telah memberi amaran, atas 
kapasitinya sebagai Timbalan Presiden PAS seMalaysia bahawa beliau akan 
mengusulkan agar PAS membatalkan pertemuan itu jika sekiranya majlis beliau 
itu terus dikasari.

NAH! APA LAGI PUCUK DICITA, ULAM MENDATANG - MEMANG ITU PUN YANG "BIG BOSS" 
MEREKA DI KUALA LUMPUR SANA MAHUKAN!!

Selepas itu, kita pun tahu, tindakan kasar pihak keselamatan mula merebak 
semacam wabak; di sana-sini, orang mula bercerita mengenai tindakan ganas 
Polis/FRU di Kulim, di Kubang Pasu, di Bukit Selambau, di Tanjung Karang, di 
Balai Polis Dang Wangi dan lain-lain tempat yang mungkin sudah pun disekat 
jalannya sebelum ceramah itu menjadi.

Apabila keadaan ini menjadi-jadi, maka ahli PAS peringkat bawahan dan juga 
rakan2 mereka dari BA mula jadi resah; macam mana pula pemimpin kita di atas 
sana boleh senang-senang berjabat tangan berdamai dengan mereka, sedangkan 
kita kat bawah ini tak habis-habis bermandikan hujan asid dan kepulan bom 
asap?

Maka apabila dihujani dengan pertanyaan dan aduan yang sedemikian, pucuk 
pimpinan PAS tiada pilihan melainkan terpaksa menangguhkan pertemuan tersebut 
sehingga keadaan "aman" dapat dipulihkan. Adapun berkenaan dengan isu  royalti 
minyak, harakah dan nama Islam; itu sudah perkara no-2 kerana seperti yang 
dinyatakan oleh Ustaz Nasharudin, Jawatankuasa Teknikal UMNO sudah pun tahu 
dan sudah pun dimaklumkan perkara tersebut pada hari pertama pertemuan mereka 
lagi. Lihat kenyataan YB Nasharudin Mat Isa dalam akhbar the STAR ini.

PAS: Umno aware of preconditions   from first meeting
"JITRA: PAS has revealed that its preconditions for the proposed Malay unity 
talks were "submitted'' at the first technical committee meeting with Umno.  
"Umno secretary-general Tan Sri Khalil Yaakob knew it and so did the   other 
three in the (Umno) team,'' PAS secretary-general Nasharudin Mat Isa said 
after opening the PAS information and trade exposition at Kampung Padang Tok 
Kesop, Kubang Pasu, on Monday night.  [The STAR 28/2/01].

Maka seperti yang saya katakan, ketiga-tiga isu tersebut bukanlah perkara 
baru. Permintaan tersebut sudah pun diajukan kpd Datuk Khalil Yaakob di hari 
pertama pertemuan itu lagi; dan sengaja PAS membuat permintaan tersebut kerana 
PAS tahu bahawa ketiga-tiga perkara itu boleh diluluskan dengan mudah hanya 
melalui satu tandatangan sahaja dan tidak perlu ke parlimen untuk membuat 
sebarang pindaan perlembagaan.

Jika PAS sungguh-sungguh ingin menyusahkan UMNO; PAS boleh minta supaya 
perkara lain yang amat mustahil pada pandangan UMNO; misalnya meminta supaya 
membenarkan Kelantan dan Terengganu melaksanakan hudud. Apabila ini berlaku; 
maka memanglah benar bahawa UMNO tidak punya kuasa tetapi terpaksa membawa isu 
ini ke Parlimen kerana ianya melibatkan pindaan perlembagaan negara.

Antaranya ialah Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: "Jika 
mana-mana undang-undang Negeri berlawanan dengan sesuatu undang-undang 
Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah  dipakai  dan 
undang-undang Negeri itu hendaklah terbatal, setakat mana ianya berlawanan
dengan undang-undang Persekutuan itu" dan juga Bahagian Satu Jadual Kelapan 
Perlembagaan Persekutuan (ii)  Perkara  76- Membolehkan Parlimen membuat 
undang-undang di atas perkara yang di dalam senarai Negeri di atas  tujuan 
tertentu, di antaranya ialah bagi mengadakan persamaan undang-udang di antara 
dua buah negeri atau lebih.  Perkara 71(4) - Perkara ini ialah mengenai  
"peruntukan-peruntukan perlu" yang patut ada di dalam tiap-tiap Perlembagaan 
Negeri dan perkara-perkara perlu dimaksudkan itu terkandung di dalam Bahagian 
Satu Jadual Kelapan (di antaranya kuasa-kuasa Raja, Dewan Perundangan Negeri 
dan sebagainya). Perkara  ini menegaskan bahawa, Parlimen boleh dengan kuasa 
undang-undang  membuat peruntukan-peruntukan bagi menguatkuasakan dalam Negeri 
itu peruntukan-peruntukan perlu itu atau bagi membuangkan 
peruntukan-peruntukan yang berlawanan itu.

TU DIA - SIKIT PUNYA COMPLICATED KA UNDANG2 PERSEKUTUAN!
PAS BOLEH MINTA KALAU NAK, TAPI PAS TAHU ITU DI LUAR BIDANG KUASA UMNO KERANA 
IANYA PERLU DIBAWA SECARA TERANCANG KE SIDANG PARLIMEN TERLEBIH DAHULU!!


Lantas itu, 3 permintaan yang diminta oleh PAS tersebut hanyalah kacang jika 
nak dibandingkan dengan permintaan pindaan perlembagaan seperti yang  
dinyatakan di atas. PAS sudah pun lama dalam politik negara, PAS sudah pun 
masak dan faham dengan susur galur perlembagaan negara, mereka tahu yang mana 
kacang yang mana saga!

Okay, berbalik kepada isu asal; 3 permintaan yang asalnya cuma menjadi 
sebahagian daripada agenda pertemuan, kini meletus di dada-dada akhbar dan 
dibincangkan secara luas setelah pertemuan tersebut tidak menjadi kenyataan. 
Kita balik kepada perkara pokok; kenapakah pertemuan tersebut tidak berlaku 
seperti yang dirancang sedangkan berdasarkan hujjah-hujjah saya di atas tadi, 
kedua-dua pucuk pimpinan UMNO dan PAS memang sudah komited semenjak awal untuk 
menjadikan pertemuaan ini suatu realiti.

Apakah yang berlaku sebenarnya?

Apa yang berlaku ialah ada dalang dalam pucuk pimpinan UMNO di atas sana yang 
saya gelar ia sebagai "BIG BOSS" kepada pasukan FRU dan pasukan keselamatan 
ini yang percaturan politiknya menggunakan FRU dan pasukan polis mengganggu 
majlis-majlis  PAS dan BA, jika dihalusi secara terperinci membuatkan kita 
merasakan beliau memang tidak mahukan pertemuan tersebut berlangsung seperti 
yang dirancang; siapa lagi kalau bukan Menteri Dalam Negeri YAB Datuk Seri 
Abdullah Ahmad Badawi. Dan, saya juga sudah menganalisa kenyataan ketiga-tiga 
Naib Presiden UMNO, Datuk Najib, Tan Seri Muhyideen dan Mat Taib [rujuk the 
STAR 19/2/01] ; dan saya dapati mereka ini antara rela, tetap mahukan 
pertemuan itu menjadi kenyataan. Tapi Timbalan Presiden mereka tidak begitu 
ghairah mahukan pertemuan ini menjadi realiti.

Apabila kelihatan pertemuan itu tidak menjadi kenyataan, Pak Lah saya lihat 
dalam nada yang tak berapa serius berkata:

"Syarat-syarat yang dikemukakan Pas sebelum adakan pertemuan dengan UMNO, MANA 
BOLEH diselesaikan secara perbincangan di peringkat jawatankuasa teknikal 
sahaja" [Bernama 25/2/01]

Dan dengar pula apa kata kuncunya ini:

KOTA BARU: Umno information chief Datuk Mustapa Mohamed said that judging from 
its actions and statements, PAS has closed the door to the planned unity talks 
with Umno. [The STAR 25/2/01]

(Terjemahan: Ketua Penerangan UMNO, Datuk Mustapha Mohamed berkata berdasarkan 
kenyataan dan sikap PAS, maka bolehlah disimpulkan bahawa PAS telah menutup 
pintunya untuk berbincang agenda Perpaduan dengan UMNO)

TU DIA - PANDAINYA ANAK MURID PAK LAH INI MEMBUAT KESIMPULAN!!

Menyelami pemikiran Pak Lah, beliau sememangnya tahu bahawa Dr Mahathir cuma 
menunggu masa sahaja untuk berundur; jika pertemuaan PAS dan UMNO ini menjadi, 
maka Dr Mahathirlah yang akan mendapat kreditnya tapi yang bakal menanggung 
bala ialah Pak Lah sendiri.  Sebagai bakal Presiden UMNO kelak; Pak Lah akan 
terpaksa berhadapan dengan satu suasana baru di mana masyarakat sudah tidak 
pandang gah lagi kepada UMNO; UMNO pada ketika itu nanti akan dilihat sama 
baris atau lebih rendah daripada itu apabila dibandingkan dengan PAS, KeADILan 
dan PRM. Tidak ada apa yang istimewa lagi pada UMNO kerana setelah berpuluh 
tahun berjuang, UMNO akhirnya akur kepada musuh politiknya PAS yang selama ini 
dianggap parti nyamuk dan diwar-warkan sebagai parti pemecah belah masyarakat.

Jika pertemuan ini tidak menjadi, maka ianya akan menjadi satu senjata politik 
yang cukup stategik dan cukup berkesan kepada Pak Lah sebagai bakal Presiden 
UMNO kelak; kerana kengganan PAS meneruskan pertemuan itu akan dicanangkan 
sebagai bukti jitu bahawa PAS memang tidak mahukan perpaduan; PAS cakap saja 
lebih, kononnya nakkan muzakarah tapi bila UMNO ajak berjumpa dan berbincang, 
mereka berikan 1001 alasan untuk tidak bertemu. Kenyataan awal orang-orang Pak 
Lah seperti Datuk Mustapha Mohamed ini adalah bukti yang nyata.

Patutlah pun ada orang Pulau Pinang, penyokong setia DSAI menyatakan kepada 
saya yang Pak Lah ini walau pun nampak senyap, tapi dalam senyap tu jenis 
makan dalam. No wonder lah orang kata Datuk Najib dapat undi nyawa-nyawa ikan 
di Pekan hari tu sebab utamanya adalah kerana kerja orang dalam!

Hidup Pak Lah!!

Wassalam,
Ahmad Baharudin Kasbi


 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: Ahmad Baharudin Kasbi <[EMAIL PROTECTED]>

Kirim email ke