*~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
 {  Sila lawat Laman Hizbi-Net -  http://www.hizbi.net     }
 {        Hantarkan mesej anda ke:  [EMAIL PROTECTED]         }
 {        Iklan barangan? Hantarkan ke [EMAIL PROTECTED]     }
 *~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~*
          PAS : KE ARAH PEMERINTAHAN ISLAM YANG ADIL
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
ISA dari perspektif hukum Islam 

Dipetik dari Minda Rakyat

http://mindarakyat0.tripod.com/2001mei/2001-1469.htm





5. ISA undang-undang draconian zaman purba dan pertengahan 

Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi (atau King-Pope) di 
Eropah terkenal dalam sejarah manusia mengamalkan undang-undang memaksa 
rakyatnya tunduk tanpa soal kepada pemerintah, peraturan siapa berkuasa dia 
pasti betul. Cuma mereka mungkin tidak mempunyai undang-undang yang bertulis 
seperti ISA di Malaysia dan beberapa negara lain. 

Pemerintahan campuran King-Pope zaman pertengahan di Eropah (antara 500 – 1500 
Masihi) mengamalkan peraturan rakyat wajib mengikut pendapat pemerintah sehingga 
diwujudkan Court of Inquisition (Mahkamah Pemeriksaan) untuk memastikan rakyat 
taat tanpa sebarang soal. Sesiapa yang didapati ataupun disyaki mengeluarkan 
pendapat bertentangan dengan pemerintah akan dihukum bunuh termasuk dibakar 
hidup-hidup. Ramai saintis dihukum bunuh atau penjara kerana mengeluarkan 
pendapat baru yang bertentangan dengan arus perdana istana-gereja. Inilah antara 
faktor yang membangkitkan rakyat melakukan revolusi dan reformasi agama 
pimpinan Martin Luther pada 1517 untuk menentang pemerintahan istana yang 
dicorakkan oleh gereja. Akhirnya masyarakat Eropah menukar sistem pemerintahan 
daripada beraja mutlak (sistem feudal) kepada demokrasi bebas dan daripada 
beragama di bawah payung gereja kepada sekularisme yang membuang agama acuan 
gereja. 



ISA adalah umpama peraturan yang diamalkan oleh Court of Inquisition di Eropah 
dulu. Polis-polis yang menguatkuasakan peraturan ISA itu adalah sama dengan para 
Inquisitors yang merisik, menangkap, mengurung dalam bilik gelap, menyiksa 
tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak bertemu keluarga dan membela diri bagi 
orang tahanan. Penderaan fizikal dan mental dilakukan selagi tahanan tidak 
mengaku salah atau berjanji untuk mengubah pendirian. 

Polis Cawangan Khas di Malaysia menamakan proses pemeriksaan/siasatan 
Inquisitor ini sebagai proses neutralise atau turn-over.  Hak untuk menangkap 
tanpa waran diberikan kepada polis hanya berdasarkan syak, bukan bukti. Tempoh 
tahanan untuk proses ‘siasatan’ yang sebenarnya neutralise dan turn-over itu 
memakan masa sehingga 60 hari tanpa arahan mahkamah. Tempoh 60 hari itu 
hakikatnya adalah ‘hukuman’ yang dijatuhkan oleh polis, bukan tempoh siasatan. 
Undang-undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa 
arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang 
perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada  kuasa 
majistret itu (Perkara 5 Fasal 4, Perlembagaan Persekutuan). 

Selepas itu Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan supaya tempoh tahanan 
disambung maksimum dua tahun-dua tahun jika menteri itu ‘berpuas hati’ bahawa 
tahanan adalah ‘perlu’ untuk mencegah tindakan yang ‘mengancam keselamatan 
negara’. Di sini menteri pula berkuasa menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman 
penjara, juga tanpa hak untuk membela diri bagi tertuduh. Ini juga bertentangan 
dengan Perlembagaan seperti tersebut di atas. 

6. ISA dari perspektif Islam 


Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam. Bagaimanakah 
pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas rakyat 
yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam 
sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan 
tanpa bicara terhadap yang tertuduh? 

Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran, kitab hadis dan 
kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah. 

Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat ditaati 
selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t. berfirman 
maksudnya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu 
kepada Rasul dan Ulil Amri (wali, penjaga, ketua dan pemerintah) di kalangan 
kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka  hendaklah 
kamu merujuk Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya kamu benar-benar 
beriman kepada Allah dan hari Akhirat…” (al-Nisa’: 59) 

Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana 
sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi al-Toghut dan ini 
bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36 yang dibawakan sebelum ini. 
Sedangkan ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau 
dikompromi dengan sesuatu apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang 
dikompromi dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang 
berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi. 

Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan 
Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan 
ataupun tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil 
Amri itu mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan 
peraturan Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram 
mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah 
hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran 
baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud: 

“Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam 
perkara makruf” (Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39; dan 
lain-lain) 

Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan perbincangan hukum 
dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang membahaskan 
persoalan ini dalam kitab feqah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan 
kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan 
hadis. Bab tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak Bersenjata) 
dalam kitab-kitab feqah. 

Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari ialah Ulil Amri 
ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang 
mentadbir sebuah daulah (negara) Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah 
sebagai sumber perundangan dan pentadbiran mereka.(Perlu disebutkan bahawa 
sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah dihapuskan 
secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924). Walaupun di 
kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan 
sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka 
selain daripada tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih 
bersumberkan dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu. 

Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi 
menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan 
sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka 
setelah penjajah selesaikan ‘tugas’ mereka di tanah jajahan. Antara ‘tugas’ 
penjajah ialah (1) menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan 
restu kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan anak tempatan 
yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah ‘kemerdekaan’. 
Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan (3) 
meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara 
survival kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. 
Ulil Amri kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan petunjuk 
al-Quran dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang mencela perundangan Islam 
yang terhasil daripada petunjuk wahyu itu. 

Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak 
lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat al-
Nisa’: 59 itu. 

Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di 
zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk 
tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat tidak mampu menyoal ‘kenapa?’, apatah lagi 
untuk berkata ‘tidak!’ terhadap kehendak pemerintah. 

7. Al-Bughah dalam perundangan Islam 

Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam 
ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud: 

“Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah 
antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan 
yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali 
kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, 
maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya 
Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.” 

Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. 
Antaranya: 

1.        Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda 
maksudnya: 

“Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) 
kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. 
Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang 
dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.” (Riwayat Muslim) 

2.        Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: 

“Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka 
hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah 
walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” 
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

3.        Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar 
Rasulullah s.a.w. bersabda   maksudnya: 

“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi 
kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk 
pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat 
mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami 
memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan! Selagi mereka bersembahyang 
bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan 
maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan 
sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.) 

4.        Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda 
maksudnya: 

“Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak 
melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati 
syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku 
lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, 
“Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil 
harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.) 

5.        Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata, 

“Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan 
kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada 
diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang 
jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

6.        Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata, 

“Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah 
pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, 
“Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang 
atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, 
“Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau 
bersabar sehingga engkau menemuiku.” (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya 
terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya 
manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul) 

Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam 
kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai 
al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-
kitab lain. 

Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah 
(pemberontak bersenjata) seperti di bawah: 

1.        Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar 
daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn 
`Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48) 

2.        Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam 
yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk 
tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana 
pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60) 

3.        Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang 
menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan 
menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu 
memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ 
(Nihayah al-Muhtaj, 8/382) 

4.        Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang 
yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan 
yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak 
mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111) 

5.        Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas 
alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-
Muhalla, 11/97,98) 

6.        Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa 
pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada 
kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331) 



Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat 
takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-
syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan 
melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka 
bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang 
meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira 
pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh 
seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah 
secara kekerasan.’ Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap 
jenayah al-Bughah iaitu (1) menentang pemerintah; (2) penentangan secara 
kekerasan atau bersenjata; (3) ada niat melakukan jenayah.” (atau dalam istilah 
undang-undang barat disebut mens rea) (Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-
Islami, 2/674) 

Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang pemerintah, 
barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan 
mereka secara hikmah, bukan terus menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh 
mereka. Ini berdasarkan ayat  9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang 
pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian. Perdamaian ini boleh 
dicapai dengan pertemuan, perbincangan, muzakarah dan soal-jawab supaya semua 
pihak berpuas hati. Peluang mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua 
pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak 
(pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang merupakan hak semua 
rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana, 
stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak 
boleh diberikan juga kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip 
cukai ke atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan 
siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit. 

Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah 
hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan mereka yang 
tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman 
tanpa senjata, ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah 
tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara. 

Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka 
kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan 
zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat 
wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim. 

Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar 
yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa “keengganan untuk 
mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), 
sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam 
maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….” (Dr. `Awdah, 
ibid, m.s. 675) 

Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan mereka tidak diberi 
ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan penyokongnya miliki. 
Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan 
pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang 
rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali 
ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada 
negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi. Jadi mereka adalah 
pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, 
pemberontak atau penceroboh. 

Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks pertikaian 
sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak rakyat 
untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, 
perlembagaan negara dan seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan 
pencerobohan, maka ayat itu menyuruh “…jika salah satu kumpulan telah menceroboh 
ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu 
sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh)…”. 
Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang 
mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu 
pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan 
pemerintah). 

Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, “Antara perkara yang disepakati 
oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah memerangi al-
Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa 
tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka 
menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. 
Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka 
wajib kembali taat (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka 
enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka…” (ibid, m.s. 679) 

Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak bersenjata yang 
diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN 
menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. 
Ini berdasarkan sebab-sebab berikut: 

1.    Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya 
hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat 
mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana. 

2.        Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan 
penyelewengan pemerintah. 

3.        Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi 
kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah 
berpuluh tahun dinasihati. 

4.        Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman 
dan penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan 
memenjarakan rakyat yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan 
itu. 

Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan dalam syariah 
Islam, maka perbuatan ‘agamawan’ UMNO (tidak sesuai untuk dinamakan ulama) 
menggunakan nas-nas hadis tentang hukuman al-Bughah seperti di atas adalah satu 
perbuatan menyelewengkan amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di 
atas nama Islam. 

Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi WanTeh, Mustafa Taib 
dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap menggunakan hadis riwayat al-
Bukhari dan Muslim daripada Ibn `Abbas r.a. yang bermaksud “Sesiapa yang 
melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia 
bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal 
lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” 

“Sesuatu perkara yang tidak disukai…” itu ditafsirkan oleh agamawan-agamawan 
terbabit sebagai semua perkara yang tidak disukai rakyat termasuk perkara 
maksiat dan kezaliman pemerintah. Menurut mereka, rakyat tidak harus sama 
sekali menentang pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja. 

Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan ini dilakukan 
mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau cuai tentang hadis lain 
yang mengkhususkan hadis ini, walaupun mereka tidak akan mengaku kejahilan 
mereka. Kalau benar mereka tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan 
mereka mengetahui serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka telah 
melakukan kesalahan yang besar iaitu menjual agama Allah s.w.t. dengan dunia 
yang sedikit. 

Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal menyelaraskan hadis 
yang membawa makna umum di atas dengan hadis yang mengkhususkan makna umum itu. 
Ajaran mereka itu menyebabkan berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih. 
Cuba kita lihat satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan 
hadis daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan penyelarasan antara hadis 
yang umum dengan hadis yang khusus. Hadis itu ialah yang bermaksud; 

“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya 
dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, 
yang demikian itu (cegah dengan rasa benci di hati) adalah selemah-lemah iman.” 
(Riwayat Muslim daripada Abu Sa`id al-Khudri) 

Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua perkara yang 
bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda menyuruh sesiapa yang 
melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa yang melakukan kemungkaran itu) 
hendaklah dia mencegahnya setakat kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) 
atau lidah atau hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. 
Adakah mungkin baginda menyongsang ajaran baginda sendiri dengan menyuruh 
supaya bersabar sahaja terhadap kemungkaran pemerintah sehingga mengkritik 
(mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak mungkin! 

Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna “sesuatu perkara yang tidak 
disukai…” dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu khusus untuk perkara-perkara yang 
bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan seseorang 
pemerintah itu. Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang 
sudah pasti rakyat yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan 
lisdah dan hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih 
yang lain yang bermaksud; 

“Dengar dan taatlah, walaupun pemerintah yang dilantik ke atas kamu merupakan 
seorang hamba kulit hitam yang kepalanya berbentuk seperti sebiji anggur.” 
(Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik) 

Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan dengan “sesuatu 
perkara yang tidak disukai…” dalam hadis Ibn `Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara 
yang tidak disukai oleh rakyat tetapi bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis 
Ibn `Abbas itu ialah hadis umum yang makna sebenar hanya boleh difahami secara 
betul setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut. Kalau tidak 
dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu Sa`id al-Khudri pula. 
Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna antara dua atau lebih nas yang sahih 
sebegini dipanggil al-ta`arudh. Masalah Al-ta`arudh ini mesti diungkai supaya 
semua nas yang sahih dapat diamalkan (ma’mul bihi)dan tiada mana-mana nas sahih 
yang terabai (muhmal). Tidak menjadi masalah kalau nas yang bercaggah itu adalah 
antara yang sahih dengan yang dhaif, kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. 
Tetapi  jika kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas orang 
yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih. Soalnya, bagaimana 
hendak beramal jika antara kedua-duanya ada percanggahan? Inilah yang perlu 
diselesaikan secara penyelarasan atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas 
itu, iaitu nas yang umum dihimpunkan bersama nas yang khusus lalu dikeluarkan 
makna yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid syar`iyyah) 

Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam terhadap ilmu Usul al-
Fiqh sebelum berhujah dengan mana-mana nas. Jika tidak, seseorang itu akan 
dilihat terumbang-ambing bila dibacakan nas lain yang bercanggah dengan maksud 
umum yang tidak dikehendaki dalam syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO 
tidak stabil bila berhujah dan lebih suka berucap secara sehala kerana tidak 
berani menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada soal-jawab pun, jawapannya 
dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si penyoal. 

8. Penutup



Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan perkara-perkara di bawah: 



i.                     Para aktivis dan penyokong gerakan reformasi yang 
berhimpun untuk membantah kezaliman dan penyelewengan kerajaan tidak boleh 
dikira sebagai pemberontak atau perusuh (al-Bughah) kerana mereka hanya 
menyuarakan pandangan yang lain daripada pihak kerajaan secara aman. 

ii.                    Menggunakan hadis-hadis yang berkenaan hukum al-Bughah 
ke atas mereka seperti yang dilakukan oleh agamawan UMNO adalah perbuatan cuba 
menyelewengkan nas-nas agama untuk kepentingan pemerintah dengan balasan 
keduniaan. 

iii.                  Penggunaan polis FRU untuk memukul, menendang, memancut 
air gatal terhadap penyokong reformasi dan penggunaan ISA untuk  menceroboh 
rumah, menggeledah, merampas harta benda, menangkap tanpa waran dan menahan 
mereka tanpa bicara adalah tidak sah dan bertentangan dengan Islam. Dengan 
melakukan tindakan sedemikian polis telah memperhambakan diri kepada manusia 
yang melanggar perintah Allah s.w.t. 

iv.                  Undang-undang draconian seperti ISA, Akta Hasutan dan 
seumpamanya (yang memelihara kepentingan pemerintah, bukan rakyat) adalah batil 
dan bercanggah dengan Islam serta haram mempertahankannya. Undang-undang 
seumpama itu hanya diamalkan ketika pemerintahan beraja berkuku besi zaman 
sebelum Islam dan juga zaman pertengahan di Eropah. 

v.                   Menentang ISA (yang merupakan antara peraturan penjajah 
yang dikekalkan oleh UMNO/BN) adalah kewajipan setiap orang yang mengaku muslim 
dan setiap orang yang percayakan prinsip keadilan sejagat. 

vi.                  Tidak harus rakyat menolong pemerintah yang zalim untuk 
menundukkan sekumpulan rakyat yang menentang kezaliman itu kerana itu bermakna 
tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan, bahkan menurut mazhab Malik, 
adalah wajib rakyat menolong penentang kerajaan yang zalim. (Syarhu al-Zurqani, 
8/60) 



Pelancaran Anti-ISA Movement (AIM) oleh Barisan Alternatif dan NGO adalah 
ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Semoga dengan munculnya gerakan seperti 
ini, rakyat akan sentiasa ingat kezaliman dan penderaan yang dialami oleh 
mangsa ISA, seterusnya membangkitkan semangat membenci dan menentang dalam jiwa 
mereka dan mereka tidak mudah lupa peristiwa lagi. 

Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan rencana ini. Janji 
untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari hanya terlaksana setelah sebulan 
berlalu, disebabkan halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah 
sahaja sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga ahli 
keluarga mereka yang saya ibaratkan sebagai ‘seberat-berat mata memandang berat 
lagi bahu yang memikul’. 

Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda. 

[EMAIL PROTECTED] 

20 Safar 1422 (14/5/2001)

http://www.geocities.com/mindarakyatt/utama.htm



 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
 ( Melanggan ? To : [EMAIL PROTECTED]   pada body : SUBSCRIBE HIZB)
 ( Berhenti ? To : [EMAIL PROTECTED]  pada body:  UNSUBSCRIBE HIZB)
 ( Segala pendapat yang dikemukakan tidak menggambarkan             )
 ( pandangan rasmi & bukan tanggungjawab HIZBI-Net                  )
 ( Bermasalah? Sila hubungi [EMAIL PROTECTED]                    )
 ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pengirim: [EMAIL PROTECTED]

Kirim email ke