Perhimpunan UMNO: Ketepikan ucapan mengampu kepimpinan
Saudara Pengarang,
PADA tahun ini UMNO akan mengadakan
Perhimpunan Agung pada usia 55 tahun kewujudannya.
Sebagai ahli parti dari generasi profesional muda yang saban tahun tidak
ketinggalan menghadiri dan menghayati pengisian perhimpunan tahunan kecuali
pada tahun ini (kerana mengerjakan umrah), izinkan saya memberi sedikit
pengharapan.
Setiap perwakilan serta pemimpin mestilah bangkit daripada mimpi indah
tentang kedudukan UMNO sebagai sebuah parti unggul yang mewakili orang
Melayu.
Kejutan kekalahan di Terengganu serta kemerosotan prestasi di beberapa
negeri lain seolah-olah sudah mulai dilupai. Kita sebaliknya tidak
habis-habis dengan agenda permasalahan dalaman parti bagaikan tiada
kesudahannya.
UMNO bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan orang-orang Melayu daripada
parti-parti yang berlainan aliran perjuangan, tetapi musuh-musuh luar
negara.
Dan amat malang, pada saat-saat genting ini, UMNO juga terpaksa
berhadapan dengan tikaman serta perpecahan dalaman parti.
Keretakan perpaduan parti akibat pemilihan kepimpinan bahagian
amat merunsingkan.
Pada zaman teknologi maklumat dan siber ini, rakyat serta ahli-ahli muda
UMNO dan musuh-musuh UMNO bukannya buta. Kita harus sedar dan menerima
hakikat daripada hasil keputusan pilihan raya yang lepas. Apakah UMNO sudah
melakukan yang terbaik demi untuk mengelakkan daripada mimpi dan igauan
keputusan pilihan raya lalu tidak akan berulang?
Mengembalikan kekuatan bagi menghadapi pilihan raya 2004 sepatutnya
menjadi agenda utama di perhimpunan agung kali ini.
Ketepikan ucapan-ucapan yang bersifat memuji untuk membodek
kepimpinan parti, sedangkan pada hakikatnya pengisian perjuangan
parti semakin rapuh dan lemah.
Kita harus menelan ubat walau betapa pahit sekalipun. Yang penting ia
dapat menyembuh dan mengembalikan kegemilangan kecemerlangan parti seperti
pada suatu ketika dahulu.
Agenda penghapusan politik wang tidaklah perlu diberikan penekanan sangat
kerana ia telah dipikul dengan baik oleh Lembaga Disiplin parti. Apa yang
perlu ialah kita memberi sokongan penuh kepada segala usaha Lembaga
Disiplin.
Sejarah telah mempamerkan bahawa kebanyakan parti politik yang pada satu
masa dahulu menjadi parti pemerintah di seluruh dunia akhirnya lenyap
dimamah virus kehancuran. Contoh paling dekat ialah Parti Golkar di
Indonesia.
Jika kita masih melakukan kesilapan berulang kali, maka kita juga akan
mengundang mala petaka yang akan merugikan seluruh bangsa Melayu termasuk
generasi anak-anak kita.
Nasi belum menjadi bubur. Namun jika sudah menjadi bubur sekalipun,
andainya dimasak dengan ramuan yang betul, bubur itu masih enak dan
berkhasiat untuk dinikmati bersama.
Kita sebenarnya telah membuktikan bahawa UMNO yang berjuang berteraskan
konsep keislaman telah berjaya memerintah dan membangun Malaysia yang
mempunyai rakyat pelbagai kaum ke arah kecemerlangan.
Dalam masa yang sama, dunia telah mengiktiraf Malaysia sebagai satu model
negara Islam. Mengapa kita tidak terus memperkukuh hakikat ini? -
DR. MOHD. AZAM RAUZAN, Ahli UMNO Akar Umbi, Johor.
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2001&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm