*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
{ Sila lawat Laman Hizbi-Net - http://www.hizbi.net }
{ Hantarkan mesej anda ke: [EMAIL PROTECTED] }
{ Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED] }
*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Assalamualaikum,
Kepada sahabat muslimin dan muslimat yang tidak berkesempatan menatap akhbar UM, satu
rencana yang menarik untuk dikongsi bersama dari Dr. Yusuf Al-Qaradawi.
Tasawuf: Antara penyokong dan
penentang
Oleh: DR. YUSUF AL-QARADAWI
KAUM muslimin pada zaman sahabat baginda Rasulullah
s.a.w serta golongan yang belajar dengan mereka
(sahabat) adalah golongan yang mempelajari dan
mengamalkan Islam secara keseluruhan. Mereka tidak
menonjolkan suatu sudut atau persoalan agama tanpa
sudut-sudut yang lain, seperti mana mereka tidak
melupakan tuntutan zahir kepada batin dan tuntutan batin
kepada zahir.
Golongan ini mengambil berat tentang persoalan akal, roh
dan tubuh badan selain menitikberatkan hak-hak
perseorangan dan masyarakat serta menjaga
kepentingan-kepentingan dunia dan akhirat tanpa
meminggirkan antara satu sama lain.
Namun, apabila kehidupan mula berkembang dan semakin
rumit - disebabkan faktor dalaman dan luaran yang
pelbagai - muncul kumpulan-kumpulan yang mengehadkan
perhatian mereka hanya kepada persoalan-persoalan
tertentu seperti persoalan berkaitan akal yang didukung
oleh puak al-Mutakallimin atau kumpulan yang hanya
menumpukan sepenuh perhatian mereka kepada
persoalan-persoalan berkenaan ilmu pengetahuan lahiriah
seperti ulama-ulama fiqh.
Di samping itu, ada juga kumpulan yang hanya mengambil
berat tentang kesenangan dan kemewahan hidup di dunia
ini semata-mata seperti yang dilakukan oleh sesetengah
pemimpin, orang-orang kaya dan pengikut-pengikut
mereka.
Pada zaman inilah munculnya satu kumpulan yang
menamakan diri mereka sebagai `mutasawwif' (orang sufi)
yang memberi perhatian kepada satu persoalan yang tidak
kurang pentingnya iaitu persoalan roh dan jiwa dalam
kehidupan masyarakat Islam.
Mereka ini berperanan memenuhi `ruang kosong' yang
dipinggirkan oleh ulama fiqh dan ulama-ulama ilmu kalam di
samping cuba menyelamatkan mereka yang tenggelam
dalam kemewahan dan tipu daya dunia.
Ulama-ulama terdahulu (salaf) mengambil serta
mengamalkan ajaran-ajaran agama secara keseluruhannya
- seperti yang diterangkan di atas - dengan mengambil kira
martabat dan peringkatnya iaitu Islam, iman dan ihsan
sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis terkemuka
(hadis Jibril).
Keadaan berubah apabila ulama-ulama fiqh `membentuk'
satu kumpulan yang mengkhususkan pengajian dan
pembelajaran ilmu-ilmu berkaitan Islam dan
hukum-hakamnya yang zahir, sementara ulama-ulama ilmu
kalam (al-Mutakallimin) pula mengkhususkan bidang
mereka kepada persoalan dan perbahasan-perbahasan
yang berkaitan dengan iman.
Ekoran situasi itu, muncullah satu kumpulan lagi yang
menggelarkan diri mereka ahli-ahli sufi yang mengambil
berat serta memberi penumpuan kepada martabat ketiga
agama iaitu ihsan.
Yang pasti, ilmu sufi berusaha merealisasikan matlamat
atau kemuncak amalan iaitu selamat daripada kemurkaan
Allah dan balasan azab di akhirat dengan cara zuhud,
pertapaan dan mujahadah diri tanpa melupakan adab-adab
syarak dan ketakwaan kepada Allah.
Kemudiannya, muncul pula ulama-ulama seperti Hassan
al-Basri yang memasukkan unsur takut kepada Allah ke
dalam ilmu sufi. Di samping unsur takut kepada Allah ini,
muncul pula unsur baru iaitu cinta kepada Allah seperti yang
terkandung dalam syair Rabi'atul Adawiyyah (185H),
kata-kata Abi Sulaiman ad-Daarani (215H), Zinnun al-Masri
(245H), Abi Yazid al-Bustami dan lain-lainnya.
Golongan pengamal-pengamal ilmu sufi ini menegaskan
bahawa matlamat mereka mentaati perintah-perintah Allah
dan menunaikan segala kewajipan bukan semata-mata
kerana takutkan azab api neraka atau kerana mengimpikan
balasan nikmat di syurga, tetapi kerana cinta kepada Allah
dan untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Namun begitu, sufi kemudian bertukar daripada sebagai
satu jalan untuk mendidik serta mengasuh akhlak mulia dan
kerohanian kepada falsafah yang mengandungi
kefahaman-kefahaman asing bagi Islam antaranya teori
al-Hulul (penjelmaan/penampilan) dan wahdatul wujud
(kewujudan yang satu).
Penyelewengan ilmu sufi berlaku dengan hebatnya di
tangan al-Halaj yang mengakui dirinya sebagai Allah dan
mazhab yang berpegang kepada teori penjelmaan
Pencipta (Tuhan) dalam diri makhluk (al-Hulul) seperti
tuduhan Nasrani terhadap diri Nabi Isa.
Penyelewengan ini telah menimbulkan kemarahan
ulama-ulama fiqh dan masyarakat Islam ke atas Halaj yang
membawa kepada hukuman bunuh ke atasnya pada tahun
309H, selain penolakan teori tersebut oleh kebanyakan
ulama sufi sendiri.
Penyelewengan terhadap ilmu tasawuf semakin bertambah
serta melampaui batas dengan kemunculan falsafah
`wahdatul wujud' yang terdapat dalam karangan-karangan
Muhyiddin bin Arabi atau lebih dikenali sebagai Ibnu Arabi
dan mereka yang sependapat dengannya.
Kumpulan ini mendakwa bahawa tiada kewujudan
melainkan Allah dan kewujudan itu tidak ada duanya.
Dengan teori itu, maka tidak ada apa yang dipanggil
pencipta dan makhluk atau tuhan dan hamba (semuanya
sama).
Teori ini (wahdatul wujud) membawa penafian
tanggungjawab serta persamaan antara yang baik dengan
yang jahat atau mereka yang menyembah tuhan yang esa
dengan mereka yang menyembah berhala, semuanya
sama iaitu gambaran bagi Tuhan yang satu.
Tidak dinafikan bahawa umat Islam berselisih pendapat
tentang pandangan mereka terhadap ahli-ahli sufi ini. Bagi
yang taksub, mereka heboh tentang kebaikan ahli-ahli sufi
tersebut, menjadikan hala tuju pandangannya sebagai asas
dalam semua perkara, mempertahankannya walaupun
mereka melakukan kesalahan, bahkan mereka tidak
pernah membayangkan untuk menjatuhkan hukum salah ke
atas ahli-ahli sufi tersebut.
Sementara itu, bagi mereka yang menentang, kutukan dan
kejian dilemparkan terhadap ahli-ahli sufi dan orang yang
bersama dengan mereka biarpun orang tersebut
mempunyai kebenaran dalam dirinya. Selain itu, mereka
turut mengisytiharkan bahawa sufi merupakan satu mazhab
asing yang mencerobohi Islam, yang diambil daripada
agama Masihi, Buddha, Brahma dan sebagainya.
Namun, kesedaran menuntut kita agar menegaskan
bahawa sesungguhnya sufi mempunyai akar umbi dan
asal-usulnya dalam Islam yang tidak dapat dinafikan dan di
dalamnya juga terkandung unsur-unsur Islam yang tidak
dapat disembunyikan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body : SUBSCRIBE HIZB)
( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED] pada body: UNSUBSCRIBE HIZB)
( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan )
( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net )
( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED] )
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Pengirim: [EMAIL PROTECTED]