Bebaskan Pejuang-pejuang Keadilan
[4]
 
Hari ini adalah hari ke 17 keluarga kami yang dikasihi dibawa pergi. Ada berita mengatakan ada tahanan yang telah cedera. Kebimbangan mula terasa dan pendokong-pendokong anti ISA mula terasa desakan mempercepatkan usaha memberi tekanan agar semua yang ditahan dibebaskan segera. Kami ucapkan syabas kepada WAC yang melancarkan Kempen Mansuhkan ISA di Pejabat AWAM pagi semalam. Baju T bertulis "I Say Abolish" dipakai oleh wanita-wanita di majlis itu menggambarkan kesungguhan jiwa wanita-wanita yang cekal dan berani. Ibu Ezam turut berucap. Kali ini bukan hanya isteri yang bangkit tetapi ibu pejuang-pejuang ini juga tidak mampu lagi duduk diam melihat kezaliman ISA ini. Anak-anak mula terasa sudah lama ayah tidak pulang. Manakan tidak, suara ayah pun tidak kedengaran biarpun melalui telefon. Adakah kita boleh berdiam diri lagi?

Hari Rabu juga menyaksikan satu perhimpunan rakyat yang benci kepada kezaliman di Pasir Salak, Perak. Pemuda-pemuda Keadilan tidak gentar memakai  songkok hitam berlilit putih tanda berkabung. Bukan kerana ada kematian sesiapa, tetapi kerana demokrasi dan hak  asasi rakyat telah mati. ISA telah mematikan hak rakyat untuk bersuara menentang kezaliman dan menuntut keadilan. Syabas juga kepada penduduk Kg. Gajah yang keluar beramai-ramai memberi sokongan kepada kempen Mansuhkan ISA. Saya dan Vasanthi berucap sebagai mewakili keluarga tahanan ISA. Vasanthi berucap seolah-olah Gobala yang berucap. Siapa sangka isteri yang hanya berdiri di belakang suami kini boleh ke hadapan mengambil alih tempat suami.

Saya dan keluarga pejuang-pejuang yang ditahan menyeru semua rakyat Malaysia bangun menentang ISA habis-habisan. Pelancaran Kempen mansuhkan ISA akan diadakan pada 30 April di Dewan Perhimpunan China. Datanglah beramai-ramai, biar sesak, biar melimpah ke jalan-jalan. Jangan takut! Demi menuntut keadilan dan menumbangkan pimpinan negara yang zalim, demi masa depan negara kita yang tercinta, demi generasi kita akan datang.

Bebaskan Segera Tahanan ISA
Ummu 'Urwah
(Aliza Jaffar)
 
27 April 2001

Kirim email ke