Salam Perjuangan Dari Kamunting [2]
 
Salam Reformasi,

Tahanan Reformasi di Kamunting telah bertambah menjadi 6 orang. Dr Badrul Amin dan Saudara Lokman Adam telah dihantar ke Kamunting tanpa pengetahuan keluarga mereka. Keluarga mereka hanya diberitahu oleh peguam pada hari perbicaraan habeas corpus mereka. Habeas Corpus mereka tidak dapat diteruskan kerana kini mereka telah ditahan pula atas arahan Kementerian Dalam Negeri. Agaknya pihak yang menahan mereka dihantui oleh keputusan habeas corpus Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan dua tahanan ISA iaitu Saudara Abdul Ghani Haron dan Saudara Gobalakrishnan. Apakah Menteri Dalam Negeri ingat dengan cara ini rakyat lupa kedurjanaan ISA? Tidak sekali-kali!
Kami, isteri, anak-anak dan keluarga mangsa tidak gentar dan rakyat akan terus bangkit bukan sahaja untuk menentang ISA tetapi juga menentang pemimpin yang memperalatkannya untuk kepentingan mereka. Sokongan kepada tahanan mangsa ISA dan keluarga terus datang mencurah-curah. Semalam kami diraikan oleh Pusat Khidmat Komuniti ADUN Sg. Burong dalam Majlis Minum Petang Bersama YB Dato' Dr. Hasan Mohd Ali dan Isteri Tahanan ISA di Maahad Jamiul Hasanat Batu 10, Tanjong Karang. Program ini telah lama dirancang. Kami telah menerima jemputannya lebih kurang sebulan yang lalu. Alhamdulillah, ia berjalan lancar walaupun tidak semua keluarga tahanan dapat hadir. Ucapan-ucapan semangat dari Puan Aishah, bonda Ezam dan ucapan syahdu Pak Din cukup menyentuh hati lebih kurang 500 hadirin. Kami juga menerima cek sumbangan daripada ahli dan penyokong Barisan Alternartif DUN Sg. Burong, Tanjong Karang  untuk Gerakan Mansuhkan ISA, alhamdulillah.

Simpati rakyat membuatkan keluarga tidak sedikitpun merasa bersendirian. Sokongan dan simpati akan bertambah bermakna lagi jika diktator tua dan kuncu-kuncunya dapat kita nyahkan daripada terus berkuasa. Mereka tidak lagi mampu memikul amanah kepemimpinan negara.

Pejuang-pejuang keadilan kita di Kamunting telah dapat bertemu peguam-peguam setiap minggu. Lawatan keluarga seminggu sekali amat bernilai bagi mereka dan juga keluarga. Kami semua sedang meneliti alasan pertuduhan untuk mengemukakan rayuan bahawa penahanan mereka tidak sah dan mereka dizalimi. Sokongan dan do'a dari semua yang prihatin adalah dialu-alukan.

Mereka juga sudah boleh menerima buah-buahan dan vitamin tambahan. Suami saya juga telah meminta kami menyediakan raket, bulu tangkis dan net untuk beliau bermain badminton bersama Saudara Ezam dan lain-lain. Di samping berjogging pada waktu pagi, mereka akan lebih cergas dan sihat jika dapat bermain. Mereka mesti terus segar dan bersemangat untuk menentang kezaliman yang menimpa ke atas diri mereka.

Menteri Dalam Negeri mungkin rasa berpuas hati dengan alasan-alasan untuk menyumbat mereka di Kamunting tetapi dengan semangat kental pejuang-pejuang ini, beliau tidak akan tidur lena. Kezaliman yang beliau lakukan akan menghambatnya. Tindakan menggunakan ISA ialah tindakan yang bacul kerana pihak lawan ditutup mata, diikat tangan lalu ditikam dari belakang. Jika hendak berpencak silat, biar di gelanggang terbuka! Jangan berselindung di sebalik ISA!

Kepada semua pencinta keadilan, kirimkan kata-kata semangat, berita atau apa sahaja kepada mereka.

Semoga semangat juang mereka terus membara....
Alamatkan surat menyurat kepada:
        Mohamad Ezam Mohd. Nor (ATP 2503)
        Hishamuddin Rais (ATP 2504)
        Tian Chua (ATP 2505)
        Saari Sungib (ATP 2506)
        Tempat Tahanan Perlindungan,
        Kamunting,
        34009 Taiping
        Perak

Keadilan Untuk Semua

Ummu 'Urwah
16 Jun 2001
 

Kirim email ke