Sindrom bisu makin melemahkan Umno

Kemusnahan Umno semakin nyata dengan rentetan peristiwa yang berlaku saban hari. Kekalutan jelas berlaku di kalangan pemimpin dan anggotanya terutama ketika pemilihan peringkat bahagian. Kalau dilihat daripada senario yang berlaku sekarang ini, kekusutan dalam Umno diibaratkan di tahap nazak.

Pertikaian berlaku terhadap pemilihan yang telah diputuskan sehingga terpaksa dirujuk kepada jawatankuasa tertentu untuk menentukan kesahihan mereka yang dipilih.

Jelaslah, bantahan itu menunjukkan pemimpin Umno tidak mendapat kerjasama seratus peratus terhadap sesuatu projek. Sesuatu yang mengaibkan apabila ia melibatkan badan-badan tertentu seperti mahkamah. Justeru itu, kita gembira kerana ahli Umno sendiri berani melahirkan rasa tidak puas hati mereka dengan sesuatu tindakan dalam Umno.

Seorang tokoh Umno di Terengganu berhasrat untuk membawa pemecatan dan hukuman dikenakan ke mahkamah kerana wujud ketidakadilan dalam keputusan yang dibuat. Malahan, beliau menjelaskan bahawa pemberian beg kepada ahli dan seumpamanya adalah sesuatu yang diamalkan bertahun-tahun sebelum ini.

Kenyataan ini menggambarkan betapa politik wang atau membeli undi dalam Umno sudah menjadi sebahagian daripada budaya Umno. Ia lahir dari mulut seorang tokoh yang menganggotai kabinet dan disiarkan dalam berita media arus perdana, ianya sukar untuk dinafikan.

Suatu masa dahulu, Pramoedya Ananta Toer, seorang penulis kontroversial di Indonesia, menyatakan keadaan politik di situ semakin membusuk. Tidak dinafikan politik Umno juga demikian, malahan menjijikkan. Kini ahli-ahli Umno berebut-rebut untuk membuka pekong dalam Umno.

Apa yang menghairankan ialah dalam kempen pilihanraya Umno, politik wang dihalalkan dengan menghamburkan wang ringgit dan pelbagai hadiah semata-mata untuk mendapatkan undi. Bagaimanapun, dalam pemilihan kepimpinan mereka, pemberian yang serupa menjadi salah dan mana-mana pegawai yang terlibat diambil tindakan dan dipecat. Sedangkan ianya dilakukan oleh kelompok yang sama

Jati diri Umno sebagai wadah memperjuangkan nasib orang Melayu, menimbulkan banyak persoalan. Dalam senario hari ini Umno bukan lagi parti orang Melayu dan mereka tidak berhak menjadikan Melayu sebagai nama parti kerana ia dianggotai oleh bumiputera lain dan masyarakat China, ahli AKAR. Apakah Cina AKAR tidak sama dengan Cina MCA ataupun Gerakan?

Secara tidak disedari Umno telah menikam MCA dan Gerakan. Ahli AKAR boleh memilih mana-mana parti yang mewakili masyarakat Cina. Saya percaya keputusan ini tidak digemari oleh anggota Umno seluruhnya. Tetapi oleh kerana sindrom bisu dan tidakmengapa sudah menebal dalam Umno, ia dimanfaatkan oleh pucuk kepimpinan Umno.


Kirim email ke